Ads 468x60px

-

Tuesday, December 29, 2015

ttb - tak tahu beza

TTB – Tak Tahu Beza

Mungkin maksud bagi akronim di atas lebih sesuai diberikan kepada motto kerajaan negeri Terengganu. Di saat negara sedang menghadapi tekanan ekonomi hasil daripada perbuatan tangan-tangan sang penguasa, tiba-tiba saya mendapat maklumat berkenaan pembidaan harga tender bagi pembelian nombor plat TTB yang mungkin di pohon khas oleh kerajaan negeri Terengganu daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bermula dari nombor TTB 3 sehingga TTB 19 dimana kesemuanya berjumlah RM756, 316.00 iaitu lebih RM¾ juta. Saya tidak faham dan masih mencari-cari di mana lojiknya perbelanjaan yang sebegitu besar, hanya untuk membeli nombor plat.

Tetapi yang paling nyata dan lojik ialah Razif sekali lagi mahu membuat pahatan sejarah bagi memaksa rakyat mengingati zaman pemerintahannya ini dengan keadaan yang memualkan, kerana dengan ini, kenderaan kerajaan akan sentiasa memakai plat ini tak kira siapapun memegang jawatan MB atau Exco nanti. Tidak mudah untuk menukar plat ini kerana harganya yang sangat mahal. Bijak bukan? Lebih bijak daripada Idris Jusoh dengan billboard dan Islam Hadharinya. Begitu juga Ahmad Said yang tersohor dengan Kenyir dan Zoonya yang kini telah hilang ditelan TTB. Habiskan duit rakyat? Apa dia peduli?

Razif sangat lemah dalam pemerintahannya dan gagal memahami keperluan rakyat. Dia tidak tahu membezakan antara keperluan dengan kehendak yang mana sepatutnya diutamakan. Dalam keadaan yang seluruh rakyat bukan sahaja yang miskin, malah yang berpendapatan sederhana juga merasa perit kerana tekanan GST, harga barang keperluan naik, nilai RM jatuh, ditambah dengan penggal persekolahan baru yang akan menjenguk tidak lama lagi, Razif tanpa rasa malu, memilih untuk memerli rakyat dan mendabik dada dengan pembelian plat yang hampir sejuta ini. Sedangkan dalam masa yang sama, dia Bagaikan mengemis meminta belas ihsan kerajaan pusat bagi mengembalikan wang kerajaan negeri sebanyak RM1.8 billion yang entahkan dapat atau tidak yang telah digunakan dalam pembinaan LPT2 yang penuh dengan masalah itu. Lakonan yang sangat buruk daripada kerajaan Razif.

Bayangkan, dengan jumlah lebih tiga suku juta ringgit itu, sebanyak 15 buah rumah murah bernilai RM50 ribu setiap satu boleh dibina dan diberikan kepada fakir miskin. Ataupun boleh memberi bantuan persekolahan sebanyak RM200  seorang kepada 3781 orang fakir dan miskin. Wang ini mungkin juga boleh menyelesaikan masalah pengambilan tanah di Pasir Putih, Merchang dan banyak lagi kebajikan yang boleh di sediakan kepada rakyat. Memandangkan peratusan fakir dan miskin pada tahun 2015, masing-masing naik sebanyak 126 peratus dan 193 peratus berbanding tahun 2013 (jawapan soalan DUN awal bulan ini) walaupun Razif tergelincir lidahnya dengan mengatakan hanya 40 orang miskin di Terengganu.

PAS konsisten menentang penyelewengan, pembaziran, atau apa-apa sahaja bentuk salah urus wang rakyat. PAS kekal dengan prinsip ini, kita menasihati kerana Allah bagi kebaikan semua, tetapi tetap teguh melawan musuh politik sekiranya mereka gagal mengikut kehendak Allah.

Yb Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan Pas Terengganu
17 Rabiul Awwal 1437ttb - tak tahu beza

No comments:

Post a Comment

Iklan Berbayar - SMS 013 929 9944 ( RM50.00 Sebulan )

-
-