Ads 468x60px

-

Friday, July 25, 2014

Saya sokong Khalid kekal MB - Presiden PAS


MARANG: Berikut sidang media dan soal jawab Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama pihak media di kediamannya Rusila, Marang selepas kuliah pagi Jumaat, pagi tadi.

SAYA menyokong kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad yang menegaskan supaya diteruskan jawatan Menteri Besar Selangor kepada Tan Sri Khalid Ibrahim. Berdasarkan kepada perlu diambil kira tentang rakyat Selangor dan Sultan Selangor itu sendiri. YB Iskandar adalah wakil PAS Pusat yang dilantik oleh PAS Pusat mengikut Perlembagaan untuk mengendalikan urusan PAS negeri Selangor.

Kenyataan beliau adalah sebagai kenyataan wakil kita (PAS) di Selangor. Dan saya sendiri telah membuat penelitian melalui beberapa pihak sama ada dalam PAS atau di luar PAS dan membuat kaji selidik. Di mana, didapati bahawa majoriti rakyat Selangor masih bersetuju dengan Tan Sri Khalid menjadi Menteri Besar.

Kedua, kita tidak boleh membelakangi Duli Yang Mulia Sultan Selangor dan kita (PAS) serah kepada bagindalah untuk menentukan dan tidak boleh dibelakangi baginda dalam isu (MB) ini, itu (keputusan) terpulang kepada baginda (Sultan).

Ketiga, alasan-alasan mahu menukar Menteri Besar ini tidak kukuh. Di mana, saya melihat tidak setuju dengan Tan Sri Khalid ini tidak melibatkan amanah-amanah yang besar. Jika sekiranya, beliau (Khalid) terlibat dengan skandal, terlibat dengan pecah amanah, salah guna duit Selangor itu boleh kita tukar. Tapi, jika alasan yang lain itu boleh kita urus dan bukan dengan tukar Menteri Besar. Ini kerana, kita anggap masih dalam 'perjalanan' dan tidak boleh 'dipintas' dalam perjalanan, kena tunggu hingga habis tempoh penggallah. Itu pandangan saya berdasarkan apa yang saya dapat dari Pesuruhjaya PAS negeri Selangor dan rakan-rakan Exco (kerajaan) Selangor dan wakil-wakil rakyat Dun Selangor dari PAS.

Soalan (S): Adakah Tok Guru dan PAS sendiri kekal dengan keputusan untuk mempertahankan Khalid Ibrahim?

Jawapan (J): InsyaAllah, itu sikap saya dan saya harap seluruh pimpinan PAS akan bersama dengan keputusan bersama ini. Walau pun  di sana ada pandangan berbeza dan hujah berbeza dan saya dengar semua hujah-hujah ini, saya kumpul dan dapati semua hujah-hujah ini. Akhirnya, saya berpendapat majoriti akar umbi PAS bersetuju dengan Tan Sri Khalid Ibrahim ini dikekalkan jawatan Menteri Besar. (Ini) di atas konsep Amanah, beliau menunaikan amanah (tangggungjawab) ini.

(S): Tidakkah Tok Guru, ini melebarkan perpecahan dalam pakatan pembangkang?

(J): Itu perkara akan datang dan kita (PAS) boleh bincang dan boleh berunding. PAS akan terus bersama dengan Pakatan Rakyat. Perdapat berbeza itu biasa sejak dari dahulu lagi.

(S): Ini dilihat sebagai jalan akhir untuk Datuk Seri Anwar ke Putrajaya?

(J): Perjuangan kita (PAS) bukan perjuangan untuk peribadi. Iaitu perjuangan untuk menyelamatkan negara dan ini bukan untuk saya (Abdul Hadi), bukan untuk Anwar Ibrahim dan bukan untuk sesiapa, tapi untuk rakyat semua.

(S): Mungkin akan ada (usul) undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor terhadap Tan Sri Khalid?

(J): Benda (perkara) yang akan datang saya tidak boleh jawab, nanti berlaku dulu.

(S): Kecelaruan yang berlaku sekarang ini telah membabit Datuk Seri Wan Azizah sebagai Menteri Besar. Adakah kerana PAS melihat isu wanita itu menjadi masalah?

(J): Berbeza pendapat itu bukan hanya berlaku di kalangan kita (Pakatan Rakyat) tapi dalam Barisan Nasional (BN) pun berlaku? Menteri Besar Terengganu tidak selesai sampai ke hari ini. Yang (berlaku) di Terengganu, yang Johor, yang Pahang. Saya tahu semua dan Umno-BN juga ada masalah.

(S): Adakah PAS tidak menyokong Langkah Kajang?

(J): Langkah Kajang itu benda (perkara) yang lepas dan kita (PAS) sedang bekerja dan kita (telah) menang dalam Pilihan Raya Kecil di Dun Kajang itu.

(S): Datuk Seri, adakah kerana isunya calon (Menteri Besar) itu wanita?

(J): Isunya adalah isu 'Amanah', menunaikan amanah memimpin dan kita (PAS) dapati Tan Sri Khalid tidak khianat. Ini tidak sampai ke peringkat khianat terhadap amanah ini. Dengan sebab itu salah kita turunkan beliau dengan sebab tidak ada kesalahan yang mencalarkan perkara amanah. Itu (alasan) yang lebih besarnya.

(S): Jadi pendirian pemimpin PAS di Selangor adalah sekata dengan Tok Guru?

(J): Saya ambil (pendapat) Pesuruhjaya PAS Selangor, wakil kita (PAS).

(S): Tok Guru, adakah PAS akan mengajak MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk melompat parti (PKR) kepada PAS. Berikutan dalam PKR sendiri telah ada calon lain selain Tan Sri Khalid?

(J): Itu bukan cara kita (PAS). Sejak awal lagi kerusi kita 15 (Dun), kerusi lebih dari PKR tapi kita (PAS) beri kepada PKR kerusi (MB) Selangor itu. Kita beri kepada dia (PKR) dan kita beri kepada Tan Sri Khalid atas asas dia masih lagi ahli PKR.

(S): Dalam isu mempertahankan Tan Sri Khalid ini kenapa tidak bertindak untuk melantik wakil PAS sendiri menjadi Menteri Besar Selangor?

(J): Macam saya sebut tadi kita (PAS) beri kepada PKR tadi kerana kita sudah ada (kerajaan) Kelantan. Itu menunjukkan semangat kerjasama kita dalam Pakatan Rakyat.

(S): Datuk Seri, setakat ini ada hasrat untuk mengajak Tan Sri Khalid menyertai PAS?

(J): Sehingga ini tidak berhasrat dan terpulang kepada peribadi beliau (Khalid) sendiri.

- HARAKAHDAILY 25/7/2014

Hadi sokong Khalid kekal MB Selangor

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pertahan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal sebagai menteri besar Selangor - 

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mempertahankan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk kekal sebagai menteri besar Selangor berikutan beliau tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat.
"Insya-Allah itu sikap saya dan saya harap seluruh pimpinan PAS akan bersama dengan keputusan ini walaupun ada pandangan berbeza.
"Saya sudah dengar semua hujah, kumpulkan sebelum akhirnya saya dapati majoriti kalangan akar umbi PAS bersetuju Khalid dikekalkan atas konsep amanah yang ditunaikannya," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas kuliah Jumaat di rumahnya di Rusila di Terengganu, hari ini.
Hadi berkata, hasil penelitian dan kaji selidik dilakukan beliau sendiri melalui beberapa pihak sama ada dalam PAS mahupun pihak luar, didapati majoriti Selangor masih bersetuju Khalid dikekalkan sebagai menteri besar, namun bergantung kepada perkenan Sultan Selangor.
Katanya, kecemerlangan perkhidmatan Khalid dalam menerajui Selangor hingga ke tahap yang lebih baik termasuk mempertahankan Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-13 tidak boleh dinafikan meskipun terdapat kecelaruan yang ditimbulkan dalam Pakatan Rakyat.
Sebelum ini, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bermesyuarat Rabu lalu menerima cadangan PKR untuk menggantikan Khalid  dan mencalonkan presidennya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk mengisi jawatan itu.
Hadi berkata, alasan pihak yang mahu menukar menteri besar Selangor tidak kukuh dan beliau secara peribadi tidak setuju kerana melihat Khalid tidak terlibat masalah besar.
"Kalau beliau (Khalid) terlibat dengan skandal, pecah amanah, salah guna duit Selangor, itu ya (sememangnya) kita boleh tukar. Tapi kalau alasan lain, itu kita boleh urus tetapi bukandengan cara tukar menteri besar dan biarlah dia habiskan tempoh penggal.
"Isunya adalah tunaikan amanah pemimpin. Kita dapati Khalid tidak sampai kepada peringkat khianat terhadap amanah ini, adalah salah sekiranya kita turunkan beliau," katanya.
Ditanya sama ada keputusannya itu bakal melebarkan perpecahan dalam pakatan pembangkang, beliau berkata:"Itu perkara mendatang dan kita boleh berbincang dan berunding. PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat dan pendapat berbeza itu sudah biasa sejak dulu lagi."
Apabila diajukan soalan pendirian beliau itu dilihat seolah-olah PAS cuba menghalang apa yang didakwa sebagai jalan terakhir Anwar ke Putrajaya, Hadi menyangkalnya sambil berkata perjuangan pakatan pembangkang bukannya perjuangan peribadi tetapi untuk rakyat.
Berhubung adakah PAS berhasrat mengajak Khalid menyertai PAS, beliau berkata pihaknya tidak berhasrat berbuat sedemikian.
"Itu bukan cara kita dan sejak awal lagi walaupun kita (PAS) punyai 15 kerusi DUN, yang lebih daripada PKR, kita (PAS) beri kepada PKR (kerusi MB di Selangor) kerana kita sudah ada Kelantan (diperintah oleh PAS),” katanya sambil menyatakan kesihatannya kini semakin baik dan tetap mengikuti perkembangan politik semasa.
Hadi sebelum ini menjalani pemeriksaan perubatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN) selepas tahap kesihatannya dilaporkan terjejas semasa menghadiri satu persidangan di Turki bulan lepas.
Ketika ini PAS mempunyai 15 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Selangor manakala PKR (14) dan DAP (15). – Bernama, 25 Julai, 2014.

Wednesday, July 23, 2014

KENYATAAN MEDIA YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM

KENYATAAN MEDIA
22 JULAI 2014
PENGGANTIAN DAN PELANTIKAN MENTERI BESAR PERLU PATUHI UNDANG-UNDANG TUBUH KERAJAAN NEGERI

Saya menghormati keputusan politik Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) yang mencalonkan Presiden Keadilan, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar yang baharu.

Namun begitu, saya berpegang teguh kepada enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri yang menetapkan tatacara yang khusus bagi pelantikan atau penggantian Menteri Besar.
Saya percaya mereka yang terlibat dalam usaha ini perlu melalui proses-proses tersebut untuk mencapai matlamat yang mereka inginkan.

Sehingga proses tersebut berlaku dan selesai, saya akan terus menjalankan tugas sebagai Menteri Besar dengan penuh tanggungjawab, tekun dan amanah seperti yang telah diamanahkan oleh rakyat Selangor yang telah memilih saya melalui proses pemilihan yang sah.

Saya berharap rakyat Selangor tidak mudah terpengaruh dengan berita-berita fitnah, bersifat provokasi dan kontroversi kerana Negeri Selangor mempunyai tatacara pelantikan Menteri Besar secara tertib dan beradab seperti yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Pada masa yang sama, saya ingin menegaskan kepada seluruh rakyat Selangor dan para pelabur bahawa isu ini tidak sedikit pun menjejaskan sistem
pentadbiran negeri.

YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Ahli-Ahli PAS Jangan Hilang Tumpuan

Ahli-ahli PAS di Selangor hendaklah meneruskan khidmat mereka kepada rakyat dan tidak menghiraukan perkembangan terkini di Negeri Selangor.
Sama ada sebagai Exco, Ahli Dewan Negeri, Ahli Majlis, Ketua Kg, Nazir Masjid, Pengerusi Surau atau pemegang-pemegang jawatan lain, mereka hendaklah terus berkhidmat dengan tekun dan bersungguh-sungguh kepada rakyat.
Segala agenda-agenda yang dirancang hendaklah dilaksanakan dan segala program-program yang telah diatur hendaklah diteruskan.
Mereka hendaklah memastikan agar mereka tidak hilang tumpuan sehingga kebajikan dan kepentingan rakyat menjadi terabai.
Sesungguhnya rakyat mahukan perkhidmatan yang terbaik dan pembelaan yang sewajarnya di dalam apa saja suasana dan keadaan.
Di saat-saat seperti ini ahli-ahli mestilah menzahirkan kepimpinan mereka dan tarbiyyah yang telah mereka lalui selama ini.
Iskandar Abdul Samad
Pesuruhjaya PAS
Negeri Selangor
23 Julai 2014

Monday, July 21, 2014

PAS Rakam Takziah Kepada Keluarga Mangsa Tragedi MH17

MARANG – PAS menyokong penuh sebarang usaha tindakan kerajaan Malaysia menuntut keadilan ke atas penumpang dan anak kapal MH17 yang ditembak jatuh di sempadan Ukraine-Rusia, pada 17 Julai lalu.
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyokong sebarang tindakan yang diambil oleh Malaysia bagi menuntut keadilan terhadap tragedi MH17 demi maruah negara.
Kata beliau, kerajaan Malaysia perlu mengambil tindakan sewajarnya melalui saluran pertubuhan-pertubuhan antarabangsa dan bukan sekadar protes bantahan.
“PAS menyokong tindakan (kenuntut keadilan) ini dengan sepenuhnya. Ini perkara kemanusiaan dan kenegaraan dan demi maruah negara kita.
“Kita mengharapkan kerajaan kita dapat mengambil tindakan yang sewajarnya melalui saluran antarabangsa. Melalui Pertubuhan-pertubuhan Antarabangsa dan bukan sahaja melalui protes atau tindakan membantah.
“Dalam masa yang sama hendaklah melalui tindakan undang-undang yang sewajarnya, mengikut lunas-lunas undang-undang antarabangsa yang ada…itu sekurang-kurangnya,” tegas Presiden PAS.
Beliau berkata demikian di kediamannya, pada Sabtu 19 Julai, ketika mengulas tragedi yang menimpa pesawat Penerbangan Malaysia, yang ditembak jatuh, sewaktu perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Ustaz Abdul Hadi turut menyelar tidak pihak yang tidak bertanggungjawab menembak pesawat awam MH17 itu kerana disifatkan mencabuli undang-undang antarabangsa.
Justeru itu, katanya PAS merakamkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa tragedi MH17 serta melahirkan rasa sangat sedih dan dukacita.
“Pesawat (MH17) ini berada di laluan antarabangsa. Maka, tindakan menyerang pesawat awam itu seperti yang dilaporkan oleh media ini adalah mencabuli undang-undang antarabangsa.
“Kita (PAS) merasa sangat sedih dan sangat dukacita dan kita mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa yang terlibat, dan mengharapkan rahmat dari Allah SWT.
“Semoga (roh) diletakkan di tempat yang mulia disisi Allah SWT, di alam barzakh di hari kiamat. Itu (tragedi) semua berada di dalam kekuasaan Allah SWT dan dalam masa yang sama kita yang hidup ini mestilah bertindak dan tidak boleh membiarkan perkara itu berlaku dengan percuma,” ujarnya.
Ketika menjawab persoalan ‘misteri’ kehilangan pesawat MH370 empat bulan lalu, Dato’ Seri Abdul Hadi menegaskan siasatan mesti diteruskan sekali pun mengambil masa yang lama.
Katanya, siasatan terhadap kehilangan kapal terbang MAS mesti diteruskan sehingga terbukti punca kemalangan tersebut berlaku empat bulan yang lalu.
“Masalah kehilangan MH370 sejak empat bulan lalu itu perlu terus disiasat walau pun mengambil masa yang lama untuk selesai.
“Disiasat lagi hingga terbukti sama ada dia (MH370) kemalangan berlaku kerana adanya sabotaj, adanya tindakan penyerang, tindakan melampau ke atas pesawat kita atau sebagainya mesti adanya bukti dan mesti dicari walau pun memakan masa lama,” jelasnya.
Tambah Ustaz Abdul Hadi, kerajaan perlu mengambil pengajaran dan iktibar terhadap kedua-dua tragedi malang tersebut yang menimpa negara ini.

Iklan Berbayar - SMS 013 929 9944 ( RM50.00 Sebulan )

-
-