Ads 468x60px

-

Wednesday, July 23, 2014

Ahli-Ahli PAS Jangan Hilang Tumpuan

Ahli-ahli PAS di Selangor hendaklah meneruskan khidmat mereka kepada rakyat dan tidak menghiraukan perkembangan terkini di Negeri Selangor.
Sama ada sebagai Exco, Ahli Dewan Negeri, Ahli Majlis, Ketua Kg, Nazir Masjid, Pengerusi Surau atau pemegang-pemegang jawatan lain, mereka hendaklah terus berkhidmat dengan tekun dan bersungguh-sungguh kepada rakyat.
Segala agenda-agenda yang dirancang hendaklah dilaksanakan dan segala program-program yang telah diatur hendaklah diteruskan.
Mereka hendaklah memastikan agar mereka tidak hilang tumpuan sehingga kebajikan dan kepentingan rakyat menjadi terabai.
Sesungguhnya rakyat mahukan perkhidmatan yang terbaik dan pembelaan yang sewajarnya di dalam apa saja suasana dan keadaan.
Di saat-saat seperti ini ahli-ahli mestilah menzahirkan kepimpinan mereka dan tarbiyyah yang telah mereka lalui selama ini.
Iskandar Abdul Samad
Pesuruhjaya PAS
Negeri Selangor
23 Julai 2014

Monday, July 21, 2014

PAS Rakam Takziah Kepada Keluarga Mangsa Tragedi MH17

MARANG – PAS menyokong penuh sebarang usaha tindakan kerajaan Malaysia menuntut keadilan ke atas penumpang dan anak kapal MH17 yang ditembak jatuh di sempadan Ukraine-Rusia, pada 17 Julai lalu.
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyokong sebarang tindakan yang diambil oleh Malaysia bagi menuntut keadilan terhadap tragedi MH17 demi maruah negara.
Kata beliau, kerajaan Malaysia perlu mengambil tindakan sewajarnya melalui saluran pertubuhan-pertubuhan antarabangsa dan bukan sekadar protes bantahan.
“PAS menyokong tindakan (kenuntut keadilan) ini dengan sepenuhnya. Ini perkara kemanusiaan dan kenegaraan dan demi maruah negara kita.
“Kita mengharapkan kerajaan kita dapat mengambil tindakan yang sewajarnya melalui saluran antarabangsa. Melalui Pertubuhan-pertubuhan Antarabangsa dan bukan sahaja melalui protes atau tindakan membantah.
“Dalam masa yang sama hendaklah melalui tindakan undang-undang yang sewajarnya, mengikut lunas-lunas undang-undang antarabangsa yang ada…itu sekurang-kurangnya,” tegas Presiden PAS.
Beliau berkata demikian di kediamannya, pada Sabtu 19 Julai, ketika mengulas tragedi yang menimpa pesawat Penerbangan Malaysia, yang ditembak jatuh, sewaktu perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Ustaz Abdul Hadi turut menyelar tidak pihak yang tidak bertanggungjawab menembak pesawat awam MH17 itu kerana disifatkan mencabuli undang-undang antarabangsa.
Justeru itu, katanya PAS merakamkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa tragedi MH17 serta melahirkan rasa sangat sedih dan dukacita.
“Pesawat (MH17) ini berada di laluan antarabangsa. Maka, tindakan menyerang pesawat awam itu seperti yang dilaporkan oleh media ini adalah mencabuli undang-undang antarabangsa.
“Kita (PAS) merasa sangat sedih dan sangat dukacita dan kita mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa yang terlibat, dan mengharapkan rahmat dari Allah SWT.
“Semoga (roh) diletakkan di tempat yang mulia disisi Allah SWT, di alam barzakh di hari kiamat. Itu (tragedi) semua berada di dalam kekuasaan Allah SWT dan dalam masa yang sama kita yang hidup ini mestilah bertindak dan tidak boleh membiarkan perkara itu berlaku dengan percuma,” ujarnya.
Ketika menjawab persoalan ‘misteri’ kehilangan pesawat MH370 empat bulan lalu, Dato’ Seri Abdul Hadi menegaskan siasatan mesti diteruskan sekali pun mengambil masa yang lama.
Katanya, siasatan terhadap kehilangan kapal terbang MAS mesti diteruskan sehingga terbukti punca kemalangan tersebut berlaku empat bulan yang lalu.
“Masalah kehilangan MH370 sejak empat bulan lalu itu perlu terus disiasat walau pun mengambil masa yang lama untuk selesai.
“Disiasat lagi hingga terbukti sama ada dia (MH370) kemalangan berlaku kerana adanya sabotaj, adanya tindakan penyerang, tindakan melampau ke atas pesawat kita atau sebagainya mesti adanya bukti dan mesti dicari walau pun memakan masa lama,” jelasnya.
Tambah Ustaz Abdul Hadi, kerajaan perlu mengambil pengajaran dan iktibar terhadap kedua-dua tragedi malang tersebut yang menimpa negara ini.

Wednesday, May 28, 2014

SULTAN PERAK, SULTAN AZLAN SHAH MANGKAT.

Sultan Perak Sultan Azlan Muhibbudin Shah Ibni Al Marhum Sultan Yussuf Izudin Shah
mangkat pada jam 1.30 petang hari ini

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir secara langsung di RTM hari ini.

Ekoran kemangkatan itu, bendera negeri akan dikibarkan separuh tiang selama 100 hari di negeri itu manakala bendera Malaysia pula selama seminggu.

Semua hiburan dan keraian ditanggguhkan dalam tempoh tujuh hari.

Menteri besar juga mengumumkan cuti umum di Perak selama sehari esok sebagai tanda berkabung.

Jenazah almarhum akan dibawa ke Istana Kuala Kangsar esok pagi dan akan dimakamkan selepas asar.

Tuesday, May 27, 2014

Dyana calon yang bertenaga dan berani – Presiden PAS


TELUK INTAN: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meminta pengundi Teluk Intan memilih calon yang berani dan membawa suara rakyat di parlimen.

Kata beliau, keberanian yang ditunjukkan calon yang mewakili Pakatan Rakyat, Dyana Sofya Mohd Daud wanita Melayu yang sanggup mewakili DAP harus menjadi pilihan pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan pada 31 Mei nanti.

"Kita pilih calon yang boleh membawa amanah kita, membawa hak suara kita di parlimen dan bukannya pemimpin yang hanya tahu 'angguk' walaupun perkara itu tak betul.

"Dyana calon yang bertenaga dan keberanian beliau yang kita inginkan. Beliau wanita Melayu yang berani menjadi calon DAP, saya sendiri pun tak berani nak jadi calon DAP," ucap beliau sambil disambut ketawa para hadirin.

Beliau berucap demikian pada Majlis Hi-tea Bersama Presiden PAS di Taman Cicerly yang turut dihadiri Dyana.

Beliau menjelaskan bahawa Dyana mempunyai peranan di dalam DAP yang akan membawa suara orang Melayu.

"Walaupun yang bertanding itu DAP tetapi calonnya adalah Melayu dan sebagai orang Melayu kita patut menangkan calon Melayu.

"Kita patut bincang soal calon, kalau DAP menang beliau yang akan bercakap bagi pihak kita. Suara beliau bukan hanya mewakili orang Cina tetapi juga suara orang Melayu," jelasnya.

Ahli Parlimen Marang itu turut memberitahu masih ada rakyat negara ini yang hairan kerana PAS sanggup bekerjasama dengan DAP dan tidak dengan Barisan Nasional (BN).

"PAS tidak bekerjasama dengan BN kerana kita telah beri peluang sebelum ini, mereka ajak kita masuk kerajaan ketika itu.

"Kita masuk dengan syarat tampilkan perkara yang elok-elok dalam pentadbiran tapi mereka tendang kita sehinggalah berlakunya darurat di Kelantan.

"BN meluluskan darurat di Kelantan melalui parlimen dengan tujuan untuk menjatuhkan PAS, DAP waktu itu membela kita dan bantah darurat di Kelantan.

"Kita tak lupa jasa dan kita kenang budi mereka, sekarang kita bersama mereka dengan matlamat perjuangan yang sama," sambung beliau.

Tambah beliau, walaupun ada perbezaan pendirian namun PAS dan DAP mempunyai banyak persamaan terutamanya dalam urusan memperjuangkan hak rakyat.

"Walaupun ada perbezaan tapi banyak persamaan dan kita bekerjasama dalam hal ini, ini beza dengan Umno mereka tak mahu bincang tetapi DAP walaupun ada perbezaan pendapat kita masih boleh duduk bersama untuk berbincang.

"Kita bekerjasama dalam segala hal untuk pastikan calon Melayu dari DAP akan menang pada pilihanraya kecil ini," katanya.

Beliau yang meminta agar pengundi Melayu memberi sokongan penuh kepada Dyana bagi memastikan wanita Melayu dapat mengekalkan kemenangan Pakatan Rakyat di Teluk Intan.

Dalam pada itu beliau sempat berbual-bual dan turut memberi nasihat kepada Dyana ketika program hi-tea itu. - HARAKAHDAILY 26/5/2014

Iklan Berbayar - SMS 013 929 9944 ( RM50.00 Sebulan )

-
-