Ads 468x60px

-

Saturday, January 25, 2014

Tuan Guru Dato Harun Taib kembali ke rahmatullah

Tuan Guru Dato Harun Taib kembali ke rahmatullah

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib kembali ke rahmatullah di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada jam 12.05 tengah malam tadi.

Harakahdaily memetik Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali sebagai berkata, perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh anak Allahyarham.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri memberitahu jenazah Almarhum Ustaz Harun (kiri) dijangka disolatkan pada jam 10 pagi nanti di Markas Tarbiyah Kubang Lembik, Manir, Kuala Terengganu.

Sehubungan itu, beliau menjemput seluruh ahli PAS agar beramai-ramai hadir mendoakan kebaikan untuk almarhum.

“Moga Allah merahmati roh beliau dan meletakkan beliau bersama roh para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin,” ujarnya dalam satu kenyataan ringkas kepada Harakahdaily.

Bagi pihak Dewan Ulamak PAS Pusat dan seluruh jawatankuasanya, beliau mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga almarhum.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat dan seluruh kepimpinan PAS negeri turut mengucapkan takziah kepada keluarga almarhum, semoga bersabar dan tabah dalam menghadapi dugaan Allah tersebut.

Friday, January 24, 2014

YDSM nafi anjur lawatan MB T'ganu ke Antartika


Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) menafikan ia menganjurkan lawatan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said ke Antartika.
  
"Lawatan itu bukan anjuran YDSM, dan ia tiada kaitan dengan program yayasan," kata Setiausaha Kerja YDSM Mohd Azrul Ismail dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata yayasan itu hanya menjalankan kerja amal bagi memberi sumbangan ke arah meningkatkan taraf sosioekonomi, kesejahteraan hidup dan pendidikan rakyat, selain melakukan program penyelidikan sejarah, pembangunan seni warisan serta pemuliharaan alam sekitar negeri itu.
  
Pada 15 Januari lepas, akhbar melaporkan satu kenyataan bahawa Ahmad akan mengetuai lawatan ke Antartika selama 15 hari anjuran Kementerian Sains,
Teknologi dan Inovasi melalui inisiatif Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM).

Kenyataan itu, yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar Terengganu, menyatakan lawatan itu bertujuan membuka laluan bagi membantu kerajaan menubuhkan sebuah stesen penyelidikan bersama Instituto Antartico Chileno (INACH).
  
- Bernama

Wednesday, January 8, 2014

Mengapa PAS menentang GST?

Firman Allah:
أَمَّا السَّفِينَةُ فَكَانَتْ لِمَسَاكِينَ يَعْمَلُونَ فِي الْبَحْرِ فَأَرَدْتُ أَنْ أَعِيبَهَا وَكَانَ وَرَاءَهُمْ مَلِكٌ يَأْخُذُ كُلَّ سَفِينَةٍ غَصْبًا (79)الكهف.
Maksudnya:
Khadir berkata: “Adapun kapal (yang aku rosakkan) ini adalah kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut. Aku jadikannya rosak, kerana mereka akan melalui negeri yang Rajanya merampas setiap kapal yang tiba.”

Firman Allah:
قَالُوا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَى أَنْ تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا (94) قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا (95) آتُونِي زُبَرَ الْحَدِيدِ حَتَّى إِذَا سَاوَى بَيْنَ الصَّدَفَيْنِ قَالَ انْفُخُوا حَتَّى إِذَا جَعَلَهُ نَارًا قَالَ آتُونِي أُفْرِغْ عَلَيْهِ قِطْرًا (96(الكهف.
Maksudnya :
Mereka berkata: "Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya Kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat Engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?" (94)
Dia menjawab: "(Kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku kurniakan kepadaku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah aku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh." (95)
"Bawalah kepadaku ketul-ketul besi"; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu. Dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: "Tiuplah dengan alat-alat kamu."  Sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: "Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya." (96)

Al Quran memaparkan dalam satu surah, dua kisah benar di zaman silam, supaya diambil iktibar. Ianya merupakan kisah perbandingan di antara kerajaan yang zalim yang merampas setiap kapal yang lalu ke negerinya tanpa mengira pemiliknya kaya dan meskin, lalu nabi Khaidir merosakkan kapal kepunyaan orang-orang miskin bagi menyelamatkannya. Berbeza pula kerajaan yang adil, Rajanya seorang yang soleh dan bijak bernama Dzulqarnain, membantu kaum yang lemah, kerana kewangannya surplus,  sehingga menolak tawaran untuk membayar cukai bagi membantu mereka menghadapi pencerobohan kaum yang ganas.
sumber kewangan negara
Islam adalah membawa rahmat kepada seluruh manusia. Dalam konsep mengumpul sumber kewangan negara yang dilaksanakan dalam sistem ekonomi di peringkat masyarakat dan negara, nasional dan antara bangsa  dan inter negara-negara, Islam  menentang pengambilan kekayaan secara rakus tanpa mengira batas timbang rasa kemanusiaan. 

Dalam hal ini, Islam tetap menggalakkan kemajuan ekonomi sehingga berkemampuan untuk diri dan membantu pihak yang memerlukan bantuan. Islam juga tidak menyekat kekayaan yang diambil dengan cara yang baik dan membelanjakannya juga untuk kebaikan, dengan menetapkan sempadan dan kewajipan, serta menghalang kekayaan negara berpusing di kalangan orang-orang yang kaya dan pihak yang berkuasa. Batas halal dan haram dalam segala aspek, barangan, operasi dan akhlak dalam semua urusan, adalah sempadan dalam kegiatan ekonomi. Sistem ekonomi liberal kapitalis tidak mempunyai roh akhlak, halal – haram ini. Semua ini bertujuanuntuk menjaga kesaksamaannya dan keharmonian dalam kehidupan manusia yang bermasyarakat madani.

Dalam aspek sumber kewangan masyarakat dan negara, maka Islam mewajibkan sumber zakat secara ibadat yang menjadi rukun Islam kepada penganutnya. Para ulama juga mengizinkan percukaian dilaksanakan sekiranya sumber kewangan negara tidak mencukupi dengan  konsep yang adil  seperti zakat  juga.

Zakat diwajibkan keatas penganut Islam sehingga dimasukkan dalam rukun agama dan ibadat yangtidak boleh dibatalkan. Maka zakat tidak boleh dikenakan kepada penganut bukan Islam  kerana hak yang berbeza dalam prinsip ibadat dan konsepnya. Adapun cukai dikenakan kepada penganut bukan Islam dan penganut Islam juga dalam konsep bermasyarakat dan bernegara. Sekiranya kewangan negara mendesak maka cukai boleh ditambah; dikurang dan boleh pula dihapuskan sekiranya sudah ada sumber kewangannya mencukupi atau sebab-sebab yang lain.
golongan tidak diwajibkan zakat
Zakat terhadap penganut Islam diwajibkan kepada kalangan berkemampuan dan kaya sahaja, dimana kalangan miskin tidak diwajibkan zakat. Maka hukum Islam menetapkan kadar mewajibkannya yang dinamakan nisob. Dimana nisob ini juga dikira kadar lebihan daripada keperluan diri, keluarga dan pengurusan, dengandikecualikandaripada perkiraannya. Mereka yang berpendapatan tidak mencapainisob dikira miskin atau yang tegarnya dinamakan fakir dan tidak diwajibkan zakat. Pungutan zakat pula mengikut haul (tahunan) atau musim bagi hasil pertanian.

Maka cukai yang dikenakan bagi keperluan negara yang melibatkan rakyat supaya menyumbang, tanpa mengira agama hendaklah berpandukan konsep pungutan zakat dengan mengecualikan kalangan miskin daripada cukai dan juga tidak membebankan lebih daripada kemampuan, serta menghalang bebanan daripada kesannya seperti berlakunya inflasi.

Khalifah Umar bin Al Khattab r.a. dan Umar bin Abdul Aziz yang banyak memperkenalkan cukai yang dinamakan jizyah,kharaj dan usyur, daripada sumber kegiatan ekonomi, berpandukan kepada konsep yang tidak membebankan rakyat miskin dalam sistem zakat. Maka cukai tidak dikenakan terhadap kalangan rakyat yang pendapatannya tidak mencapai tahap selesa atau kalangan penganggur atau kalangan yang bergantung sumbangan daripada pihak lain seperti paderi dan sami atau yang berkhidmat kepada negara dan masyarakat.
cukai boleh dihapuskan
Cukai boleh dihapuskan kerana tidak berkait dengan ibadat, tidak seperti zakat yang diwajibkan dan tidak boleh dibatalkan kepada penganut Islam kerana ianya dimasukkan dalam perkara ibadat sepanjang masa. Sejarah membuktikan bagaimana cukai lebih rendah kadarnya dibandingkan dengan zakat. Penurunan dan sehingga penghapusan cukai pula berlaku tidak seperti zakat, apabila tujuan daripada pungutannya tidak ada lagi kerana hasil lain yang mencukupi atau pihak berkenaan tidak berfungsi menunaikan tanggung jawab terhadap pembayar.

Contohnya Abu ‘Ubaidah (pemerintah wilayah Syam) membatalkan cukai jizyah yang bertujuan menjaga keselamatan pihak yang membayar daripada kalangan bukan Islam, apabila beliau menghadapi ancaman pihak tentera Rom, sehingga tidak mampu menjaga keamanan pembayar, atau mereka yang terlibat bertugas menjaga keamanan dan keselamatan.Cukai juga dikurang bahkan ditiadakan apabila sumber yang lain telah mencukupi, contohnya  Khalifah Umar bin Al Khattab pernah menghapuskan Usyur (cukai perniagaan) yang dikenakan kepada barangan asasi keperluan harian rakyat di tahun kemelesetan ekonomi bagi menurunkan harganya. Adanya kalangan negara Arab yang mempunyai sumber petroleum yang banyak membatalkan beberapa cukai kerana mewarisi kesan pemerintahan Islam.

Khalifah Umar bin Al Khattab dan Umar bin Abdul Aziz adalah contoh yang paling ideal kerana memerintah di zaman paling majmuk, wilayah yang luas dan mencabar. Di antara arahan mereka adalah melarang sekeras-kerasnya mengenakan cukai tanpa kemampuan pembayarnya. Mereka menggalakkan pengurusan yang menambahkan sumber yang ada tanpa membebankan rakyat bahkan mengancam untuk memecat sesiapa sahaja yang menaikkan cukai tanpa berlaku adil dan menunjukkan tidak berkemampuan mengendalikan urusan kewangan wilayahnya yang diberi autonomi.
krisis kewangan
Terkini negara kita sedang menghadapi krisis kewangan walaupun pihak kerajaan sentiasa  menafikannya. Maka dilakukan kenaikan cukai yang telah sedia ada dan mengadakan cukai baru. Terakhir pula diperkenalkan GST, cukai  terhadap barangan dan perkhidmatan. Alasannya supaya berlaku adil dengan melibatkan semua rakyat tanpa mengira kaya dan miskin menanggung bebanan menampung keperluan negara. Pendekatan ini adalah salah tafsir terhadap prinsip keadilan, konsep dan objektifnya.

Adil mengikut takrif Islam adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya, bukannya membebankan kepada semua tanpa mengira tahap kemampuan. Sudah pasti ada kalangan yang miskin yang terbeban dengan terlalu sedikit penambahan cukai daripada barangan keperluan dan menanggung kesan inflasi juga terhadap barangan yang kononnya tidak bercukai atau dalam kawalan. Dalam masa yang sama ada segelintir kalangan yang kaya-raya dan tidak bermasalah dalam semua keadaan, mereka inilah yang sepatutnya mengambil tanggung jawab cukai tambahan.

Sepatutnya pihak kerajaan yang diamanahkan melakukan muhasabah diri secara ikhlas, terhadap ketirisan daripada sumber yang telah sedia ada dan membetulkan kesilapan yang berlaku serta berani,tegas dan telus bertindak terhadap penyelewengan, disamping melakukan islah(reformasi) sebelum transformasi. Transfomasi tanpa Islah boleh membawa keadaan yang lebih parah.

Saya tegaskan dalam ucapan bajet, bahawa ketirisan berlaku dengan sebab projek mewah sehingga meninggalkan perkara aulawiyyat (keutamaan) bagi rakyat  menyebabkan keborosan dan pembaziran. Masih berlakunya rasuah yang mencacatkan projek yang dirancang dengan baik dan menggagalkannya. Hutang bersama riba yang terpaksa dibayar daripada peruntukan negara dan bencana alam disebabkan kesalahan manusia dan lain- lain. Kebocoran ini menyebabkan defisit yang memerlukan penampungan daripada sumber kewangan tambahan. Semuanya daripada kesalahan kerajaan, bukannya rakyat.

Penyelesaiannya bukan dengan membebankan rakyat yang lemah,dengan menaikkan cukai sedia ada, mengadakan cukai baru dan kenaikan harga barangan daripada kesannya yang tidak terkawal, termasuklah bayaran tol yang sepatutnya diturun dan akhirnya dihapuskantetapi dijadikan kesempatan mengambil duit rakyat tanpa mengira kaya dan miskin.
menyekat ketirisan
Penyelesaiannya ialah menyekat ketirisan dan menghapuskannya. Bertindak terhadap sumber dan puncanya dengan berani, ikhlas dan tegas. Menampung kekurangan sementara waktu terhadap mereka yang berkemampuan sahaja dengan menukarkan bayaran rasuah untuk segelintir manusia, digantikan kenaikan cukai untuk semua rakyat. Memayungi rakyat yang lemah supaya tidak menerima tempiasnya dengan langkah yang bijak, saperti kawalan harga barangan keperluan, penurunan dan penghapusan cukai dan subsidi dengan cara yang sistematik daripada sumber kekayaan dan keuntungan pihak tertentu.

Malangnya kerajaan mengambil jalan pintas tanpa peduli rakyat. GST adalah percukaian zalim, kalau zakat dikira nisob nya, adapun GST tanpa nisob mengambil daripada sekecil-kecil barangan dan mencakar paling miskin, sehinggalah paling mahal dan paling kaya, bahkan yang kaya lebih selesa. Kalau zakat mengikut haul (tahun) dan musim, maka GST setiap hari dan saat. Kalau cukai mengikut Islam mengambil iktibar daripada zakat, maka GST mengikut selesa tanpa iktibar. Laksana lebih daripada raja yang merampas kapal yang elok, adapun yang dirosakkan tidak dirampas. Maka jauh sekali daripada menyontohi raja yang adil, Dzulkarnain yang disanjung oleh Al Quran apabila tidak menerima cukai kerana kewangannya surplus, bahkan GST adalah menyontohi raja zalim yang merampas setiap kapal.

Bughah: 8 laporan polis dibuat Pemuda PAS di T’ganu

KUALA TERENGGANU: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) dan tujuh Pemuda PAS kawasan membuat laporan polis serentak terhadap ‘fatwa’ songsang Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Bermula jam 10.30 pagi tadi, kesemua Dewan Pemuda PAS kawasan masing-masing di Terengganu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, Hulu Terengganu, Marang dan Dungun kecuali Kemaman akan dibuat pada 11 Januari ini.

Manakala, Pemuda PAS Terengganu dan Pemuda PAS Kawasan Kuala Terengganu, Kuala Nerus serta Setiu membuat leporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.

Ketuanya, Ustaz Kamaruzzaman Abdullah menyifatkan kenyataan Harussani menggelarkan rakyat yang berhimpun secara aman di ibu negara itu sebagai ‘bughah’ menyebabkan ‘saham’ mufti tersebut merudum.

Ini kerana, katanya gelaran bughah tersebut tidak menepati tiga syarat yang membolehkan hukuman tersebut dikeluarkan.

“Pertama, mesti ada kerajaan Islam. Tapi, Malaysia memang sejak dari Tunku Abdul Rahman hingga kepada Datuk Seri Najib Tun Razak keluar kenyataan Malaysia bukan Negara Islam tapi sebuah kerajaan sekular.

“Kedua, bughah itu mestilah keluar dengan bersenjata. Jadi, mereka (rakyat) yang keluar pada malam sambutan tahun baru di Dataran Merdeka itu tidak ada senjata pun yang dibawa oleh rakyat dan ini telah disahkan oleh pihak polis sendiri gambar (orang) yang cedera dan bawa parang itu bukan pada malam tersebut.

“Ketiga, pemimpin Negara Islam itu mestilah mempunyai syarat-syarat untuk (layak) sebagai khalifah. Jadi ketiga-tiga syarat itu tidak ada dan tidak layak untuk digelar ‘bughah’ oleh Mufti Perak,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis bersama tiga Dewan Pemuda PAS kawasan lain di IPD Kuala Terengganu, hari ini.

Sunday, December 22, 2013

KEPULAUAN Natuna Milik Terengganu?

KEPULAUAN Natuna adalah gugusan kepulauan yang berselerakan di tengah-tengah Laut China Selatan yang memisahkan Semenanjung Malaysia dan Sabah serta Sarawak. Ia terletak lebih kurang 450km di utara pulau Singapura. Pulau terbesar di dalam gugusan kepulauan Natuna adalah Pulau Serindit atau nama lainnya, Pulau Bunguran.
Nama antarabangsa yang diiktiraf bagi Pulau Bunguran ialah ‘Natuna’. Walaupun dikatakan terpencil, Kepulauan Natuna terletak di kawasan laluan utama perdagangan antara Asia Timur dan Asia Barat.
Kedudukan Kepulauan Natuna
Berpusatkan kota Ranai sebagai ibu negerinya, Kepulauan Natuna terdiri daripada 272 buah pulau yang terletak di barat laut Pulau Borneo. Mungkin terdapat sebahagian daripada kita yang bertanya; kenapakah kepulauan Natuna yang terletak di tengah-tengah Malaysia, bukan milik Malaysia?
Penduduk
Sehingga tahun 2010, dianggarkan penduduk di Kabupaten (Regency) Natuna adalah sebanyak 69,003 orang, yang terdiri daripada 35,741 orang lelaki dan 33,262 perempuan. Lebih kurang 85% penduduk di sana 85.27% adalah berketurunan Melayu dan selainnya adalah berketurunan Jawa, Sumatera dan Cina.
Bahasa pertuturan utama adalah Bahasa Melayu dielek negeri Terengganu dan Islam adalah agama utama penduduk di Kabupaten Natuna.
Sejarah
Sejarah Kepulauan Natuna tidak dapat dipisahkan daripada pengaruh negeri-negeri di Tanah Melayu. Pemerintahan di Natuna dikatakan bermula pada tahun 1597 yang didirikan hasil gabungan penghijrahan kaum bangsawan Patani dan Johor. Pada sekitar kurun ke-16 iaitu selepas kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka ke tangan Portugis, kerajaan Patani dan Johor muncul sebagai kuasa baru di rantau Tanah Melayu.
Kuasa dan pengaruh kesultanan Patani dikatakan lebih tertumpu di kawasan utara merangkumi negeri-negeri Terengganu, Kelantan, Menara (Narathiwat) dan Jala (Yala) sebelum dijajah Siam pada kurun ke-18. Manakala Kesultanan Johor pula menguasai kawasan selatan yang terdiri daripada negeri Pahang, sebahagian pantai timur Sumatera dan kepulauan Riau.
Susur galur pemerintahan Patani di Natuna bermula apabila salah seorang puteri berketurunan pemerintah asal Natuna bernama Puteri Wan Seri Bulan yang telah berkahwin dengan Datuk Bendahara Lingkai al-Fathani, seorang kerabat diRaja Patani. Zuriat dari pasangan ini telah menjadi Datuk Kaya yang memegang teraju pemerintahan Natuna.
Selain dari itu, antara pemerintah yang terkenal ialah Wan Muhammad al-Fathani yang berketurunan Orang Kaya Aling.
Baginda, yang juga digelar Orang Kaya Perdana Mahkota telah berhubung dengan pihak Inggeris pada tahun 1848 apabila Penguasa Tentera Inggeris bagi negeri-negeri Selat di Tanah Melayu, Leftenan Kolonel Butterworth menghadiahkan sebuah meriam tembaga atas jasa baginda memberikan bantuan kepada sebuah kapal milik pihak Inggeris yang pecah di sekitar pulau Natuna pada 25 Januari 1848.
Sorotan sejarah pemerintahan dan kependudukan awal bangsa Melayu di Natuna ini jelas menunjukkan bahawa kepulauan tersebut mempunyai hubungan yang lebih erat dengan dengan negeri-negeri di Tanah Melayu berbanding dengan kerajaan-kerajaan dari kepulauan Indonesia ataupun pihak penjajah Belanda yang berpusat di Batavia (Jakarta).
Pemerintahan Penjajah Barat Di Nusantara
Salah satu pemandangan di Kepulauan Natuna.
Kepulauan Melayu (Nusantara) adalah gugusan kepulauan yang terbesar di dunia dan Pulau Natuna terletak di kawasan ini. Sejak zaman kerajaan Srivijaya lagi, iaitu bermula dari kurun ke-7 Masihi, kerajaan-kerajaan Melayu sangat aktif dalam bidang perdagangan dan kota-kota Melayu menjadi pusat pelabuhan yang penting, seperti Palembang, Melaka, Kotaraja (Aceh), Patani dan Brunei.
Namun, kegemilangan kerajaan-kerajaan Melayu dan kekayaan sumber-sumber alam kepulauan Melayu ini telah mengundang minat penjajah Barat untuk datang menguasai rantau ini.. Kerajaan Melaka adalah kerajaan yang pertama jatuh ke tangan penguasa Portugis pada tahun 1511.
Melaka kemudiannya dikuasai oleh Belanda pada tahun 1641 sementara Bengkulu, yang terletak di Pulau Sumatera, dikuasai Inggeris pada tahun 1685.
Perlumbaan dalam mengembangkan kuasa dan pengaruh British dan Belanda di Kepulauan Melayu telah menimbulkan rasa tidak puas hati antara kedua-dua kuasa penjajah tersebut.
Bagi menamatkan bibit-bibit konflik dan mengekalkan hubungan baik British-Belanda, Perjanjian Inggeris-Belanda pada 17 Mac 1824 (Perjanjian 1824) telah dimetarai. Perjanjian ini telah membahagikan ‘Dunia Melayu’ di mana kedua kuasa tersebut secara sewenang-wenangnya melakarkan ‘peta kekuasaan’ masing-masing.
Artikel 10 Perjanjian ini berbunyi ‘Kota Melaka diserahkan kepada Raja Inggeris, manakala Raja Belanda dan rakyatnya tidak akan menubuhkan sebarang penempatan di Singapura dan Semenanjung Melaka (Semenanjung Melayu)’. Artikel 9 Perjanjian 1824 mengiktiraf pengaruh Belanda di Pulau Sumatera dan pulau-pulau di selatan pulau Singapura.
Dengan termeterainya perjanjian ini, pihak British tidak akan membuka penempatan di pulau-pulau di selatan Singapura dan Belanda juga tidak akan membuka penempatan di Semenanjung Melayu.
Perjanjian 1824 ini telah menjarah sempadan di kepulauan Melayu dan kesannya kekal sehingga ke hari ini.
Kesan Perjanjian 1824 ke Atas Kepulauan Natuna
Secara umum, boleh dikatakan bahawa Perjanjian 1824 tidak meletakkan kepulauan Natuna dengan jelas sama ada di bawah pengaruh Inggeris atau Belanda.
Akan tetapi, Perjanjian 1824 ada mengatakan yang Belanda tidak akan menubuhkan penempatan di utara pulau Singapura dan Semenanjung Melayu yang diiktiraf sebagai wilayah British.
Wilayah Belanda adalah di pulau Sumatera dan pulau-pulau di selatan pulau Singapura. Dari sudut geografi, Kepulauan Natuna bukanlah gugusan kepulauan yang terletak di selatan pulau Singapura.
Kepulauan Natuna Sebagai Wilayah di Dalam Indonesia
Kepulauan Natuna telah dimasukkan sebagai salah sebuah wilayah di dalam Republik Indonesia berdasarkan Surat Keputusan Delegasi Republik Indonesia, Provinsi Sumatera Tengah bertarikh 18 Mei 1956.
Kabupaten Natuna kemudiannya telah ditubuhkan di dalam Provinsi Kepulauan Riau berdasarkan Undang-undang No. 53 Tahun 1999 yang telah dikuatkuasakan pada 12 Oktober 1999.
Namun, jika dilihat pada peta Asia Tenggara, jelas menunjukkan bahawa Kepuluan Natuna secara semulajadinya terletak sejajar dengan lokasi negeri Terengganu, sekiranya garis lurus dilukis dari pesisir negeri berkenaan ke arah timur.
Sempadan Indonesia jelas melengkung ke atas dan bukanlah dalam satu garisan yang lurus.
Kepulauan Natuna menjadi salah satu aset utama dalam menjadikan Indonesia sebagai sebuah negara kepulauan terbesar di dunia.
Dalam melukis garis kepulauan bagi membentuk perairan kepulauan, satu garis melengkung telah dilukis dari Pulau Bintan ke arah utara menyambung Kepulauan Anambas dan seterusnya Kepulauan Natuna sebelum garis ini melengkung ke bawah untuk bersambung dengan provinsi Kalimantan Barat.
Berdasarkan sumber sejarah, adalah munasabah untuk mengatakan Kepulauan Natuna tidak banyak mempunyai perkaitan dengan negara Indonesia. Kepulauan Natuna berbeza dengan tanah jajahan Belanda yang lain di Indonesia seperti Pulau Sumatera, Pulau Jawa, Nusa Tenggara, Makassar dan Papua.
Wilayah-wilayah ini yang menjadi milik Indonesia yang mewarisinya daripada bekas penjajahnya, Belanda apabila Indonesia mencapai kemerdekaan pada tahun 1945. Konsep yang wujud di dalam undang-undang antarabangsa ini dipanggil utti possideti juris.
Semasa Perjanjian 1824 dibuat, kepulauan Natuna masih lagi di bawah pengaruh kesultanan Melayu menerusi pemerintahan Baginda Wan Muhammad al-Fathani. Juga, Perjanjian 1824 tidak secara jelas meletakkan kepulauan Natuna di bawah pengaruh Belanda.
Malah, sekiranya Perjanjian 1824 diteliti, Belanda tidak berhak membuka penempatan di mana-mana kawasan di utara pulau Singapura yang jelas berada di dalam kawasan pengaruh British.
Secara logiknya, memandangkan kepulauan Natuna masih berada di dalam wilayah lingkup kerajaan Johor saat Perjanjian 1824 ditandantangani, ianya patut berada di bawah pengaruh British, yang menjadi penaung bagi kesultanan Johor pada ketika itu.
Oleh itu, mungkin timbul hujah yang mengatakan kepulauan Natuna sepatutnya berada bersama Malaysia apabila kesultanan Johor merdeka di dalam Persekutuan Malaya pada tahun 1957 menerusi konsep utti possideti juris.
Tuntutan ke Atas Kepulauan Natuna
Indonesia secara rasmi memasukkan kepulauan Natuna sebagai wilayahnya pada tahun 1956, setahun sebelum Tanah Melayu (Malaysia) mencapai kemerdekaan dan 6 tahun sebelum berlakunya Konfrontasi Malaysia dengan Indonesia.
Tanah Melayu pada ketika itu masih lagi diperintah British dan belum lagi menjadi sebuah negara berdaulat bagi menuntut ketuanan ke atas kepulauan Natuna. Walaupun Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan menjadi Malaysia pada tahun 1963, Konfrontasi Malaysia-Indonesia yang berlaku pada tahun 1962-1966 berkemungkinan telah mengalih pandangan pemerintah Malaysia pada ketika itu yang lebih menumpukan untuk menamatkan konflik dengan Indonesia.
Manakala Indonesia pula memerlukan kepulauan Natuna supaya garis kepulauan dapat dilukis menghubungkan pulau-pulau di dalam Indonesia bagi mencipta sebuah lingkungan laut kepulauan bagi memenuhi hasratnya menjadi sebuah negara kepulauan (Archipelagic State) berdasarkan undang-undang laut antarabangsa.
Makanya, besar kemungkinan, atas dasar ingin menamatkan konfrantasi dan berbaik-baik dengan jiran serumpun, isu tuntutan kedaulatan ke atas kepulauan Natuna mungkin tidak menjadi keutamaan pemerintah Malaysia pada ketika itu. Sehingga kini, Malaysia mengiktiraf kedudukan kepulauan Natuna sebagai sebuah wilayah dalam negara kepulauan republik Indonesia.
Di bawah konsep undang-undang antarabangsa, sesebuah wilayah itu boleh diperolehi oleh sesebuah kerajaan atau kuasa pemerintah melalui empat cara iaitu perluasan wilayah melalui cara semulajadi (accretion), penyerahan wilayah (cession), penjajahan, dan effective occupation ataupun prescription.
Prescription merujuk kepada tindakan sebuah negara yang mezahirkan kedaulatan dengan cara mengamalkan penguasaan ke atas wilayah tertentu tanpa dibantah oleh negara-negara lain.
Berdasarkan fakta ini, boleh dikatakan bahawa Indonesia telah menguasai Pulau Natuna selama 56 tahun tanpa bantahan dari Malaysia sejak tahun 1956.
Oleh yang demikian, adalah sukar untuk ketika ini bagi Malaysia menuntut hak kedaulatan ke atas kepulauan Natuna walaupun berdasarkan fakta geografi dan sejarah, kepulauan Natuna memang mempunyai pertalian yang kuat dengan negeri-negeri di Semenanjung Melayu.
Kesimpulan
Fakta-fakta sejarah jelas menunjukkan kepulauan Natuna mempunyai perkaitan yang lebih jelas dan kukuh dengan negeri-negeri Tanah Melayu berbanding kerajaan-kerajaan awal di kepulauan Indonesia.
Akan tetapi, tiada tuntutan konsisten pernah dilakukan oleh Malaysia dan kependudukan Indonesia di kepulauan Natuna tidak pernah dibantah oleh Malaysia.
Kedaulatan Indonesia ke atasnya telah mencipta ruang lingkup wilayah Indonesia yang membelah Malaysia kepada dua bahagian. Sehingga kini, kepulauan Natuna kekal sebagai sebuah wilayah Indonesia walaupun yang secara geografinya, kedudukan kepulauan tersebut lebih sejajar dengan kedudukan Malaysia.
Artikel ini disumbangkan Oleh MOHD HAZMI MOHD RUSLI (Ph. D) pensyarah kanan di Universiti Sains Islam Malaysia dan seorang Felo Bersekutu di Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu. MOHD AFANDI SALLEH (Ph.D) seorang pensyarah kanan Universiti Sultan Zainal Abidin dan seorang Felo Bersekutu di Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu dan WAN IZATUL ASMA WAN TALAAT (Ph. D), seorang profesor madya di Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu.

Iklan Berbayar - SMS 013 929 9944 ( RM50.00 Sebulan )

-
-