Friday, March 12, 2010
PAS Marang hilang pejuang aktif
Pemergian Ustaz Ghazali Mohd, 63, yang dikenali dengan panggilan Pak Su Li dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 18, Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang, dekat Kampung Binjai Rendah, petang semalam amat dirasai terutama rakan-rakan seperjuangan yang bergerak aktif sejak 1960-an lagi.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengakui hakikat tersebut yang turut menyampaikan ucapan takziah ketika menziarahi keluarga allahyarham dan mengimami solat jenazah tiga beranak itu.
Kejadian yang mengorbankan Ghazali, isteri, Halimah Awang, 56, dan anaknya, Radiah, 39, berlaku kira-kira pukul 3.40 petang semasa Toyota Avanza yang dipandu allahyarham bersama tujuh ahli keluarganya dalam perjalanan ke Kuala Terengganu bagi membeli persiapan untuk kenduri perkahwinan anaknya Ahad ini.
Allahyarham pernah beberapa kali dipilih menganggotai Jawatankuasa PAS Kawasan Marang dan menjadi Naib Ketua Urusan Ulamak PAS kawasan penggal lepas di samping menjawat Timbalan Pengarah MTD Pengkalan Berangan hingga akhir hayat.
Penglibatan aktif allahyarham di peringkat Dun Pengkalan Berangan telah mendapat kepercayaan kepimpinan untuk menjadi wakil calon PAS dalam pilihan raya umum di Dun berkenaan.
Wednesday, July 15, 2009
SEJARAH PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PA
Kejayaan cemerlang PAS dalam pilihan raya umum ke-12 pada 2008 telah meletakkan PAS sebagai sebuah parti pembangkang utama yang dilihat oleh rakyat berupaya mengambil alih pemerintahan negara. Semenjak 1990, PAS telah melangkah maju daripada sebuah parti pembangkang yang dianggap ‘ekstrem’ menjadi sebuah parti pemerintah yang moderat dalam melaksanakan cita-cita Islamnya bermula di Kelantan semenjak 1990, kemudian ke Terengganu pada 1999 hingga 2004, dan kini PAS mendapat kepercayaan rakyat di Kedah, Perak dan Selangor. Di Parlimen juga, PAS telah bangkit dan menguasai 10 peratus daripada kerusi Parlimen atau 25 peratus daripada keseluruhan kerusi pembangkang. Perkembangan ini meletakkan PAS dalam perhatian peminat politik, pengkaji dan juga penyelidik.
persidangan ulamak Malaya di Bagan Tuan Kecil (Butterworth), Seberang Prai. Itulah sekelumit permulaan sejarah PAS yang diasaskan oleh para ulamak yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah pertubuhan politico-dakwah yang penting di negara ini. Penglibatan dan sumbangan PAS dala politik negara bermula sebaik sahaja ia ditubuhkan walaupun ramai pengkaji mengatakan PAS hanya menyertai politik menjelang pilihan raya 1955.
Kemunculan PAS ini dikatakan hasil daripada silang pengaruh yang berlaku antara beberapa gerakan Islam yang lebih awal seperti Ikhwanul Muslimun di Mesir, Masyumi di Indonesia dan Jamaat Islami di Pakistan. Ketiga-tiga pengaruh ini telah menyerap masuk ke Tanah Melayu melalui para ulamak yang belajar di Mesir, Mekah, India dan Indonesia. Ksedaran yang awal ialah para ulamak atau umat Islam memerlukan sebuah pertubuhan atau badan yang boleh mewakili mereka dalam semua aspek kehidupan terutama dalam keadaan Tanah Melayu sedang dijajah oleh British ketika itu. Longgokan ksedaran ini kemudiannya menghasilkan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) pada 1947 diikuti oleh Hizbul Muslimin pada 1948 kesan daripada usaha gigih Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Walau bagaimanapun, gerakan Islam yang berpusat di Gunung Semanggol ini terkubur ekoran penguatkuasaan Ordinan Darurat pada Jun 1948.
Para ulamak mengambil beberapa sikap selepas tragedi darurat ini. Ada yang ’tawakuf’ daripada politik kepartian tetapi menggerakkan kesedaran rakyat melalui institusi pendidikan atau media massa. Dalam fraksi yang lain, para ulamak telah mengambil sikap untuk menyertai parti nasionalis Umno bagi membolehkan isu-isu umat Islam diperkatakan. Beberapa tokoh Hizbul Muslimin seperti Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan, seorang lepasan Maahad Il Ihya Assyariff, Gunung Semanggol telah menyertai Umno pada 1950 dan dilantik mengetuai Bahagian Agama dan Pelajaran Umno. Bahagian ini kemudiannya mengaturkan beberapa persidangan untuk membolehkan ulamak menubuhkankan persatuan. Dalam tulisannya, ”Ulamak Malaya Belum Bersatu dan Belum Punya Persatuan”, Haji Ahmad Fuad menyifatkan kedudukan ulamak ketika itu umpama sampah yang tidak dihargai kerana tiada kekuatan. Lebih-lebih lagi ketika itu ulamak telah muak dengan sikap Umno yang mengabaikan isu pemurtadan Natrah, pengajuran judi loteri, fun fair, kaberat dan lain-lain. Dalam satu persidangan ulamak yang dipimpin oleh Sheikh Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang di Seberang Perai pada 1951, mereka telah mengeluarkan fatwa mengharamkan judi loteri anjuran Umno.
Dalam konflik pelbagai yang dihadapi oleh para ulamak dan situasi politik semasa yang masih tidak menuju kepada jalan Allah itu, maka para ulamak membuat pendirian untuk menubuhkan PAS. Haji Ahmad Badawi, seorang ulamak di Seberang Perai telah mengeluarkan satu manifesto yang dinamakan ’Manifesto al-Badawi’ dengan tema ”Ulamak ke Jalan Allah” bagi menyambut persidangan untuk menubuhkan PAS pada 24 November 1951. Mereka memutuskan supaya PAS menjadi sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan melalui landasan demokrasi ke arah membentuk sebuah negara yang diredhai Alah. Para ulamak menolak bentukbentuk perjuangan yang diasaskan berdasarkan ideologi ciptaan manusia yang dibawa masuk oleh penjajah.
Semenjak itulah, PAS muncul sebagai sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan negara, kemudian menyertai pilihan raya demi pilihan raya. PAS juga menggunakan pelbagai saluran untuk menyampaikan mesej dakwahnya termasuk membentuk beberapa kerjasama politik dengan orang bukan Islam semenjak 1953. Di bawah kepemimpin Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dan Dr Haji Abbas Alias, PAS bercakap soal kemerdekaan yang boleh ditegakkan hukum Islam. PAS menolak kerakyatan jus soli yang merugikan peribumi dan PAS mendesak supaya Islam dijadikan dasar negara yang merdeka. Apabila Dr Burhanuddin al-Helmy mengambil alih kepemimpinan PAS pada akhir 1956, PAS mula memperincikan sikapnya terhadap kemerdekaan yang hendak dicapai yang dianggap ’masih kosong’ dari
matlamat sebenar kerana mengabaikan kebangsaan Melayu dan ketuanan Islam1. Hal ini tergambar daripada hasrat Dr Burhanuddin,
”Dalam perjuangan kita (PAS) bagi mencapai kemerdekaan, kita telah dan terusmenerus memperjuangkan Melayu itu sebagai kebangsaan bagi negara Tanah Melayu ini dengan bertapak di atas asas ideologi Islam yang maha suci”2.
Penyertaan PAS dalam pilihan raya 1959 telah memberikan kejayaan besar apabila Terengganu dan Kelantan berjaya dikuasai. PAS membentuk kerajaan yang dipimpin oleh Mohd Daud Abdul Samad di Terengganu dan Ustaz Ishak Lotfi Omar di Kelantan sebagai Menteri Besar. PAS memulakan langkah sebagai kerajaan di dua negeri Pantai Timur untuk menterjemahkan ideologi perjuangannya yang berasaskan al-Quran dan Sunnah. Namun begitu, kerajaan PAS di Terengganu telah dijatuhkan pada Oktober 1961 hasil permainan politik kotor Perikatan. Di Kelantan, PAS berjaya bertahan sehingga BN mendaruratkan Kelantan pada akhir 1977. Dalam konteks ini, PAS-lah satu-satunya pembangkang yang diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah kerajaan negeri di negara ini.
Selepas kejatuhan Terengganu pada hujung 1961, PAS mulai menerima tekanan-tekanan politik seperti penyalahgunaan ISA, penahanan Dr Burhanuddin al-Helmy diikuti oleh sekatan politik, keganasan Pemuda Tahan Lasak Umno dan beberapa siri pembunuhan politik. Perjuangan PAS untuk memartabatkan kebangsaan Melayu Raya berasaskan Islam telah dijadikan kambing hitam dalam Konfrantasi Indonesia pada 1963. PAS menolak pembentukan Malaysia kerana mahukan sebuah negara Melayu yang lebih besar meliputi seluruh alam Melayu dibentuk. Dalam masa yang sama Umno mencanangkan isu-isu perkauman yang akhirnya membawa kepada beberapa siri perbalahan kaum di Pulau Pinang, Perak dan Singapura antara 1964 hingga 1969, dan kemuncaknnya tercetus Tragedi 13 Mei 1969 yang mengubah landskap politik negara. Selepas tragedi ini, Datuk Mohd Asri Muda yang memangku jawatan Yang Dipertua Agung PAS semenjak 1965 telah dilantik sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 1971.
PAS memasuki era baru dalam politik negara apabila PAS mula meneroka kerjasama dengan Umno bagi menjamin kestabilan politik negara, mengekalkan ketuanan Melayu dan menyerapkan Islam dalam pemerintahan. PAS menyertai beberapa parti lain telah membentuk Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1973, kemudian sama-sama mengasaskan Barisan Nasional (BN) pada 1974. BN mencapai kejayaan besar dalam pilihan raya 1974 dan PAS sendiri telah berjaya menembusi ruang-ruang yang baru sehingga membolehkan Islam di sampaikan ke corong telinga rakyat dengan lebih berkesan. Walau bagaimanapun, keterbukaan PAS dalam membentuk kestabilan politik negara telah disalahgunakan oleh musuh-musuh politiknya dengan melaga-lagakan pimpinan PAS sehingga terjadi krisis politik Kelantan pada 1977. Akibatnya, PAS telah menolak Akta Darurat (Kelantan) 1977 yang menyebabkan PAS bukan sahaja disingkirkan dari BN, tetapi turut kehilangan Kelantan.
Setelah melalui tempoh yang mencabar antara 1978 hingga 1982 di mana PAS terpaksa berhadapan dengan perpecahan, kehilangan kuasa pemerintahan, tekanan ISA dan krisis kepemimpinan, akhirnya PAS telah mengasaskan kepemimpinan ulamak pada Oktober 1982. Tuan Haji Yusof Rawa telah diangkat untuk memimpin PAS bagi menggantikan Datuk Mohd Asri yang meletakkan jawatan. Permulaan era kepemimpinan ulamak memperlihatkan PAS kembali kepada asas perjuangannya untuk mendaulatkan Islam dan memberikan penekanan terhadap kwajipan tersebut. Gerakan dakwah PAS berkembang dengan lebih tersusun melalui pendekatan haraki dan dalam masa yang sama PAS terus membina jambatan dakwah dengan non-Muslim sehingga terbentuk Majlis Perundingan Cina (CCC). Di sudut yang lain, pendekatan PAS telah disambut oleh kerajaan dengan melaksanakan juzuk tertentu daripada Islam seperti Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam, Dasar Bersih, Cekap dan Amanah serta penubuhan Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa dan lain-lain.
Paling mencabar pada era kepemimpinan ulamak ialah beberapa siri penyalahgunaan ISA yang berlaku pada 1984, 1987 dan 1989, ketimbang dengan desakan PAS untuk diadakan Debat Terbuka PAS-Umno pada 1984. Dalam kemelut ini, tercetus pula tragedi Memali pada November 1985 yang mengorbankan 14 orang ahli PAS. Tetapi, pada 1987, Umno pula menghadapi krisis kepemimpinan sehingga parti tersebut diharamkan. Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor memanfaatkan kesempatan ini dengan mewujudkan kerjasama politik dengan serpihan Umno, Semangat 46 yang membolehkan PAS berkuasa semula di Kelantan. Ketua Dewan Ulamak PAS (kemudian Mursyidul Am PAS), Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat diberikan kepercayaan untuk memimpin kerajaan Kelantan semenjak 1990. Dengan dasar ’Membangun Bersama Islam’, PAS berjaya melaksanakan tanggungjawabnya untuk menegakkan hukum Allah yang berada dalam bidang kuasana.
Pada 1996, PAS mula berkrisis dengan Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) yang menyebabkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang dibentuk pada 1989 berpecah. Dua tahun kemudian, Umno sekali lagi menghadapi perpecahan ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyebabkan wujudnya gerakan Reformasi. PAS telah memimpin Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) bagi menuntut keadilan kepada rakyat, kemudian menubuhkan Barisan Alternatif (BA) pada 1999. Melalui BA, PAS berjaya merampas semula Terengganu. Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang diamanahkan untuk mengetuai kerajaan Terengganu sehingga 2004. Selepas pencapaian lemah PAS pada 2004 kerana momentum Perdana Menteri baru, PAS bangkit semula pada 2008 dengan mengetuai tiga kerajaan negeri dan turut serta dalam kerajaan di Selangor. Kini, PAS dilihat sebagai pencabar utama Umno dalam menguasai politik orang Melayu Islam.
Sepanjang tempoh 1951-2008 ini, PAS telah dipimpin oleh tujuh orang Yang Dipertua Agung/Presiden iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan (1951-1953), Dr Haji Abbas Alias (1953-1956), Profesor Dr Burhanuddin al-Helmy (1956-1969), Datuk Mohd Asri Muda (1969-1982), Tuan Haji Yusof Rawa (1982-1988), Dato’ Fadzil Mohd Noor (1988-2002) dan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (2002 hingga sekarang). Para pengkaji yang menganalisis perkembangan PAS ini mengatakan PAS telah mengalami empat jenis kepemimpinan iaitu kepemimpinan ulamak tradisi (1951-1956), kepemimpinan nasionalis kiri (1956-1969), kepemimpinan nasionalis kanan (1969-1982) dan kepemimpinan ulamak haraki (1982-sekarang)3. Dalam pada itu juga, mereka mengatakan PAS telah melalui empat tahap perkembangan iaitu tahap kemunculan (1951-1959), tahap kebangkitan (1959-1973), tahap kemuncak (1973-1977), tahap kejatuhan (1977-1990) dan tahap kebangkitan semula (1990-sekarang)4. Dari sudut pembinaan ideologi perjuangan PAS, dikatakan berlaku tiga fasa iaitu fasa penubuhan dan pembentukan ideologi (1951-1958), fasa pencernaan ideologi (1958-1982) dan fasa pengukuhan idelogi (1982-1995)5.
1 Burhanuddin al-Helmy (1957), Panduan Jiwa Pergerakan, dlm. Suara Islam, Thn. 2, Bil. 1, Disember.
2 Burhanuddin al-Helmy (1960), Sambutan Kemerdekaan Kali Ketiga, Utusan Melayu, 31 Ogos.
3 Mohd Fadli Ghani (2003), Dewan Pemuda PAS: Suatu Kajian Terhadap Tahap-tahap Perkembangan Organisasi
Dalam Era Bertindak, 1975-2003, Tesis Sarjana Sastera, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi UKM, h. 27.
4 Wan Abdul Rahman Latif (1992), Parti-parti Politik di Malaysia: Asas Perjuangan dan Penerimaan Masyarakat,
dlm. Dunia Islam, Feb., h. 35.
5 Zambry Abd Kadir (1995), Religion and Politics: The Search for Political Legitimacy of The Pan-Islamic Party of
Sejarah 50 Tahun PAS Kelantan
Latar Belakang
"Menerusi saudara Ahmad Yatim, saya diminta memberi penerangan di Masjid Repek, kira-kira tiga batu dari Pasir Mas. Saya pergi kesana menemui Imam, dan dibenarkan saya memberi penerangan selepas sembahyang Jumaat. Saya tidak tahu siapakah yang meminta saya bersyarah disana.Saya pergi bersendirian, dan bersyarah di sana. Orang-orang mendengar penerangan saya dan kemudian bersurai. Tidak ada seorangpun pedulikan saya.
Saya keluar dari Masjid setelah bersalaman dengan Imam lalu menuju ke sebuah kedai kopi, kerana perut telah terasa kosong benar.
Saya meminta secawan the dan memakan kueh, sambil tunduk memikirkan bagaimana sambutan yang saya terima. Dalam hati saya mengatakan bahawa apa yang terjadi kepada saya juga pernah terjadi kepada hamba-hamba Allah yang lain. Atas apa-apa hal pun, saya telah melaksanakan tugas dan kewajipan saya. Semoga ini semua tidak akan disia-siakan oleh Allah.
Dalam keadaan begitu tiba-tiba satu suara mengejutkan saya. Suara itu dari seorang muda yang sedang berdiri sambil menarik kerusi. "Huh! Katanya, "Boleh saya tanya sikit?”. Saya merenung pemuda itu dan mempersilakan dia mumbuat pertanyaan. "Demo yang bersyarah tadi, demo ingat bila PAS boleh menang nak perintah Kelantan?” Saya tersenyum kepadanya. Dia mengulangi lagi ,"Bila PAS boleh perintah Kelantan?”. Kata saya, perjuangan ini seperti kita bertanam padi. Kita membuka hutan, menebang, membakar, membuat batas, mencedung atau menanam, menaruh baja, menghalau burung dan babi, itulah kerja kita, tetapi mengantung buah padi itu adalah urusan Allah sendiri dan bukannya urusan saya. Bagaimanapun pada hemat saya apabila sahaja Tok Guru-Tok Guru di Kelantan membuka mata melihat perjuangan PAS ini, maka pada waktu itulah PAS menang dan isya'Allah akan memerintah Kelantan ini. Beliau mengucapkan terima kasih, dan mengatakan tidak perlu bayar harga teh dan kueh itu. Dia adalah anak dari tuan punya kedai tu barangkali.
Beberapa hari setelah pilihan raya tahun 1959, di mana PAS menang 28 dari 30 kerusi negeri Kelantan, pemuda ini yang namanya saya tidak ingat telah bertemu dengan saya di Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu. Beliau memanggil saya dan berjabat tangan sambil mengigatkan kepada saya apa yang telah saya terangkan kepadanya pada tahun 1953 dahulu. Katanya " Apa yang ustaz kata dulu memang betul. Saya pada masa itu adalah seorang pemuda UMNO dan mulai 1958 saya telah menyokong PAS.”
Penubuhan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mempunyai kaitan rapat dengan kesedaran para ulama’ yang bangkit memperjuangkan Islam di kalangan masyarakat Tanah Melayu. Kesedaran itu diperkukuhkan lagi dengan perjuangan membebaskan Tanah Melayu daripada belenggu penjajahan British. Asas dan dasar inilah juga yang menjadi teras perjuangan PAS menuntut kemerdekaan daripada British.
Dengan demikian lahirkan sebuah parti yang mempertegaskan cita-cita dan prinsip perjuangan ke arah mewujudkan sebuah pemerintahan berdasarkan al-Quran dan al-Hadis dan rakyatnya mengamalkan Islam sebagai cara hidup.
Demikian mengenai penubuhan PAS di Kelantan adalah sebenarnya bertitik tolak daripada pelbagai faktor. Di antaranya, sejarah kebangkitan Tok Janggut dengan semangat jihad bangkit menentang penjajah Inggeris dalam isu penindasan terhadap rakyat menerusi pengenaan cukai tanah. Begitu juga tidak kurang penting adalah peranan ulamak seperti Tok Kenali atau Haji Mahmood Yusoff bin Ahmad menerusi tulisan dan buah fikirannya membawa kesedaran politik secara tersirat di sebalik pengajaran Islam kepada rakyat Kelantan. Tokoh-tokoh ini adalah sangat berperanan dalam membuka hati rakyat memahami dan menerima perjuangan politik.
Lanjutan kemunculan UMNO terlebih awal, PAS muncul kemudiannya menguasai pemikiran rakyat Kelantan bagi memperjuangkan kepentingan mereka atas dasar Islam.
Kemudian dalam konteks lain, Amaluddin Darus membayangkan terdapat faktor lain yang menggerakkan tokoh-tokoh tempatan menubuhkan PAS.
"Muhammad Asri , Hasan dan Abdul Rahim adalah kawan lama, dan mereka adalah pemuda-pemuda dari API yang diharamkan, di mana banyak daripada mereka di Kelantan telah ditangkap oleh British bersama pemimpin-pemimpin PKMM atau Parti Kebangsaan Melayu Malaya. Di antara pemimpin-pemimpin API itu, ada juga yang cerdik dan melarikan diri dari Kelantan. Bila Muhammad Asri kembali ke Kelantan dan bertemu dengan teman-teman seperjuangannya, mereka berbincang hebat mengenai politik. Cara berfikir, Hasan dan Abdul Rahim masih sama seperti dulu, ke kiri. Selalunya radikal dan progresif. Tetapi cara berfikir Muhammad Asri sekarang telah berubah. Beliau memandang politik nasional dengan kacamata Islam".
Walau apapun, faktor sebenar PAS cepat bertapak dan berkembang di Kelantan adalah hakikatnya kerana arus perjuangan Islam telah lama bertapak di kalangan tokoh tempatan khususnya di sekitar Kota Bharu. Pengaruh perjuangan Islam tersebut telah dibawa oleh beberapa pemimpin Masyumi Indonesia (parti berlandaskan dasar Islam) yang datang menetap dan melawat Kelantan.
Di antara mereka yang dimaksudkan ialah Tamee @ Bustamin bin Ismail yang telah datang menetap di Kelantan sejak 1932. Beliau dilahirkan di Bukit Tinggi Sumatera Barat. Di Kota Bharu, beliau telah membuka perniagaan restoran yang menyediakan menu masakan ala Sumatera. Beliau telah bersahabat baik dengan Mohd Daud bin Salleh seorang penulis petisyen bertauliah di Kota Bharu. Mohd Daud adalah seorang yang meminati dan menghayati perjuangan Masyumi. Semasa PAS ditubuhkan pada 1951, berita itu cepat sampai ke pengetahuan Bustamin dan Mohd Daud. Mereka mendapat maklumat daripada beberapa rakan dan individu tertentu di Perak, khususnya melalui Khaidir bin Khatib yang mengajar agama di Ma'ahad Ehya al-Syariff Gunung Semanggol. Khaidir juga berasal dari Sumatera.
Menurut Amaludin Darus, pada masa itu Mohd Asri yang aktif dalam API telah berpindah ke Perak untuk mengelak dari diburu oleh pihak berkuasa. Beliau kemudian berkahwin dengan Sakinah anak kepada Haji Joned (juga dari Sumatera), salah seorang guru di Maahad Ehya Al-Syariff. Di maahad itulah Mohd Asri telah mula memahami perjuangan Islam dan kemudian bekerja dengan Pejabat PAS di Kepala Batas, Seberang Prai selepas PAS ditubuhkan.
Mohd Asri adalah adik ipar kepada Mohd Daud. Sokongan moral dan kewangan dari Mohd Daud dan Bustamin serta beberapa rakan lain turut sama mengadakan ceramah mengembangkan PAS di sekitar Kota Bharu. Sehingga mereka berjaya menubuhkan ranting PAS pertama di Kota Bharu dalam tahun 1952. Di antara tokoh yang bersama -sama Mohd Daud dan Bustamin ialah Mohd Amin bin Yaakob (pembantu Mohd Daud), Ishak Lotfi bin Omar (anak tiri Mohd Daud/ Pegawai Majlis Agama) dan Abdul Rahman sulong (imam di Dewan Beta).
Selepas penubuhan ranting PAS itu, ia diikuti dengan penubuhan PAS cawangan pertama di Kelantan bertempat di Pasir Mas. Penubuhan itu adalah atas usaha Amaluddin Darus, Omar bin Yusuf, Ustaz Badullah Ahmad dan lain-lain. Penubuhan secara rasmi PAS cawangan Pasir Mas ialah pada 23 Julai 1953.
Berteraskan perjuangan Islam, PAS berjaya menarik golongan yang benar-benar cintakan Islam seperti pada ulamak, ustaz-ustaz dan pelbagai lapisan masyarakat.
Kejayaan penubuhan PAS cawangan Pasir Mas telah mendorong Amaluddin Darus bersama-sama Ahmad bin Yatim dan Mohd Noor bin Senik terus menyebarkan PAS ke seluruh negeri Kelantan dengan pelbagai cara. Di antaranya ialah dengan cara berbual di kedai kopi. Kesempatan berbual di kedai kopi dimanfaatkan dengan memperkenalkan dasar perjuangan PAS .
Cawangan kedua PAS ialah di Machang pada 21 September 1953. Pengasas penubuhannya ialah Hj. Muhammad Nor bin Hj Yusoff atau lebih dikenali sebagai Haji Mohd Nor Machang.
Selepas cawangan Machang, PAS berjaya menubuhkan rantingnya di Tanah Merah diikuti dengan Pasir Puteh pada tahun 1954. PAS dikatakan berkembang pesat setelah kepulangan Mohd Asri bin Hj. Muda dibantu oleh Ishak Lotfi bin Omar anak saudaranya. Ustaz Othman Abdullah, Ketua Pemuda PAS Pusat turut berperanan membantu Mohd Asri. Kemudian muncul seorang tokoh tempatan dari Pasir Puteh, Ustaz Hj Adam Kamil.
Hasilnya PAS telah berkembang dan berjaya menubuhkan cawangan di Tanah Merah (1955), Bachok (1956), Kuala Krai (1958) dan Tumpat (1959).
Selepas tahun 1955, PAS Kelantan membuka lembaran baru berikutan kepulangan Mohd Asri. Beliau diberi penghormatan menjadi Pesuruhjaya PAS Kelantan dan Terengganu. Sementara Amaluddin Darus selaku Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan dan Terengganu.
Ketokohan Mohd Asri banyak menyumbang kepada menggerakkan sentimen kefahaman politik Islam. Pidatonya yang disokong dengan bacaan ayat-ayat Al-Quran dan Hadis di samping pandai menyelitkan unsur-unsur nasionalisme. Persembahan pidatonya telah berjaya menarik guru-guru pondok menyertai PAS. Di antara guru pondok yang terkedepan ialah Tuan Guru Haji Abdullah Tahir dari Pondok Bunut Payong.
PAS Kelantan Mewarisi Perjuangan Islam Sebelumnya
PAS pada asalnya adalah Persatuan Alim-Ulama’ Se-Tanah Melayu mewarisi Hizbul Muslimin yang ditubuhkan pada tahun 1947 (oleh Ust Abu Bakar al-Baqir, Pengasas Ihya’ al-Syarif Gunung Semanggol), iaitu kesinambungan daripada perjuangan pembaharuan masyarakat Islam oleh ulamak yang belajar di Timur Tengah.
PAS telah didaftarkan sebagai sebuah parti politik sehari sebelum penamaan calon bagi pilihan raya Majlis Undangan Persekutuan iaitu pada 31 Mei 1955. Lantaran itu, pengaruh PAS belum menyeluruh, hanya baru bertapak di Perak, Kelantan dan Terengganu. Meskipun begitu, PAS percaya bahawa langkah untuk menyertai pilihan raya pada masa itu merupakan latihan semata-mata dan sangat wajar untuk memperkenalkan PAS kepada rakyat secara terbuka.
Setelah empat tahun penubuhan, PAS menyertai pilihan raya Majlis Undangan Persekutuan tahun 1955. PAS meletakkan calon bertanding di tiga kawasan di Kelantan dan kesemuanya kalah. Mereka ialah Mohammad Asri (Bachok dan Pasir Puteh), Muhammad Nor Hj Yusof (Mahang dan Ulu Kelantan) dan Haji Mokhtar Hj Ahmad (Pasir Mas).
Walau bagaimanapun, PAS mendapat satu kemenangan di Kerian, Perak melalui calonnya Tuan Haji Ahmad Tuan Husain, seorang guru pondok di Pokok Sena, Seberang Prai.
Berikutan dengan kekalahan itu, jentera PAS bergerak lebih aktif lagi, contohnya Mohd Asri dan Amaluddin Darus hanya berehat seminggu dan terus berusaha menyebarkan PAS ke seluruh Kelantan.
Berkat usaha gigih pemimpin terawal, PAS kemudian berjaya menguasai kerajaan negeri Kelantan melalui pilihan raya pertama selepas merdeka pada Ogos 1959. PAS Kelantan telah dianugerahkan kemenangan oleh Allah. PAS menang 28 kerusi Dewan Undangan Negeri daripada 30 kerusi. Kemenangan yang menguji PAS Kelantan untuk mentadbir kerajaan Negeri.
Dalam pilihanraya 1959 itulah Profesor Zulkifli Muhammad selaku Timbalan Yang DiPertua PAS Pusat, seorang tokoh PAS Pusat telah didatangkan bertanding di Parlimen Bachok. Beliau telah menang dan berjaya menjadi salah seorang ahli Parlimen pembangkang yang paling disegani oleh kawan dan lawan.
Kemenangan pilihan raya 1959, telah meletakkan taraf PAS Kelantan sebagai parti kerajaan di negeri dan mengekalkan status-quo pembangkang di Persekutuan. Oleh itu, perjalanan kerajaan negeri Kelantan sepanjang masa menghadapi cabaran dan diskriminasi kerajaan Persekutuan yang dikuasai UMNO bersama-sama parti komponannya yang membentuk Perikatan.
Pada tempoh yang sama, PAS Kelantan turut mengalami cabaran kepimpinan ekoran daripada perjalanan parti dan kerajaan negeri yang dikuasai. Sehingga mana mewujudkan perselisihan dan percanggahan sesama sendiri. Ketika itu, pemimpin UMNO sedia bertindak sebagai pemecah belah kestabilan kepimpinan PAS di Kelantan. Akhirnya, PAS Kelantan tidak mampu bertahan, apabila kekecohan kepimpinan memuncak dan kerajaan Persekutuan menerusi kuasa-kuasa yang ada telah memagerankan kerajaan Kelantan pada tahun 1977.
Pilihan raya negeri Kelantan secara khusus diadakan pada Mac 1978, PAS Kelantan telah menjadi pembangkang. PAS hanya menang dua kerusi, diibaratkan batu nesan – Kemumin (di hilir) dan manek Urai (di hulu). UMNO telah menguasai kerajaan dengan bersama-sama parti Berjasa serpihan PAS.
Sesungguhnya era kebangkitan semula pengaruh PAS Kelantan menguasai politik berlaku selepas kekalahan pilihan raya negeri 1978. Ia berlaku selepas pilihan raya umum 1982, sebaik sahaja kepimpinan PAS peringkat nasional berubah daripada kepimpinan tradisi nasionalis kepada kepimpinan ulamak beragama. Akibat daripada itu, sekali lagi PAS melahirkan parti serpihan, Hamim.
Kebangkitan semula itu telah menserlahkan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan sekaligus sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.
Pada pilihan raya pertama selepas kekalahan tahun 1982, PAS memenangi 10 kerusi dewan negeri. Namun selepas itu, lima daripadanya telah menyertai Hamim. Kemudian pada pilihan raya 1986, PAS masih memenangi 10 kerusi dewan negeri.
Perkembangan selanjutnya adalah dipengaruhi langsung oleh pendekatan kepimpinan ulamak. Hala tuju tarbiah disusun semula. Ustaz Yahya Othman mengambil peranan utama bersama-sama Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz melaksanakan kuliah untuk masyarakat umum dan usrah untuk kepimpinan dalaman. Kesan daripada itu, kepimpian dan ahli serta penyokongnya telah dibekalkan kefahaman dan fikrah perjuangan mantap.
Menjelang pilihan raya 1990 berlaku krisis dalaman hebat kepimpinan UMNO dan ditambah pula permasalahan dalaman kerajaan Barisan Nasional Kelantan. PAS Kelantan yang telah bertungkus lumus daripada awal menyusun kekuatan, lantas bangkit mengisi peluang dan telah mengadakan kerjasama baik dengan parti Semangat 46, serpihan UMNO yang dipimpin Tengku Razaleigh bin Tengku Hamzah.
Berlaku pilihan raya 1990, PAS telah mempunyai kekuatan berganda, bekerjasama melalui Angkatan Perpaduan Ummah (didokongi oleh Parti Semangat 46, Berjasa dan Hamim) dan berjaya memenangi kesemua 39 dewan undangan negeri (25 – PAS, 12 Semangat 46, 1 – Berjasa, 1 – Hamim). PAS kembali menguasai kerajaan negeri Kelantan berlaih kepada PAS atas semangat kerjasama dengan Angkatan Perpaduan Ummah.
Selama dua pengggal pilihan raya, kira-kira 10 tahun pemerintahan PAS bersama-sama Angkatan Perpaduan Ummah banyak kejayaan telah dikecapi. Di antara yang terbesar adalah merealisasikan pentadbiran secara Islam mengikut kuasa-kuasa yang ada di peringkat kerajaan Negeri.
Namun, kejayaan itu terganggu seketika bila mana Semangat 46 dilanda krisis dalaman, lalu ia dibubarkan pada tahun 1996. Selepas itu, PAS Kelantan mengenderai kerajaan dengan penuh berhati-hati terutama di dalam menangani ganggu–gugat daripada bekas pemimpin Semangat 46 yang telah menyertai UMNO.
Berkat kesabaran dan keyakinan kepada usaha menegakkan Islam, PAS Kelantan berjaya melepasi ganggu-gugat tersebut. Terlepasnya daripada usaha pecah-belah di antara kepimpinan kerajaan Negeri dengan Institusi Istana. Hasilnya begitu baik sekali. Prestasi pilihan raya 1999 jelas melonjak, memenangi 41 daripada 43 dewan undangan negeri. Pembentukan kerajaan negeri pda pengal ketiga ini dilihat lebih mantap. Lebih-lebih ia dibayangi kekuatan Barisan Alternatif (kerjasama PAS, DAP, Keadilan dan PRM) yang diterajui PAS di peringkat nasional.
Sesungguhnya PAS Kelantan kini sedang mencipta sejarah kegemilangan. Di antara nilai kegemilangan itu adalah kejayaan mentadbir negeri atas nama perjuangan Islam, menampilkan kepimpinan ulama’ di peringkat parti dan kerajaan dan melengkapkan infrastruktur (fizikal) parti berasaskan kecanggihan teknologi.
Oleh itu, bersekali dengan kesibukan kepimpinan PAS Kelantan menguruskan kerja-kerja pentadbiran kerajaan negeri, masih terlaksana juga kerja-kerja untuk menyempurnakan tugas parti dan mengukuhkan PAS pada keseluruhannya. Di dalam melaksana kedua-duanya (kerja kerajaan dan parti) asas kebulatan tekad dan keupayaan tulang empat kerat di kalangan pemimpin dan ahli PAS telah terbukti dan membuahkan kejayaan menjelang sambutan 50 tahun – perayaan jubli emas.
Jubli Emas PAS akan disambut di peringkat nasional pada 7 – 9 September 2001.PAS Kelantan bertuah kerana terpilih sebagai tuan rumah. Sejarah sambutan ini kelak amat bermakna sekali terutama ketika PAS Kelantan bersama-sama PAS Terengganu kini menjadi fokus di pentas politik negara.
Justeru itu, baik sekiranya semua kepimpinan, ahli dan penyokong PAS di semua peringkat dapat menyelami, memahami dan dijadikan pedoman daripada sejarah yang dilalui oleh PAS secara keseluruhannya.
PAS yang telah banyak menghadapi liku-liku, onak dan duri. Sejarah perjuangan yang berliku-liku ini tidak diketahui secara jelas oleh kebanyakan generasi muda hari. Oleh itu, wajar bagi PAS Kelantan bersempena genap umur 50 tahun ini, dapat bersama-sama melakar dan merakamkan semula sejarah perjuangannya kepada semua ahli PAS dan orang awam demi mendedahkan kebaktian perjuangan Islam di tanah air yang tercinta ini.
Sekian
Tuesday, May 12, 2009
Pas Marang diterajui YDP baru
Yahaya yang juga Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Terengganu mendapat undi kedua tertinggi dengan 437 sementara undi tertinggi diraih oleh anak Presiden PAS, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Mesyuarat agung yang dirasmikan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik yang turut dihadiri Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak yang juga ADUN Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim Abdullah.
Mantan Yang di Pertua kawasan, Ustaz Hassan dalam ucapan aluan perasmian dan penangguhannya pada majlis tersebut , menyatakan hasrat beliau untuk tidak lagi memimpin PAS kawasan. Walaubagaimana, beliau yang mula menerajui PAS kawasan sejak sesi 2001-2003 dipilih semula oleh perwakilan sebagai ahli jawatankuasa dengan 267 undian.
Penyandang jawatan Naib Yang Dipertua bagi sesi lepas, Ustaz Ahmad Maarof Ismail dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah sebagai Naib.
Sementara itu bagi jawatan Setiausaha, Bendahari serta ketua penerangan masih dikekalkan kepada penyandang masing-masing Hassan Jusoh, Haji Abdul Haris Abdul Malik dan Ustaz Sidik Abu Bakar.
Mesyuarat Agung Tahunan PAS kawasan kali ke-25 yang diadakan di Masjid Rusila sabtu lalu memilih 20 orang ahli jawatan kuasa.
Mereka ialah ialah Haji Abdul Haris Abdul Malik yang mendapat 433 undi, Hassan Jusoh (413), Ustaz Ahmad Maarof Ismail (410), Ustaz Mohd Nor Hamzah (406), Haji Zaihan Daud (372), Haji Mohd Draman (329), Mohd Daik Abu Bakar (326), Ustaz Sidik Abu Bakar (321), Haji Husin Ismail (306), Asri Abd Aziz (295), Ustaz Abdullah Suhaimi Zakaria (295), Abdul Hadi Mohamad (273), Abu Bakar Salleh (268), Mohd Nasir Ismail (247), Ustaz Baharuddin Mohd (231), Ustaz Yassin Salleh (229) dan Ramli Jambol (209).
Sementara itu, mesyuarat itu meluluskan usul yang mendesak agar PAS Pusat melakukan apa jua usaha bagi memperkasakan kepimpinan ulama' sebagai teras perjuangan dalam menghadapi apa jua kemelut pilitik masa kini.
Usul daripada PAS Cawangan Tebakang itu pada awalnya dibuka untuk dibahaskan, namun para perwakilan yang hadir menerimanya sebulat suara setelah wakil cawangan berkenaan memberi penjelasan mengenai usul tersebut.
Album
Sunday, May 10, 2009
PAS Marang dapat ketua baru
MARANG, 10 Mei: PAS Kawasan Marang mendapat ketua baru apabila Yahaya Ali dipilih sebagai Yang Dipertua PAS kawasan bagi sesi 2009-2011 menggantikan Hassan Mohd Salleh.Ahmad Maarof Ismail dipilih sebagai timbalan dan Mohd Nor Hamzah (naib) sementara jawatan setiausaha, bendahari dan ketua penerangan dikekalkan kepada Hassan Jusoh, Abdul Haris dan Sidik.
Bagi pemilihan ahli jawatankuasa PAS Kawasan Marang sesi 2009-2011 menyaksikan anak Presiden PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi mendapat undi tertinggi.
Khalil yang merupakan ahli jawatankuasa PAS kawasan mendapat 440 undi daripada 586 perwakilan pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS kawasan kali ke-25 di Masjid Rusila, semalam.
Turut berucap pada mesyuarat agung yang dirasmikan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik itu ialah Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak, Drs Idham Lim Abdullah.
Timbalan Yang Dipertua PAS kawasan, Yahaya Ali mendapat tempat kedua dengan 437 undi, diikuti Abdul Haris Abdul Malik (433), Hassan Jusoh (413), Ahmad Maarof Ismail (410), Mohd Nor Hamzah (406), Zaihan Daud (372), Mohd Draman (329), Mohd Daik Abu Bakar (326), Sidik Abu Bakar (321).
Husin Ismail (306), Asri Abd Aziz (295), Abdullah Suhaimi Zakaria (295), Abdul Hadi Mohamad (273), Abu Bakar Salleh (268), Hassan Mohd Salleh (267), Mohd Nasir Ismail (247), Baharuddin Mohd (231), Yassin Salleh (229) dan Ramli Jambol (209).
Sementara itu, mesyuarat agung kawasan itu meluluskan usul yang mendesak PAS Pusat melakukan apa jua usaha bagi memperkasakan kepimpinan ulama sebagai teras perjuangan dalam menghadapi apa jua kemelut pilitik masa kini.
Usul daripada PAS Cawangan Tebakang itu pada mulanya dibuka untuk dibahas tetapi para perwakilan menerimanya sebulat suara setelah wakil cawangan berkenaan memberi penjelasan mengenai usul itu.


