SHAH ALAM – “Siapa mengira berlaku keretakan dalam kepimpinan utama Pas hari ini, dia seperti sang dahaga yang menggoyang batang kelapa untuk mendapatkan air kelapa muda,” demikian ujar Ketua Pemuda Pas Pusat, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz.
Menyanggah dakwaan terbabit, beliau berkata, Pas sebaliknya berada di bawah kepimpinan yang betul dan bergerak di landasan tepat.

“Pas kini bergerak di antara kecenderungan tinggi untuk menggali nas-nas ugama dan budaya 'fact and figure' di dalam menentukan hala tuju dan strategi politik dan perjuangannya.
“Sekarang, yang paling ditunggu adalah majlis mesyuarat dan pertemuan di antara kami. Gabungan mantap antara orang lama yang berpengalaman penuh ketenangan dan kumpulan muda yang berinspirasi penuh motivasi turut mencetuskan rasa ukhuwah yang kukuh,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Abduh berkata, ramai pihak mahukan keretakan berlaku di dalam Pas kerana mereka tidak memiliki apa yang Pas ada.
“Jangan percaya fitnah. Sesungguhnya politik Islam menolak fitnah dan mengiranya sebagai jalan-jalan menuju kemusnahan negara dan umat.
“Mari perangi musuh utama yang merosakkan negara iaitu rasuah, salah guna kuasa, pembaziran dan pemborosan wang rakyat, pemujaan terhadap golongan kaya dan cukai ke atas golongan miskin,” katanya lagi.