Tuesday, May 14, 2013
Mahasiswa Terengganu menyifatkan Ahmad Said adalah seorang Menteri Besar ‘kurang akal’,
Mahasiswa Terengganu menyifatkan Ahmad Said adalah seorang Menteri Besar ‘kurang akal’, yang mentadbir urus negeri Terengganu bukan dengan pemikiran tetapi dengan perasaan.
Kenyataan Penuh:
Kami merujuk kepada kenyataan Adun Kijal yang juga Menteri Besar negeri Terengganu YAB Dato` Seri Ahmad Said yang dilaporkan akhbar dan media;
1. Kerajaan Negeri Terengganu tidak bercadang meneruskan khidmat Pegawai Pembangunan di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang Barisan Nasional (BN) kalah pada pilihan raya umum ke-13,
2. Pembangunan akan diteruskan seperti yang telah dijanjikan, namun pembinaan rumah mampu milik tidak akan dibina di kawasan DUN yang kita (BN) kalah, kita akan bina di kawasan yang dimenangi BN.
GAMIS menegaskan kenyataan seumpama itu tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang pemimpin dan ketua sebuah kerajaan. Sikap berat sebelah dan pilih kasih dalam membantu rakyat dijelmakan melalui kata-kata Ahmad Said adalah tidak bercirikan seorang pemimpin yang adil.
Oleh sebab itu, mahasiswa Terengganu menyifatkan Ahmad Said adalah seorang Menteri Besar ‘kurang akal’, yang mentadbir urus negeri Terengganu bukan dengan pemikiran tetapi dengan perasaan.
Kata-kata seumpama itu, yang ‘dihamburkan’ Ahmad sebaik usai majlis angkat sumpah dihadapan Tuanku al-Sultan, yang melantik beliayu sebagai wakil bagi ‘memayungi semua rakyat jelata’, jelas seolah-olah Ahmad Said mengengkari titah perintah Tuanku al-Sultan.
Ahmad Said juga seolah-olah ‘meludah’ ke muka-muka para pentadbir dan pegawai-pegawai perkhidmatan awam kerajaan negeri Terengganu, yang selama ini mendokong ikrar Ahmad Said sendiri untuk ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan negeri Terengganu’.
Lantaran kecewa dan terkejut dengan kehilangan tujuh kerusi, hilang majoriti 2/3 dalam Dewan Undangan Negeri (Dun), dan hampir-hampir menjadi pembangkang, perasaan untuk ‘membalas dendam’ melebihi akal pemikiran yang waras lalu beliau telah menarik semula khidmat Pegawai Pembangunan di DUN dan Parlimen, mengugut untuk menghentikan pembinaan rumah mampu milik di Dun-Dun yang BN kalah.
Mahasiswa selaku ‘anak yang baru belajar’ suka memberikan pandangan kepada Ahmad Said, sekiranya beliau terlalu sedih dan kecewa yng amat sangat pun, adalah masih tidak wajar beliau mengambil tindakan sedemikian kerana tindakan itu adalah satu ‘penderaan politik’, yang menzalimi dan menganiayai, bukan sahaja rakyatnya, bahkan dirinya sendiri. Bukan kah rakyat itu ‘denyut nadi’ pemimpin? Terputus denyutan jantung, berhentilah nadi dan tersungkurlah pemimpin!
Melihat dari kain-kain rentang dan ‘banner’ yang diangkat sekitar Bandaraya Kuala Terengganu pada hari Ahmad Said mengangkat sumpah, seharusnya YAB Menteri Besar Terengganu selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri seharusnya mengambil nasihat dari mantan Presiden Umno Tun Mahathir Muhammad, supaya berundur apabila menyedari beliau tidak diperlukan lagi!
Muhammad Raimi Bin Abdul Rauf
Pengerusi,
Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis)
Negeri Terengganu
03 Rejab, 1434/ bersamaan 13 Mei, 2013
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Iklan Berbayar - SMS 013 929 9944 ( RM50.00 Sebulan )
-
-
No comments:
Post a Comment