Ads 468x60px

-

Friday, February 28, 2014

Perintah Penghakiman Ingkar; Jangan Dengar Khabar Angin

Bismillah.Saya mewakili Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) hadir ke Kompleks Mahkamah Terengganu tadi (semalam 27 Februari) bersama Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar, mengiringi peguam Dato’ Seri Presiden, Tuan Haji Asmuni Awi dan pasukannya untuk menfailkan permohonan untuk mengenepikan perintah penghakiman ingkar bagi kes saman fitnah oleh Mohd Shamsul Mat Amin.
Mahkamah telah menerima permohonan dan memutuskan untuk mendengar kes ini pada 30hb Mac 2014.
fail notis ketepi2Oleh itu saya mewakili BPPNT sekali lagi menyeru kepada semua ahli PAS agar bertenang dan bersabar serta menjauhkan diri dari melayan khabar-khabar dari pihak-pihak yang berniat jahat khususnya terhadap Presiden dan PAS amnya, terutamanya di media-media maya yang sebahagian besarnya sangat jauh daripada kebenaran.
Kami InsyaAllah akan cuba sedaya upaya untuk sentiasa menyalurkan maklumat-maklumat terkini dan benar berkaitan kes ini.
Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada pasukan peguam Dato’ Seri Presiden yang diketuai oleh Tuan Haji Asmuni bagi membuat pembelaan keatas Presiden.
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan BPPNT
27 Rabiu’l Akhir 1435 bersamaan 27hb Feb 2014

Monday, February 24, 2014

PAS fail permohonan ketepi penghakiman ingkar RM2 juta

HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR: Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) PAS akan memfaikan permohonan untuk mengenepikan perintah penghakiman ingkar terhadap Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang secepat mungkin.

Permohonan itu dijangka difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 17 Februari lalu mengarahkan Tuan Guru Abdul Hadi membayar saman RM2,000,000 dalam penghakiman ingkar yang diperolehi oleh Mohd Shamsul bin Mat Amin, calon PKR DUN Bukit Besi, Terengganu.

Selain itu, Ahli Parlimen Marang itu juga diarahkan membayar 5% faedah dari writ difailkan sehingga penyelesaian penuh dan kos tindakan sebanyak RM1,500.

Ini berikutan kegagalan Tuan Guru Abdul Hadi memfailkan pembelaan terhadap saman yang dikemukakan oleh Shamsul sebelum ini.

Setiausaha Luham, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus dalam satu kenyataan semalam berkata, pihaknya akan mengambil langkah wajar untuk membatalkan penghakiman tersebut.

"Merujuk kepada perkara tersebut pihak Lajnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia Pas Pusat akan mengambil tindakan sewajarnya pada hari esok (hari ini) untuk suatu proses membatalkan penghakiman tersebut," kata beliau.

Sementara itu, Peguam PAS, Asmuni Awi berkata, pihaknya yakin perintah tersebut boleh diketepikan.

"Kita menerima perintah itu hari ini (semalam) dan kita akan failkan permohonan untuk mengenepikan perintah itu esok (hari ini) juga.

"Saya yakin perintah ini boleh diketepikan berdasarkan etika pengurusan kes ini," kata Asmuni kepadaThe Malaysian Insider.

Dalam pada itu satu sidang media akan dibuat oleh Asmuni pada jam 3 petang ini di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu berkait kes itu.

Saturday, February 22, 2014

Hukum Memperjuangkan Kepentingan Bangsa

Soalan : Dr Asri, apakah pandangan Islam mengenai perjuangan memartabatkan bangsa? Ada yang kata tak Islamik, ada yang kata asabiyyah. Ada pula yang berkata Islam sama sekali tidak peduli masalah kaum. Kita di Malaysia orang Melayu beragama Islam, salahkah jika kita berjuang mengangkat hak bangsa melayu? Harap Dr Asri dapat jelaskan kekeliruan ini.
 
Saifuddin, Johor.
Jawaban Dr. MAZA: Saudara Saifuddin, Allah ialah tuhan untuk semua manusia tanpa mengira bangsa. Islam adalah agama Allah yang diutuskan agar dianuti oleh setiap bangsa tanpa sebarang diskriminasi. Dalam masa yang sama Islam akui kewujudan manusia berpuak dan berbangsa. Allah Tuhan Yang Maha Pencipta telah menciptakan manusia dalam keadaan demikian dengan hikmah yang begitu banyak. Di sini saya sebut beberapa perkara untuk memahami isu ini;
1. Tiada siapa yang mampu menentukan bangsanya sebelum dia lahir samada untuk dia menjadi arab, atau melayu, atau inggeris atau india atau selain itu. Ia adalah ketentuan Allah, bukan atas usaha atau kejayaan seseorang. Maka hakikat ini mestilah difahami supaya kita tidak menyalahkan atau menghina seseorang atas sebab bangsa atau keturunannya kerana itu bukan pilihan atau kesalahannya. Sebaliknya kita menilai seseorang berdasarkan perbuatan dan akhlaknya. Inilah sikap yang adil. Dosa keturunan tidak ditanggung oleh anak cucu. Dosa seseorang tidak boleh dibebankan atas orang lain yang sebangsa dengannya yang tidak terlibat dengan kesalahan itu. Allah menjelaskan prinsip ini dalam al-Quran: (maksudnya)
“dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain. dan tiadalah Kami (Allah) mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). (Surah al-Isra, ayat 15).
2. Maka, perjuangan apapun yang mahu ditegakkan, hendaklah menilai setiap insan berdasarkan kepada akhlaknya, bukan titih keturunannya. Keadilan dalam Islam buta warna bangsa dan agama sekalipun. Keadilan untuk semua. Sabda Nabi s.a.w:
“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).
Jika hal ini tidak diteliti, perkauman atau racism akan berlaku. Akan ada pihak yang teraniaya hanya kerana keturunannya walaupun mungkin dia tidak bersalah. Diskriminasi seperti ini pernah berlaku di Amerika, sehingga Martin Luther King dalam pidatonya yang terkenal ‘I have a dream’ menyebut: “I have a dream that my four little children one day live in a nation where they will not be judged by the colour of their skin but by the content of their character”.
3. Tujuan Allah menciptakan berpuak dan berbangsa agar saling kenal mengenali antara satu sama lain. Firman Allah: (maksudnya) (maksudnya):
Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. (Surah al-Hujurat: 13).
Lihat dalam ayat ini, Allah memanggil “Wahai manusia!”. Panggilan yang sangat adil merangkumi setiap bangsa dan puak. Bukan panggil perkauman atau fanatik keturunan. Kata Sayyid Qutb dalam menafisrkan ayat ini:
“Penciptaan manusia berbagai bangsa dan suku puak bukan untuk berperang dan bergaduh, tetapi untuk berkenalan dan bermuwafakat. Perbezaan bahasa, warna kulit, tabiat, perangai, kelebihan dan kemampuan adalah kepelbagaian yang bukan bertujuan untuk perbalahan dan perkelahian. Sebaliknya, untuk bantu membantu dalam menunai tanggungjawab dan keperluan. Tiada bagi warna kulit, jenis bangsa, bahasa, negara segalanya itu nilai dalam timbangan Allah. Sebaliknya, di sana hanya satu timbangan yang menentukan nilai dan kelebihan manusia, iaitu “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu”. (Fi Zilal al-Quran 6/3348. Cairo: Dar al-Syuruq).
4. Di samping itu, kita hendaklah tahu bahawa setiap mukmin itu bersaudara tanpa mengira bangsa dan puak. Hak-hak persaudaraan Islam telah ditentukan oleh Allah dan rasulNya. Nilai persaudaraan ini hendaklah sentiasa kita pegang. Perbezaan keturunan dan bangsa tidak boleh menjejaskan hal ini. Inilah asas perpaduan yang terpenting. Inilah perpaduan yang menyelamatkan kita dunia dan akhirat. Firman Allah: (maksudnya)
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (Islam), dan janganlah kamu berpecah-belah; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulunya bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara jantung hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara (persaudaraan Islam). Dan kamu dahulunya berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu darinya (disebabkan nikmat Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. (Surah Ali ‘Imran ayat 103).
5. Setelah kita faham dan beriman dengan asas-asas yang disebutkan di atas. Bertindak berteraskan asas ini, maka tidaklah menjadi kesalahan jika kita dalam masa yang sama berusaha memajukan bangsa atau keturunan kita dengan syarat kita tidak menzalimi dan menghina kaum yang lain. Dalam Islam pun, harta pusaka juga diwarisi oleh kaum keluarga. Kita juga disuruh menghubungkan silaturrahim sesama keluarga dan al-Quran juga menyuruh kita membantu keluarga di sudut harta. Firman Allah: (maksudnya)
“Maka (sebagai tanda syukur) berikanlah kepada kaum kerabatmu, miskin dan orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian yang demikian adalah baik bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredhaan Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. (Surah al-Rum, ayat 37)
6. Nabi s.a.w juga memuji sikap tolong menolong dalam memajukan atau membantu kaum atau puak sendiri, dengan syarat tidak menzalimi puak yang lain. Sabda Nabi s.a.w:
“Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Ertinya, walaupun Islam menentang ‘asabiyyah namun Islam tidak menentang usaha membantu dan memartabatkan kaum sendiri, jika ada keperluan ke arah itu dan tidak membawa kepada pemusuhan antara puak dan kaum.
7. Adapun asabiyyah sebenarnya adalah sikap berpuak yang membawa kepada membelakangkan kebenaran dan kezaliman kepada kepada pihak lain. Sikap fanati puak itu mungkin menjelma dalam bentuk bangsa, ataupun parti politik, atau mazhab, atau kumpulan atau apa sahaja yang fanatik dan menolak kebenaran orang lain. Sabda Nabi s.a.w:
“Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (Riwayat Muslim).
Rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) adalah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil, namun membela atas dasar ketaksuban. Ertinya, jika ada ciri demikian maka itu ‘asabiyyah yang dilarang; samada perjuangan parti atau perjuangan kaum. Maka, bukan sahaja perjuangan politik bangsa boleh menjadi ‘asabiyyah, perjuangan atas nama Islam jika fanatik dan menolak kebenaran hanya kerana keputusan parti juga boleh dinamakan ‘asabiyyah.
8. Usaha memartabatkan kaum bukan prinsip perjuangan tetapi keperluan yang dilakukan apabila keadaan mendesak seperti yang berlaku kepada kabilah al-Asy’ariyyin dalam hadis di atas. Sebab itu al-Quran bukan sahaja menyebut membantu kaum kerabat yang susah, tetapi juga membantu golongan miskin, orang musafir yang kesusahan tanpa dikaitkan dengan kaum kerabat atau bangsa.
9. Kesimpulannya; prinsip Islam mengatasi segalanya termasuk isu bangsa. Perjuangan bangsa jika bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam yang disebutkan tadi adalah diharamkan. Namun, usaha memartabatkan bangsa jika tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam seperti prinsip persaudaraan Islam, keadilan untuk semua dan tidak menghina bangsa lain, maka ia diizinkan, bahkan terpuji.

Thursday, February 20, 2014

Kenyataan penuh Jakim berhubung isu Kassim Ahmad

BERIKUT kenyataan penuh Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha mengenai Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian.

Jakim memandang serius dalam isu yang dibangkitkan dalam Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian pada 15 dan 16 Februari 2014 anjuran Ahli Jawatankuasa Sahabat Pena Pak Kassim di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Kenyataan-kenyataan daripada para pembentang kertas kerja seminar khususnya berkaitan isu-isu agama adalah seperti yang berikut:

- Mempertikaikan dua kalimah syahadah dengan menganggap syahadah yang kedua sebagai mendewa-dewakan Nabi Muhammad SAW.

- Mempertikaikan rambut sebagai aurat wanita dan memperlekeh wanita yang berhijab.

- Mempertikaikan kredibiliti ulama dan menyamakan ulama sebagai kasta paderi.

- Mempertikaikan hadith sebagai sumber hukum dan menuduh Imam Shafi’e yang memulakan doktrin baru dengan menyatakan hadith sebagai satu sumber hukum sama seperti al-Quran

- Mentafsirkan semula al-Quran berdasarkan logik semata-mata dan menolak tafsiran ulama terdahulu

- Mengiktiraf Kod 19 oleh Rashad Khalifa sebagai pentafsir al-Quran bagi menggantikan hadith

- Cadangan membuat surat untuk memohon pihak KDN menarik semula pengharaman buku-buku tulisan Kassim Ahmad

Jakim juga ingin menjelaskan bahawa pemikiran dan pandangan yang dikemukakan adalah bercanggah dengan prinsip dan juga sumber hukum dalam ajaran Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi asas pegangan masyarakat Islam di Malaysia.

Ini adalah berdasarkan kepada sebab-sebab yang berikut:

i) Mengucap Dua kalimah Syahadah merupakan rukun Islam yang pertama bagi setiap Muslim yang mengaku dirinya sebagai orang Islam. Mempertikaikan syahadah boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada agama Islam. Justeru, orang yang berbuat demikian wajiblah segera bertaubat.

ii) Ulama telah bersepakat bahawa aurat wanita adalah keseluruhan badannya kecuali muka dan kedua tapak tangannya. Mempertikaikan hukum yang telah disepakati boleh membawa kepada kesesatan.

iii) Ulama adalah pewaris Nabi yang berperanan menyampaikan ajaran Islam dari satu generasi ke satu generasi. Mempertikaikan kredibiliti Ulama muktabar dalam mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah suatu yang bercanggah dengan disiplin ilmu yang diwarisi daripada Sahabat dan Salafus Salih.

iv) Hadith adalah sumber kedua perundangan Islam dan sebagai pentafsir kepada al-Qur’an berdasarkan ijma’ ulama.

v) Penafsiran semula al-Qur’an berdasarkan logik akal tidak boleh diterima kerana pentafsiran al-Quran memerlukan disiplin ilmu agama yang telah ditetapkan dalam ajaran Islam.

vi) Teori “Kod 19” oleh Rashad Khalifa yang dipegang oleh Kassim Ahmad mengandungi pelbagai penyelewengan akidah dan tidak wajar digunakan untuk mentafsirkan al-Quran

vii) Tindakan untuk menarik semula pengharaman buku-buku tulisan Kassim Ahmad ini adalah tidak wajar kerana ia telah jelas menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar seperti yang telah difatwakan oleh negeri-negeri.

Saya telah meminta pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk mengambil tindakan dengan pendekatan yang bersesuaian dalam perkara ini.

Di samping itu, saya juga memohon kerjasama dari pihak Jabatan Agama Islam Negeri-negeri dapat memantau dan memberi perhatian terhadap isu ini secara berkesan dan wajar dan mengambil tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada sekiranya bersesuaian.

Suka saya maklumkan bahawa pihak berkuasa agama negeri telah mengambil tindakan penguatkuasaan dan pewartaan fatwa terhadap bahan-bahan penerbitan yang mengandungi dan menyebarkan fahaman anti hadith yang jelas menyeleweng dari ajaran Islam.

Apa-apa jua bentuk penerbitan dan atau publisiti yang bertujuan untuk mengembangkan pemikiran atau fahaman anti hadith adalah dilarang dan perlu disekat kerana ia menyalahi fatwa dan undang-undang lain yang berkaitan.

Pihak Jakim dan Jawi juga berhasrat untuk menjemput Dr Kassim Ahmad dan pihak penganjur sebagai satu usaha pihak kami memberikan penjelasan terbaik terhadap dakwaan-dakwaan beliau yang dianggap boleh menjejaskan aqidah umat Islam.

Jutseru itu, memandangkan pemikiran Dr Kassim Ahmad ini boleh dikatakan sebagai pemikiran yang salah dan bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, maka adalah wajar umat Islam di Malaysia menjauhi aliran pemikiran dan doktrin-doktrin palsu yang seumpama ini.

Ini adalah kerana perkara ini boleh memberi implikasi besar kepada akidah umat Islam dan menggugat ketenteraman serta menimbulkan keresahan awam.

Islam menyeru kepada umatnya agar bersatu padu dan mencegah daripada berpecah belah kerana perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam boleh merugikan masyarakat Islam itu sendiri.

Ini juga adalah demi untuk membangunkan modal insan yang bertamadun tinggi.

Hairan bagaimana Mahathir terpengaruh ajaran sesat - Harussani

IPOH: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengecam mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed yang juga peneraju Perdana Leadership Foundation kerana menyokong dan mempertahankan pemikiran songsang, Kassim Ahmad.

Menurutnya, tindakan itu telah memberi ruang untuk menyegarkan semula fahaman terpesong itu walaupun ianya telah difatwakan oleh kebanyakan negeri sebagai pemikir yang sesat dan menyeleweng dari ajaran Islam.

"Saya hairan bagaimana Mahathir boleh terpengaruh dengan ajaran sesat Kassim Ahmad hingga sanggup mempertahankannya.

"Saya mengecam bekas perdana menteri (Mahathir) yang menyokong dan mempertahankan (kenyataan Kassim)," kata beliau dalam sidang media di pejabatnya, dekat sini hari ini.

Harussani menjelaskan, kerajaan perlu menguatkuasaan undang-undang selaras dengan fatwa yang telah dikeluarkan oleh banyak negeri termasuk Perak dan bertepatan dengan rukun negara iaitu Kedaulatan Undang-Undang agar golongan sesat seperti Kassim Ahmad boleh diambil tindakan.

"Tidak ada gunanya bertempik bahawasanya perlembagaan Malaysia ada begitu begini tapi perlaksanaanya tiada.

"Kassim Ahmad sepatutnya wajib diambil tindakan kerana beliau telah difatwakan sesat oleh banyak negeri dan telah digazetkan," jelasnya lagi.

Harussani menyatakan, kenyataan Kassim Ahmad sangat merbahaya kepada akidah umat Islam kerana tokoh anti hadis itu menyangkal beberapa perkara pokok dan asas dalam agama Islam.

Kassim Ahmad katanya menyerlahkan lagi kejahilannya apabila meletakkan ulama Islam sebaris dengan kasta paderi, begitu juga dalam mengistinbatkan ayat-ayat hukum berkaitan aurat.

"Saya menyeru Kassim Ahmad dan mereka yang bersetuju dengan pandangan beliau supaya bertaubat," katanya.

Jelas beliau, Kassim bukan orang yang berkeahlian dalam membicarakan ayat-ayat hukum di dalam Al-Quran kerana sangat kurang ilmu asas bahasa arab dan ilmu-ilmu usul fiqh yang merupakan mekanisme penting dalam menginstinbat hukum sebaliknya hanya menggunakan ilmu logik.

"Saya menyeru kepada semua umat Islam agar jangan terpengaruh dengan ucapan beliau (Kassim Ahmad) kerana ia secara jelas bercanggah dengan asas-asas ajaran Islam," tegasnya.

Iklan Berbayar - SMS 013 929 9944 ( RM50.00 Sebulan )

-
-