Ads 468x60px

-

Saturday, August 17, 2013

Anak Setiausaha PAS Marang Meninggal Dunia Kemalangan


Ibu sempat beri wang RM2 

Ahmad Shahir parah dan dalam keadaan tenat selepas terlibat kemalangan sebelum disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Marang.  

MARANG – “Mak cik sempat beri wang RM2 kepadanya untuk diberikan kepada adiknya sebelum dia keluar rumah, tak sangka pula ia pemberian terakhir apabila dia pergi selama-lamanya selepas terlibat dalam kemalangan.”

Demikian cerita isteri Setiausaha Pas Kawasan Marang, Hassan Jusoh, Puanyah Sulong, 48, selepas anak keempat pasangan itu, Ahmad Syahir, 17, maut dalam kemalangan di Jalan Kampung Darat Pak Chan di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 2.10 petang itu, mangsa tenat selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah motosikal dan sebuah kereta jenis BMW sebelum disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Marang, kira-kira tiga jam kemudian.

Puanyah ditemui di Tanah Perkuburan Rusila semalam, berkata, arwah sempat menghantar wang itu kepada adiknya, Ahmad Sharifuddin, 12, yang bermain futsal di Dewan Tok Guru di Rusila, malah berjanji akan datang semula mengambil adiknya.

“Bagaimanapun hasrat arwah untuk mengambil adiknya sekitar jam 3.30 petang itu tidak kesampaian, sebaliknya adiknya, Sharifuddin bersama kakak serta suami pula bergegas ke Klinik Kesihatan Marang apabila dimaklumkan arwah kemalangan.

“Kehilangan arwah sungguh dirasai keluarga ini kerana dia sangat rapat dengan kami. Arwah juga sangat manja dengan ayahnya dan kadang kala sering bergurau serta masih mahu duduk di atas riba ayahnya itu,” katanya.

Tak sempat duduki peperiksaan

Terdahulu, bapa mangsa, Hassan Jusoh ketika ditemui di Klinik Kesihatan Marang berkata, dia hanya mengetahui mengenai kejadian kemalangan selepas dimaklumkan mengenainya lalu bergegas ke klinik untuk mengetahui keadaan sebenar.

Bagaimanapun, Hassan dikejutkan dengan berita menyedihkan itu sebelum jenazah anaknya dibawa ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk bedah siasat dan kemudiannya dituntut ahli keluarga mangsa.

Hassan yang sedih dengan kejadian juga terkilan apabila anak keempatnya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Durian Guling di Pengkalan Berangan di sini, tidak sempat menduduki peperiksaan akhir tahun ini.

Jenazah Ahmad Syahir selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Rusila selepas solat jenazah kira-kira jam 10.45 pagi semalam, selepas solat jenazah itu diketuai Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diadakan di Masjid Rusila di sini.

Motosikal bertembung dari dua arah berlawanan

Dalam pada itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan menerima laporan berkata, siasatan awal polis kelmarin mendapati, seramai lima orang terlibat dalam kemalangan itu.

Menurutnya, kemalangan itu melibatkan tiga buah motosikal iaitu dua motosikal jenis Honda EX5 dan sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda termasuk sebuah kereta jenis BMW, dipandu Muhammad Amir Alias yang tidak mengalami kecederaan.

“Seorang meninggal dunia manakala empat lagi mangsa lain dikejarkan ke HSNZ. Kejadian dipercayai berpunca daripada pertembungan motosikal dari dua arah berlawanan.

“Bagaimanapun, maklumat terperinci mengenai penunggang atau pembonceng masih belum diperoleh kerana kesemua mangsa masih mendapat rawatan kecemasan,” katanya.

Jenazah disolatkan selepas kuliah dhuha Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Masjid Rusila.

1 comment:

  1. arwah merupakan senior saya pada tahun ini.arwahseorang senior yang sungguh caring,arwah juga kelihatan sungguh periang..walaupun saya tidak pernah mengenali arwah dengan lebih dekat sekadar tahu nama dan rupa...saya pasti arwah ini orangnya berakhlak baik orangnya...

    ReplyDelete

Iklan Berbayar - SMS 013 929 9944 ( RM50.00 Sebulan )

-
-