Ads 468x60px

-

Tuesday, May 7, 2013

PR tetap tambah kerusi, kuatkan suara di Parlimen

Wan Nordin Wan Yaacob,
07 Mei 2013

Meskipun ramai yang masih bersedih dengan kegagalan Pakatan Rakyat menawan Kerajaan Persekutuan, namun kesedihan itu seharusnya tidak terkubur dengan alasan-alasan yang bersifat 'pengulangan'.

Benar terdapat usaha penipuan dan penyelewengan yang mungkin sekali berlaku di beberapa tempat, namun tidak semua kawasan sebenarnya berlaku demikian.

Pada asasnya, Pakatan Rakyat tetap menang secara moralnya di peringkat persekutuan apabila berjaya mengurangkan lagi majoriti mudah BN yang dahulu 140 kerusi, dan kini merosot kepada 133 kerusi Parlimen sahaja.

Bermakna, Pakatan Rakyat berjaya menambah 7 kerusi lagi, cuma hilang di kerusi yang tidak disangka akan mengalami kekalahan antaranya Kulim Bandar Baharu, Machang, Tanah Merah, Jerai, Baling, Sik, Bagan Serai, Kuala Selangor dan beberapa yang lain.

Sementara PAS sendiri sebenarnya walaupun gagal mempertanankan Kedah atas alasan tertentu, namun telah berjaya meningkatkan prestasi yang amat memberansangkan apabila menang dan menambah kerusi di Selangor kepada 15 dan menjadi 'pengemudi' bersama DAP (15) dan diikuti KeADILan 14 kerusi.

Tanpa disedari, PAS berjaya melahirkan anak sulong di Melaka dengan Dr Mohd Khalid Rahmat menang di Dun Bukit Baru walaupun PAS kehilangan Dun Paroi di Negeri Sembilan.

Sementara kejayaan luar jangka PAS di Terengganu yang hampir dapat menewaskan BN dengan kekuranga  hanya 2 kerusi adalah satu pencapaian yang amat membanggakan.

Jika sebelum PRU13, Terengganu hanya mensasarkan antara 12 kerusi sahaja yang mampu di menangi, namun kejayaan menawan 15 kerusi Dun adalah suatu yang luar biasa.

Kejayaan PAS menang di Temerloh melalui Ketua Pemudanya, Ustaz Nasrudin Hassan@Tantawi disifatkan oleh beberapa penganalisis politik antaranya Pensyarah USM, Dr Sivamurugan Pandian sebagai suatu yang luar jangka membuka ruang yang lebih besar kepada PAS dalam merangka pelan pada masa akan datang untuk melihat lapang sasar yang mungkin tidak terduga sebelum ini.

Peningkatan kemenangan PAS di Johor dimana menambah dua kerusi Dun kepada empat (baru menang Kota Puteri, Parit Yaani) (sebelum ini Sungai Abong dan Maharani) membuka mata rakyat, Johor bisa sahaja menjadi tapak kepada PAS untuk mengintai peluang menerajui gerbang selatan itu dalam beberapa PRU selepas ini.

Biarpun Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub tewas di Nusajaya dan Parlimen Pulai, namun kejayaan menempa undi yang lebih besar harus dilihat sebagai satu kejayaan juga.

Berbalik kepada kejayaan Nasrudin di Temerloh menewaskan Dato' Saifuddin Abdullah, ia bukanlah suatu yang mudah, kerana Nasrudin dilihat sebelum ini sebagai calon 'underdog'.

Dengan status underdog, beliau akhirnya berjaya mendapat kepercayaan pengundi di Temerloh dan merentasi sifat pengundian 'perkauman' apabila undi kaum Cina juga diberikan kepada Ketua Pemuda PAS ini.

Menjengah pula kejayaan beberapa nama baharu dalam PAS, antaranya Dr Khairudin Aman Razali (Parlimen Kuala Nerus); Dr Marzukh Shaary (Bachok); Raja Kamarul Bahrin (Kuala Terengganu) ; Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz dan beberapa nama lain  memberi satu gambaran baharu bahawa 'tokoh' yang belum diberi peluang bertanding bisa sahaja melakar kejutan dalam memberi kemenangan kepada PAS.

Sementara di peringkat BN pula, Pengerusi BN, Dato' Seri Najib Razak pagi terpaksa berdepan pula dengam cabaran mendapatkan semula taburan undi yang mempunyai jurang antara desa dan kota dan kelas (kedudukan taraf).

Najib juga berkemungkinan berdepan dengan gelombang di peringkat akar umbi Umno yang barangkali mahukan perubahan dalaman lebih-lebih lagi memegang kata-kata bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad jika Najib gagal mendapat mandat 2/3, bermakna Najib kalah.

Selain itu, Najib kini berhadapan dengan masyarakat umum yang pelbagai sifatnya termasuk mentaliti mahukan wang, habuan segera, perubahan dasar dan juga kematangan kerajaan berdepan dengan situasi sukar.

Najib hanya mempertahankan pemerintahan yang lebih buruk prestasinya berbanding Tun Abdulla Ahmad Badawi dengan sentimen undi Melayu.

Di sesetengah kawasan khasnya Selangor, kematangan pengundi Melayu telah menyebabkan Umno-BN semakin tidak diterima dan susut kepada 12 kerusi sahaja.

Secara keseluruhannya, Pakatan Rakyat sebenarnya telah menang undi popular yang menunjukkan sokongan terhadap kempen mereka yang menolak rasuah, dasar yang lebih mesra rakyat khasnya golongan di bandar dan juga pertarungan untuk menguasai Putrajaya.

Begitupun, hanya kerana undi Melayu menjadi penyelamat kepada Umno khasnya apabila mereka berjaya mendapatkan semula Kedah dengan majoriti yang lebih selesa walaupun bukan 2/3.

Cuaca politik Malaysia selepas ini bakal menarik dengan taburan kemenangan yang tidak samarata antara parti dalam BN mahupun Pakatan Rakyat.

No comments:

Post a Comment

Iklan Berbayar - SMS 013 929 9944 ( RM50.00 Sebulan )

-
-