Ads 468x60px

-

Friday, January 31, 2014

Tuesday, January 28, 2014

Tahniah Kepada Pas Kawasan Kemaman

Tahniah Kepada Pas Kawasan Kemaman kerana berjaya mengadakan Program Brainstorming

Program Pas Kawasan Marang

24hb Jan 2014 (Jumaat) : Peserta program dilepaskan oleh T.Guru Presiden dr Masjid Rusila -Rombongan ke Program Tamrin & Brainsorming PAS KAWASAN MARANG di MADU, Kelantan.



Program Tamrin & Brainsorming PAS KAWASAN MARANG di MADU, Kelantan. Telah dirasmikan oleh YDP PAS KAWASAN MARANG, Tuan Haji Yahaya Ali. Merangkap TPJ2 Pas Terengganu. Rombongan peserta telah dilepaskan oleh Presiden Pas dari Masjid Rusila selepas kuliah pagi jumaat. Berita dihttp://pasmarang.blogspot.com/



Program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden


Telah dirasmikan oleh Dato' Tuan Ibrahim, Naib Presiden Pas dlm Program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden. Turut membentang kertas kerja Dr Rosli Yaakob ( Pengarah Urusan Harakah)



Himpunan Mujahidah Marang

31 Jan 2014 : Program dirasmikan Dato' Tuan Ibrahim, Naib Presiden Pas di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila.

Monday, January 27, 2014

Brainstorming Dun Bukit Payung

Tahniah Kepada Dun Bukit Payung kerana berjaya mengadakan Brainstorming


'Jasad yang pergi, ilmu dan perjuangan kekal di dada kami'


KUALA LUMPUR: Pemergian Almarhum Tuan Guru Harun Taib adalah satu kehilangan besar buat Gerakan Islam di rantau ini, kata AJK PAS Pusat, Nasrudin Hassan. 

Bagaimanapun, katanya malang ada portal dan penulis seperti melepaskan dendam tersumbat apabila membidik almarhum sebagai perginya ulama konservatif sehari selepas beliau kembali ke rahmatillah. 

Tambah Ahli Parlimen Temerloh itu, tanpa peduli adab dan hormat, mereka seperti gembira dengan pemergian almarhum. 

“Saya sekadar ingin mengingatkan, yang pergi ialah jasad almarhum Tuan Guru mendapatkan kekasihnya yang Maha Kuasa tetapi ilmu dan roh perjuangan masih kekal di dada kami anak-anak muridnya. 

“Perjuangan beliau akan bersambung insya Allah,” tegasnya yang merupakan anak didik almarhum.

Saturday, January 25, 2014

Terkenang saat manis bersama Ustaz Harun di UK

DR RAJA AHMAD ISKANDAR AL-HISS
 
Ustaz Harun Taib nama yang sering menjadi sebutan oleh ahli PAS. Pandangan pedas dan tegas. Saya mula mengenali ayahanda Ustaz Harun secara dekat sejak mula bertugas sebagai Pegawai di Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) pada tahun 1998. (Penulis berbaju batik)

Rata-rata orang ramai apabila disebut nama Ustaz Harun Taib seperti menikus kecuakan. Mungkin dari raut wajah dan pakaiannya kelihatan seperti seorang yang garang. Tapi itu adalah persepsi sahaja bagi siapa yang tidak mengenalinya.

Ketika itu kebanyakan kami petugas di pejabat DPPP menjadikan konsep “pejabatku rumahku”. Maka sememangnya segalanya di Markaz PAS Taman Melewar. Pejabat DPPP terletak di tingkat atas manakala Pejabat Dewan Ulama Pas pula terletak tingkat bawah. Selalunya almarhum Ustaz Harun akan bermalam di pejabat DUPP setiap kali selepas mesyuarat DUPP atau Jawatankuasa Harian PAS Pusat. Maka tiap kali almarhum tidur di pejabat, maka menjadi kelaziman kami akan diajak  makan tengah malam. Faiz Nawi, Fadli Ghani dan Yusapiza adalah ahli minum malam tetap bersama almarhum. Wajah garang yang sering diwar-warkan tidak langsung terbit apabila kami bersama. Banyak sangat perkara kami berkongsi tatkala keluar minum malam.

Apabila Allah beri kemenangan kepada PAS memerintah Terengganu, ayahanda Ustaz Harun dilantik menjadi Exco Pendidikan dan Dakwah Kerajaan Terengganu dibawah pimpinan Menteri Besar, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Tatkala itu saya merasakan mungkin suasana akan berubah, almaklumlah almarhum sudah menjadi Exco Kerajaan Negeri, kereta Mercedes model lama berlampu petak bertukar kepada kereta Mercedes masterpiece Exco, tetapi ternyata sangkaan saya dan sahabat meleset apabila masih mendapat panggilan telefon beliau mengajak kami untuk minum malam bersamanya. Banyak perkara kami kongsi terutama pandangan saya sebagai petugas parti terhadap kerajaan Terengganu yang almarhum sebagai salah seorang Exconya. Saya antara yang sering berkomunikasi dengannya, mungkin kerana atas sifat saya sebagai Setiausaha Politik Ketua Pemuda ketika itu.

Tahun 2003, saya mengambil keputusan untuk meneruskan pelajaran saya ke peringkat PhD ke Manchester. Antara pimpinan yang menghubungi saya menyokong hasrat itu adalah Ustaz Harun. Beliau juga berhasrat untuk menghantar anaknya sendiri ke United Kingdom bagi menimba ilmu di sana.

Setelah saya berada di bumi UK hampir 5 bulan. Tiba-tiba telefon saya berdering, terpapar nombor tidak dikenali dari Malaysia. Apabila saya jawab," Assalamualaikum Raja, Harun ni." Saya pelik.. ish sapa pulak Harun ni, jawab saya, " Harun mana ni", barulah dia balas Ustaz Harun. Malu rasanya bila tak kenal suaranya. Tapi itulah Ustaz Harun tidak pernah memperkenalkan diri dengan gelaran Datuk atau Ustaz kepada sesiapa yang dijumpainya. Panggilan telefon tadi rupanya nak memaklumkan kepada saya bahawa dia nak hantar sejumlah pelajar anak Terengganu bagi melanjutkan pelajaran ke United Kingdom. Pesannya pada saya, tolong tengok-tengokkan mereka setibanya di UK.

Sepanjang saya di UK, rumah saya adalah antara rumah persinggahan tetap pimpinan PAS. Antara yang sering dan wajib singgah adalah Ustaz Harun sendiri. Nasi lemak ayam masakan isteri saya antara kegemarannya. Kambing panggang antara makanan kegemarannya juga yakni saya selalu membawanya ke kedai kebab Pakistan di Cheetham Hill.

Setiap kali Ustaz Harun bertandang ke UK, sudah pasti kami menganjurkan program bersamanya. Jika tempohnya kehadirannya lama, maka program tamrin kami aturkan untuk dikongsi dengannya.

Saya antara yang gembira jika Ustaz Harun datang menziarahi anak-anaknya di UK. Pernah sekali Ustaz Harun meluangkan masanya selama 6 jam bermula 8 malam hingga 2 pagi ketika musim sejuk berdiskusi dan bertukar pandangan dengannya. Hanya saya dan dia tanpa gangguan di rumah anaknya di Wigan kira kira 40 minit perjalanan dari Manchester. Begitu juga ketika Ustaz Harun menziarahi anaknya di Birmingham pada musim bunga. Saya tak lepaskan peluang bertemu dengannya bagi mendapat isu terkini dan penjelasan isu semasa terutama selepas PRU12.

Selepas saya pulang ke tanah air. Antara pimpinan yang saya hubungi  sudah pastinya ustaz Harun Taib. Seperti biasa, nasihat dan pandangan dihembuskan kepada telinga saya sebagai kekuatan penerus perjuangan. Selepas dipilih dalam muktamar 2009 sebagai Exco dan ditaklifkan sebagai Exco Antarabangsa DPPP. Ustaz Harun adalah salah seorang guru antarabangsaku, Ustaz Harun antara yang disegani oleh dunia islam. Gerakan Ikhwan Mesir terutamanya memanggilnya Maulana Harun Tayyib sebagai menghormati ilmu dan kepimpinannya. Tatkala beliau ke UK, saya antara yang mengiringi beliau dalam pertemuan dengan pihak luar.

Semasa menjadi Naib Ketua Pemuda Pusat, Ustaz Harun sering menghubungi saya bagi mendapatkan penjelasan bagi beberapa tindakan saya terutama isu DAP. Begitu juga selepas muktamar baru ni, Ustaz Harun antara yang sering menasihati saya agar terus istiqamah. Kali terakhir saya bertemu ayahanda ustaz Harun ketika mesyuarat PAS Pusat bulan Januari di KUIZM dan itulah kali terakhir tangannya ku cium. Semoga ciuman terakhirku menjadi azimat perjuanganku. Selamat jalan ayahandaku. Moga Allah tempatkan ayahanda ustaz Harun dikalangan yang terpilih.

AL-FATIHAH...

Penulis adalah Penolong Setiausaha Agung PAS merangkap Ketua Dewan Pemuda PAS Perak.

Tuan Guru Dato Harun Taib kembali ke rahmatullah

Tuan Guru Dato Harun Taib kembali ke rahmatullah

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib kembali ke rahmatullah di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada jam 12.05 tengah malam tadi.

Harakahdaily memetik Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali sebagai berkata, perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh anak Allahyarham.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri memberitahu jenazah Almarhum Ustaz Harun (kiri) dijangka disolatkan pada jam 10 pagi nanti di Markas Tarbiyah Kubang Lembik, Manir, Kuala Terengganu.

Sehubungan itu, beliau menjemput seluruh ahli PAS agar beramai-ramai hadir mendoakan kebaikan untuk almarhum.

“Moga Allah merahmati roh beliau dan meletakkan beliau bersama roh para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin,” ujarnya dalam satu kenyataan ringkas kepada Harakahdaily.

Bagi pihak Dewan Ulamak PAS Pusat dan seluruh jawatankuasanya, beliau mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga almarhum.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat dan seluruh kepimpinan PAS negeri turut mengucapkan takziah kepada keluarga almarhum, semoga bersabar dan tabah dalam menghadapi dugaan Allah tersebut.

Friday, January 24, 2014

YDSM nafi anjur lawatan MB T'ganu ke Antartika


Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) menafikan ia menganjurkan lawatan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said ke Antartika.
  
"Lawatan itu bukan anjuran YDSM, dan ia tiada kaitan dengan program yayasan," kata Setiausaha Kerja YDSM Mohd Azrul Ismail dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata yayasan itu hanya menjalankan kerja amal bagi memberi sumbangan ke arah meningkatkan taraf sosioekonomi, kesejahteraan hidup dan pendidikan rakyat, selain melakukan program penyelidikan sejarah, pembangunan seni warisan serta pemuliharaan alam sekitar negeri itu.
  
Pada 15 Januari lepas, akhbar melaporkan satu kenyataan bahawa Ahmad akan mengetuai lawatan ke Antartika selama 15 hari anjuran Kementerian Sains,
Teknologi dan Inovasi melalui inisiatif Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM).

Kenyataan itu, yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar Terengganu, menyatakan lawatan itu bertujuan membuka laluan bagi membantu kerajaan menubuhkan sebuah stesen penyelidikan bersama Instituto Antartico Chileno (INACH).
  
- Bernama

Wednesday, January 8, 2014

Mengapa PAS menentang GST?

Firman Allah:
أَمَّا السَّفِينَةُ فَكَانَتْ لِمَسَاكِينَ يَعْمَلُونَ فِي الْبَحْرِ فَأَرَدْتُ أَنْ أَعِيبَهَا وَكَانَ وَرَاءَهُمْ مَلِكٌ يَأْخُذُ كُلَّ سَفِينَةٍ غَصْبًا (79)الكهف.
Maksudnya:
Khadir berkata: “Adapun kapal (yang aku rosakkan) ini adalah kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut. Aku jadikannya rosak, kerana mereka akan melalui negeri yang Rajanya merampas setiap kapal yang tiba.”

Firman Allah:
قَالُوا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَى أَنْ تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا (94) قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا (95) آتُونِي زُبَرَ الْحَدِيدِ حَتَّى إِذَا سَاوَى بَيْنَ الصَّدَفَيْنِ قَالَ انْفُخُوا حَتَّى إِذَا جَعَلَهُ نَارًا قَالَ آتُونِي أُفْرِغْ عَلَيْهِ قِطْرًا (96(الكهف.
Maksudnya :
Mereka berkata: "Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya Kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat Engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?" (94)
Dia menjawab: "(Kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku kurniakan kepadaku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah aku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh." (95)
"Bawalah kepadaku ketul-ketul besi"; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu. Dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: "Tiuplah dengan alat-alat kamu."  Sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: "Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya." (96)

Al Quran memaparkan dalam satu surah, dua kisah benar di zaman silam, supaya diambil iktibar. Ianya merupakan kisah perbandingan di antara kerajaan yang zalim yang merampas setiap kapal yang lalu ke negerinya tanpa mengira pemiliknya kaya dan meskin, lalu nabi Khaidir merosakkan kapal kepunyaan orang-orang miskin bagi menyelamatkannya. Berbeza pula kerajaan yang adil, Rajanya seorang yang soleh dan bijak bernama Dzulqarnain, membantu kaum yang lemah, kerana kewangannya surplus,  sehingga menolak tawaran untuk membayar cukai bagi membantu mereka menghadapi pencerobohan kaum yang ganas.
sumber kewangan negara
Islam adalah membawa rahmat kepada seluruh manusia. Dalam konsep mengumpul sumber kewangan negara yang dilaksanakan dalam sistem ekonomi di peringkat masyarakat dan negara, nasional dan antara bangsa  dan inter negara-negara, Islam  menentang pengambilan kekayaan secara rakus tanpa mengira batas timbang rasa kemanusiaan. 

Dalam hal ini, Islam tetap menggalakkan kemajuan ekonomi sehingga berkemampuan untuk diri dan membantu pihak yang memerlukan bantuan. Islam juga tidak menyekat kekayaan yang diambil dengan cara yang baik dan membelanjakannya juga untuk kebaikan, dengan menetapkan sempadan dan kewajipan, serta menghalang kekayaan negara berpusing di kalangan orang-orang yang kaya dan pihak yang berkuasa. Batas halal dan haram dalam segala aspek, barangan, operasi dan akhlak dalam semua urusan, adalah sempadan dalam kegiatan ekonomi. Sistem ekonomi liberal kapitalis tidak mempunyai roh akhlak, halal – haram ini. Semua ini bertujuanuntuk menjaga kesaksamaannya dan keharmonian dalam kehidupan manusia yang bermasyarakat madani.

Dalam aspek sumber kewangan masyarakat dan negara, maka Islam mewajibkan sumber zakat secara ibadat yang menjadi rukun Islam kepada penganutnya. Para ulama juga mengizinkan percukaian dilaksanakan sekiranya sumber kewangan negara tidak mencukupi dengan  konsep yang adil  seperti zakat  juga.

Zakat diwajibkan keatas penganut Islam sehingga dimasukkan dalam rukun agama dan ibadat yangtidak boleh dibatalkan. Maka zakat tidak boleh dikenakan kepada penganut bukan Islam  kerana hak yang berbeza dalam prinsip ibadat dan konsepnya. Adapun cukai dikenakan kepada penganut bukan Islam dan penganut Islam juga dalam konsep bermasyarakat dan bernegara. Sekiranya kewangan negara mendesak maka cukai boleh ditambah; dikurang dan boleh pula dihapuskan sekiranya sudah ada sumber kewangannya mencukupi atau sebab-sebab yang lain.
golongan tidak diwajibkan zakat
Zakat terhadap penganut Islam diwajibkan kepada kalangan berkemampuan dan kaya sahaja, dimana kalangan miskin tidak diwajibkan zakat. Maka hukum Islam menetapkan kadar mewajibkannya yang dinamakan nisob. Dimana nisob ini juga dikira kadar lebihan daripada keperluan diri, keluarga dan pengurusan, dengandikecualikandaripada perkiraannya. Mereka yang berpendapatan tidak mencapainisob dikira miskin atau yang tegarnya dinamakan fakir dan tidak diwajibkan zakat. Pungutan zakat pula mengikut haul (tahunan) atau musim bagi hasil pertanian.

Maka cukai yang dikenakan bagi keperluan negara yang melibatkan rakyat supaya menyumbang, tanpa mengira agama hendaklah berpandukan konsep pungutan zakat dengan mengecualikan kalangan miskin daripada cukai dan juga tidak membebankan lebih daripada kemampuan, serta menghalang bebanan daripada kesannya seperti berlakunya inflasi.

Khalifah Umar bin Al Khattab r.a. dan Umar bin Abdul Aziz yang banyak memperkenalkan cukai yang dinamakan jizyah,kharaj dan usyur, daripada sumber kegiatan ekonomi, berpandukan kepada konsep yang tidak membebankan rakyat miskin dalam sistem zakat. Maka cukai tidak dikenakan terhadap kalangan rakyat yang pendapatannya tidak mencapai tahap selesa atau kalangan penganggur atau kalangan yang bergantung sumbangan daripada pihak lain seperti paderi dan sami atau yang berkhidmat kepada negara dan masyarakat.
cukai boleh dihapuskan
Cukai boleh dihapuskan kerana tidak berkait dengan ibadat, tidak seperti zakat yang diwajibkan dan tidak boleh dibatalkan kepada penganut Islam kerana ianya dimasukkan dalam perkara ibadat sepanjang masa. Sejarah membuktikan bagaimana cukai lebih rendah kadarnya dibandingkan dengan zakat. Penurunan dan sehingga penghapusan cukai pula berlaku tidak seperti zakat, apabila tujuan daripada pungutannya tidak ada lagi kerana hasil lain yang mencukupi atau pihak berkenaan tidak berfungsi menunaikan tanggung jawab terhadap pembayar.

Contohnya Abu ‘Ubaidah (pemerintah wilayah Syam) membatalkan cukai jizyah yang bertujuan menjaga keselamatan pihak yang membayar daripada kalangan bukan Islam, apabila beliau menghadapi ancaman pihak tentera Rom, sehingga tidak mampu menjaga keamanan pembayar, atau mereka yang terlibat bertugas menjaga keamanan dan keselamatan.Cukai juga dikurang bahkan ditiadakan apabila sumber yang lain telah mencukupi, contohnya  Khalifah Umar bin Al Khattab pernah menghapuskan Usyur (cukai perniagaan) yang dikenakan kepada barangan asasi keperluan harian rakyat di tahun kemelesetan ekonomi bagi menurunkan harganya. Adanya kalangan negara Arab yang mempunyai sumber petroleum yang banyak membatalkan beberapa cukai kerana mewarisi kesan pemerintahan Islam.

Khalifah Umar bin Al Khattab dan Umar bin Abdul Aziz adalah contoh yang paling ideal kerana memerintah di zaman paling majmuk, wilayah yang luas dan mencabar. Di antara arahan mereka adalah melarang sekeras-kerasnya mengenakan cukai tanpa kemampuan pembayarnya. Mereka menggalakkan pengurusan yang menambahkan sumber yang ada tanpa membebankan rakyat bahkan mengancam untuk memecat sesiapa sahaja yang menaikkan cukai tanpa berlaku adil dan menunjukkan tidak berkemampuan mengendalikan urusan kewangan wilayahnya yang diberi autonomi.
krisis kewangan
Terkini negara kita sedang menghadapi krisis kewangan walaupun pihak kerajaan sentiasa  menafikannya. Maka dilakukan kenaikan cukai yang telah sedia ada dan mengadakan cukai baru. Terakhir pula diperkenalkan GST, cukai  terhadap barangan dan perkhidmatan. Alasannya supaya berlaku adil dengan melibatkan semua rakyat tanpa mengira kaya dan miskin menanggung bebanan menampung keperluan negara. Pendekatan ini adalah salah tafsir terhadap prinsip keadilan, konsep dan objektifnya.

Adil mengikut takrif Islam adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya, bukannya membebankan kepada semua tanpa mengira tahap kemampuan. Sudah pasti ada kalangan yang miskin yang terbeban dengan terlalu sedikit penambahan cukai daripada barangan keperluan dan menanggung kesan inflasi juga terhadap barangan yang kononnya tidak bercukai atau dalam kawalan. Dalam masa yang sama ada segelintir kalangan yang kaya-raya dan tidak bermasalah dalam semua keadaan, mereka inilah yang sepatutnya mengambil tanggung jawab cukai tambahan.

Sepatutnya pihak kerajaan yang diamanahkan melakukan muhasabah diri secara ikhlas, terhadap ketirisan daripada sumber yang telah sedia ada dan membetulkan kesilapan yang berlaku serta berani,tegas dan telus bertindak terhadap penyelewengan, disamping melakukan islah(reformasi) sebelum transformasi. Transfomasi tanpa Islah boleh membawa keadaan yang lebih parah.

Saya tegaskan dalam ucapan bajet, bahawa ketirisan berlaku dengan sebab projek mewah sehingga meninggalkan perkara aulawiyyat (keutamaan) bagi rakyat  menyebabkan keborosan dan pembaziran. Masih berlakunya rasuah yang mencacatkan projek yang dirancang dengan baik dan menggagalkannya. Hutang bersama riba yang terpaksa dibayar daripada peruntukan negara dan bencana alam disebabkan kesalahan manusia dan lain- lain. Kebocoran ini menyebabkan defisit yang memerlukan penampungan daripada sumber kewangan tambahan. Semuanya daripada kesalahan kerajaan, bukannya rakyat.

Penyelesaiannya bukan dengan membebankan rakyat yang lemah,dengan menaikkan cukai sedia ada, mengadakan cukai baru dan kenaikan harga barangan daripada kesannya yang tidak terkawal, termasuklah bayaran tol yang sepatutnya diturun dan akhirnya dihapuskantetapi dijadikan kesempatan mengambil duit rakyat tanpa mengira kaya dan miskin.
menyekat ketirisan
Penyelesaiannya ialah menyekat ketirisan dan menghapuskannya. Bertindak terhadap sumber dan puncanya dengan berani, ikhlas dan tegas. Menampung kekurangan sementara waktu terhadap mereka yang berkemampuan sahaja dengan menukarkan bayaran rasuah untuk segelintir manusia, digantikan kenaikan cukai untuk semua rakyat. Memayungi rakyat yang lemah supaya tidak menerima tempiasnya dengan langkah yang bijak, saperti kawalan harga barangan keperluan, penurunan dan penghapusan cukai dan subsidi dengan cara yang sistematik daripada sumber kekayaan dan keuntungan pihak tertentu.

Malangnya kerajaan mengambil jalan pintas tanpa peduli rakyat. GST adalah percukaian zalim, kalau zakat dikira nisob nya, adapun GST tanpa nisob mengambil daripada sekecil-kecil barangan dan mencakar paling miskin, sehinggalah paling mahal dan paling kaya, bahkan yang kaya lebih selesa. Kalau zakat mengikut haul (tahun) dan musim, maka GST setiap hari dan saat. Kalau cukai mengikut Islam mengambil iktibar daripada zakat, maka GST mengikut selesa tanpa iktibar. Laksana lebih daripada raja yang merampas kapal yang elok, adapun yang dirosakkan tidak dirampas. Maka jauh sekali daripada menyontohi raja yang adil, Dzulkarnain yang disanjung oleh Al Quran apabila tidak menerima cukai kerana kewangannya surplus, bahkan GST adalah menyontohi raja zalim yang merampas setiap kapal.

Bughah: 8 laporan polis dibuat Pemuda PAS di T’ganu

KUALA TERENGGANU: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) dan tujuh Pemuda PAS kawasan membuat laporan polis serentak terhadap ‘fatwa’ songsang Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Bermula jam 10.30 pagi tadi, kesemua Dewan Pemuda PAS kawasan masing-masing di Terengganu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, Hulu Terengganu, Marang dan Dungun kecuali Kemaman akan dibuat pada 11 Januari ini.

Manakala, Pemuda PAS Terengganu dan Pemuda PAS Kawasan Kuala Terengganu, Kuala Nerus serta Setiu membuat leporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.

Ketuanya, Ustaz Kamaruzzaman Abdullah menyifatkan kenyataan Harussani menggelarkan rakyat yang berhimpun secara aman di ibu negara itu sebagai ‘bughah’ menyebabkan ‘saham’ mufti tersebut merudum.

Ini kerana, katanya gelaran bughah tersebut tidak menepati tiga syarat yang membolehkan hukuman tersebut dikeluarkan.

“Pertama, mesti ada kerajaan Islam. Tapi, Malaysia memang sejak dari Tunku Abdul Rahman hingga kepada Datuk Seri Najib Tun Razak keluar kenyataan Malaysia bukan Negara Islam tapi sebuah kerajaan sekular.

“Kedua, bughah itu mestilah keluar dengan bersenjata. Jadi, mereka (rakyat) yang keluar pada malam sambutan tahun baru di Dataran Merdeka itu tidak ada senjata pun yang dibawa oleh rakyat dan ini telah disahkan oleh pihak polis sendiri gambar (orang) yang cedera dan bawa parang itu bukan pada malam tersebut.

“Ketiga, pemimpin Negara Islam itu mestilah mempunyai syarat-syarat untuk (layak) sebagai khalifah. Jadi ketiga-tiga syarat itu tidak ada dan tidak layak untuk digelar ‘bughah’ oleh Mufti Perak,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis bersama tiga Dewan Pemuda PAS kawasan lain di IPD Kuala Terengganu, hari ini.

Iklan Berbayar - SMS 013 929 9944 ( RM50.00 Sebulan )

-
-