PELANCARAN PERSATUAN KEPOLISAN KOMUNITI DURIAN BURUNG: PENGHAYATAN AGAMA SEBAGAI TERAS PENYELESAIAN MASALAH.
Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT kerana pelancaran Persatuan Kepolisan Komuniti Durian Burung (PKK DB) akhirnya disempurnakan sendiri oleh Timbalan Ketua Polis Terengganu, YDH SAC Dato' Hashim Abdul Jalil dalam satu majlis yang amat besar maknanya kepada penduduk kampung Durian Burung, Kuala Terengganu.
Uniknya majlis ini berlangsung di Surau Al Ikhlas (Masjid Lama) Durian Burung dengan dihadiri oleh begitu ramai pegawai pegawai terkanan PDRM di peringkat negeri dan daerah, pimpinan masyarakat dan penduduk tanpa sempada pemisahan warna politik.
Jalan utama Durian Burung dilanda masalah rempit yang disebut oleh Dato' Hashim dalam ucapannya sebagai lokasi yang paling parah gejalanya berbanding lain lain tempat di seluruh negara.
Penduduk telah terganggu ketenteraman sekian lama. Jalanraya bagai diambil alih oleh kumpulan ini sehingga kenderaan tidak dapat bergerak. Ada yang sehingga melibatkan kes kecemasan pesakit tersekat tidak dapat dikejarkan ke hospital. Lorong lorong di perumahan juga tidak selamat lagi untuk berekreasi menolak kereta sorong anak kecil atau kanak kanak berbasikal. Bising dari malam sampai ke subuh hari. Ini berlanjutan banyak tahun.
Surau Al Ikhlas Durian Burung begitu lama begitu instrumental dalam memainkan peranan sebagai medium bagi meningkatkan kualiti hidup komuniti. Program kuliah dan ilmu merupakan proses pendidikan berterusan kepada komuniti. Merapatkan kejiranan dan silaturrahim. Berbincang tentang masalah anak anak dan soal soal kepentingan bersama.
Isu rempit mula dirancang jalan penyelesaiannya sejak tahun 2013 lagi dengan pelbagai dialog bersama penduduk yang dilaksanakan di Surau. Pada awal tahun 2014, dengan usaha bersama NGO rakyat yang proaktif Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI), kempen tangani rempit dilanjutkan ke medan terbuka mendekati anak anak muda termasuk melalui penganjuran dialog dan pertandingan futsal. Sudah lama diharapkan supaya diwujudkan hubungan dengan PDRM agar usaha dapat diselaraskan.
Mungkin atas faktor faktor tertentu, belum menjadi rezeki penduduk. PDRM dan usaha penduduk dilihat bergerak berasingan.
Sehinggalah 5 bulan lalu ekoran operasi operasi cegah rempit anjuran penduduk dengan sokongan kuat penghayatan semangat amar makruf nahi mungkar yang digerakkan oleh Surau dan NGO seperti GANTI dan GASAK (Kelab pacuan empat roda), maka inisiatif lebih serius dilakukan supaya diwujudkan hubungan dengan PDRM agar jangan pula niat baik penduduk menjadi rosak ekoran tiada panduan undang undang.
Dialog demi dialog yang dibuat bertempat di Surau Al Ikhlas bersama ahli kariah, yang turut mengambil kira kecenderungan penduduk khusus golongan muda yang menjadi tenaga penggerak sebenar yang menolak sebarang campurtangan politik oleh JKKK akhirnya merumuskan penubuhan PKK yang bernaung terus dibawah PDRM dibawah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Kepolisan Komuniti. Ternyata berbondong sukarelawan yang tegap dan berkelayakan tampil menawarkan diri.
Mereka sanggup berkawal, melakukan operasi yang mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit tanpa sebarang bantuan kewangan mana mana pihak demi ketenteraman dan kesejahteraan penduduk.
Kejayaan telah tercatat kini bila sudah masuk bulan kelima, tiada lagi gejala rempit seperti dahulu.
SAC Dato' Hashim ketika bercakap kepada wartawan memberitahu bahawa apa yang dibuat di Durian Burung melalui PKK DB telah menyelesaikan masalah rempit di seluruh Kuala Terengganu. Bukan saja rempit, kes curi, curi motorsikal, pecah rumah, malah dadah pun berkurang dengan jelas.
Kerana itu PDRM merancang mewujudkan PKK di semua daerah dengan turut mengambil model pendekatan agama melalui penglibatan surau dan masjid.
Saya sendiri selaku Pengerusi PKK DB dan pada masa yang sama menjadi AJK PAS Kawasan Kuala Terengganu melihat inilah medium di mana tenaga dan sumber yang begitu besar yang ada dalam PAS boleh digembeling dalam bentuk pendekatan yang konstruktif dalam menyelesaikan pelbagai masalah rakyat dan komuniti.
Ia juga membuka ruang merubah mentaliti dan sikap kita terhadap jentera kerajaan supaya menjadi lebih memahami, menjalin hubungan baik dan mendekati, bukannya menjauhi.
Dalam masa yang sama ia memberi kesan yang amat positif kepada PAS sendiri dengan pendekatan yang lebih mementingkan kesejahteraan rakyat, bertanggungjawab, profesional dan dilihat matang.
HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Pengarah
Jabatan Penerangan PAS Pusat
28hb November 2015
Pengarah
Jabatan Penerangan PAS Pusat
28hb November 2015