Ads 468x60px

-

Monday, September 22, 2014

'Beli' hanya kiasan, tak semesti bayar duit

NAZRI ABDULLAH | .
KUALA LUMPUR: Istilah beli yang digunakan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berhubung dua Adun PAS di Selangor, tidak semestinya bermaksud dibayar dengan duit.

Sebaliknya ia hanya berbentuk kiasan merujuk kepada tindakan adun terbabit yang tidak merujuk pimpinan parti terlebih dahulu untuk menyertai rancangan politik parti lain.

"Bila sebut beli tak semestinya bayar dengan duit.

"Beli maruah diri, beli sokongan tanpa merujuk parti terlebih dahulu. Semua ini kiasan kepada beli," kata Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan pihak tertentu yang mahu Presiden PAS membuktikan dua Adun PAS terbabit telah dibeli.

Ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Muktamar Tahunan PSS Pusat ke-60 kelmarin, Tuan Guru Abdul Hadi berkata PKR tidak patut membeli dan mencuri dua wakil PAS untuk menjayakan rancangan politik mereka.

"Takut majoriti tak dapat, curi wakil rakyat kita, beli wakil rakyat. Adakah ini etika bertahaluf?

"Kita tidak memandang ringan, dua wakil rakyat yang sanggup menyeberang, yang jadi broker, yang jadi barua, semua ada,” tegasnya.

Beliau merujuk kepada tindakan dua Adun PAS yang menandatangani akuan berkanun (SD) yang menyokong Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail sebagai pengganti Menteri Bersar Tan Sri Khalid Ibrahim tanpa merujuk kepimpinan parti.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, dua Adun terbabit sepatutnya merujuk parti sebelum membuat sesuatu keputusan besar yang boleh memberi kesan kepada parti.

"Apa salahnya rujuk kepada parti atau hadir dalam pertemuan untuk penjelasan.

"Namun apa yang berlaku, berlakunya ia," katanya.

- HARAKAHDAILY 22/9/2014

Tuesday, September 9, 2014

Bincang isu PAS di muktamar, bukan laman sosial

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS mahu ahli-ahli parti menggunakan peluang Muktamar Tahunan ke-60 di Batu Pahat bagi membincangkan masalah dalaman parti.

Oleh itu, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, ahli dan penyokong tidak sewajarnya mengeruhkan suasana politik sekarang dengan kenyataan tidak wajar melalui laman-laman sosial.

Kata beliau ahli parti peringkat akar umbi dan pimpinan sewajarnya menerima keputusan pimpinan tertinggi parti demi kebaikan semua pihak.

Katanya, setiap mesyuarat mengikut kaedah Islam diberi kuasa kepada pemimpin tertinggi parti membuat keputusan.

“Zaman Rasulullah s.a.w. baginda mempengerusikan mesyuarat dengan diberi kuasa untuk membuat sebarang keputusan.

“Begitu juga dalam kaedah parti kita sekarang, keputusan mesyuarat ditentukan pengerusi,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Institut Pemikiran Tok Guru hari ini.

Beliau diminta mengulas isu yang berlaku di Selangor terutamanya cara Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menangani kemelut yang berlaku.

Mursyidul Am berkata, ahli parti diingatkan jangan mengeruhkan suasana kerana ada pihak mengambil kesempatan bagi melumpuh gerakan parti.

Katanya, apabila ahli parti sendiri mengeruhkan suasana ia memberi ruang pihak lawan menangguk di air keruh.

Ditanya penubuhan Persatuan Ummah Sejahtera (PasMa) diterajui pemimpin-pemimpin PAS, katanya, setiap parti baru yang ditubuhkan akan menemui kegagalan.

“Waktu saya mula-mula sertai parti PAS dulu ada tiga parti iaitu Hamim, Berjasa dan Bebas Bersatu. Yang pegang jawatan tertinggi parti bukan sebarangan orang, tetapi hasilnya macam mana,” soalnya.

Menyentuh peluang Pakatan di Pengkalan Kubor, kata beliau sebelum ini PAS ada rekod kemenangan di Dun terbabit. - HARAKAHDAILY 8/9/2014

4 Exco PAS benteng Selangor dari tumbang kepada Umno

KUALA LUMPUR: Empat Exco Kerajaan Negeri Selangor daripada PAS yang kini dalam kerajaan negeri bersama Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah benteng terakhir untuk menyelamatkan Kerajaan Pakatan Rakyat daripada tumbang kepada Umno.

Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Selangor, Ustaz Sallehen Mukhyi, berkata pengekalan empat exco PAS itu adalah penting kerana ia adalah selaras Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.

“Kita tidak ada kerjasama dengan Umno, bahawasanya jika Umno masuk kita akan keluar,” kata Sallehen dipetik Selangor Kini.

Beliau berkata demikian semasa Ijtimak PAS Selangor yang diadakan Stadium Tertutup MPSJ Serdang Jaya Seri Kembangan, petang tadi.

“Walaupun Abdul Khalid kini Adun Bebas namun caranya masih lagi belum menjadi Adun Bebas lagi, malahan mutakhir ini walaupun sudah pemerintahannya hendak berakhir namun masih semangat,” katanya yang juga Exco kerajaan negeri.

Menurutnya, walaupun empat Exco namun perjalanan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tetap terus berjalan dengan program dirancang berjalan baik.

ACduk CSabak itu menambah, apa yang berlaku kepada Kerajaan Selangor hanya sedikit kocakan berbanding dengan pengalaman PAS sebelum ini yang pernah kehilangan kerajaan.

“Atas pengalaman pemimpin lalu yang pernah menempuh perjalanan panjang itu, maka Presiden kita dan rakan-rakan lain bertenang dalam situasi dan tidak terus membuat kenyataan untuk kita tidak beri kerjasama kepada Menteri Besar,” katanya.

Beliau berkata pendukung Pakatan Rakyat perlu mengikut kaedah Fiqh yang mendapat kemenangan dan pertolongan daripada Allah.

“Maka apabila kita diatur oleh jemaah maka kita berada di landasan yang betul untuk mendapat pertolongan daripada Allah,” katanya.
Selain beliau, tiga lagi Adun PAS yang menganggotai exco kerajaan negeri ialah Iskandar A Samad, Dr Ahmad Yunus Hairi dan Dr Halimah Ali.

Calon MB: Hanya PAS akur titah, kata Istana

KUALA LUMPUR: Istana Selangor hari ini menyifatkan tindakan PKR dan DAP yang hanya mengemukakan satu nama berhubung calon Menteri Besar Selangor yang baharu sebagai 'engkar' kepada arahan Sultan.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata tindakan kedua-dua pati itu yang menghantar hanya satu nama sama menggambarkan kebiadapan kepada institusi raja dan perbuatan derhaka kepada baginda.

"DYMM Sultan Selangor amat merasa dukacita di atas tindakan parti-parti DAP dan Keadilan yang engakar terhadap baginda bertarikh 27 Ogos 2014.

"Tindakan parti DAP dan parti Keadilan ini menggambarkan kebiadapan kepada Institusi Raja dan merupakan satu perbuatan derhaka kepada titah DYMM Sultan Selangor," katanya.

Namun demikian, katanya hanya parti PAS yang akur dengan titath DYMM Sultan Selangor dengan menyenaraikan tiga nama calon Menteri Besar Selangor.

PAS sebelum ini mengemukakan tiga nama iaitu masing-masing dua Adun PKR dan seorang Adun PAS.

PKR dan DAP pula mengemukakan nama tunggal iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Teliti nama lain

Kenyataan itu juga menyebut, dengan penerimaan senarai calon itu, baginda akan menelitinya dan akan mengambil kira segala aspek di dalam menilai setiap calon sebelum membuat sebarang keputusan.

"Dalam masa yang sama memandangkan kuasa melantik Menteri Besar  Selangor terletak pada budi bicara Sultan Selangor maka baginda akan meneliti nama-nama Adun yang lain dari Pakatan Rakyat yang berkelayakan pada fikiran Sultan Selangor mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Negeri," katanya. - HARAKAHDAILY 8/9/2014

PAS DI RAI DI ACEH

Pertemuan kami dengan Walikota (Dato Bandar) Banda Aceh dan pegawai-pegawainya sangat bermakna. Perbincangan berkisar dari bidang kuasa autonomi (special autonomy) yang diberi oleh pemerintah pusat di Jakarta hingga kepada isu-isu perlaksanaan syariah, sumber-sumber hasil, peluang-peluang perniagaan dan cabaran-cabaran semasa termasuk kesan bencana tsunami.

Walaupun negeri Aceh terkenal dengan jolokan 'Serambi Mekah' perlaksanaan syariah dibuat secara berperingkat-peringkat. Gaji pegawai-pegawai kerajaan negeri masih dibayar oleh pemerintah kecuali di peringkat pentadbiran kerajaan tempatan (local authority). Polis dan penjara masih dipegang oleh pemerintah pusat yang mengurangkan kuasa wilayah/negeri dalam perlaksanaan syariah. Tetapi menurut mereka, isu ini bukan halangannya dibandingkan dengan isu kesepakatan akademik dari segi tempuh masa yang diambil untuk deraf undang-undang syariah.

Bagaimanapun pegawai-pegawai penguatkuasa terutama bahagian rondaan yang melibatkan kesalahan takzir, negeri masih berkuasa. Sebagai contoh, masyarakat di Aceh terutama golongan muda boleh bersantai di tempat peranginan tepi pantai/sungai pada waktu petang, tetapi pada waktu malam kawasan berkenaan ditutup bagi mencegah kemungkinan berlakunya kes-kes maksiat. 

Dalam tempuh 10 tahun kes-kes yang dibicarakan dan diputuskan oleh mahkamah syariah, masyarakat masih menghormatinya. Setakat ini dari lebih 200 kes kesalahan yang disabitkan seperti khalwat, minum arak dan judi walaupun pesalah tidak dipenjarakan lebih awal, mereka secara sukarela datang untuk dijatuhkan hukuman seperti sebatan pada hari yang ditetapkan.

Mereka mengatakan perjuangan mereka masih panjang terutama untuk mendapat kelulusan undang-undang dari pemerintah pusat bagi membolehkan mereka mendapat kuasa yang lebih besar dalam perlaksanaan syariah. Mereka juga pada masa yang sama memperhebatkan gerakan dakwah bagi mendidik masyarakat kepentingan hukum Allah SWT.






Iklan Berbayar - SMS 013 929 9944 ( RM50.00 Sebulan )

-
-