Berikut adalah calon-calon PAS bagi kerusi DUN di Terengganu:
KAWASAN PARLIMEN P0333 BESUT
 |
Calon-calon PAS dalam Parlimen Besut ketika Hari Penamaan Calon:
Dari Kiri Puan Napisah (Kuala Besut), Ust. Ridhuan (Parlimen), Ustaz Wan Azhar (Jertih),
Cikgu Shalahuddin (Hulu Besut) dan Ustaz Adam (Kota Putera) |
N01 Kuala Besut
Di DUN Kuala Besut, PAS bertindak meletakkan calon muka baru dalam
kalangan muslimat dan merupakan percubaan PAS dalam meletakkan calon
wanita di Terengganu. Untuk rekod, Barisan Nasional tidak menurunkan
walau seorang pun calon wanita pada PRU kali ini setelah Senator
Nordiana Shafie tewas dalam PRU12 di tangan Dr. Syed Azman di DUN Batu
Burok.
Calon PAS bagi DUN Kuala Besut adalah Puan Napisah binti Ismail yang
akan menentang calon BN iaitu A.Rahman Mokhtar, Exco Kesihatan Negeri
Terengganu.
Berusia 53 tahun, beliau yang menetap di Kampung Denger Bukit Puteri,
Jerteh merupakan seorang aktivis Muslimat parti yang aktif di kawasan
Besut. Beliau adalah merupakan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Besut,
Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Kuala Besut, serta AJK Lajnah Politik
Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu.
N02 Kota Putera
DUN Kota Putera dalam Parlimen Besut hampir menyaksikan pertandingan
tiga penjuru di antara PAS-BN-PKR sehinggalah calon PKR, Mohamed Abdul
Ghani Ibrahim bersetuju untuk beralah dan memberi laluan kepada PAS
untuk bertanding di DUN berkenaan.
Oleh itu, pertembungan di DUN Kota Putera kali ini akan menyaksikan
calon PAS, Al-Fadhil Ustaz Adam bin Mat Said akan mencabar calon muka
baru BN iaitu Mohd Mahdi bin Musa.
Calon PAS, Ustaz Adam bin Mat Said bukanlah satu nama yang asing kepada
penduduk di kawasan Besut. Mendapat pendidikan Islam sehingga ke
Morocco, beliau merupakan pengasas kepada Pusat Tarbiah Nurul Iman,
Besut dan menjadi Mudir kepada pusat tesebut.
N03 Jertih
DUN Jertih merupakan sebuah kubu kuat UMNO berdasarkan keputusan dua PRU
yang lepas iaitu pada tahun 2004 dan 2008 disebabkan sentimen Menteri
Besar Terengganu yang berasal daripada kawasan Jertih iaitu Datuk Seri
Idris Jusoh. Walaubagaimanapun, krisis UMNO Terengganu menyaksikan Idris
tidak lagi mempertahankan kerusi DUN berkenaan dalam PRU kali ini akan
tetapi sebaliknya bertindak bertanding di kawasan Parlimen Besut.
Kawasan DUN Jertih dan Parlimen Besut bukanlah terlalu
solid
kepada BN apabila Idris sendiri pernah ditewaskan di DUN Kampung Raja
pada PRU 1999 walaupun ketika itu beliau merupakan seorang Timbalan
Menteri. Kemenangan UMNO di kawasan Besut dalam PRU lalu banyak dibantu
oleh sentimen bahawa Menteri Besar berasal dari kawasan tersebut.
Dalam PRU13, PAS menurunkan seorang calon yang agak
heavyweight
untuk merampas semula DUN Jertih daripada tangan BN, lebih-lebih lagi
setelah ketiadaan Idris di kawasan tersebut. Calon PAS, Ustaz Wan Azhar
bin Wan Ahmad akan mencabar calon BN, Muhammad Pehimi bin Jusoh, ADUN
Kota Putera yang ditukarkan bertanding di DUN Jertih pada kali ini.
Berusia 53 tahun, Ustaz Wan Azhar sebelum ini merupakan seorang Guru
Pendidikan Islam yang berkhidmat di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia
sebelum mengambil keputusan untuk terlibat secara aktif bersama PAS.
Sepanjang perkhidmatannya dalam kerajaan, beliau telah berkhidmat di
Sabah selama hampir 15 tahun, Terengganu (3 tahun) dan di Negeri
Sembilan selama 7 tahun sebelum mengambil keputusan meninggalkan
profesion perguruan pada tahun 2012.
Dari segi pendidikan, beliau merupakan bekas pelajar SMKA Tok Jiring
Kuala Terengganu sebelum melanjutkan pelajaran ke Pondok Pasir Tumboh,
Kelantan dan Institut Berakan, Kuala Terengganu sebelum mendapat latihan
pendidikan perguruan dalam bidang Diploma Pengajian Islam di Maktab
Perguruan Islam Kuala Lumpur.
Sepanjang bertugas di Sabah selama hampir 15 tahun, beliau adalah
merupakan individu penting yang menjadi pengasas kepada PAS Sabah
termasuklah menjadi Ketua Pemuda PAS Sabah, Setiausaha Dewan Ulama PAS
Sabah dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Sabah. Pada masa ini, beliau
merupakan Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Besut dan AJK Badan
Perhubungan PAS Negeri Terengganu.
N04 Hulu Besut
DUN Kuala Besut dalam Parlimen Besut akan menyaksikan calon muka baru
PAS, Shalahuddin bin Jaafar menentang penyandang kerusi berkenaan selama
dua penggal daripada BN iaitu Nawi Mohamad.
Berusia 50 tahun, Shalahuddin adalah merupakan seorang graduan dalam
bidang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM). Beliau kemudiannya telah menceburi bidang pendidikan dan menjadi
guru di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.
Antara pengalaman kerjaya beliau dalam bidang pendidikan termasuklah
menjadi guru di Maahad Saniah, Pasir Puteh, Kelantan (1990-2005),
sebelum menjadi pentadbir sekolah iaitu sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal
Murid (2006) dan Penolong Kanan Pentadbiran (2010).
KAWASAN PARLIMEN P034 SETIU
N05 Jabi
Di DUN Jabi dalam Parlimen Setiu, PAS terus memberi kepercayaan kepada
bekas calon PAS pada PRU12 iaitu Dr.Azman bin Ibrahim untuk menjadi
calon PAS bagi DUN tersebut dalam PRU13.
Dalam PRU kali ini, beliau akan menentang calon muka baru BN iaitu Mohd
Iskandar bin Jaafar, setelah penyandang kerusi berkenaan selama dua
penggal iaitu Ramlan bin Ali diketepikan daripada menjadi calon pada
kali ini.
Berusia 38 tahun, Dr.Azman mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Agama
Maarif, Besut, Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin,
Kuala Terengganu, sebelum melanjutkan pengajian di Iraq dalam bidang
pergigian. Beliau merupakan seorang graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda
Pergigian dari
University of Baghdad, Iraq.
Sekembalinya ke Malaysia, beliau berkhidmat sebagai pegawai pergigian di
sekitar negeri Terengganu termasuklah Pegawai Pergigian di Klinik
Pergigian Kuala Terengganu (Jalan Air Jerneh), Pegawai Pergigian di
Hospital Kuala Terengganu dan Pegawai Pergigian di Hospital Daerah
Besut.
Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai Pensyarah Pergigian (Pelatih) di
Universiti Sains Malaysia sebelum membuka klinik pergigian sendiri di
Kubang Kerian, Kelantan.
Di peringkat parti, beliau merupakan Ketua Pemuda PAS Kawasan Jabi,
Pengarah MTD Jabi, AJK Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu serta AJK
Lujnah Alam Sekitar PAS Pusat. Beliau juga merupakan antara pemimpin
penting dalam Badan Bertindak i-Bantah, sebuah NGO yang cuba menangani
isu dalam projek ternakan udang i-SHARP di Kampung Nyatuh, Setiu.
N07 Langkap
Di DUN Langkap dalam Parlimen Setiu, PAS meletakkan calon muka baru
iaitu Haji Hassan bin Karim yang akan ditentang oleh calon yang juga
muka baru dari BN iaitu Sabri bin Mohd Noor. Penyandang DUN berkenaan
iaitu Ashaari Idris (BN) telah diketepikan daripada menjadi calon pada
PRU kali ini.
Berusia 61 tahun, beliau yang menetap di Kampung Sungai Pinang, Bandar
Permaisuri, Setiu ini adalah merupakan seorang yang tidak asing lagi
kepada penduduk di kawasan Setiu.
Setelah menamatkan pengajian di Institut Teknologi MARA (ITM), beliau
memulakan karier sebagai pegawai tadbir dalam perkhidmatan awam di
sekitar negeri Terengganu termasuklah Pegawai Petempatan di Pejabat
Tanah Daerah Hulu Terengganu dan Pejabat Tanah Daerah Besut. Beliau juga
pernah dilantik menyandang jawatan Penghulu di beberapa buah mukim di
Terengganu termasuklah Penghulu Mukim Hulu Nerus dalam Majlis Daerah
Setiu dan jawatan terakhir sebagai Penghulu Mukim Pasir Raja dalam
Daerah Dungun.
Di kawasan Setiu, beliau telah berkhidmat sebagai Imam di Masjid Kampung
Sungai Bari selama hampir 24 tahun dan menjadi antara pengasas kepada
Darussyifa di kawasan Setiu. Di peringkat parti, beliau merupakan AJK
Urusan Dewan Ulama PAS Kawasan Setiu dan AJK Urusan Dewan Ulama PAS
Negeri Terengganu.
N08 Batu Rakit
Di DUN Batu Rakit dalam Parlimen Setiu, PAS meletakkan calonnya, Haji
Che Ghani bin Che Ambak bagi menentang calon muka baru daripada BN,
Bazlan bin Abdul Rahman. Dalam PRU kali ini, BN telah menggugurkan
penyandang kerusi berkenaan iaitu Khazan bin Che Mat yang juga merupakan
Exco Agama Islam Negeri Terengganu sebelum ini.
Calon PAS, Haji Che Ghani adalah merupakan Mantan Ahli Parlimen Setiu
selama sepenggal pada tahun 1999-2004 ketika PAS menguasai negeri
Terengganu dalam PRU10.
Calon PAS tersebut bukanlah calang-calang orang. Mendapat pendidikan di
Sekolah Alam Shah (SAS) Kuala Lumpur, beliau kemudiannya mendapat Ijazah
Geologist Petroleum dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada
tahun 1979. Selain itu, beliau turut mendapat Sijil Pengajian Islam dari
KUSZA pada tahun 2001.
Di bidang pekerjaan, beliau pernah dilantik menjadi Pengarah Jabatan
Geologi Negeri Terengganu (1982), Geologist Kanan Petroleum dan
Perlombongan Negeri Terengganu (1985) dan menjadi Ahli Lembaga Pengarah
Institut Kerjaraya Malaysia (IKRAM) di Bangi.
Ketika PAS menguasai pentadbiran negeri Terengganu, beliau pernah
dilantik untuk mengetuai beberapa buah syarikat GLC negeri seperti
Pengerusi GP Glass dan Pengerusi Permint Mineral Sdn Bhd.
KAWASAN PARLIMEN P35 KUALA NERUS
 |
Calon-calon PAS Parlimen Kuala Nerus:
dari kiri Ust. Hishamuddin (Tepuh), Ust. Ridzuan (Teluk Pasu),
Ustaz Khairuddin at-Takiri (Parlimen), Dr. Alias (Bukit Tunggal) dan Ustaz Zakaria (Seberang Takir) |
N09 Tepuh
Di DUN Tepuh dalam Parlimen Kuala Nerus, PAS meletakkan calon muka baru
dan seorang anak muda iaitu Ustaz Hishamuddin bin Abdul Karim di DUN
berkenaan. Beliau akan menentang penyandang kerusi berkenaan daripada BN
iaitu Ustaz Muhammad Ramli Nuh.
Berusia 35 tahun, beliau merupakan seorang graduan dari Universiti
Al-Azhar, Kaherah dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Syariah (Kepujian).
Beliau merupakan seorang yang aktif sebagai penceramah agama di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.
Di peringkat parti, beliau merupakan Ketua Pemuda PAS Kawasan Kemaman dan Exco Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu.
N10 Teluk Pasu
Di DUN Teluk Pasu, PAS meletakkan calonnya iaitu Ustaz Ridzuan bin
Hashim bagi menentang penyandang kerusi berkenaan daripada BN iaitu
Datuk Abdul Rahin bin Mohd Said.
Berusia 41 tahun, Ustaz Ridzuan merupakan seorang graduan Diploma
Syariah daripada Kolej Universiti Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Ijazah
Sarjana Muda Syariah dari Universiti al-Azhar, Mesir serta mendapat
kelulusan di peringkat Sarjana (masters) dalam bidang Syariah daripada
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai Imam 1 di Masjid Darul
Ehsan, Subang Jaya, Selangor. Di peringkat parti, beliau adalah
merupakan Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Terengganu dan Ketua Pemuda
PAS Kawasan Kuala Nerus.
N11 Seberang Takir
Di DUN Seberang Takir dalam Parlimen Kuala Nerus, PAS meletakkan
calonnya iaitu Ustaz Zakaria bin Dagang bagi menentang calon BN yang
juga merupakan Exco Pendidikan Negeri Terengganu, Datuk Ahmad Razif bin
Abdul Rahman. Pada mulanya juga, berlaku pertandingan tiga penjuru di
antara PAS-PKR-BN sehinggalah calon PKR, Ahmad Nazri Mohd Yusof
bersetuju memberikan laluan kepada calon PAS.
Dilahirkan pada tahun 1960 dan berusia 53 tahun, beliau merupakan anak
jati Kampung Batin, Seberang Takir. Beliau merupakan seorang aktivis
parti dan berkhidmat sebagai pegawai tadbir di Pejabat Perhubungan PAS
Negeri Terengganu. Ketika PAS menguasai pentadbiran Terengganu pada
tahun 1999, beliau pernah dilantik sebagai Pengarah Urusetia Penerangan
Kerajaan Negeri Terengganu sehingga tahun 2004.
Di peringkat parti, beliau merupakan Timbalan Ketua Penerangan PAS
Negeri Terengganu serta Ketua Penerangan PAS Kawasan Kuala Nerus.
N12 Bukit Tunggal
Di DUN Bukit Tunggal dalam Parlimen Kuala Nerus, ADUN PAS Bukit Tunggal
iaitu Dr. Alias bin Razak akan mempertahankan kerusi yang dimenangi
dalam PRU12 yang lalu. Beliau akan ditentang oleh calon muka baru
daripada BN iaitu Ismail bin Nik.
Berusia 54 tahun, Dr. Alias yang mendapat pendidikan di Sekolah Alam
Shah (SAS) Kuala Lumpur kemudiannya memperoleh kelayakan ikhtisas Doktor
Perubatan (M.D) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Dalam bidang kerjayanya sebagai seorang doktor, beliau pernah berkhidmat
sebagai pegawai kesihatan di beberapa buah hospital dalam negeri
Terengganu termasuklah Hospital Kuala Terengganu, Hospital Daerah
Jertih, Hospital Daerah Kemaman dan menjadi Pegawai Kesihatan
Epidemiologgi Negeri Terengganu. Beliau kemudiannya meletakkan jawatan
dalam bidang perkhidmatan awam dan membuka sebuah klinik persendirian di
Pekan Batu Enam iaitu Klinik Haji Alias.
Dalam PRU 1999, beliau dicalonkan sebagai calon PAS di DUN Bukit Tunggal
dan menang, walaupun kemudiannya tewas pada PRU 2004. Pada PRU 2008,
beliau merampas kembali DUN berkenaan daripada BN.
Di peringkat parti, beliau merupakan Timbalan Pesuruhjaya III PAS Negeri
Terengganu, Timbalan Yang Dipertua PAS Kuala Nerus dan Pengarah MTD
Bukit Tunggal.
KAWASAN PARLIMEN P036 KUALA TERENGGANU
 |
Calon PAS dan PKR dalam Parlimen Kuala Terengganu: dari kiri Dr.Syed Azman (Batu Buruk), YM Raja Bahrin (Parlimen), Azan Ismail (PKR-Bandar), Hj.Wahid Endut (Wakaf Mempelam) & Dato' Tg.Hassan (Ladang) |
N13 Wakaf Mempelam
Di DUN Wakaf Mempelam dalam Parlimen Kuala Terengganu, calon PAS iaitu
Haji Mohd Abdul Wahid bin Endut akan mempertahankan kerusi DUN Wakaf
Mempelam yang dimenangi sejak lima penggal yang lalu. Dalam PRU kali
ini, beliau akan dicabar calon BN iaitu Wan Mahyudin bin Wan Ngah.
Berusia 56 tahun, Haji Abdul Wahid merupakan seorang graduan Universiti
Pertanian Malaysia (UPM) dalam Diploma Perikanan dan Sains Samudera.
Beliau memulakan kerjaya beliau sebagai Pegawai Pusat Pengembangan dan
Pendidikan Lanjutan di UPM sebelum bertindak menceburi politik sepenuh
masa setelah menjadi calon PAS di DUN Bandar.
Dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Terengganu pada awal tahun 2009,
beliau telah menjadi calon PAS dan berjaya merampas kerusi Parlimen
berkenaan setelah menewaskan calon BN, Senator Wan Ahmad Farid bin Wan
Salleh. Walaubagaimanapun, beliau tidak mempertahankan kerusi tersebut
pada PRU kali ini setelah memberi laluan kepada Pengerusi AMANAH Negeri
Terengganu sebagai calon PAS iaitu YM Raja Kamarul Bahrin Syah.
Ketika PAS menguasai pentadbiran Terengganu pada tahun 1999, beliau
telah dilantik menjadi EXCO Kerajaan Negeri Terengganu dan menjawat
portfolio Keusahawanan, Belia dan Sukan Negeri Terengganu.
Di peringkat parti, beliau merupakan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu
(2011/2013) dan Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu.
N15 Ladang
Di DUN Ladang dalam Parlimen Kuala Terengganu, calon PAS iaitu Dato'
Tengku Hassan bin Tengku Omar akan mempertahankan kerusi yang telah
dimenangi oleh beliau dalam PRU12 yang lalu. Pada kali ini, BN
mengetepikan bekas Exco yang tewas di tangan Dato' Tengku Hassan dalam
PRU 12 iaitu Dato' Wan Muhammad Hisham bin Wan Salleh dan digantikan
oleh abangnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Dato' Wan
Ahmad Farid bin Wan Salleh.
PRU kali ini merupakan cubaan kedua Wan Ahmad Farid untuk menjadi wakil
rakyat setelah ditewaskan dalam Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu pada
tahun 2009, walaupun desas-desus menyatakan kerusi DUN Ladang akan
ditandingi oleh Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu iaitu
Datuk Sabri Alwi.
Calon PAS bagi DUN Ladang, Dato' Tengku Hassan merupakan seorang calon
yang berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran di negeri Terengganu.
Berusia 62 tahun, beliau merupakan seorang graduan lulusan Ijazah
Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya.
Beliau kemudiannya dilantik menjadi Pegawai Tadbir Negeri Terengganu
(Terengganu Civil Servants) termasuklah
menjadi Pegawai Daerah Besut, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu,
Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri
Terengganu, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Terengganu, sebelum menjadi
Pegawai Kewangan Negeri Terengganu ketika era pemerintahan PAS.
Di peringkat parti, beliau merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan
Kuala Terengganu, AJK Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu dan
Pengarah MTD DUN Ladang.
N16 Batu Buruk
Di DUN Batu Buruk, PAS terus memberi kepercayaan kepada Dr. Syed Azman
untuk mempertahankan kubu kuat PAS dalam Parlimen Kuala Terengganu itu.
Dalam PRU kali ini, BN mempertaruhkan calon lama yang dipanggil semula
untuk bertanding iaitu Datuk Che Mat Jusoh.
Dengan kehadiran Datuk Che Mat Jusoh, tugas PAS untuk mempertahankan DUN
berkenaan nampak mudah setelah gelombang anak muda yang sememangnya
menolak Datuk Che Mat Jusoh atas kemerosotan prestasi bola sepak
Terengganu sehingga mewujudkan gelombang ABC - Asalkan Bukan
CheMatJusoh.
Calon PAS, Dr.Syed Azman bin Syed Ahmad Nawawi adalah merupakan seorang
calon yang berkaliber dan banyak membongkarkan isu salahlaku pemimpin BN
di Terengganu. Berusia 52 tahun, Dr.Syed Azman mendapat Ijazah Sarjana
(masters) dalam bidang Sains Politik dan Pentadbiran Awam dari Indiana
State University, Amerika Syarikat sebelum mendapat Ijazah Kedoktoran
(PhD) dalam Politik Antarabangsa dari University of Birmingham, United
Kingdom.
Sebelum menceburi bidang politik sepenuh masa, beliau merupakan
Pensyarah di Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Dalam PRU10 pada tahun 1999, beliau bertanding di Parlimen Kuala
Terengganu atas tiket PAS dan menang. Walaupun tewas di kerusi Parlimen
Kuala Terengganu dalam PRU 11 pada tahun 2004, beliau kembali berkhidmat
sebagai wakil rakyat setelah memenangi kerusi DUN Batu Buruk dalam
PRU12 pada tahun 2008.
Di peringkat parti, beliau merupakan Penolong Setiausaha Agung PAS
Pusat, Timbalan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat serta Pengarah
MTD DUN Baru Buruk. Beliau juga sering menjadi wakil PAS di peringkat
antarabangsa berdasarkan kelayakan yang ada padanya.
KAWASAN PARLIMEN P037 MARANG
 |
Perarakan penamaan calon PAS dalam Parlimen Marang: Dari kiri Ustaz Sulaiman, berbaju melayu kuning (Peng.Berangan), Ust. Mohd Nor (Bkt.Payong), TG Presiden (Parlimen/Rhu Rendang) & Ust.Ariffin (Alor Limbat) |
N17 Alor Limbat
Di DUN Alor Limbat dalam Parlimen Marang, PAS meletakkan calon muka baru
di DUN berkenaan bagi menentang calon BN iaitu Alias Abdullah. Selain
itu, DUN berkenaan akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru apabila
seorang ahli UMNO iaitu Ja'afar Jambol bertanding sebagai calon Bebas di
DUN Alor Limbat.
Calon PAS, Ustaz Ariffin bin Deraman merupakan seorang tokoh agama yang
banyak berjasa kepada penduduk di sekitar Daerah Marang dan Kuala
Terengganu. Berusia 45 tahun, beliau mendapat dua Ijazah Sarjana Muda
iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dari USM dan Ijazah Sarjana
Muda Syariah Islamiah dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Selain itu,
beliau turut mendapat Diploma dari KUDQI dan sijil pengamal perubatan
Islam dari Darussyifa.
Menjadi seorang ahli perniagaan, beliau ketika era pemerintahan PAS di
Terengganu pernah dilantik sebagai Pengarah Pusat Penyelidikan di
Pejabat Menteri Besar Terengganu. Beliau juga merupakan Pengarah Urusan
Al-Baghdadi Training Centre, dan turut merupakan seorang guru al-Quran,
pendakwah bebas serta sering menjadi mutawwif haji dan umrah ke Makkah.
Beliau juga merupakan seorang yang aktif dalam khidmat kemanusiaan
dengan menyertai pelbagai misi kemanusiaan termasuklah ke Kemboja dan
Padang, Indonesia.
Di peringkat parti, beliau merupakan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan
Kuala Terengganu dan Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Negeri Terengganu.
N18 Bukit Payong
DUN Bukit Payong dalam Parlimen Marang menyaksikan penyandang kerusi DUN
berkenaan iaitu Ustaz Mohd Nor bin Hamzah dikekalkan sebagai calon di
kerusi berkenan. Beliau akan ditentang oleh calon BN, Zaidi bin Muda.
Berusia 36 tahun, beliau merupakan seorang graduan Diploma Lanjutan dari
Pusat Pengajian Islam, Zamalek, Mesir sebelum mendapat Ijazah Sarjana
Muda dari Universiti Al-Azhar, Mesir.
Di bidang kerjaya, beliau pernah menjawat jawatan Penyelia Unit
Pembangunan Insan (UPI) di bawah pemerintahan PAS Terengganu (1999),
mubaligh MAIDAM, Mudir Marpanita Kuala Berang (Yayasan Islam Terengganu)
dan Timbalan Pengarah (Hal Ehwal Pelajar) KUDQI.
Di peringkat parti, beliau merupakan Ketua Pemuda PAS Negeri Terengganu,
Ketua Pemuda PAS Kawasan Hulu Terengganu dan mantan Ketua Urusan Ulama
PAS Hulu Terengganu (2004-2007).
N19 Rhu Rendang
Di DUN Rhu Rendang, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi
bin Awang akan mempertahankan kerusi DUN yang telah diwakilinya selama
tujuh penggal sejak PRU 1982. Dalam PRU kali ini, beliau akan ditentang
oleh Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang yang mewakili BN iaitu Nik Dir
bin Nik Wan Ku.
Berusia 66 tahun, beliau merupakan seorang tokoh ulama yang tidak perlu
diperkenalkan lagi. Beliau bukan sahaja seorang tokoh ulama di peringkat
negeri dan nasional, tetapi turut dikenali ramai di peringkat
antarabangsa.
Mendapat biasiswa tajaan kerajaan Arab Saudi, beliau menuntut dalam
bidang Syariah di Universiti Madinah pada tahun 1969 hingga 1973.
Kemudiannya, beliau berjaya menamatkan Ijazah Sarjana (masters) dalam
Bidang Siasah Syariyyah selama dua tahun sahaja di Universiti Al-Azhar,
Mesir.
Ketika di Mesir, beliau merupakan seorang pengagum gerakan Ikhwanul
Muslimin dan terlibat dengan gerakan tersebut ketika dipimpin Dr.Said
Hawwa, Profesor Muhammad Al Wakeel dan Dr.Abdul Satar al-Qudsi. Beliau
pernah dilantik menjadi Ahli Sekretariat Parti-parti Islam Sedunia yang
berpusat di Istanbul serta menyertai Sekretariat Perjuangan Rakyat
Mempertahankan Baitul Maqdis yang berpusat di Amman, Jordan. Beliau
pernah dilantik menjadi Menteri Besar Negeri Terengganu selama sepenggal
pada tahun 1999 hingga tahun 2004 dan menjadi Ketua Pembangkang di
Parlimen bermula tahun 2002 hingga tahun 2004.
Di peringkat parti, beliau pernah dilantik sebagai Ketua Pemuda PAS
Negeri Terengganu, Timbalan Presiden PAS dan Presiden PAS (2001-kini).
N20 Pengkalan Berangan
Di DUN Pengkalan Berangan, kedua-dua parti iaitu PAS dan UMNO meletakkan
calon muka baru di DUN berkenaan. PAS meletakkan seorang calon anak
muda, Ustaz Sulaiman bin Sulong manakala BN meletakkan calonnya iaitu
Abd. Latiff bin Awang. Penyandang kerusi berkenaan, Datuk Yahya Khatib
yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Marang telah dibawa bertanding
ke Parlimen Marang bagi memberi saingan kepada calon PAS iaitu Tuan Guru
Haji Abdul Hadi bin Awang.
Calon PAS, Ustaz Sulaiman bin Sulong yang berusia 37 tahun merupakan
anak jati Kampung Tuman. Beliau mendapat pendidikan awal di SK Bukit
Jejulong dan SMK Pengkalan Berangan sebelum melanjutkan pengjian dalam
bidang agama di Maahad Darul Quran, Rhusila. Kemudiannya, beliau
menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar, Cawangan Damanhur, Mesir
dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Syariah.
Beliau merupakan seorang pentadbir bagi Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI)
dan dilantik menjadi Pengarah Jabatan PASTI Terengganu serta Pengarah
Ko-kurikulum PASTI Malaysia.
Di peringkat parti, beliau merupakan Ketua Pemuda DUN Pengkalan Berangan dan Naib Ketua Pemuda PAS Kawasan Marang.
KAWASAN PARLIMEN P038 HULU TERENGGANU
 |
Calon-calon PAS dalam Parlimen Hulu Terengganu: dari kiri Ustaz Kamaruzzaman (Parlimen), Ustaz Hilmi (Manir), Hj.Muhyidin (K.Berang) dan Ustaz Razki (Ajil) bersama-sama Ust.Harun Taib, Ketua DUPP |
N22 Manir
Di DUN Manir dalam Parlimen Hulu Terengganu, PAS meletakkan seorang
calon muka baru iaitu Ustaz Hilmi bin Harun bagi mempertahankan kerusi
yang menjadi kubu kuat PAS tersebut. Beliau akan ditentang oleh calon
muka baru BN, Yusoff Awang Hitam yang merupakan Pegawai Penyelaras DUN
Manir. Ustaz Hilmi bukanlah asing kepada penduduk di DUN Manir kerana
beliau merupakan anak kepada Ketua Dewan Ulama PAS iaitu Ustaz Harun bin
Taib.
Pengaruh Ustaz Harun Taib di DUN Manir dijangka memberi kelebihan kepada
calon PAS kali ini iaitu anaknya sendiri. Berusia 36 tahun, beliau yang
berasal dari Kampung Kubang Lembik, Manir mendapat Ijazah Sarjana Muda
Pengajian Islam dan Bahasa Arab dari Universiti Kebangsaan Malaysia,
Ijazah Sarjana (masters) dalam bidang Syariah dari Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM). Pada waktu ini, beliau sedang menyiapkan
tesis beliau bagi mendapatkan PhD di University of Western Australia
dalam bidang Sains Politik. Antara kelebihan yang ada pada beliau
termasuklah fasih bertutur dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa
Arab dan bahasa Inggeris.
Di peringkat parti, beliau dilantik sebagai Penasihat Majlis Tindakan DUN Manir serta PSU Kawasan Hulu Terengganu.
N23 Kuala Berang
Di DUN Kuala Berang, PAS meletakkan calonnya iaitu Haji Muyidin bin
Abdul Rashid sebagai calon. Beliau akan menentang calon BN iaitu Datuk
Tengku Putera Tengku Awang yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Hulu
Terengganu. Setelah disingkirkan daripada bertanding dalam PRU 2008 oleh
kem Idris, Tengku Putera membuat penampilan semula, kali ini di DUN
Kuala Berang.
Calon PAS, Haji Muhyidin yang berusia 52 tahun merupakan seorang graduan
Diploma Pengurusan Perniagaan (Pemasaran) dari Universiti Teknologi
MARA (UiTM) sebelum mendapat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan
(Insurans) dari universiti yang sama.
Di bidang kerjaya, beliau memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Kerani
Kewangan di Lembaga Urusan Tabung Haji, sebelum dilantik menjadi
Setiausaha Eksekutif Persatuan Pengimport & Peniaga Kenderaan Melayu
Malaysia pada tahun 1992. Kemudiannya, beliau menceburi bidang
pertanian sebagai seorang usahawan tani pada tahun 1995 sebelum diberi
amanah untuk menjadi calon PAS bagi kerusi Hulu Terengganu dalam PRU
1999 dan menang.
Di peringkat parti, beliau merupakan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Negeri Terengganu dan Pengarah MTD Kuala Berang.
N24 Ajil
Di DUN Ajil dalam Parlimen Hulu Terengganu, PAS meletakkan seorang calon
anak muda iaitu Ustaz Mohd Razki bin Yah @ Alias. Beliau akan menentang
calon muka baru daripada BN iaitu Ghazali bin Taib dan seorang lagi
calon iaitu Mohd Nuhairi Muhammad yang bertanding atas tiket Bebas.
Penyandang kerusi berkenaan, Dato' Rosol Wahid telah diketepikan
daripada bertanding dalam PRU kali ini.
Berusia 41 tahun, Ustaz Razki mendapat pendidikan awal di SK Bukit Perah
dan SMK Agama Mahmudiah, Kuala Berang sebelum melanjutkan pengajian ke
sebuah pondok moden iaitu Markaz Pengajian Islam (MARPA) di Binjai,
Kemaman. Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke Universiti Ummu
Alqura, Makkah dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pendidikan &
Pengajian Bahasa Arab.
Di bidang pekerjaan, beliau merupakan Imam Masjid Kampung Bukit Perah,
petugas haji dan umrah serta menjadi Penceramah Haji di Lembaga Tabung
Haji (2000-2010).
Di peringkat parti, beliau merupakan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Hulu
Terengganu, AJK Dewan Ulama PAS Negeri Terengganu dan Pengarah MTD
Ajil.
KAWASAN PARLIMEN P039 DUNGUN
 |
Calon-calon PAS dalam Parlimen Dungun: dari kiri Cg.Wan Hapandi (Sura), Ust.Roslan (Bkt Besi), Ust.Wan Hassan (Parlimen), Ust.Saiful (Paka) & Cg.Alias (Rantau Abang) |
N25 Bukit Besi
Di DUN Bukit Besi dalam Parlimen Dungun, PAS meletakkan calonnya iaitu
Ustaz Roslan bin Ismail. Beliau akan ditentang oleh calon muka baru
daripada BN, Roslee bin Daud setelah penyandang kerusi berkenaan yang
pro-Idris, Datuk Din Adam diketepikan dalam PRU kali ini. Selain itu,
kerusi ini hampir menyaksikan pertandingan sesama sendiri PAS dan PKR
sehinggalah calon PKR, Shamsul Mat Amin memberi laluan kepada calon PAS.
Dilahirkan pada 2 Julai 1965 dan berusia 47 tahun, beliau merupakan
seorang graduan lulusan Kolej Universiti Sultan Zainal Abidin (KUSZA)
dalam bidang Syariah sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti
al-Azhar, Mesir dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam.
Beliau kemudiannya memperoleh Diploma Lanjutan di Universiti Islam
Antarabangsa (UIA) dalam bidang Pendidikan Islam. Seterusnya, beliau
memperoleh Ijazah Sarjana (masters) di Universiti Putra Malaysia dalam
bidang Sains, Sumber Manusia dan Pembangunan.
Dalam PRU 1999, beliau telah diamanahkan oleh PAS untuk bertanding di DUN Bukit Besi dan menang.
Pada masa ini, beliau bergiat aktif dan menjadi penyelaras kepada NGO
Badan Bertindak Pewaris Bumi Malaysia (WARIS) yang berjuang menuntut hak
peneroka kepada KETENGAH.
N26 Rantau Abang
Di DUN Rantau Abang, PAS meletakkan calon muka baru, seorang bekas guru
iaitu Cikgu Alias bin Harun bagi menentang Exco Pembangunan
Infrastruktur Negeri daripada BN, Dato' Zaabar Mohd Adib dan calon
Bebas, Mazlan bin Harun.
Berusia 62 tahun, Cikgu Alias mendapat Sijil Perguruan dari Maktab
Perguruan Gaya di Sabah, sebelum mendapat Diploma Pengurusan Perniagaan
dari ITM Dungun dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1989.
Pengalaman beliau sebagai seorang guru termasuklah menjadi Guru di SMK
Arshad, Kota Belud, Sabah, guru disiplin di SMK Tengku Intan Zaharah,
Dungun, guru Penolong Kanan HEM di SMK Seri Dungun, Ketua Bidang Teknik
& Vokasional di SMK Sultan Omar, Dungun dan jawatan terakhir sebagai
Pemangku Pengetua di SMK Agama Kuala Abang (2007).
Di peringkat parti, beliau merupakan AJK PAS Kawasan Dungun, Pengarah MTD Rantau Abang dan Ketua PAS Cawangan Gong Pasir.
N27 Sura
DUN Sura yang merupakan satu-satunya DUN yang dikuasai oleh PAS di luar
Daerah Kuala Terengganu dan Marang menyaksikan PAS meletakkan calon muka
baru iaitu Wan Hapandi bin Wan Nik, setelah penyandang kerusi DUN
berkenaan, Ustaz Wan Hassan dibawa bertanding ke Parlimen Dungun. Calon
PAS ini akan ditentang oleh calon BN, Zakariah bin Ali.
Calon PAS, Cikgu Wan Hapandi yang berusia 57 tahun mendapat latihan
perguruan di Maktab Temenggung Ibrahim, Johor sebelum melanjutkan
pengajian dalam Diploma Sains Pertanian di Universiti Pertanian
Malaysia.
Sepanjang karier perguruannya, beliau pernah menjadi Guru Sains
Pertanian di beberapa buah sekolah di sekitar daerah Dungun termasuklah
SMK Paka dan SMK Sultan Omar. Kemudiannya, beliau dilantik menjadi guru
Penolong Kanan di beberapa buah sekolah termasuklah di SK Kuala Dungun,
SK Kuala Jengal dan SK Rasau, Kerteh. Jawatan terakhir yang disandang
sebelum bersara ialah Guru Besar di SK Shukor, Dungun.
N28 Paka
Di DUN Paka dalam Parlimen Dungun, PAS terus memberi kepercayaan kepada
Ustaz Satiful Bahri Mamat sebagai calon. Dalam PRU kali ini, beliau akan
ditentang oleh Ahli Parlimen Dungun daripada BN, Matulidi Jusoh.
Calon PAS iaitu Ustaz Saiful, berusia 45 tahun merupakan anak jati
Kampung Pinang Merah, Paka. Beliau mendapat pendidikan awal di SK
Kampung Nyior, Paka sebelum mendapat pendidikan agama di Sekolah
Menengah Ugama Sultan Ismail (SMASID) di Dungun. Beliau kemudiannya
menyambung pengajian dalam bidang Diploma Pengajian Islam (Usuluddin) di
KUSZA, sebelum mendapat Ijazah Sarjana Muda Dirasat Islamiyyah wal
Arabiyyah dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau kemudiannya menyambung
pendidikan di University of Cape Town, Afrika Selatan pada tahun 2004,
sebelum menamatkan pengajian di peringkat Sarjana (masters) dalam Psiko
Spiritual Islam dari Universiti Malaya.
Di antara pengalaman kerjaya beliau termasuklah menjadi Pensyarah
INSTEP, Batu Rakit sebelum mengasaskan Maahad Tahfiz Darul Bayan di
kampung kelahirannya pada tahun 1994. Pada tahun 1999, beliau memenangi
kerusi DUN Paka di bawah tiket PAS dan dilantik menjadi Pengerusi Kelab
Penyokong Kerajaan (BBC) dalam DUN Terengganu serta Timbalan Exco
Belia,Sukan,Kebudayaan dan Pelancongan.
Di peringkat parti, beliau merupakan mantan Ketua Pemuda PAS Negeri
Terengganu (2004-2007), Timbalan Pesuruhjaya I PAS Terengganu (kini) dan
Timbalan YDP PAS Dungun.
KAWASAN PARLIMEN P040 KEMAMAN
N29 Kemasik
Di DUN Kemasik, PAS meletakkan Utaz Che Alias bin Hamid sebagai calon di
DUN berkenaan. Beliau akan menghadapi pertentangan tiga penjuru dengan
dua orang lagi calon iaitu Rosli bin Othman (BN) dan Zulkiflee bin
Salleh (Bebas).
Berusia 47 tahun, beliau yang menetap di Kampung Semayor mendapat
pendidikan awal di SK Air Jernih, SM Agama Al-Falah dan SM Agama Sultan
Zainal Abidin sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya dalam
bidang Diploma Eksekutif Kewangan Islam dan Pengurusan Perniagaan.
Pada masa ini, beliau merupakan Mudir Sekolah Rendah Islam Darul Taqwa,
Kemaman. Di peringkat parti, beliau memegang jawatan seperti AJK Badan
Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Setiausaha PAS Kawasan Kemaman dan
Pengarah MTD Kemasik.
N30 Kijal
Di DUN Kijal, PAS meletakkan calonnya iaitu Ustaz Hazri bin Jusoh bagi
menentang Menteri Besar kerajaan sementara daripada BN iaitu Dato' Seri
Ahmad bin Said.
Berusia 43 tahun, beliau mendapat pendidikan awal di SK Sultan Ismail,
Kemaman, Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, sebelum
melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar dalam bidang Aqidah dan
Falsafah Islam.
Kemudiannya, beliau mendapat latihan perguruan melalui Kursus Perguruan
Lepasan Ijazah (KPLI) di Maktab Perguruan Batu Rakit (MPKTBR). Setelah
berkhidmat sebagai guru selama beberapa tahun, beliau dilantik sebagai
Pegawai Eksekutif Agama dalam anak syarikat kerajaan negeri iaitu TDM
Bhd pada tahun 2002 iaitu ketika PAS menguasai Terengganu. Beliau
kemudiannya menjadi Pegawai Agama di Petronas Carigali Sdn Bhd sebelum
bergiat sebagai pengurus haji dan umrah.
Di peringkat parti, beliau merupakan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan
Kemaman dan AJK Lujnah Tarbiah & Kepimpinan PAS Negeri Terengganu.
N31 Chukai
Di DUN Chukai, PAS terus meletakkan kepercayaan kepada Haji Hanafiah Mat
untuk bertanding di DUN berkenaan buat kali kedua. Pada kali ini,
beliau akan dicabar oleh calon BN, Wan Ahmad Nizam, iaitu bekas ADUN Air
Putih yang tidak dicalonkan dalam PRU 2008. Pada kali ini, BN telah
mengetepikan Exco Keusahawanan Negeri, Dato' Seri Muhammad Awang Tera.
Berusia 48 tahun, Haji Hanafiah merupakan pemegang sijil kemahiran dalam
bidang Sijil Kejuruteraan Elektrikal dari Institut Latihan
Perindustrian (ILP), sebelum memperoleh Diploma Pengurusan daripada UITM
Cawangan Dungun.
Beliau mempunyai pengalaman pekerjaan sebagai
chargeman di
Perwaja Steel Sdn Bhd selama 24 tahun sebelum menjadi Ahli Lembaga
Pengarah Ketua Operasi Perwaja pada tahun 2000-2004. Selain itu, beliau
juga pernah menjawat jawatan Ahli Lembaga Pengarah kepada Jasa Merin Sdn
Bhd dan Syarikat Pesama Timber Sdn Bhd. Pada tahun 2008, beliau telah
diamanahkan untuk bertanding di DUN Chukai atas tiket PAS, namun tewas
sekitar 700 undi kepada calon BN.
Beliau kemudiannya menjadi Pengurus Besar kepada Gamin Engineering Sdn
Bhd. Kepakaran beliau yang memiliki Sijil Kompetensi Elektrik B4
menyebabkan beliau merupakan seorang pekerja yang mahir dan
berpengalaman dalam bidang industri sehingga mampu membuka syarikat
kejuruteraan sendiri.
Di peringkat parti, beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Yang
Dipertua PAS Kawasan Kemaman, Pengarah MTD Chukai dan AJK Badan
Perhubungan PAS Terengganu.
N32 Air Putih
Di DUN Air Putih, PAS meletakkan calon muka baru iaitu seorang bekas
guru, Haji Abdul Razak Ibrahim bagi menentang calon BN, Wan Abdul Hakim,
anak kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Wan Mokhtar.
Berusia 59 tahun, Haji Abdul Razak mendapat latihan pendidikan perguruan
di Maktab Perguruan Kota Bharu dan kemudiannya mendapat sijil Perguruan
Khas Satu Tahun dalam bidang Pemulihan Pendidikan Khas.
Sepanjang perkhidmatannya dalam bidang perguruan, beliau banyak
menyumbang kepada bidang pemulihan terhadap pelajar bermasalah dalam
pembelajaran termasuklah menjadi Guru Pakar (Guru Cemerlang) Pendidikan
Khas, dan Ketua Jurulatih Utama Peringkat Negeri Terengganu dan
Kebangsaaan dalam bidang Pendidikan Pemulihan Khas di bawah Kementerian
Pelajaran Malaysia.
sumber: http://propartiislammalaysia.blogspot.com/2013/04/profil-dan-biodata-calon-pas-terengganu.html