Ads 468x60px

-

Wednesday, August 13, 2014

Isu MB: Pemecatan 5 Exco DAP, PKR Sah, Diarah Kosongkan Pejabat


SHAH ALAM: Lima Exco DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipecat diarah mengosongkan pejabat selepas mesyuarat Exco mengesahkan pemecatan mereka yang mendapat perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Arahan dan pengesahan itu diumumkan oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, pada tengah hari Rabu.
"Pembatalan pelantikan exco (DAP dan PKR) adalah sah dan diperkenan Sultan Selangor," jelasnya.
Tegas Khalid, pemecatan tersebut dilakukan selepas kelima-lima exco tersebut didapati melanggar 10 aku janji ketika lafaz sumpah di hadapan Sultan, tahun lalu.
"Mereka (lima exco) mengeluarkan kenyataan bersama untuk tidak mahu mempunyai sebarang hubungan dengan Menteri Besar dan hanya menghadiri mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi memantau perjalanan kerajaan negeri serta hanya akan menurut kehendak parti yang mereka dokongi," katanya.
Ketika ditanya tuduhan Exco DAP, Datuk Teng Chang Khim yang tidak mengiktiraf pemecatan tersebut, Khalid menegaskan, beliau mendapat perkenan Sultan secara bertulis yang diterima dua jam selepas menghantar surat memohon perkenan pemecatan tersebut.
"Saya tulis surat kepada Tuanku Sultan pada pukul 2 petang semalam (Selasa) selepas terima berita kumpulan exco terbabit tidak menyokong menteri besar dan mengeluarkan beberapa kenyataan.
"Tuanku Sultan membalas secara bertulis (selepas dua jam) untuk benarkan menteri besar memaklumkan kepada exco berkenaan penamatan khidmat mereka," katanya.
Dalam surat yang dibacakan Khalid, Sultan Sharafuddin bertitah tidak menghalang beliau menamatkan perkhidmatan exco-exco terbabit.
Malah, Khalid berkata mesyuarat exco pada Rabu berjalan seperti biasa dengan korum mencukupi bersama empat ahli Majlis Mesyuarat kerajaan Negeri (MMKN) dan tiga pegawai Ex-Officio.
Tegasnya, jumlah tersebut memadai dan sah mengikut Artikel 53 (2) B Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor yang menetapkan sekurang-kurangnya mempunyai empat anggota MMKN untuk mentadbir negeri secara sah.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai portfolio yang dikosongkan keenam-enam exco tersebut, Khalid berkata, perkara itu belum diputuskan dan perlu mendapat perkenan Sultan Sharafuddin terlebih dahulu.
"Buat masa ini belum buat sebarang keputusan untuk tambah penyertaan ahli exco. Malah ia perlu mendapat perkenan Sultan," katanya.

Sunday, August 10, 2014

Isu Khalid: PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat


HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menegaskan parti itu akan terus bersama dengan Pakatan Rakyat.
Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada tindakan PKR memecat keahlian Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada parti itu, semalam.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kepada semua peringkat kepimpinan parti, ahli dan para penyokong supaya bertenang dalam menghadapi konflik politik yang sedang di Selangor kini.

"Kepimpinan PAS sedang berada di tengah-tengah isu ini dan menangani isu ini secara berhemah, cermat dan bijaksana bersama-sama dengan kepimpinan Pakatan Rakyat yang lain," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Beliau juga menjelaskan bahawa keempat-empat Exco Kerajaan Selangor daripada PAS akan terus berkhidmat dan berfungsi kerana kerajaan negeri masih wujud.

Mereka terdiri daripada Adun Chempaka, Iskandar Abdul Samad (Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar), Adun Sabak, Sallehen Mukhyi (Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian, Pembangunan Desa), Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali (Pendidikan dan Pendidikan Tinggi, Pembangunan Modal Insan) dan Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi (Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam). - HARAKAHDAILY 10/8/2014

Friday, August 8, 2014

Henti kenyataan sanggah Presiden PAS – Majlis Syura

KUALA LUMPUR: Majlis Syura Ulamak memandang serius beberapa kenyataan terbuka sebahagian pimpinan parti yang dilihat menyanggahi kenyataan Presiden sebagai ketua parti. 

Maka Majlis Syura Ulamak memberi peringatan tegas kepada seluruh pimpinan dan ahli parti agar kenyataan-kenyataan ini dihentikan serta merta.

Keputusan itu dibuat pada Majlis Syura Ulamak PAS yang telah bersidang pada 9 Syawal 1435 bersamaan 6 Ogos 2014 di Kota Bharu, Kelantan.

Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan Majlis Syura yang ditandatangani Mursyidul Am PAS dan timbalannya, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Datuk Dr Haron Din. –HARAKAHDAILY 7/8/2014

Solidariti Bersama Gaza, Sokongan Kepada Presiden

KUALA TERENGGANU – Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) menjemput semua orang ramai hadir ke Himpunan Perdana & Solat Hajat Khas sempena Solidariti Malam Untukmu Gaza dan Sokongan padu kepada Tuan Guru Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.

ssPegawai Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, progranm tersebut aakan diadakan pada hari Jumaat, 8 hb. Ogos 2014
“program akan bermula pada jam 8:15 malam dengan solat Isyak dan diikuti solat Hajat berjamaah di masjid Rusila, kemudian selepas itu disambung dengan aturcara Malam Untukmu Gaza,
“yang akan diadakan Dewan Tok Guru, bersebelahan Masjid Rusila, Marang, InsyaAllah,”ujarnya.
Selain dari ucapan tokoh-tokoh, kata beliau, persembahan lagu nasyid, tayangan video, persembahan khas palestin, akan memberi ingatan kita kepada kesukaran hidup warga Gaza.
Oleh itu, penyerahan sumbangan dari orang ramai dan mereka yang prihatin untuk Tabung Dana Kemanusiaan Gaza akan dibuat secara rasmi.

Antara tokoh yang akan berucap, katanya adalah, Presiden PAS yang juga Ahli Mua’asasah Al-Quds, Dato’ Seri Tuan Guru Abd Hadi Awang, Pesuruhjaya PAS Terengganu, YB Us Satiful Bahri Mamat, wakil Palestin Ahmed Abu Ayesh, Presiden Yayasan Amal Malaysia Husein Ismail dan wakil Muslim Care, Dr Ridhuan Mohd Nor.

Thursday, August 7, 2014

Kekal Khalid selagi tidak disabit langgar amanah - Majlis Syura

KUALA LUMPUR: Majlis Syura Ulamak PAS yang bersidang di Kota Bharu semalam membuat keputusan bahawa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim wajar dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor selagi tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah.

Dalam kenyataan yang ditandantangani Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan juga Timbalan Mursyidul Am Tuan Guru Datuk Dr Haron Din itu menyatakan, keputusan itu dibuat berasaskan hukum syarak dan melihat kepentingan rakyat yang mesti mendahului kepentingan individu dan parti.

Bagaimanapun kata kenyataan itu, jika sekiranya ada pertuduhan yang disabitkan bersalah kemudiannya oleh pihak yang berautoriti seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau mahkamah, maka Majlis Syura Ulamak bersedia untuk menilai kembali kedudukan Khalid.

Berikut adalah kenyataan penuh.
Kenyataan Majlis Syura Ulamak

Merujuk kepada Fasal 3 Perlembagaan PAS, bahawa dasar PAS ialah Islam, dan Fasal 6(2) bahawa antara usaha PAS adalah "memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariat serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara" ,

Maka, Majlis Syura Ulamak PAS yang telah bersidang pada 9 Syawal 1435 bersamaan 6 Ogos 2014 di Kota Bharu telah membuat keputusan berasaskan hukum syarak dan melihat kepentingan rakyat yang mesti mendahului kepentingan individu dan parti seperti berikut:

"Bahawa jawatan Menteri Besar Selangor adalah hak bersama yang telah dipersetujui oleh ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat untuk meneruskan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar di Selangor bagi penggal kedua selepas Pilihanraya Umum ke-13. Maka selagi tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah yang mewajarkan Menteri Besar itu digugurkan, Majlis Syura Ulamak PAS memutuskan untuk mengekalkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Jika sekiranya ada pertuduhan yang disabitkan bersalah kemudiannya oleh pihak yang berautoriti seperti SPRM atau Mahkamah maka Majlis Syura Ulamak bersedia untuk menilai kembali kedudukan beliau.

Majlis Syura Ulamak menegaskan sekali lagi bahawa PAS akan tetap istiqamah dengan dasar dan prinsip perjuangan Islam sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaannya dan terus  memberi komitmen bersama Pakatan Rakyat .

Datuk Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
Al-Mursyidul Am, Parti Islam Se-Malaysia

Datuk Dr Haron Din
Timbalan Al-Mursyidul Am, Parti Islam Se-Malaysia
- HARAKAHDAILY 7/8/2014

Iklan Berbayar - SMS 013 929 9944 ( RM50.00 Sebulan )

-
-