Ads 468x60px

-

Sunday, August 10, 2014

Isu Khalid: PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat


HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menegaskan parti itu akan terus bersama dengan Pakatan Rakyat.
Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada tindakan PKR memecat keahlian Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada parti itu, semalam.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kepada semua peringkat kepimpinan parti, ahli dan para penyokong supaya bertenang dalam menghadapi konflik politik yang sedang di Selangor kini.

"Kepimpinan PAS sedang berada di tengah-tengah isu ini dan menangani isu ini secara berhemah, cermat dan bijaksana bersama-sama dengan kepimpinan Pakatan Rakyat yang lain," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Beliau juga menjelaskan bahawa keempat-empat Exco Kerajaan Selangor daripada PAS akan terus berkhidmat dan berfungsi kerana kerajaan negeri masih wujud.

Mereka terdiri daripada Adun Chempaka, Iskandar Abdul Samad (Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar), Adun Sabak, Sallehen Mukhyi (Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian, Pembangunan Desa), Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali (Pendidikan dan Pendidikan Tinggi, Pembangunan Modal Insan) dan Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi (Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam). - HARAKAHDAILY 10/8/2014

Friday, August 8, 2014

Henti kenyataan sanggah Presiden PAS – Majlis Syura

KUALA LUMPUR: Majlis Syura Ulamak memandang serius beberapa kenyataan terbuka sebahagian pimpinan parti yang dilihat menyanggahi kenyataan Presiden sebagai ketua parti. 

Maka Majlis Syura Ulamak memberi peringatan tegas kepada seluruh pimpinan dan ahli parti agar kenyataan-kenyataan ini dihentikan serta merta.

Keputusan itu dibuat pada Majlis Syura Ulamak PAS yang telah bersidang pada 9 Syawal 1435 bersamaan 6 Ogos 2014 di Kota Bharu, Kelantan.

Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan Majlis Syura yang ditandatangani Mursyidul Am PAS dan timbalannya, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Datuk Dr Haron Din. –HARAKAHDAILY 7/8/2014

Solidariti Bersama Gaza, Sokongan Kepada Presiden

KUALA TERENGGANU – Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) menjemput semua orang ramai hadir ke Himpunan Perdana & Solat Hajat Khas sempena Solidariti Malam Untukmu Gaza dan Sokongan padu kepada Tuan Guru Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.

ssPegawai Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, progranm tersebut aakan diadakan pada hari Jumaat, 8 hb. Ogos 2014
“program akan bermula pada jam 8:15 malam dengan solat Isyak dan diikuti solat Hajat berjamaah di masjid Rusila, kemudian selepas itu disambung dengan aturcara Malam Untukmu Gaza,
“yang akan diadakan Dewan Tok Guru, bersebelahan Masjid Rusila, Marang, InsyaAllah,”ujarnya.
Selain dari ucapan tokoh-tokoh, kata beliau, persembahan lagu nasyid, tayangan video, persembahan khas palestin, akan memberi ingatan kita kepada kesukaran hidup warga Gaza.
Oleh itu, penyerahan sumbangan dari orang ramai dan mereka yang prihatin untuk Tabung Dana Kemanusiaan Gaza akan dibuat secara rasmi.

Antara tokoh yang akan berucap, katanya adalah, Presiden PAS yang juga Ahli Mua’asasah Al-Quds, Dato’ Seri Tuan Guru Abd Hadi Awang, Pesuruhjaya PAS Terengganu, YB Us Satiful Bahri Mamat, wakil Palestin Ahmed Abu Ayesh, Presiden Yayasan Amal Malaysia Husein Ismail dan wakil Muslim Care, Dr Ridhuan Mohd Nor.

Thursday, August 7, 2014

Kekal Khalid selagi tidak disabit langgar amanah - Majlis Syura

KUALA LUMPUR: Majlis Syura Ulamak PAS yang bersidang di Kota Bharu semalam membuat keputusan bahawa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim wajar dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor selagi tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah.

Dalam kenyataan yang ditandantangani Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan juga Timbalan Mursyidul Am Tuan Guru Datuk Dr Haron Din itu menyatakan, keputusan itu dibuat berasaskan hukum syarak dan melihat kepentingan rakyat yang mesti mendahului kepentingan individu dan parti.

Bagaimanapun kata kenyataan itu, jika sekiranya ada pertuduhan yang disabitkan bersalah kemudiannya oleh pihak yang berautoriti seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau mahkamah, maka Majlis Syura Ulamak bersedia untuk menilai kembali kedudukan Khalid.

Berikut adalah kenyataan penuh.
Kenyataan Majlis Syura Ulamak

Merujuk kepada Fasal 3 Perlembagaan PAS, bahawa dasar PAS ialah Islam, dan Fasal 6(2) bahawa antara usaha PAS adalah "memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariat serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara" ,

Maka, Majlis Syura Ulamak PAS yang telah bersidang pada 9 Syawal 1435 bersamaan 6 Ogos 2014 di Kota Bharu telah membuat keputusan berasaskan hukum syarak dan melihat kepentingan rakyat yang mesti mendahului kepentingan individu dan parti seperti berikut:

"Bahawa jawatan Menteri Besar Selangor adalah hak bersama yang telah dipersetujui oleh ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat untuk meneruskan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar di Selangor bagi penggal kedua selepas Pilihanraya Umum ke-13. Maka selagi tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah yang mewajarkan Menteri Besar itu digugurkan, Majlis Syura Ulamak PAS memutuskan untuk mengekalkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Jika sekiranya ada pertuduhan yang disabitkan bersalah kemudiannya oleh pihak yang berautoriti seperti SPRM atau Mahkamah maka Majlis Syura Ulamak bersedia untuk menilai kembali kedudukan beliau.

Majlis Syura Ulamak menegaskan sekali lagi bahawa PAS akan tetap istiqamah dengan dasar dan prinsip perjuangan Islam sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaannya dan terus  memberi komitmen bersama Pakatan Rakyat .

Datuk Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
Al-Mursyidul Am, Parti Islam Se-Malaysia

Datuk Dr Haron Din
Timbalan Al-Mursyidul Am, Parti Islam Se-Malaysia
- HARAKAHDAILY 7/8/2014

Sunday, July 27, 2014

PAS : Bahtera Yang Ada Nakhodanya

Oleh : Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Saya pada mulanya tidak berhasrat untuk mengulas isu Menteri Besar Selangor memandangkan kita sekarang sedang berada di 10 akhir Ramadhan yang entah sempat atau tidak kita bersua dengan Ramadhan di tahun hadapan. Sewajarnya tempoh terbaik di bulan yang terbaik ini digunakan dengan sepenuh tumpuan untuk kita menggandakan amal ibadat agar dikurniakan ganjaran yang terbaik oleh Allah SWT.
Bagaimanapun, saya ditanya bertubi-tubi terutama oleh pihak media sejak dua hari lepas khususnya apabila keluar kenyataan Dato Seri Tuan Guru Presiden PAS yang mempertahankan Tan Sri Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor. Ramadhan yang sepatutnya digunakan untuk masing-masing menumpukan perhatian kepada ibadah menjadi masa untuk kita berpolemik. Seolah-olah kenyataan Tuan Guru Presiden itu tidak memadai, maka saya terus diasak untuk mengeluarkan pula kenyataan.
Saya membaca kenyaaan Tuan Guru Presiden dan sepenuhnya saya menyokong kenyataan beliau. Saya sebagaimana banyak pihak di negara ini turut tertanya-tanya, atas silap dan salah manakah Tan Sri Khalid ingin digugurkan dari jawatan Menteri Besar? Setelah satu penggal beliau memimpin dengan cemerlang sehingga di dalam pilihanraya umum yang lepas, prestasi Pakatan Rakyat di Selangor semakin meningkat dan beliau dikekalkan di atas kerusi Menteri Besar, tiba-tiba hari ini beliau ingin digugurkan. Sudah tentu persoalan yang berlegar ialah, adakah tiba-tiba beliau menjadi mundur dalam prestasi gerak kerjanya?
Barangkali beliau ada salah dan silap tidak dapat dinafikan, namun adakah ia sehingga menyebabkan beliau wajar digugurkan? Saya kira persoalan ini perlu diselesaikan terlebih dahulu di meja rundingan Pakatan Rakyat, barulah kita bercakap soal pengganti. Jika tangga pertama pun masih belum dipijak, janganlah pula tergesa-gesa melangkah ke tangga kedua, bimbang nanti kepala tersadung lantai.
PAS ini ada nakhodanya iaitu Tuan Guru Presiden. Saya penuh yakin beliau mendapat maklumat yang cukup sebelum mengeluarkan kenyataan. Saya sendiri turut mendapat maklumat dari banyak pihak yang sebahagiannya tidak perlu untuk saya jelaskan di sini. Cukuplah untuk saya menyatakan bahawa, buat masa ini, ahli PAS hendaklah meletakkan keutamaan ketaatan kepada apa yang telah dinyatakan oleh Tuan Guru Presiden. Benar, nakhoda barangkali tersalah, tetapi jika anak kapal pula beramai-ramai ingin menjadi nakhoda, barang tentu bahtera tidak akan belayar dengan baik.
Pesan saya, selesaikan polemik ini dengan baik. Keruh di hulu selesaikan di hulu, jangan biar ia berhilir. Jangan keruh di hulu diheret panjang. Utamakan perbincangan sesama kita agar rakyat tidak bosan mendengar hiruk pikuk pertengkaran suami isteri. Pada saya, ini hanyalah satu kemelut kecil sahaja bahkan proses ini mematangkan hubungan kita di dalam Pakatan Rakyat.
Wajib diingat, Pakatan Rakyat perlu terus kukuh bertahan dalam medan politik negara. Akar umbi perlu sentiasa segar dengan maklumat agar sikap dan tingkah laku pemimpin difahami dengan jelas. Jika akar rapuh, pohon yang rendang sekalipun tidak akan bertahan lama.
Salam Ramadhan. Teruskan saki baki Ramadhan dengan amal kebajikan.
Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)
Bertarikh : 28 Ramadhan 1435H bersamaan 26 Julai 2014M


Iklan Berbayar - SMS 013 929 9944 ( RM50.00 Sebulan )

-
-