KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat (PR) kesal dengan
penolakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim
untuk memberikan taklimat berkaitan MH370 kepada ahli parlimen PR.
Sikap
tersebut dilihat seolah-olah Shahidan cuba berdolak-dalik untuk
mengadakan pertemuan dengan semua wakil rakyat Pakatan Rakyat.
Ahli
Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, berkata sebelum ini Shahidan
meminta wakil Pakatan mengemukakan notis untuk tujuan taklimat tersebut,
namun tidak bersedia mengadakan taklimat selepas permintaan untuk
memberi notis diberikan.
"Sebelum ini, beliau minta kami
mengemukakan notis untuk tujuan tersebut. Selepas notis dihantar, beliau
kemudiannya membalas notis tersebut dengan mengatakan kerajaan hanya
akan memberi taklimat berkaitan MH370 selepas semua jawatankuasa khas
yang dilantik selesai membuat siasatan.
"Perkara ini menimbulkan
pelbagai persoalan, apa masalah yang tidak boleh hendak bagi taklimat
kepada Pakatan, sedangkan taklimat sama diberikan kepada wakil rakyat
BN. Sedangkan banyak lagi persoalan yang tidak terjawab berkaitan krisis
tersebut," tegas beliau pada satu sidang media, di lobi parlimen, hari
ini.
Tambah Mahfuz, sekiranya kerajaan tidak mahu mengadakan
taklimat untuk wakil rakyat Pakatan secara berasingan, sepatutnya mereka
turut dipanggil ketika taklimat bersama ahli parlimen BN sebelum ini.
Ahli
Parlimen Seremban, Anthony Loke mendakwa Shahidan tidak menunaikan
janji apabila sebelum ini menyatakan kesediaan untuk mengatur taklimat
tersebut pada 8 April.
"Bagaimanapun, kami dimaklumkan melalui
surat balasan bahawa kerajaan tidak bersedia untuk memberi taklimat,
sebaliknya hanya berbuat demikian selepas jawatankuasa selesai melakukan
siasatan, selain turut menafikan kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu
berkaitan krisis tersebut," kata beliau pada sidang media yang sama.
Tegas
Anthony, taklimat ini bukan sekadar untuk mendapatkan maklumat,
sebaliknya ia boleh dijadikan platform untuk berbincang memandangkan
banyak persoalan di sebalik tragedi ini.
Dalam pada itu, beliau
turut kesal kerana tiada sebarang tanda-tanda untuk kerajaan menubuhkan
Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) biarpun esok merupakan hari terakhir
persidangan parlimen.
"Jadi, macam tiada langkah proaktif dari
kerajaan untuk menangani krisis ini. Soal sekarang, bukan soal mencari
pesawat MH370 sahaja, tetapi ia lebih dari itu, iaitu soal sistem radar
negara, imigresen dan perkara utama lain yang merupakan isu nasional,"
kata beliau.
Sebelum ini, Pakatan menuntut taklimat yang
disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atau
pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien.
Bagaimanapun, taklimat tersebut tidak dapat diadakan ekoran ketiadaan Najib dan Hishammuddin dalam negara.
Justeru,
Shahidan menggesa Pakatan mengemukakan notis untuk permohonan taklimat
bagi tarikh lain, namun selepas wakil Pakatan menyerahkan notis,
Shahidan mengatakan kerajaan hanya akan memberi taklimat selepas laporan
dari jawatankuasa yang dibentuk kerajaan selesai.