Ads 468x60px

-

Friday, August 8, 2014

Solidariti Bersama Gaza, Sokongan Kepada Presiden

KUALA TERENGGANU – Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) menjemput semua orang ramai hadir ke Himpunan Perdana & Solat Hajat Khas sempena Solidariti Malam Untukmu Gaza dan Sokongan padu kepada Tuan Guru Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.

ssPegawai Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, progranm tersebut aakan diadakan pada hari Jumaat, 8 hb. Ogos 2014
“program akan bermula pada jam 8:15 malam dengan solat Isyak dan diikuti solat Hajat berjamaah di masjid Rusila, kemudian selepas itu disambung dengan aturcara Malam Untukmu Gaza,
“yang akan diadakan Dewan Tok Guru, bersebelahan Masjid Rusila, Marang, InsyaAllah,”ujarnya.
Selain dari ucapan tokoh-tokoh, kata beliau, persembahan lagu nasyid, tayangan video, persembahan khas palestin, akan memberi ingatan kita kepada kesukaran hidup warga Gaza.
Oleh itu, penyerahan sumbangan dari orang ramai dan mereka yang prihatin untuk Tabung Dana Kemanusiaan Gaza akan dibuat secara rasmi.

Antara tokoh yang akan berucap, katanya adalah, Presiden PAS yang juga Ahli Mua’asasah Al-Quds, Dato’ Seri Tuan Guru Abd Hadi Awang, Pesuruhjaya PAS Terengganu, YB Us Satiful Bahri Mamat, wakil Palestin Ahmed Abu Ayesh, Presiden Yayasan Amal Malaysia Husein Ismail dan wakil Muslim Care, Dr Ridhuan Mohd Nor.

Thursday, August 7, 2014

Kekal Khalid selagi tidak disabit langgar amanah - Majlis Syura

KUALA LUMPUR: Majlis Syura Ulamak PAS yang bersidang di Kota Bharu semalam membuat keputusan bahawa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim wajar dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor selagi tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah.

Dalam kenyataan yang ditandantangani Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan juga Timbalan Mursyidul Am Tuan Guru Datuk Dr Haron Din itu menyatakan, keputusan itu dibuat berasaskan hukum syarak dan melihat kepentingan rakyat yang mesti mendahului kepentingan individu dan parti.

Bagaimanapun kata kenyataan itu, jika sekiranya ada pertuduhan yang disabitkan bersalah kemudiannya oleh pihak yang berautoriti seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau mahkamah, maka Majlis Syura Ulamak bersedia untuk menilai kembali kedudukan Khalid.

Berikut adalah kenyataan penuh.
Kenyataan Majlis Syura Ulamak

Merujuk kepada Fasal 3 Perlembagaan PAS, bahawa dasar PAS ialah Islam, dan Fasal 6(2) bahawa antara usaha PAS adalah "memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariat serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara" ,

Maka, Majlis Syura Ulamak PAS yang telah bersidang pada 9 Syawal 1435 bersamaan 6 Ogos 2014 di Kota Bharu telah membuat keputusan berasaskan hukum syarak dan melihat kepentingan rakyat yang mesti mendahului kepentingan individu dan parti seperti berikut:

"Bahawa jawatan Menteri Besar Selangor adalah hak bersama yang telah dipersetujui oleh ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat untuk meneruskan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar di Selangor bagi penggal kedua selepas Pilihanraya Umum ke-13. Maka selagi tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah yang mewajarkan Menteri Besar itu digugurkan, Majlis Syura Ulamak PAS memutuskan untuk mengekalkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Jika sekiranya ada pertuduhan yang disabitkan bersalah kemudiannya oleh pihak yang berautoriti seperti SPRM atau Mahkamah maka Majlis Syura Ulamak bersedia untuk menilai kembali kedudukan beliau.

Majlis Syura Ulamak menegaskan sekali lagi bahawa PAS akan tetap istiqamah dengan dasar dan prinsip perjuangan Islam sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaannya dan terus  memberi komitmen bersama Pakatan Rakyat .

Datuk Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
Al-Mursyidul Am, Parti Islam Se-Malaysia

Datuk Dr Haron Din
Timbalan Al-Mursyidul Am, Parti Islam Se-Malaysia
- HARAKAHDAILY 7/8/2014

Sunday, July 27, 2014

PAS : Bahtera Yang Ada Nakhodanya

Oleh : Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Saya pada mulanya tidak berhasrat untuk mengulas isu Menteri Besar Selangor memandangkan kita sekarang sedang berada di 10 akhir Ramadhan yang entah sempat atau tidak kita bersua dengan Ramadhan di tahun hadapan. Sewajarnya tempoh terbaik di bulan yang terbaik ini digunakan dengan sepenuh tumpuan untuk kita menggandakan amal ibadat agar dikurniakan ganjaran yang terbaik oleh Allah SWT.
Bagaimanapun, saya ditanya bertubi-tubi terutama oleh pihak media sejak dua hari lepas khususnya apabila keluar kenyataan Dato Seri Tuan Guru Presiden PAS yang mempertahankan Tan Sri Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor. Ramadhan yang sepatutnya digunakan untuk masing-masing menumpukan perhatian kepada ibadah menjadi masa untuk kita berpolemik. Seolah-olah kenyataan Tuan Guru Presiden itu tidak memadai, maka saya terus diasak untuk mengeluarkan pula kenyataan.
Saya membaca kenyaaan Tuan Guru Presiden dan sepenuhnya saya menyokong kenyataan beliau. Saya sebagaimana banyak pihak di negara ini turut tertanya-tanya, atas silap dan salah manakah Tan Sri Khalid ingin digugurkan dari jawatan Menteri Besar? Setelah satu penggal beliau memimpin dengan cemerlang sehingga di dalam pilihanraya umum yang lepas, prestasi Pakatan Rakyat di Selangor semakin meningkat dan beliau dikekalkan di atas kerusi Menteri Besar, tiba-tiba hari ini beliau ingin digugurkan. Sudah tentu persoalan yang berlegar ialah, adakah tiba-tiba beliau menjadi mundur dalam prestasi gerak kerjanya?
Barangkali beliau ada salah dan silap tidak dapat dinafikan, namun adakah ia sehingga menyebabkan beliau wajar digugurkan? Saya kira persoalan ini perlu diselesaikan terlebih dahulu di meja rundingan Pakatan Rakyat, barulah kita bercakap soal pengganti. Jika tangga pertama pun masih belum dipijak, janganlah pula tergesa-gesa melangkah ke tangga kedua, bimbang nanti kepala tersadung lantai.
PAS ini ada nakhodanya iaitu Tuan Guru Presiden. Saya penuh yakin beliau mendapat maklumat yang cukup sebelum mengeluarkan kenyataan. Saya sendiri turut mendapat maklumat dari banyak pihak yang sebahagiannya tidak perlu untuk saya jelaskan di sini. Cukuplah untuk saya menyatakan bahawa, buat masa ini, ahli PAS hendaklah meletakkan keutamaan ketaatan kepada apa yang telah dinyatakan oleh Tuan Guru Presiden. Benar, nakhoda barangkali tersalah, tetapi jika anak kapal pula beramai-ramai ingin menjadi nakhoda, barang tentu bahtera tidak akan belayar dengan baik.
Pesan saya, selesaikan polemik ini dengan baik. Keruh di hulu selesaikan di hulu, jangan biar ia berhilir. Jangan keruh di hulu diheret panjang. Utamakan perbincangan sesama kita agar rakyat tidak bosan mendengar hiruk pikuk pertengkaran suami isteri. Pada saya, ini hanyalah satu kemelut kecil sahaja bahkan proses ini mematangkan hubungan kita di dalam Pakatan Rakyat.
Wajib diingat, Pakatan Rakyat perlu terus kukuh bertahan dalam medan politik negara. Akar umbi perlu sentiasa segar dengan maklumat agar sikap dan tingkah laku pemimpin difahami dengan jelas. Jika akar rapuh, pohon yang rendang sekalipun tidak akan bertahan lama.
Salam Ramadhan. Teruskan saki baki Ramadhan dengan amal kebajikan.
Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)
Bertarikh : 28 Ramadhan 1435H bersamaan 26 Julai 2014M


Saturday, July 26, 2014

Pemuda Pas Selangor mahu Khalid kekal

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor hari ini mempertahankan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal sebagai Menteri Besar Selangor dan mengingatkan sebarang usaha mengganti dan melantik menteri besar baharu mesti mematuhi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Ketua Pemudanya Syarhan Humaizi Abdul Halim berkata, PR tidak boleh menafikan kecemerlangan perkhidmatan Abdul Khalid dalam menerajui Selangor hingga ke tahap yang lebih baik termasuk mempertahankan Selangor pada PRU13 lepas.

“Kami menyokong penuh kenyataan Persuruhjaya Pas Selangor Ir Iskandar Samad yang menegaskan bahawa Abdul Khalid perlu dikekalkan sebagai MB Selangor.

“Menjustifikasikan tindakan beralasan memperkukuhkan kestabilan PKR semata-mata bukanlah alasan yang terbaik dalam memperjudikan kepercayaan rakyat yang terbina selama ini kepada PR di Selangor khususnya dan di Malaysia amnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Syarhan turut mengingatkan kepada pihak yang terlibat dalam isu percaturan menteri besar ini agar tidak bertindak semberono.

“Pemuda Pas Selangor mengingatkan pihak yang bersungguh dalam ‘movement’ ini agar tidak gopoh hanya kerana ingin meraih untung secupak tetapi rugi segantang.

 “Amanah yang terhampar untuk kita fokus dalam memberi khidmat terbaik kepada rakyat jangan dipersiakan, ayuh kita usahakan agar Pakatan Rakyat sentiasa terkehadapan dalam menunaikan tanggung jawab ini,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, parti itu bersetuju untuk memilih Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Abdul Khalid.

Susulan daripada kekalutan isu Menteri Besar Selangor mutakhir ini, Dewan Pemuda PAS Selangor (DPPNS) ingin menegaskan beberapa perkara yang telah diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Harian DPPNS semalam.

PENDIRIAN PEMUDA DPPNS : ISU MB SELANGOR

WRITTEN BY SYARHAN HUMAIZI ABDUL HALIM.
DPPNS menyokong penuh kenyataan YB Persuruhjaya PAS Selangor Ir Iskandar Samad yang dipaparkan dalam Berita Harian bertarikh 23 Julai 2014 dengan tajuk "PAS Selangor Mahu Khalid Kekal", yang menunjukkan kematangan beliau dan PAS Selangor dalam memperlihatkan sikap kebertanggungjawaban bagi mempastikan kesatabilan pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor dalam keadaan yang terbaik dengan mengambil kira fokus sebenar Pakatan Rakyat ialah membela nasib rakyat di Selangor.

DPPNS juga menyokong penuh kenyataan YAB Tan Sri Dato Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor yang bertarikh 22 Julai 2014 "Penggantian dan Perlantikan Menteri Besar Perlu Patuhi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri", yang memperingatkan semua pihak bahawa walau apa jua pun tindakan yang membabitkan pertukaran Menteri Besar Selangor perlu selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang perlu difahami dalam konteks yang sebenar.

DPPNS ingin menegaskan bahawa kita tidak boleh sesekali menafikan kecemerlangan perkhidmatan Tan Sri Khalid Ibrahim dalam mengemudi Selangor hingga ke tahap yang lebih baik berbanding Menteri Besar BN terdahulu yang secara tidak langsung rakyat memberi mandat kepada Pakatan Rakyat apabila menang mempertahankan Selangor pada PRU13 yang lepas.
Tindakan menukar Menteri Besar juga perlu diperhalusi dengan cermat melalui persefahaman bersama Pakatan rakyat serta mengambil kira sentimen setiap pihak yang berkait dengan proses Undang- Undang Tubuh Kerajaan Negeri termasuk pihak Istana. Menjustifikasikan tindakan beralasan memperkukuhkan kestabilan PKR semata-mata bukanlah alasan yang terbaik dalam memperjudikan kepercayaan rakyat yang terbina selama ini kepada Pakatan di Selangor khususnya dan di Malaysia amnya.

DPPNS mengingatkan kepada pihak yang bersungguh dalam ‘movement’ ini agar tidak gopoh hanya kerana ingin meraih untung secupak tetapi rugi segantang. Amanah yang terhampar untuk kita fokus dalam memberi khidmat terbaik kepada rakyat jangan dipersiakan, ayuh kita usahakan agar Pakatan Rakyat sentiasa terkehadapan dalam menunaikan tanggung jawab ini.

Syarhan Humaizi Abdul Halim
Ketua Pemuda 
Dewan Pemuda PAS Selangor

Friday, July 25, 2014

Iskandar : Saya Ucap Syukur Presiden PAS Sokong Khalid

Jul 25,2014 - by 

Saya mengucapkan syukur di atas kenyataan Presiden PAS yang mahu Tan Sri Khalid Ibrahim kekal sebagai Menteri Besar Selangor kerana ia telah menjelaskan beberapa kekeliruan.
Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 23 Julai lepas telah membuat kenyataan di mana di antara lain menyebut,
…….telah menerima cadangan daripada KEADILAN untuk membuat pertukaran Menteri Besar di Selangor…….
Ayat tersebut telah disalahtafsir sebagai Pakatan Rakyat telah meluluskan cadangan PKR untuk menggantikan Tan Sri Khalid dengan Dato’ Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Walhal seperti yang juga disebut oleh kenyataan itu hanya bermaksud menerima cadangan dan,
“……akan dibawa ke dalam mesyuarat peringkat tertinggi parti masing-masing dan akan membuat keputusan dalam masa terdekat”.
Maka menerima bukan bermaksud bersetuju dan tidak ada keputusan lagi.
Sehubungan itu pelbagai persoalan telah timbul di kalangan ahli-ahli PAS di Selangor serta masyarakat secara amnya kerana ramai di antara mereka yang berpandangan Tan Sri Khalid wajar dikekalkan sebagai Menteri Besar.
Oleh yang demikian kenyataan Presiden ini telah menjawab persoalan-persoalan tersebut.
Saya mengucapkan terima kasih kerana Presiden telah mengambil kira pandangan pimpinan dan ahli-ahli PAS Selangor.
Walau bagaimanapun pimpinan dan ahli-ahli PAS Selangor akan sentiasa mematuhi apa saja keputusan yang diputuskan oleh Presiden dan pimpinan tertinggi PAS.
Iskandar Abdul Samad
Pesuruhjaya PAS
Negeri Selangor
25 Julai 2014

Iklan Berbayar - SMS 013 929 9944 ( RM50.00 Sebulan )

-
-