Ads 468x60px

-

Monday, May 13, 2013

Jawatan Pesuruhjaya PAS Kedah tugas berat - Mahfuz


Harakahdaily,13 Mei 2013

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menyifatkan perlantikannya sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah yang baru adalah satu tanggungjawab berat yang harus beliau pikul.

Mahfuz berkata, biarpun masih terkejut dengan keputusan yang dibuat oleh PAS Pusat semalam itu, beliau sedia memikul amanah itu walaupun dengan berat hati.

"Ini satu satu tanggungjawab sangat berat bagi saya, apatah lagi amanah ini deberikan kepada saya di saat PAS Kedah hilang kerajaan negeri, dan pada masa yang sama (bekas) Pesuruhjaya Datuk Seri Ustaz Azizan mengalami masalah kesihatan, " katanya kepada Harakahdaily.

Menurut Mahfuz, adalah satu tugas besar baginya untuk memastikan PAS Kedah memimpin semula politik di negeri itu seperti kedudukan sebelum ini.

Hasrat itu katanya adalah mustahil untuk dicapai jika tidak mendapat sokongan dan dokongan dari PAS di semua peringkat.

"Tugas utama saya adalah untuk mengembalikan semula PAS negeri Kedah memimpin politik negeri ini.

"Sebab itu saya harap bantuan dan dokongan dari Presiden PAS dan juga rakan-rakan ahli jawatankuasa PAS Pusat yang lain.

"Pada masa sama saya juga mengharapkan sokongan dan bantuan dari semua pimpinan dan ahli PAS di semua peringkat negeri Kedah termasuk rakan dari Pakatan Rakyat," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi.

Sebagai langkah awal, beliau mahu memberi fokus kepada memperkukuh tautan ukhwah dikalangan ahli dan kepimpinan di semua peringkat di negeri itu.

"Saya mengharapkan semua pihak mengamalkan politik jujur dan politik ikhlas jika kita benar-benar mahu memperbaiki keadaan ini," katanya.

Sementara itu, Mahfuz juga memaklumkan bahawa satu mesyuarat khas PAS negeri Kedah akan diadakan Sabtu ini.

Selain membincangkan isu-isu dalaman parti, mesyuarat itu juga menurut Mahfuz akan meneliti punca kekalahan kerusi-kerusi yang ditandingi PAS sehingga jatuhnya kerajaan negeri Kedah pada PRU13 lalu.

No comments:

Post a Comment

Iklan Berbayar - SMS 013 929 9944 ( RM50.00 Sebulan )

-
-