Ads 468x60px

-

Sunday, May 5, 2013

Saya terharu pengorbanan ummi - Husam



KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yakin calon PAS P.125 Putrajaya, Datuk Husam Musa, mampu menghadapi ujian getir kematian ibu hari ini, sehari sebelum PRU13.

Katanya, beliau juga berharap Husam diberi ganjaran pahala kerana kesabarannya dan menganugerahkan kemenangan untuknya.


“Datuk Husam ni memang terkenal sebagai aktivis yang tidak ada kerenah sejak zaman muda lagi.

“Mudahan dia bersabar begitu juga adik beradiknya yang lain bersabar banyak-banyak, moga Allah tempatkan allahyarham ibunya di kalangan orang yang soleh,” ujarnya.

Tuan Guru berkata demikian ketika ditemui sewaktu mengunjungi kediaman bonda Datuk Husam, di Kampung Kota, dekat sini petang tadi. (Gambar)

Sementara itu, Husam ketika ditemui mengakui kematian ibunya begitu menyedihkan apa lagi di saat akhir untuk menghadapi PRU13.

Jelasnya, sebagai anak sulung beliau begitu rapat dengan ibu, malah setiap tindak tanduk dan apa saja yang ingin dilakukan terlebih dahulu memohon restu ibu.

Ibu yang dipanggil ummi, memberi keizinan kepadanya untuk bertanding pada PRU ini di Dun Salor dan Putrajaya.

“Sebelum penamaan calon, pada 19 April lalu, saya bertemu ummi, memohon restu untuk bertanding, ummi mengizinkan.

“Saya cukup terharu di atas pengorbanan ummi untuk saya dan keluarga semua sepanjang hayatnya, moga doa restu ummi memberikan kejayaan besar untuk kita di sini, Malaysia khususnya,” ujarnya.

Hajjah Salma Idris, 72, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Kelantan ll kira-kira jam 11.55 pagi tadi.

Allahyarham meninggalkan 11 orang anak, 51 orang cucu dan seorang cicit.

Jenazahnya dikebumikan malam ini di Tanah Perkuburan Islam Kota yang kebetulan di hadapan kediaman allahyarham.

Turut menziarahi bonda saudara Sultan Kelantan, Tengku Salwani Sultan Yahya Petra dan isteri Menteri Besar Kelantan, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.

No comments:

Post a Comment

Iklan Berbayar - SMS 013 929 9944 ( RM50.00 Sebulan )

-
-