Harakahdaily,
30 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)
menyanjung tinggi keberanian anak-anak muda dalam mempertahankan
kebenaran meskipun mereka berdepan dengan risiko ditangkap dan
dipenjarakan.
Naib Ketua DPPM Dr Raja Ahmad Al Hiss berkata,
keengganan Safwan Anang untuk diikat jamin sebanyak RM 5,000 membuka
mata semua pihak bahawa beliau adalah simbol rakyat yang dizalimi.
"Beliau
juga menunjukkan suatu sikap seriusnya anak muda dalam memperjuangkan
demokrasi yang kian nazak di negara ini," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Raja, kebangkitan anak-anak muda seperti Safwan Anang dan Adam Adli merupakan suatu fenomena luar biasa di negara ini.
Di
negara lain, adalah menjadi suatu tanda yang besar sekiranya mahasiswa
serta anak muda sudah mula berani turun berhimpun, ia menandakan zaman
gelap kepada pemerintah dan permulaan cerah untuk pembebasan bagi rakyat
yang cintakan keamanan, kedamaian dan demokrasi yang sebenar.
Tambahnya,
menjadi suatu hikmah yang besar pasca PRU ke 13 apabila anak-anak muda
mempunyai kesedaran intelektual yang tinggi dalam berpolitik.
"Anak-anak
muda kini tidak lagi hanya memikirkan keseronokan dan kehidupan mereka
semata-mata, sebaliknya mereka bangkit menuntut hak mereka yang ‘dicuri’
ekoran penipuan yang berlaku dalam PRU ke 13.
"Anak-anak muda
kini sudah mula bercakap soal ketelusan, kejujuran dan kerajaan yang
beramanah dalam memimpin negara," jelasnya lagi.
Raja berkata,
penangkapan Adam Adli dan Safwan Anang adalah titik tolak kebangkitan
anak-anak muda dan kerajaan tidak boleh menganggap penangkapan mahupun
pemenjaraan ikon mahasiswa ini boleh mendiamkan mulut ratusan ribu
anak-anak muda.
"Justeru, sebagai tanda solidariti kepada
perjuangan anak-anak muda ini, DPPM dengan ini menawarkan untuk
menanggung kos guaman buat Safwan Anang dan Adam Adli sepanjang kes
beliau di mahkamah.
"DPPM juga bersedia membantu dengan
membekalkan peguam dari Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia
(JUHAM) bagi membela anak muda yang ditangkap, didakwa dan dijatuhkan
hukuman oleh mahkamah," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Iklan Berbayar - SMS 013 929 9944 ( RM50.00 Sebulan )
-
-
No comments:
Post a Comment