Ads 468x60px

-

Wednesday, December 23, 2015

MEMORANDUM BANTAHAN ISU BANGLADESH DARI PEMUDA PAS KEPADA PBB

Alhamdulillah. Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) telah menyerahkan Memorandum Bantahan Terhadap Pemerkosaan Hak Asasi Manusia Yang Serius Di Bangladesh kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada hari ini Rabu, 23 Disember 2015. Sehingga kini sudah beberapa orang pimpinan Jamaat Islami Bangladesh telah dihukum mati baru-baru ini dan sebahagian lagi sedang dibicarakan atau menunggu hukuman dijatuhkan.


Memorandum telah diserahkan oleh Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia dan diterima oleh Encik Qamar Arif Mohamad Auzi, Pegawai di Pejabat PBB Malaysia. Beliau memaklumkan akan menyampaikan memorandum tersebut kepada Ibu Pejabat PBB di New York, Amerika Syarikat.
Turut hadir Ustaz Syarhan Humaizi Halim (Ketua Pemuda Selangor), Sdr Mukhtar Suhaili (Bendahari DPPM), Sdr Nurul Mohamed Yusoff (Penolong Setiausaha 1 DPPM), Sdr Damanhuri Dol (Penolong Setiausaha 2 DPPM), Sdr Syaiful Hizam (Pegawai Media DPPM) dan beberapa orang lagi pimpinan Pemuda PAS Malaysia.

#MenegakKeadilanMenentangKezaliman
#MempersiapGenerasiKemenangan
#BeristiqamahHinggaKemenangan
-----------------------------------------------------------------

MEMORANDUM BANTAHAN TERHADAP PEMERKOSAAN HAK ASASI MANUSIA YANG SERIUS DI BANGLADESH

Kepada: Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)
Daripada: Dewan Pemuda PAS Malaysia, Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
Menyertai bantahan antarabangsa di seluruh dunia, Dewan Pemuda Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyatakan kebimbangan terhadap ketidak stabilan politik yang serius dan ketiadaan kredibiliti Tribunal Jenayah Antarabangsa Bangladesh. Kegagalan berterusan pihak berautoriti kehakiman Bangladesh untuk memastikan perbicaraan yang adil kepada aktivis dan ahli politik yang dituduh adalah satu pelanggaran serius kepada peraturan hak asasi manusia antarabangsa.
Dengan mensasarkan pemimpin politik parti-parti pembangkang khususnya Jamaat Islami Bangladesh, ia jelas dilihat sebagai satu tindakan politik oleh Tribunal Jenayah Antarabangsa dan Kerajaan Bangladesh. Proses penyiasatan yang dijalankan oleh pihak berwajib dilakukan secara sewenang-wenangnya, penuh kontroversi dan gagal mematuhi standard peraturan dan piawaian yang sewajarnya. Tindakan-tindakan ini hanya akan meneruskan tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan. Hukuman yang telah dijatuhkan hendaklah dibatalkan sehingga perbicaraan yang adil oleh pihak berkecuali dan telus dapat dijalankan.
Dewan Pemuda PAS Malaysia meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengambil tindakan tegas kepada Kerajaan Bangladesh agar mematuhi prinsip-prinsip hak asasi manusia antarabangsa dan memberikan keadilan perundangan kepada semua tertuduh. Kerajaan Bangladesh tidak boleh terus mengabaikan kebimbangan antarabangsa dan hendaklah dengan segera memberi keadilan kepada mangsa yang terlibat seperti yang termaktub di dalam Statut Rom, Mahkamah Jenayah Antarabangsa. Ini termasuklah membatalkan hukuman mati yang telah dan bakal dijatuhkan kepada mereka yang tidak bersalah khususnya pimpinan politik pembangkang yang dilihat dizalimi.
Sekian, terima kasih.
MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia.
* Memorandum di dalam Bahasa Inggeris, di atas adalah terjemahan.

MEMORANDUM AGAINST THE SERIOUS HUMAN RIGHTS VIOLATIONS IN BANGLADESH

To The United Nations Human Rights Council

By the Youth Wing of the 
Malaysia Islamic Party (PAS)
23rd December 2015

It is with a sense of outrage that the Youth Wing of the Malaysia Islamic Party (PAS) joins the international outcry against the grim political instability and disputable credibility of the International Crimes Tribunal of Bangladesh. The ongoing failure of the Bangladesh judicial authorities to guarantee fair trials for the accused activists and politicians has seriously violated the international human rights regulations.

By targeting the leaders of opposition political parties mainly Jamaat Islami, both the Bangladeshi government and its International Crimes Tribunal are inevitably being perceived as engaging in political persecution. The investigations by the authorities are pursued wilfully, are full of controversies and fail to abide by accepted international standards. These actions will only perpetuate further injustice and transgression of human rights. The verdicts should be revoked until repeat fair trials by impartial and unprejudiced authorities.

We call on the United Nations to pursue firm and concrete actions to ensure that the Bangladeshi government complies with international human rights principles and deliver justice to all the defendants. The Bangladeshi government should not be allowed to blatantly and persistently ignore the legitimate international concerns and immediately grant justice to the victims as ratified in the Rome Statute of the International Criminal Court. This includes the immediate repealing of the death penalties to the innocent especially the victimised leadership of the opposition political parties.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Deputy Chief, Youth Wing
Malaysia Islamic Party (PAS)

http://www.mobtvlive.my/watch.php?vid=0b1235337

Gabung, Ahli Parti Tanyalah Pemimpin Parti

Kenyataan Media (29) - 23/12/15

Isu Pas hendak bergabung dengan Umno, memberi nafas baru kepada mereka yang tidak suka dengan Pas. Setakat hari ini tidak ada satu kenyataan yang keluar daripada mulut Mursyidul Am dan Presiden Pas yang mengatakan Pas akan bergabung dengan Umno. Walau pun berkali-kali dinafikan. Tidak ada keputusan parti yang hendak menggabungkan Pas dan Umno. Amat daif jika pandangan peribadi dijadikan hujah. Cuma mainan media yang hendak melariskan berita mereka sahaja. Media Pas Harakahdaily dan Harakah cetak tidak pernah melaporkan perkara tersebut. Mereka yang dengki dengan Pas tidak menjadikan media Pas sebagai rujukan, sebaliknya media yang memang bermusuh dengan Pas dijadikan rujukan.

Mereka masih cemburu dengan penampilan Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang yang tegas, bercakap benar di atas pentas Multaqa yang disediakan oleh proksi pihak kerajaan. Setelah tidak mendengar Presiden Pas membicarakan perpaduan Umno dan Pas. Akhirnya baju sedondon telah dijadikan hujah bahawa perpaduan Umno dan Pas telah berlaku oleh mereka yang dengki dengan Pas termasuk mereka yang konon seorang ahli akademik yang tidak pernah pencen benci dengan Pas.

Memang mereka mengharapkan supaya Pas menerima pelawaan Umno untuk bergabung, kerana ia merupakan talian hayat kepada mereka untuk hidup dipersada politik setelah melihat pimpinan tertinggi Pas semakin mantap dan mempunyai satu nakhoda sahaja.

Saya tidak pelik orang luar parti yang membuat telahan dan andaian yang berbagai-bagai, kerana mereka bukan orang Pas. Tetapi agak janggal orang Pas yang ada jawatan di dalam parti bercakap macam orang asing seolah-olah tidak tahu ada saluran parti dan hendak menjadi hero di alam maya. Sepatutnya boleh mendapat penjelasan daripada pimpinan parti daripada berbagai saluran samaada daripada AJK Pusat, Pesuruhjaya Pas Negeri. Datanglah mesyuarat parti, program parti dan dialog pemimpin. Cuba periksa kehadiran mereka di dalam program parti, kalau hadir tidak sebegitu sikapnya. Semuanya berpunca daripada hati.

Ustaz Hj Idris Haji Ahmad
Naib Presiden Pas 
23/12/15

Friday, December 18, 2015

PERPADUAN UMMAH MERENTASI IDEALOGI

Oleh : 
DATO SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Allah Maha Mengetahui, dunia akhir zaman dikurniakan dengan sedikit ilmu,
kamu tidak diberi pengetahuan melainkan sedikit sahaja. (surah al-Isra': 85)
Manusia dapat mencipta alat-alat yang canggih, untuk berpindah ke penjuru dunia dengan cepat, mendapat maklumat dalam masa yang segera, (maka) cukup bagi akhir zaman ini seorang Rasul sahaja, dengan mukjizat ilmu Al-Quranul Karim, membawa ajaran yang sama, iaitulah Islam. 

Firman Allah Taala:
Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari agama Allah? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNya lah mereka dikembalikan. (surah Ali-Imran: 83)
Islam adalah petunjuk Allah merentasi tujuh petala langit dan bumi, merentasi segala makhluk, bukan sahaja manusia, bahkan makhluk yang ghaib, makhluk yang nyata, makhluk yang tidak bergerak, alam dunia sehingga alam akhirat.
Rub'ie bin Amir, duta yang dihantar menemui Empayar Parsi, menegaskan:
Allah yang menghantar kami (iaitulah mesej Islam) untuk mengajak siapa yang mahu tanpa paksaan. Daripada memperhambakan diri kepada sesama makhluk, kepada memperhambakan diri kepada Allah. Daripada kezaliman (daripada) berbagai ajaran, kepada Islam yang adil. Daripada wawasan dunia yang sempit, kepada wawasan yang sangat luas (daripada dunia sehingga hari akhirat).
Menunjukkan Islam, yang disebut Ad-Din, tidak boleh ditakrifkan dengan agama dalam bahasa lain, ataupun religion dalam bahasa Barat. Buka dalam Ensiklopedia Barat, Britanicca dan sebagainya. Mereka mentakrifkan religion, mentakrifkan agama, tidak tepat dengan ad-Din yang dimaksudkan oleh bahasa Al-Quranul Karim. Kerana Islam khusus bagi manusia, di samping makhluk-makhluk yang lain, khusus bagi manusia, merangkumi fitrah, merangkumi naluri manusia itu, jasad, roh, akal, individu, masyarakat, dan hubungan manusia dengan makhluk-makhluk yang lain, menjadikan Islam merentasi seluruh alam ini.

Al-Quran menegaskan kepada kita, Islam adalah agama asal, agama-agama lain teori dan ideologi datang kemudian, Firman Allah Taala:
Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, - mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. (surah al-Baqarah: 213)

Ibnu Abbas RA menegaskan, ayat ini bermaksud manusia bermula dengan Adam AS, bukannya dengan monyet, bukan dengan zaman batu. Adam membawa ajaran Islam, agama yang asal. Setelah seribu tahun, wafatnya Nabi Adam AS, terdapat kalangan manusia mengadakan ajaran sendiri, agama sendiri, melantik tuhan sendiri, lain daripada Allah. Manusia yang mulia menyembah batu, binatang, dan sebagainya, mengadakan peraturan mengikut hawa nafsu.
Allah mengutuskan setiap zaman Rasul yang silih berganti, berakhir dengan Nabi Muhammad SAW, yang diutuskan untuk merentasi seluruh dunia. Rasul akhir zaman yang saya maksudkan tadi, menjadi hikmat yang menakjubkan. Allah memilih Rasul itu di bumi Makkah, bumi yang kering, terpencil daripada tamadun, terpencil daripada kemajuan, dan ajaran-ajaran agama samawi dan tidak samawi yang besar. Untuk menyatakan bahawa, manusia tidak boleh menjalankan tugas di atas muka bumi, melainkan dengan membangun mengikut agenda dan peraturan Allah.
Tamadun China berbangga dengan Tembok Besarnya, Tamadun Mesir dengan Piramidnya, Tamadun Babylon dengan bangunannya. Semua tamadun berbangga dengan bangunan-bangunan yang dibina. Maka Allah membina Tamadun Islam di akhir zaman dengan membangun insan, membangun manusia. Membangun manusia dahulu mengikut fitrahnya, membangun rohnya, membangun jasadnya, membangun akalnya, membangun individunya, dan dia bangun masyarakat dan negaranya.
Sila lihat ayat-ayat yang pertama yang diwahyukan:
Bacalah dengan nama tuhanmu yang telah menciptakan manusia. (surah al-Alaq: 1) Menyatakan ilmu membangun manusia dengan ilmu.
Firman Allah Taala:
Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Makkah). (laitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman), dan pada musim panas (ke negeri Syam), Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini, Tuhan yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan. (surah Quraisy: 1-4)
Menjalinkan roh jasad, politik dan ekonomi, mengikut acuan Allah SWT. Quraisy yang hidup di bumi kering, tidak ada tanaman, tidak ada air, terpaksa musafir ke Timur dan Barat mencari sumber ekonomi. Dalam masa yang sama kecintaan kepada Kaabah, dia betulkan akidah yang benar, melalui bumi yang kering ini dibangun manusia, mengikut acuan Allah.
Ilmu, iman, akhlak, ekonomi, politik dan segala-galanya, setelah tarbiyyah dalam masa 13 tahun, berhijrah ke al-Madinatul Munawwarah, dan membina masyarakat Madani. Banyak kita bercakap tentang masyarakat Madani, tanpa kita menjadi perkataan Madani, mesti diambil daripada Bahasa Arab. Madani ad-Din ataupun Tamadun, yang dihurai oleh Ibnu Khaldun, di dalam al-Muqaddimah. Allah menjadikan manusia satu keluarga, maka Islam merentasi Kaum dan bangsa,
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (surah al-Hujurat:13)
Maka risalah Nabi Muhammad SAW akhir zaman itu, membahagikan manusia kepada dua kumpulan. Yang pertama Ummah Dakwah, yang kedua Ummah Ijabah. Ummah Dakwah ialah seluruh manusia, Islam dan bukan Islam. Ummah Ijabah ialah manusia yang sudah masuk Islam.
Semuanya adalah Ummat Muhammad SAW. Maka didirikan negara masyarakat majmuk. Bukan sahaja berbagai kaum, termasuk berbagai agama, di Madinah itu ada Arab, ada Yahudi, ada Parsi, ada macam-macam. Walaupun tidak besar, ada benihnya, berbagai kaum. Kerana Allah menjadikan manusia itu pada dasarnya, satu keluarga, walaupun mereka berbagai bangsa, mereka mesti bermasyarakat Madani.
Ibnu Khaldun mengatakan, Al-Insan, Madaniyyun Bit Tabii. Manusia tidak boleh hidup sendirian, tidak mungkin hidup seorang diri, tidak mungkin hidup satu bangsa, tidak mungkin hidup satu negara, mesti digabungkan hasil-hasil negeri, dengan negeri yang lain, kebolehan dengan kebolehan yang lain.
Sehelai baju yang dipakai, memerlukan kapas yang ditanam. Pertanian, memerlukan traktor, galian, besi. Memerlukan Petroleum, memerlukan berbagai-bagai alat. Perlu digabungkan (sebagai) masyarakat madani.
Maka Nabi Muhammad SAW membina Madinah itu membina masyarakat madani. Dengan mengajak manusia kepada Islam tanpa paksaan. Yang Islam, wajib patuh kepada ajaran Islam, yang tidak Islam, tidak dipaksa. Dan membuktikan bahawa Islam berjaya, menyatukan umat yang tidak mampu disatukan agama dengan ideologi yang lain. Quran menegaskan:
Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: Tuhan kami ialah Allah. Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (surah al-Hajj: 40-41)
Islam dan penganutnya mesti berkuasa. Sejarah menunjukkan, kalau Kristian yang berkuasa, bunuh Yahudi. Yahudi berkuasa bunuh Kristian. Majusi berkuasa bunuh penganut agama lain. Bila Islam memerintah dengan Islam menunjukkan adil untuk semua. Apa yang disebut Islamophobia hari ini adalah fitnah terhadap Islam. Bercanggah dengan hakikat yang ada dalam ajaran Islam. Bagaimana Nabi kita Muhammad SAW melarang membunuh paderi, membunuh diplomat, membunuh utusan, membunuh rahib. Tiba-tiba bukan paderi yang dibunuh, gereja yang dibom, masjid yang dibom, di mana ajaran ini?

Hadis-hadis Nabi menunjukkan tidak boleh membunuh perempuan, kanak-kanak, orang awam. Disebut di dalam hadis, seorang wanita dimasuk ke dalam neraka kerana mengurung seekor kucing tidak diberi minum. Allah memberi rahmat kepada seorang yang memberi minum anjing yang najis mukhallazah, dapat Rahmat Allah. Bagaimana Islamophobia? Tidak menepati hakikat yang ada dalam ajaran Islam.

Ketika Islam dilaksanakan, Islam telah berjaya membina Tamadun Islam. Negeri yang orang Islam masuk, orang bukan Islam masuk Islam berduyun-duyun. Berduyun-duyun orang masuk Islam. Lihat Jalan Sutera dari Negeri Arab sehingga sempadan China, ranap ajaran lain dan Islam. Lihat di Asia Tenggara, pedagang yang datang ke sini, ranap ajaran agama lain, kerana rahmat dan kebaikan yang ada dalam ajaran Islam. Yang pertama, Islam mengajak kepada Islam. Yang kedua, Islam menggalakkan ilmu,

Hadis Nabi, Orang yang (menjadi) pilihan dia masa jahiliyyah, (menjadi)pilihan dia masa Islam.
Kalangan ilmuwan, sebelum kedatangan Islam dibunuh, ahli falsafah dibunuh. Arkitek dipotong tangan, kerana takut orang bikin istana macam Istana yang dibuat. Dalam sejarah Melayu, pemuda yang menunjukkan guna batang pisang untuk menentang todak yang menentang Singapura, walaupun itu cerita dongeng, itulah hakikatnya, dibunuhnya orang yang bijak.

Islam mengambil orang yang bijak. Orang yang bijak, yang pintar di zaman jahiliyyah, bila bersama dengan Islam, dia disanjung tinggi bila dia seorang yang faham. Amar bin Asr, Khalid bin Walid, dan lain-lain lagi, adalah tokoh-tokoh di zaman jahiliyyah, disanjung bila dia bersama dengan Islam.
Ada yang tak masuk Islam, Nabi bersabda, Kebijaksanaan barang tercicir kepunyaan orang Islam. Di mana dijumpa dipungut.

Maka Islam mengambil ilmu-ilmu tamadun lain yang memberi faedah. Tamadun India, China, Parsi, Rom, Mesir dan lain-lain. Ada ilmuwan yang tak masuk Islam, disanjung dalam masyarakat Islam. Ilmu yang diambil dan diIslamkan ilmu itu, maka lahirlah Tamadun Islam. Dan Islam telah berjaya memerintah negara yang besar, dari Timur ke Barat, Utara dan Selatan. Dalam masa yang singkat, masa tak mengizinkan. Itulah kehebatan Islam. Zaman tidak ada hubungan yang cepat, Islam boleh memerintah negara yang besar dan juga berbagai kaum dan agama.

Maka Barat tertarik dengan Tamadun Islam. Malangnya Barat ini mengambil tamadun kebendaan, tamadun duniawi, tidak mengambil akidah dan akhlaknya. Maka berlakulah kecelaruan pada hari ini. Betapa telah berjayanya Islam merentasi kaum. Ayat yang dibaca dalam muqaddimah,

Berpegang dengan tali agama Allah, jangan bercerai berai. (surah Ali-Imran: 103)
Sebab nuzul ayat ini, apabila orang Yahudi menghasut Aus dan Khazraj, hampir berperang. Allah menurunkan ayat, dengan ayat al-Quran dengan akidah yang betul. Hilang semangat perkauman. Tak halang cinta kepada kaum, tak halang cinta kepada bangsa. Tetapi kecintaan kepada kaum dan bangsa dijadikan akidah, dijadikan akidah, Ini yang salah, sehingga hilang nilai yang betul dan salah, ini yang salah. Islam membetulkan hubungan kaum.

Dalam Islam, lahir berbagai-bagai mazhab, sama ada mazhab politik, mazhab fekah, mazhab akidah, mazhab tasauf yang disebut tarekat. Orang Islam tidak berpecah di zaman dahulu, tidak bergaduh, kerana mereka berpegang dengan tali Allah, dengan tali Allah. Kerana para ulamak memainkan peranan yang sangat penting, yang sangat besar dalam masyarakat, mereka bukan sahaja berilmu, mereka adalah fakeh, memahami bagaimana nak menterjemahkan ilmu itu dalam menyelesaikan masalah. Walaupun berlaku peperangan zaman dan Siffin.
Di zaman para Sahabat RA, tetapi para pemimpin sama ada di kalangan ulamak di zaman itu dapat menenangkan keadaan. Dakwah tidak terhalang, Tamadun Islam tidak terhalang. Orang Islam boleh menangani mazhab. Malangnya zaman mutakhir orang Islam, menghadapi cabaran ideologi yang dibawa oleh Barat, dimasukkan ke dalam pemikiran orang Islam. Apabila fahaman sekularisma yang memisahkan agama dengan cara hidup, menyebabkan teori-teori politik, teori-teori ekonomi dianut oleh orang Islam. Kerana mereka menyangka, itu tidak ada kena mengena dengan ajaran Islam. Padahal, semua ajaran politik dan ekonomi sudah ada dalam Quran, ada dalam ajaran Islam. Mahu hendak atau tidak balik kepada Islam sahaja.

Bahkan pembaharuan di dalam politik dan ekonomi baru ciplak daripada ajaran Islam. Contonya dalam politik, terdapat diktatorship, teokrasi, dan demokrasi Barat. Quran, menentang sekeras-kerasnya diktatorship, pemimpin yang berlagak jadi tuhan. Begitu juga teokrasi, ahli-ahli agama yang berkuasa penuh, ahli agama, ulamak yang berlagak, paderi-paderi berlagak macam Tuhan. Islam menentang sekeras-kerasnya.
Barangkali demokrasi lebih dekat dengan Islam, hak rakyat, kebebasan mengkritik pemerintah, pemimpin boleh ditegur, pemimpin yang bersikap terbuka, ini ada dalam Islam. Tetapi malangnya demokrasi tidak ada akidah, masukkan akidah sahaja. Perlu disedari demokrasi Barat itu mengalami perubahan setelah orientalis mengkaji kitab-kitab yang dikarang oleh ulamak-ulamak Islam.

Di England, di Perancis, di German, sebelumnya mereka mengenali demokrasi purba yang diamalkan di Athen. Mereka tidak tahu nak membuat perubahan dalam negara, melainkan revolusi England, revolusi Perancis, revolusi German, revolusi Rusia dan Amerika yang mengorbankan beribu-ribu dan mungkin berjuta rakyat. Setelah mereka mengkaji kitab-kitab fekah yang dikarang oleh ulamak Islam, setelah wafatnya Nabi SAW, para Sahabat bermesyuarat memilih siapa yang menjadi ketua negara. Golongan Ansar mencalonkan Saad bin Ubadah, ahlil bait mencalonkan Ali bin Abi Talib. Kalangan Muhajirin mencalonkan Abu Bakar As-Siddiq RA.

Setelah dibincang, Abu Bakar adalah majoriti, Quraisy. Ibnu Khaldun menghuraikan di dalam Muqaddimahnya, bahawa Quraisy adalah Qabilah yang paling besar di zaman itu, yang paling berpengaruh, maka Quraisy layak menjadi Khalifah. Bila Quraisy tidak ada pengaruh lagi, maka bukan Quraisy menjadi Khalifah, bangsa lain silih berganti dalam masyarakat Islam.

Abu Bakar yang dipilih menjadi pemimpin menyampaikan ucapan sebaik sahaja saya menjadi pemimpin, apa ucapan Abu Bakar? 

Wahai tuan-tuan, saya dipilih menjadi pemimpin kamu. Saya bukan orang yang terbaik, kalau saya betul, tolong saya, kalau saya salah, perbetulkan saya. Benar adalah amanah, bohong adalah khianat. (Jangan mengampu saya, kalau saya betul, kata betul, saya salah, kata salah. Kalau saya betul, saya kata salah, saya salah kata betul, itu bohong, tidak boleh, merosakkan pemimpin, merosakkan rakyat.)
Taat kepada saya, kalau saya mentaati Allah dan Rasul, kalau saya tak taat pada Allah dan Rasul, jangan taat kepada saya.

Ini ucapan Abu Bakar. Maka Barat melalui Orientalis melakukan reformasi di dalam demokrasi Barat. Berbeza di antara satu negara dengan negara yang lain. Mereka pandai mengolah demokrasi. Malangnya, negara Barat tidak izin orang Islam pulih menjadi negara yang maju demokrasinya. Barat sengaja, tidak mengizin orang Islam membina kekuatan mereka sendiri.
Dalam aspek ekonomi, dunia hanya mengenali Teori Liberal, Kapitalisma, Komunisma, Sosialisma, tidak mengenal Islam ada peranan dalam aspek ekonomi. Semua teori-teori dan ideologi itu tidak ada akidah, tidak ada roh, tidak menepati fitrah sama ada sosialisma, komunisma, yang menekan masyarakat, mengorbankan individu, ataupun liberal, kapitalisma, membina individu melupai masyarakat.

Islam mengambil kira semuanya, kita kembali kepada Islam sahaja. Malangnya kalau dahulu orang Islam bergaduh kepada mazhab, Sunni dan Syiah, Khawarij. Hari ini kerana perbezaan ideologi, Sunni dengan Sunni berperang, Syiah dengan Syiah berperang. Berlaku peperangan secara proksi. Yang berlaku di Asia Barat pada hari ini, Sunni dengan Sunni berperang, Syiah dengan Syiah berperang. Kerana perbezaan ideologi, berperang dengan senjata yang diberi oleh Barat, oleh Timur, sama ada Amerika, Rusia, China, berniaga senjata, kita berperang dengan senjata mereka, bunuh kita, bayar dengan duit kita. Apa jenis macam ini?

Insya-Allah, Melayu tidak akan jadi macam Arab, Indonesia tidak akan jadi macam Arab. Kita berbeza pendapat, kita berbalah, kita berkelahi, tetapi tak macam, tidak menjadi peperangan proksi. Saya minta, Pak Dr Muhammad Quraish Shihab, Indonesia pun sama, jangan rantau kita ini, macam rantau Asia Barat. Hindarkan pertembungan, kerana perbezaan Ideologi, berlaku pergaduhan secara proksi, orang menggunakan kita, mengaut hasil kita dan membunuh kita.

Zaman penjajahan sudah tidak ada lagi, mari kita merdekakan diri dengan benar-benar merdeka. Tafsirkan Islam di dalam Perlembagaan (Negara) mengikut ad-Din, bukan mengikut religion. Penjajah sudah tidak ada lagi, kita sendiri, ustaz-ustaz kita, ulamak-ulamak Al-Azhar, ilmuwan-ilmuwan yang belajar Ilmu daripada Timur dan Barat, yang belajar agama, banyak di negara kita ini.

Bina kekuatan secara jama'ie, secara berkumpulan. Kita tidak perlu penasihat-penasihat dari Timur dan Barat, kita boleh ambil ilmu mereka, ilmu mereka boleh ambil, nasihat mereka tidak boleh ambil. Yang ada di dalam majlis ini bercambah, boleh jadi penasihat, boleh beri pandangan.

(*Transkrip suntingan Wartawan Harakah, Izwan Abdul Halim dari Ucaptama Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia di Hotel Grand Season, Kuala Lumpur pada Khamis, 17 Disember 2015)

 Ucapan penuh Alim Rabbani Tuan Guru Dato' Seri Hj Abdul Hadi Awang (Presiden PAS) di Multaqa Serantau Alumni Al Azhar Malaysia 2015
Part 1 : https://www.youtube.com/watch?v=3EGzA8n1RhY
Part 2 : https://www.youtube.com/watch?v=g2V4p_6PZiQ
Part 3 : https://www.youtube.com/watch?v=WFA20sKFy_Y

Saturday, November 28, 2015

PKKDB dilancarkan

PELANCARAN PERSATUAN KEPOLISAN KOMUNITI DURIAN BURUNG: PENGHAYATAN AGAMA SEBAGAI TERAS PENYELESAIAN MASALAH.
Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT kerana pelancaran Persatuan Kepolisan Komuniti Durian Burung (PKK DB) akhirnya disempurnakan sendiri oleh Timbalan Ketua Polis Terengganu, YDH SAC Dato' Hashim Abdul Jalil dalam satu majlis yang amat besar maknanya kepada penduduk kampung Durian Burung, Kuala Terengganu.
Uniknya majlis ini berlangsung di Surau Al Ikhlas (Masjid Lama) Durian Burung dengan dihadiri oleh begitu ramai pegawai pegawai terkanan PDRM di peringkat negeri dan daerah, pimpinan masyarakat dan penduduk tanpa sempada pemisahan warna politik.
Jalan utama Durian Burung dilanda masalah rempit yang disebut oleh Dato' Hashim dalam ucapannya sebagai lokasi yang paling parah gejalanya berbanding lain lain tempat di seluruh negara.
Penduduk telah terganggu ketenteraman sekian lama. Jalanraya bagai diambil alih oleh kumpulan ini sehingga kenderaan tidak dapat bergerak. Ada yang sehingga melibatkan kes kecemasan pesakit tersekat tidak dapat dikejarkan ke hospital. Lorong lorong di perumahan juga tidak selamat lagi untuk berekreasi menolak kereta sorong anak kecil atau kanak kanak berbasikal. Bising dari malam sampai ke subuh hari. Ini berlanjutan banyak tahun.
Surau Al Ikhlas Durian Burung begitu lama begitu instrumental dalam memainkan peranan sebagai medium bagi meningkatkan kualiti hidup komuniti. Program kuliah dan ilmu merupakan proses pendidikan berterusan kepada komuniti. Merapatkan kejiranan dan silaturrahim. Berbincang tentang masalah anak anak dan soal soal kepentingan bersama.
Isu rempit mula dirancang jalan penyelesaiannya sejak tahun 2013 lagi dengan pelbagai dialog bersama penduduk yang dilaksanakan di Surau. Pada awal tahun 2014, dengan usaha bersama NGO rakyat yang proaktif Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI), kempen tangani rempit dilanjutkan ke medan terbuka mendekati anak anak muda termasuk melalui penganjuran dialog dan pertandingan futsal. Sudah lama diharapkan supaya diwujudkan hubungan dengan PDRM agar usaha dapat diselaraskan.
Mungkin atas faktor faktor tertentu, belum menjadi rezeki penduduk. PDRM dan usaha penduduk dilihat bergerak berasingan.
Sehinggalah 5 bulan lalu ekoran operasi operasi cegah rempit anjuran penduduk dengan sokongan kuat penghayatan semangat amar makruf nahi mungkar yang digerakkan oleh Surau dan NGO seperti GANTI dan GASAK (Kelab pacuan empat roda), maka inisiatif lebih serius dilakukan supaya diwujudkan hubungan dengan PDRM agar jangan pula niat baik penduduk menjadi rosak ekoran tiada panduan undang undang.
Dialog demi dialog yang dibuat bertempat di Surau Al Ikhlas bersama ahli kariah, yang turut mengambil kira kecenderungan penduduk khusus golongan muda yang menjadi tenaga penggerak sebenar yang menolak sebarang campurtangan politik oleh JKKK akhirnya merumuskan penubuhan PKK yang bernaung terus dibawah PDRM dibawah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Kepolisan Komuniti. Ternyata berbondong sukarelawan yang tegap dan berkelayakan tampil menawarkan diri.
Mereka sanggup berkawal, melakukan operasi yang mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit tanpa sebarang bantuan kewangan mana mana pihak demi ketenteraman dan kesejahteraan penduduk.
Kejayaan telah tercatat kini bila sudah masuk bulan kelima, tiada lagi gejala rempit seperti dahulu.
SAC Dato' Hashim ketika bercakap kepada wartawan memberitahu bahawa apa yang dibuat di Durian Burung melalui PKK DB telah menyelesaikan masalah rempit di seluruh Kuala Terengganu. Bukan saja rempit, kes curi, curi motorsikal, pecah rumah, malah dadah pun berkurang dengan jelas.
Kerana itu PDRM merancang mewujudkan PKK di semua daerah dengan turut mengambil model pendekatan agama melalui penglibatan surau dan masjid.
Saya sendiri selaku Pengerusi PKK DB dan pada masa yang sama menjadi AJK PAS Kawasan Kuala Terengganu melihat inilah medium di mana tenaga dan sumber yang begitu besar yang ada dalam PAS boleh digembeling dalam bentuk pendekatan yang konstruktif dalam menyelesaikan pelbagai masalah rakyat dan komuniti.
Ia juga membuka ruang merubah mentaliti dan sikap kita terhadap jentera kerajaan supaya menjadi lebih memahami, menjalin hubungan baik dan mendekati, bukannya menjauhi.
Dalam masa yang sama ia memberi kesan yang amat positif kepada PAS sendiri dengan pendekatan yang lebih mementingkan kesejahteraan rakyat, bertanggungjawab, profesional dan dilihat matang.
HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Pengarah
Jabatan Penerangan PAS Pusat
28hb November 2015

Monday, November 16, 2015

Jangan persenda 'mencari redha Allah SWT'

NASRUDIN HASSAN
1. Fasal ke 5 Perlembagaan PAS di bawah tajuk Tujuan PAS dengan jelas menyebut bahawa tujuan PAS ditubuhkan adalah untuk memperjuangkan agar tegak di bumi tercinta ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana padanya nilai-nilai dan hukum hakam yang menuju keredhaan Allah swt.
2. Ertinya, matlamat akhir perjuangan PAS adalah mencari redha Allah swt. Tidak ada nilai perjuangan ini tanpa redha Allah swt. Kita tampal poster kerana mencari redha Allah swt. Kita naikkan bendera kerana mengharapkan redha Allah swt. Kita menyampaikan kuliah, ceramah dan sebagainya adalah kerana mendambakan redha Allah swt. Kita berdakwah, berpolitik dan menggerakkan aktiviti tarbiyah semuanya berpaksi kepada redha Allah swt.
3. Kita berjuang untuk menegakkan Islam. Rebah bangun menghadapi segala ancaman dan tentangan. Kita mahu Islam berdaulat. Kita mahu Islam berada ditempat yang sewajarnya. Kita mahu Islam tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya. Namun perjuangan ini ada kaedahnya, perjuangan ini ada syarat yang perlu dipatuhi agar mendapat redha Allah swt.
4. Segalanya akan menjadi sia-sia bagai debu berterbangan tanpa sebarang manafaat jika gerak juang kita tidak diredhai oleh Allah swt. Kita mahu kemenangan dalam redha Allah swt. Kita tidak mahu kemenangan yang terpisah dari redha Allah swt. Semoga kita termasuk dalam golongan pilihan Allah swt:
وَمِنَ النَّاسِ مَن يَشْرِي نَفْسَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ وَاللَّهُ رَءُوفٌ بِالْعِبَادِ
Dan di antara manusia, ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambanya (yang berjuang dan berkorban hanya kerana mencari redha Allah swt). (Surah Al Baqarah: 207)
5. Slogan perjuangan kita yang selayaknya tersemat utuh di dalam dada kita ialah:
الله غايتنا
الرسول قدوتنا
القرآن دستورنا
الجهاد سبيلنا
الموت في سبيل الله أسمى أماننا
(Redha) Allah Matlamat akhir kita
Ar Rasul contoh tauladan kita
Al Quran perlembagaan hidup kita
Al Jihad adalah jalan kita
Mati di jalan Allah setinggi-tinggi cita-cita kita
6. Kita diajar oleh Islam agar memberi infak, menderma dan menyumbang adalah untuk mencari redha Allah swt:
وَمَثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ وَتَثْبِيتًا مِّنْ أَنفُسِهِمْ كَمَثَلِ جَنَّةٍ بِرَبْوَةٍ أَصَابَهَا وَابِلٌ فَآتَتْ أُكُلَهَا ضِعْفَيْنِ فَإِن لَّمْ يُصِبْهَا وَابِلٌ فَطَلٌّ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan. (Surah Al Baqarah: 265)
7. Segala amal kebaikan yang kita lakukan juga adalah selayaknya untuk mencari redha Allah swt. Hal demikian itu meletakkan kita berbakti bukan hanya di dunia tetapi juga di akhirat.
لَّا خَيْرَ فِي كَثِيرٍ مِّن نَّجْوَاهُمْ إِلَّا مَنْ أَمَرَ بِصَدَقَةٍ أَوْ مَعْرُوفٍ أَوْ إِصْلَاحٍ بَيْنَ النَّاسِ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا
Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar. (Surah An Nisa': 114)
8. Malangnya terdapat sebahagian dari kalangan umat Islam yang jahil dan naif, tanpa rasa bersalah dan segan malu mempersendakan ucapan dan pendirian kita apabila kita menegaskan bahawa perjuangan yang kita dukung ini adalah untuk "mencari redha Allah swt". Malah mereka mula panas belakang, apabila syarat yang kita letak dalam strategi, aktiviti, pendekatan dan gerak aksi kita adalah "mencari redha Allah". Mereka anggap syarat ini menyusahkan mereka dan melambatkan proses mencapai kemenangan.
9. Sebenarnya, redha Allah swt menjadi rahsia umum kenapa perjuangan ini mampu bertahan, meskipun dibelasah dan difitnah tanpa belas simpati oleh musuh Islam dan bonekanya yang tidak mahu melihat Islam berdaulat di bumi bertuah ini.
10. Inilah tunjang utama yang meletakkan kita mampu beristiqamah dengan perjuangan suci ini, biarpun tiada janji manis bersifat duniawi diberikan. Mereka yang memperkecilkan redha Allah swt pastinya mudah meninggalkan perjuangan, patah hati dan kecewa dalam perjuangan terutama apabila kemenangan yang mereka gilakan selama ini gagal dicapai sedang mereka tidak mengharapkan apa-apa dari Allah swt.
Penutup
إِنَّا نَخَافُ مِن رَّبِّنَا يَوْمًا عَبُوسًا قَمْطَرِيرًا
"Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Allah swt kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: masam berkerut-kerut". (Surah Al Insan: 10)
Sekian.
Beristiqamah Hingga Kemenangan
Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat -

Iklan Berbayar - SMS 013 929 9944 ( RM50.00 Sebulan )

-
-