Ads 468x60px

-
Showing posts with label Penulis Tamu. Show all posts
Showing posts with label Penulis Tamu. Show all posts

Tuesday, February 23, 2016

Menyimbah petrol membunuh diri (langkah selamatkan Israel)

DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG

Ketika Dunia Islam dan umatnya bersemangat menerima berita Intifadhah rakyat Palestin yang gagah berani menghadapi keganasan Zionis Israel yang melampau, kerana negaranya yang haram itu dilindungi negara besar berkuasa veto, dibekalkan segala jenis senjata, menggunakan pengaruhnya terhadap media yang tidak adil, monopoli ekonomi dan pengaruh politiknya.


Namun sejarah tidak boleh dipadamkan, betapa golongan pelampau Yahudi itu merompak, meroboh rumah kediaman dan menghalau rakyat Palestin. Terkini lebih melampau lagi, apabila melaksanakan usaha membina Haikal Sulaiman (Kuil Yahudi) di atas runtuhan Masjid Al-Aqsa yang dirancang untuk diroboh, ke arah menakluk dunia dengan menegakkan semula Kerajaan Nabi Sulaiman AS yang sudah tamat risalah kenabiannya, namun dijadikan impian.

Mangsa paling malang ialah penduduk asal Palestin, mengikut konsep asal ketetapan Allah sejak zaman Nabi Ibrahim AS yang menganut Islam mengikut kenyataan Allah SWT. Al-Quran menegaskan:
ما كانَ إِبْراهِيمُ يَهودِيًّا ولا نَصْرانِيًّا وَلكِنْ كانَ حَنِيفا مُسْلِمًا وَمَا كانَ مِنَ المُشْرِكِينَ إِنَّ أَوْلىَ النَّاسِ بِإبراهِيمَ لَلّذِينَ اتَّبَعُوهُ وَهذا النَّبِيُّ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَاللهُ وَلِيُّ المُؤمِنِين

"Tidaklah Ibrahim itu seorang Yahudi dan Nasrani (Kristian) tetapi sebenarnya dia seorang muslim (menganut Islam ) dan dia juga bukan seorang musyrikin. Sebenarnya, yang lebih utama bersama Ibrahim ialah mereka yang mengikutnya dan Nabi ini (Muhammad SAW) dan orang-orang yang beriman. Dan Allah menjadi Wali kepada orang-orang yang beriman." (Surah Ali-Imran, ayat 67-68)

Tegasnya bumi Palestin diamanahkan kepada penganut Islam yang sebenar, dan mereka bersikap terbuka terhadap semua panganut agama-agama lain yang berkunjung memuja bumi Palestin tanpa halangan mengikut acara agama masing-masing.

Polisi Islam yang terbuka dilaksanakan di Palestin, sejak dibebaskan di zaman Khalifah Umar Al-Khattab RA daripada penjajah Rom Ortodoks yang menyekat penganut bukan Kristian dan Kristian yang tidak semazhab dengan mereka.

Begitu juga dilakukan oleh tentera Salib yang pernah menakluknya, sehinggalah dibebaskan oleh Sultan Salahuddun Al-Ayubi, maka dibuka semula kepada penganut agama-agama yang mengunjunginya termasuk Yahudi.

Bahkan kerajaan Uthmaniyyah memberi perlindungan kepada kaum Yahudi yang dibunuh dan dihalau daripada Andalus, menunjukkan Islam mengatasi kebangsaan.

Malangnya barat dan timur bukan Islam tidak menilai budi dan jasa Islam dan tamadunnya, mereka boleh mengiktiraf penaklukan tentera salib yang bermandi darah dan melangkah timbunan mayat, dan menolak Sultan Salahuddin yang adil dan pemaaf terhadap musuh dan melupai sikap terbuka Khilafah Uthmaniyyah.

Kini bumi Palestin dijajah pula oleh Zionis Yahudi selepas Perang Dunia Kedua, dengan lesen merompak dan membunuh oleh Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kuasa veto Kuasa-Kuasa Besar yang menjadi anggota tetapnya.

Terkini dilaksanakan perancangan merampas Masjid Al-Aqsa dan meyahudikan bandar sucinya. Mutakhirnya satu usul dibawa ke Kaniset (Parlimen Israel) undang-undang bagi menutup masjid-masjid bermula dengan membatalkan kegiatannya termasuk khutbah dan pengajian di-atas nama menentang keganasan.

Rasulullah SAW telah berjanji dengan sabdanya; “akan muncul satu kumpulan manusia yang bangkit menegakkan kebenaran, mereka tidak mampu ditundukkan oleh orang-orang yang mengecewakan mereka sehingga Allah menentukan kemenangan kepada mereka." Para sahabat RA bertanya; "siapakah kumpulan itu wahai Rasulullah?" Jawabnya; "mereka ialah penduduk Bait Al-Maqdis dan sekitar Bait Al-Maqdis." ((Riwayat Imam Ahmad)

Sejarah merakamkan apabila Negara Haram Israel diisytiharkan mengikut jadual perjanjian Sykes-Picot, berikutnya ditubuhkan negara-negara arab yang dibahagikan kepada pemimpin yang menyokong kuasa besar menjatuhkan Khilafah Uthmaniyyah di atas semangat masing-masing. Sama ada nasionalisme Arab atau Sunnah Wahabi Salafi yang menentang Sunni yang tidak semazhab termasuk Turki Uthmaniyyah, begitu juga Shah, Iran bermazhab Syiah dan Raja Yaman bermazhab Zaidiyyah.

Maka kini kalangan negara itu manyambut hari kebangsaan masing-masing kerana berjaya menghalau Turki Uthmaniyyah yang dianggap penjajah dengan sokongan Kuasa Besar Timur dan Barat yang dianggap sahabat karib, berbeza dengan hari kebangsaan kita di sini kerana bersempana keluarnya penjajah British dan Belanda.

Di tengah kegembiraan mendapat takhta dan kuasa dengan perlindungan pengkalan tentera negara besar yang bertapak di negeri masing-masing sehingga hari ini, tiba-tiba Negara Israel diisytiharkan tahun 1948 secara haram dan ganas.

Kumpulan Islam dan beberapa kumpulan nasionalis bangkit berperang menentang penubuhan Negara Israel di masa itu di atas nama Islam tanpa mengira bangsa dan mazhab, melaksanakan hasil pertemuan bersejarah di antara Jamaluddin Al-Afghani dan Muhammad Abduh di awal abad yang lalu dan di antara Imam Hasan Al-Banna dan Imam Khumaini yang masih muda ditahun 1938.

Hasilnya tercetus kesedaran menentang penubuhan Negara Israel, walaupun hilangnya Khilafah, namun kebangkitan ini dikecewakan oleh negara arab dan Islam yang bersekongkol dengan kuasa besar.

Banyak pemimpin menentang penubuhan Israel ditahan di negeri masing-masing kerana bersama perjuangan Palastin bahkan ada yang dibunuh, seperti Hasan Al-Banna daripada gerakan Ikhwan Muslimin Mesir (1949) dan Nawwab Safawi daripada gerakan Fidayyan Islam di Iran (1955) dan lain-lain, namun perjuangan Palastin gagal dipadamkan walaunpun memakan zaman beberapa dekad dan bersenjatakan batu dan tangan.

Kini kita berada dalam era kebangkitan Islam yang sangat dibimbangi oleh semua kuasa besar dunia yang terus bermusuh terhadap Islam yang mendaulatkan negara, bersamanya berlaku Intifadah di Palestin yang gagal dipadamkan.

Revolusi Islam di Iran yang tidak dijangka, kejayaan Mujahidin Afghanistan menghalau Tentera Soviet, serta kemaraan parti berteraskan Islam di beberapa negara yang agak bebas.

Kuasa Besar yang semuanya bersekongkol menubuhkan Negara haram Israel tidak senang dengan semua perubahan kepada Islam tanpa mengira mazhabnya, termasuk yang bersikap menentang Israel tanpa mengira ideologinya.

Maka Barat mengisytiharkan Order Baru Dunia dan Globalisasi merempuh sempadan selepas gagalnya blok Komunis dan Sosialis dengan berkecainya Negara Besar Soviet setelah kalah di Afghanistan, serta muncul semula cahaya Islam.

Islam tetap menjadi sasaran, maka diisytiharkan isu Islamofobia, namun, Negara Islam yang telah merdeka daripada kuasa penjajah masih meneruskan agenda penjajah selepas kemerdekaan mengikut agenda Islamofobianya. Maka masalah dalaman tanahair umat Islam gagal diatasi, namun Islam juga disalahkan.

Islam telah berjaya memerintah masyarakat majmuk dengan aman lebih daripada seribu tahun. Pemerintah yang adil dan penyelesaian perbezaan mazhab dengan ilmu dan kebijaksanaan oleh para ulama telah berjaya menyatukan umat.

Mazhab Salaf dan Khalaf sudah wujud dalam aspek aqidah, juga Mazhab Fiqh Sunni, Syiah dan Khawarij kerana politik dalaman umat juga sudah lama bertapak, di samping Tareqat Sufi berbagai nama. Kezaliman dan krisis dalaman umat diselesaikan di atas konsep kesatuan umat, dengan sabar dan ilmu tanpa campur tangan asing.

Pihak kuasa besar di zaman kini tiba-tiba berjaya melagakan umat Islam dengan mencetuskan peperangan secara wakalah (proksi) dengan mengambil peluang daripada pemerintahan kuku besi yang zalim di negeri-negeri yang menindas dengan perlindungan mereka juga, dengan mengumpan golongan yang menentang kerajaan termasuk bantuan senjata bagi melahirkan kalangan pelampau di atas nama Islam dan jihad tanpa feqah dan siyasah syariyyah.

Sebenarnya, supaya menimbulkan kekacauan di atas nama Jihad atau Demokrasi atau hak rakyat yang adil dalam masa yang sama mempertahankan kerajaan yang sah. Ucapannya sangat baik tetapi tujuannya sangat jahat terhadap Islam dan penganutnya yang sebenar.

Kini apa yang berlaku di Mesir, Syria, Yaman, Arab Saudi, Bahrain dan lain-lain, hukuman terhadap beberapa yang dituduh, termasuk tokoh-tokoh ulamak dan rakyat tanpa mengira mazhabnya, masih ramai lagi dalam penjara.

Adalah agenda musuh Islam, menggunakan slogan yang zahirnya benar dan manis, tetapi niat yang salah dan jahat, tujuannya yang sebenar ialah menyelamatkan Israel dan pengaruh kuasa besar yang bertapak di rantau itu, dengan menggalakkan isu yang kecil dibakar menjadi api fitnah yang besar. Tujuannya laksana mencurah petrol ke atas api fitnah yang sengaja di-wujudkan.

Saya tetap berpegang dengan Mazhab Ahli Al-Sunni Wa Al Jamaah dengan keimanan, ilmu dan keyakinan, namun kita diajar tidak mudah mentakfirkan dan menyesatkan mana-mana ahli kiblat yang satu yang berlainan mazhab, walau pun qaulnya terlalu lemah dan ditolak oleh Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah, namun dasar dan rukunnya masih bersamaan.

Majmak Fiqh OIC di Jeddah dan Majmak Buhus Al-Azhar Mesir telah menyenaraikan lapan Mazhab dan beberapa yang lain adalah golongan Ahli Al-Qiblah, sehingga semuanya datang ke-Makkah tanpa halangan. Majmak Buhus Islamiyyah di Mesir mengeluarkan Enseklopedia Fiqh lapan mazhab Ahli Al-Qiblah. Maka sangat malang kalau fatwanya terkini mengikut arus kuasa besar Timur dan Barat yang mempermainkan para ulama kita, kerana dipergunakan oleh kerajaan yang bertawakal kepada perlindungan Nato bukannya pertolongan Allah.

Saya menyaksikan dalam hidup saya di negara arab, bagaimana para Jamaah haji bermazhab Syiah daripada Iran, Lubnan, Yamen dan yang lain, di zaman Shah berkuasa di Iran, ketika berhubungan diplomatik yang kukuh dengan negara Israel, di masa itu Iran yang penuh dengan pelacuran, judi, arak dan segala maksiat yang bebas juga bagi jiran arabnya, para jamaah hajinya pula bersembahyang berasingan tanpa mengikut Imam Masjid Makkah dan Madinah, betapa ulama di masa itu tetap menerima Zaidiyyah dan Imamiyyah, Wahabiyyah dan tidak Wahabiyyah adalah kalangan umat Islam.

Tetapi selepas Revolusi yang dipimpin oleh Imam Khumaini kerana mazhabnya Syiah, bersikap berani terus memutuskan hubungan dengan Negara Israel dan mengisytiharkannya negara haram, negaranya mengharamkan segala kelucahan, sehingga pelancung wanita barat diwajibkan berpakaian sopan, judi, arak dan pelacurannya dimusnahkan, perkara yang tidak khilaf daripada semua mazhab.

Para jamaah hajinya diarahkan sembahyang bersama satu imam sahaja, tiba-tiba fatwa-fatwa mengikut arahan kenyataan Bush, Obama dan John Kerry, mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel, di arah supaya sunni menyerang syiah habis-habisan dan syiah menyerang sunni, atau sesama mazhab kerana berbeza kebangsaannya, tanpa hujah ilmu yang bijak dengan meletakkan semuanya dalam satu bakul.

Isu Takfir dan menyesat dalam satu umat menjadi sumbu fitnah. Tanpa dinafikan adanya kelakuan murtad di kalangan umat, tetapi Islam menyelesaikannya secara keluarga dalam satu umat dan ilmu dengan konsep menyelamat aqidah secara bijak, termasuk yang murtad kerana kejahilan sendiri dan tipu daya musuh.

Lebih malang lagi berdakwah mazhab dalam satu umat, apabila dihidupkan paksaan sunnah mazhab Wahabi di kalangan sunni yang lain atau bertempur syiah dan sunni dalam satu umat, padahal kita tidak diizinkan memaksa orang bukan Islam menganut Islam, tidak dibenarkan memusnahkan gereja dan membunuh paderi dan sami, kerana konsep tiada paksaan dalam agama, mengapa berperang kerana mazhab dan kaum?

Saatnya pula, intifadah di-Palestin menentang pelampau Yahudi sedang bermaharaja gila meroboh rumah rakyat Palastin untuk penempatan Yahudi dan melaksanakan perancangan meroboh Masjid Aqsa bagi diganti dengan Haikal Sulaman (Kuil Besar Yahudi). Negara-negara jiran yang menepuk dada semangat arabnya terus mengecewakan Palastin dan masih banyak berhubungan secara langsung atau berselindung dengan Negara Israel (diplomatik, perdagangan, pelancongan dan yang lain) Bakhil menderma kepada Palestin, pengecut menghadapi Zionis, melakukan pula dengan harta kekayaanya, perkara yang diberi amaran oleh Rasulullah SAW; “kamu akan menyaksikan mereka yang berkaki ayam, bertelanjang, dahulunya papa kedana, gembala-gembala unta dan kambing, tiba-tiba berlumba-lumba mendirikan bangunan-bangunan tinggi." Ditambah bangunan tinggi dan budaya barat.

Percayalah bahawa Israel dan sekutunya tetap berperang dengan sesiapa sahaja yang tidak mengiktirafnya tanpa mengira mazhab Sunni atau Syiah dan Wahabiyyah atau Asyairah/Maturidiyyah tanpa mengira ideologi kanan atau kiri. Mereka akan mengekalkan Negara Islam dan Parti Islam tanpa cita-cita pelaksanaan Islamnya dan berpolisi mengiktiraf Israel atau bermujamalah dengannya.

Perkara-perkara yang menakjubkan ialah negara serantau khususnya negara-negara Arab sedang menggali kubur sendiri mengikut pelan yang dilakar dan diatur oleh kuasa bekas penjajah, menghidup atau menyuburkan semula krisis mazhab, kaum, kabilah dan ideologi asing. Tujuannya, menubuhkan negara baru mengikut pecahan mazhab Sunni dan Syiah, Arab, Kurdis dan Turkuman, mengikut pengaruh Timur dan Barat tanpa Islamnya.

Bersedia membina gagasan ketenteraan untuk berperang sesama sendiri bukannya menghadapi ancaman Israel dan sebaliknya menguatkan kuasa besar dengan sumber tenaga kurnia Allah dengan wang sekadar jaminan negara yang dianggap berkuasa besar, menjaga harta dan takhta tanpa jati diri bersama Islam. Bahkan sebarang perubahan kepada Islam dikira ancaman dan bahaya, maka Arab Spring tidak berbuah masak atau dicantas putiknya sebelum masak, pesertanya dibunuh, diburu, disumbat kedalam penjara.

Sepatutnya mereka bersatu di atas perkara yang sama, dalam perkara rukun agama, politik dan ekonomi yang tidak berbeza. Adapun dalam perkara yang berbeza berbincang secara ilmu di kalangan ahlinya dengan adab-adab ikhtilaf yang menyatukan umat walau pun adanya perbezaan di antara satu sama lain. Segala-galanya boleh dilakukan apabila kembali kepada Islam. Sangat tidak patut menerima jaminan Naib Presiden Amerika Syarikat John Baiden bahawa Amerika akan membatu Turki dan Arab bagi menentang Syiah.

Khalifah Umar Al-Khattab RA pernah menegaskan:

"Kita adalah Umat yang diperkasakan oleh Allah bersama Islam, sekiranya kita mencari kekuatan dengan cara yang lain daripada Islam nescaya kita dihukum oleh Allah menjadi hina."

Sepatutnya OIC berperanan membina kekuatan Islam serantau dan sedunia dan para ulamanya menyatukan umat dengan ilmu dan hujjah yang adil yang kaya bersama Islam yang sumber asasinya tetap dipelihara Allah.

Tegakkan Islam yang menyatukan bangsa dan umat semuanya selamat, tetap tidak selamat dengan menegakkan semangat kebangsaan atau mazhab dan ideologi tanpa Islamnya menghilangkan jati diri bangsa dan memusnahkannya.

Maka sepatutnya Arab, Iran dan Turki bersatu bersama Islam menjadi barisan hadapan kepada seluruh umat Islam, menghadapi Israel dan semua kuasa besar di belakangnya. Malangnya dilagakan untuk menghancur diri sendiri, sehingga perjuangan Palestin dibiarkan bersendirian.

"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
13 Jamadil Awal 1437H / 22 Februari 2016
- HARAKAHDAILY 22/2/2016


IKLAN PRODUK


Monday, February 15, 2016

Apa Masalahnya Dr Harun Din Dilantik Kluster Dakwah ?.

Ust. Hj Idris Hj Ahmad
15/2/16
Kenapa kalut sangat apabila tokoh ulama PAS berada di dalam Majlis Perundingan Islam yang dipengerusi oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi? Adakah dijemput atas surat Setiausaha Agung Umno?
Bukan perkara baru Datuk Dr Haron Din menganggotai jawatankuasa kerajaan. Walaupun menjadi calon PAS dan Ahli Majlis Syura beliau pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Perlis. Adakah satu penghinaan, sedangkan yang menjadi Pengerusi Majlis Fatwa Negeri ialah Mufti.
Walaupun beliau pemimpin PAS tetapi beliau lebih dilihat seorang ilmuan agama yang dihormati daripada kawan dan lawan. Beliau seorang yang cukup dihormati juga dalam kalangan istana. Ramai tokoh-tokoh korporat rapat dengan beliau sejak dahulu hingga sekarang. Mungkin ini pendekatan beliau dalam berdakwah, yang pemimpin PAS tidak boleh lakukan.
Pelik juga orang yang menuduh macam-macam kepada beliau, kerana rapat dengan orang atasan. Adakah salah? Adakah beliau tidak berkawan dengan ahli PAS bawahan dan rakyat biasa? Adakah beliau tidak menerima jemputan orang ramai untuk menyampaikan kuliah?
Berapa banyak sumbangan beliau kepada masyarakat awam melalui perubatan syifa'. Adakah salah? Mereka yang fitnah beliau, berapa ramai pula masyarakat bertemu dengan mereka untuk berdoa kepada Allah supaya menyembuh penyakit.
Saya pun pelik mereka marah kepada PAS apabila ada dalam kalangan pemimpin PAS menerima jemputan kerajaan, bukan parti. Ketika Tuan Guru Presiden PAS hadir dalam Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 bercakap benar dan menasihat pemimpin negara, bukan minta projek. Dituduh pula sudah bersama Umno, kerana baju sedondon.
PAS dituduh berfikiran IS dan radikal. Tetapi apabila PAS menyertai program anjuran kerajaan dituduh mengukuhkan Umno.
Kalau Pas ini IS, sudah tentu PAS tidak akan hadir dalam program kerajaan. Bukankah PAS mengambil pendekatan "muwajahah silmiah" untuk menggunakan pelbagai platform untuk menarik sokongan. Ada dalam kalangan ahli PAS bersama NGO, PIBG, persatuan penduduk, AJK masjid, AJK surau, AJK Badan Kebajikan di pejabat kerajaan. Semuanya berperanan, walaupun jawatankuasa tersebut bercampur dengan ahli Umno. Apa yang penting pengaruh dakwah dan fikrah perjuangan dapat disampaikan.
Mana-mana ahli PAS yang berada di mana-mana posisi kena berperanan, syaratnya jangan masuk Umno. Sekolah PAS turut mengambil aliran perdana sebagai silibus pengajian adakah bererti PAS mengukuhkan Umno. Berapa ramai di kalangan orang PAS yang memegang jawatan di dalam peringkat kementerian, turut merangka dasar, adakah mereka boleh dituduh mengukuhkan kepimpinan Datuk Seri Najib. Tentunya tidak.
Mungkin ada yang menjawab, ini analogi yang tidak betul. Yang betulnya apa? Yang betulnya kerana memang aku tidak suka individu di dalam PAS. Buatlah macam mana pun aku tidak setuju. Kalau orang yang aku setuju, hendak bekerjasama dengan Umno dan Tan Sri Muhyiddin pun tidak mengapa kononnya atas alasan Selamatkan Malaysia. Hendak buat konsensus nasional pun tidak mengapa. Kalau pimpinan PAS terus dikatakan PAS sudah hendak berUG. Ini masalah hati, bukan masalah politik.

Saturday, January 25, 2014

Terkenang saat manis bersama Ustaz Harun di UK

DR RAJA AHMAD ISKANDAR AL-HISS
 
Ustaz Harun Taib nama yang sering menjadi sebutan oleh ahli PAS. Pandangan pedas dan tegas. Saya mula mengenali ayahanda Ustaz Harun secara dekat sejak mula bertugas sebagai Pegawai di Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) pada tahun 1998. (Penulis berbaju batik)

Rata-rata orang ramai apabila disebut nama Ustaz Harun Taib seperti menikus kecuakan. Mungkin dari raut wajah dan pakaiannya kelihatan seperti seorang yang garang. Tapi itu adalah persepsi sahaja bagi siapa yang tidak mengenalinya.

Ketika itu kebanyakan kami petugas di pejabat DPPP menjadikan konsep “pejabatku rumahku”. Maka sememangnya segalanya di Markaz PAS Taman Melewar. Pejabat DPPP terletak di tingkat atas manakala Pejabat Dewan Ulama Pas pula terletak tingkat bawah. Selalunya almarhum Ustaz Harun akan bermalam di pejabat DUPP setiap kali selepas mesyuarat DUPP atau Jawatankuasa Harian PAS Pusat. Maka tiap kali almarhum tidur di pejabat, maka menjadi kelaziman kami akan diajak  makan tengah malam. Faiz Nawi, Fadli Ghani dan Yusapiza adalah ahli minum malam tetap bersama almarhum. Wajah garang yang sering diwar-warkan tidak langsung terbit apabila kami bersama. Banyak sangat perkara kami berkongsi tatkala keluar minum malam.

Apabila Allah beri kemenangan kepada PAS memerintah Terengganu, ayahanda Ustaz Harun dilantik menjadi Exco Pendidikan dan Dakwah Kerajaan Terengganu dibawah pimpinan Menteri Besar, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Tatkala itu saya merasakan mungkin suasana akan berubah, almaklumlah almarhum sudah menjadi Exco Kerajaan Negeri, kereta Mercedes model lama berlampu petak bertukar kepada kereta Mercedes masterpiece Exco, tetapi ternyata sangkaan saya dan sahabat meleset apabila masih mendapat panggilan telefon beliau mengajak kami untuk minum malam bersamanya. Banyak perkara kami kongsi terutama pandangan saya sebagai petugas parti terhadap kerajaan Terengganu yang almarhum sebagai salah seorang Exconya. Saya antara yang sering berkomunikasi dengannya, mungkin kerana atas sifat saya sebagai Setiausaha Politik Ketua Pemuda ketika itu.

Tahun 2003, saya mengambil keputusan untuk meneruskan pelajaran saya ke peringkat PhD ke Manchester. Antara pimpinan yang menghubungi saya menyokong hasrat itu adalah Ustaz Harun. Beliau juga berhasrat untuk menghantar anaknya sendiri ke United Kingdom bagi menimba ilmu di sana.

Setelah saya berada di bumi UK hampir 5 bulan. Tiba-tiba telefon saya berdering, terpapar nombor tidak dikenali dari Malaysia. Apabila saya jawab," Assalamualaikum Raja, Harun ni." Saya pelik.. ish sapa pulak Harun ni, jawab saya, " Harun mana ni", barulah dia balas Ustaz Harun. Malu rasanya bila tak kenal suaranya. Tapi itulah Ustaz Harun tidak pernah memperkenalkan diri dengan gelaran Datuk atau Ustaz kepada sesiapa yang dijumpainya. Panggilan telefon tadi rupanya nak memaklumkan kepada saya bahawa dia nak hantar sejumlah pelajar anak Terengganu bagi melanjutkan pelajaran ke United Kingdom. Pesannya pada saya, tolong tengok-tengokkan mereka setibanya di UK.

Sepanjang saya di UK, rumah saya adalah antara rumah persinggahan tetap pimpinan PAS. Antara yang sering dan wajib singgah adalah Ustaz Harun sendiri. Nasi lemak ayam masakan isteri saya antara kegemarannya. Kambing panggang antara makanan kegemarannya juga yakni saya selalu membawanya ke kedai kebab Pakistan di Cheetham Hill.

Setiap kali Ustaz Harun bertandang ke UK, sudah pasti kami menganjurkan program bersamanya. Jika tempohnya kehadirannya lama, maka program tamrin kami aturkan untuk dikongsi dengannya.

Saya antara yang gembira jika Ustaz Harun datang menziarahi anak-anaknya di UK. Pernah sekali Ustaz Harun meluangkan masanya selama 6 jam bermula 8 malam hingga 2 pagi ketika musim sejuk berdiskusi dan bertukar pandangan dengannya. Hanya saya dan dia tanpa gangguan di rumah anaknya di Wigan kira kira 40 minit perjalanan dari Manchester. Begitu juga ketika Ustaz Harun menziarahi anaknya di Birmingham pada musim bunga. Saya tak lepaskan peluang bertemu dengannya bagi mendapat isu terkini dan penjelasan isu semasa terutama selepas PRU12.

Selepas saya pulang ke tanah air. Antara pimpinan yang saya hubungi  sudah pastinya ustaz Harun Taib. Seperti biasa, nasihat dan pandangan dihembuskan kepada telinga saya sebagai kekuatan penerus perjuangan. Selepas dipilih dalam muktamar 2009 sebagai Exco dan ditaklifkan sebagai Exco Antarabangsa DPPP. Ustaz Harun adalah salah seorang guru antarabangsaku, Ustaz Harun antara yang disegani oleh dunia islam. Gerakan Ikhwan Mesir terutamanya memanggilnya Maulana Harun Tayyib sebagai menghormati ilmu dan kepimpinannya. Tatkala beliau ke UK, saya antara yang mengiringi beliau dalam pertemuan dengan pihak luar.

Semasa menjadi Naib Ketua Pemuda Pusat, Ustaz Harun sering menghubungi saya bagi mendapatkan penjelasan bagi beberapa tindakan saya terutama isu DAP. Begitu juga selepas muktamar baru ni, Ustaz Harun antara yang sering menasihati saya agar terus istiqamah. Kali terakhir saya bertemu ayahanda ustaz Harun ketika mesyuarat PAS Pusat bulan Januari di KUIZM dan itulah kali terakhir tangannya ku cium. Semoga ciuman terakhirku menjadi azimat perjuanganku. Selamat jalan ayahandaku. Moga Allah tempatkan ayahanda ustaz Harun dikalangan yang terpilih.

AL-FATIHAH...

Penulis adalah Penolong Setiausaha Agung PAS merangkap Ketua Dewan Pemuda PAS Perak.

Iklan Berbayar - SMS 013 929 9944 ( RM50.00 Sebulan )

-
-