Ads 468x60px

-

Tuesday, May 26, 2015

Penduduk Besut Tolak GST

Oleh : Haji Yahaya Ali - TPJ Pas Terengganu

Program sehari semalam 'Jelajah GST' di Besut kelmarin cukup ceria walaupun memenatkan. Sambutan masyarakat terhadap program tersebut dalam bentuk wacana gst, demonstrasi dan 'flashmob' di bandar Jerteh dan ceramah umum di Lubuk Kawah tidak mengecewakan.


Rakyat tidak akan keluar kalau isu ini tidak sensitif kepada mereka. Tepat sekali isu ini mendapat perhatian dari semua lapisan masyarakat tanpa mengira latarbelakang. Bukan saja orang kaya tetapi orang miskin, penerima asnaf zakat, penganggur, pelajar, OKU setiap kali mereka membeli barang atau mendapatkan perkhidmatan, mereka dikenakan cukai dengan kadar 6 peratus. Mereka sepakat mengatakan cukai ini menindas mereka, menambahkan beban kos hidup dalam keadaan pendapatan mereka tidak bertambah. Kajian awal dari FOMCA menunjukkan selepas kerajaan menguatkuasakan GST harga barang keperluan naik dari 20 hingga 30 peratus walaupun ada senarai barang yang dikecualikan GST. Apa lagi yang tinggal apabila lebih dari 80 peratus pendapatan mereka dibelanjakan untuk makanan dan pakaian ahli keluarga yang merupakan keperluan asas.

Zakat adalah salah satu rukun Islam dan menjadi suatu ibadah apabila ditunaikan. Kalau ia juga dianggap sebagai cukai, sistemnya adalah sempurna dan tidak membebankan. Ia diambil dari orang kaya atau mereka yang mampu apabila memenuhi syarat untuk diberikan kepada orang miskin dan golongan yang sangat memerlukannya.

Dalam al-Quran (an-Nisa' : 29), Allah melarang sebarang bentuk penindasan dalam soal mengguna atau mengurus harta sesama manusia secara yang batil. Apatah lagi kalau kerajaan sendiri mengguna harta atau hak rakyat dari golongan mustadh'afin secara sewenang-wenangnya tanpa keridhaan mereka. Hinggakan Nabi juga mengingatkan mereka yang terdiri dari pemungut-pemungut cukai adalah dalam neraka.

Kerajaan tidak boleh berselindung bahawa cukai baru ini diperlukan untuk membiayai kepentingan dan kemudahan rakyat. Pada masa yang sama rakyat juga melihat dengan mata kepala mereka bagaimana pemimpin kerajaan boros dan bermewah dalam perkara-perkara yang tidak mendesak seperti membeli dan menghias jet eksekutif untuk kegunaan pemimpin. Mereka melihat duit yang begitu banyak lesap akibat dari penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah yang melibatkan kepimpinan negara seperti dalam isu 1MDB ( dengan hutang RM42 billion), Tabung Haji, KWSP dan lain-lain. Ketua Audit Negara melaporkan setiap tahun berlakunya ketirisan yang kalau dikumpulkan melibatkan berpuluh-puluh billion ringgit. Negara bukan memerlukan bantuan rakyat kerana tanahair sedang diserang musuh untuk membiayai perbelanjaan perang yang tidak mampu lagi ditanggung oleh kerajaan.

Justeru, kerajaan yang bertanggung jawab akan mendengar suara rakyat hingga akhirnya bertindak mengkaji semula cukai gst ini dan membatalkannya. Inilah tindakan yang dilakukan oleh pemimpin besar yang berjiwa rakyat. Tetapi kalau mereka berkeras, tunggulah masanya rakyat akan menurunkan mereka. Janji dalam kempen pilihanraya 'BN menang rakyat senang' hanya tinggal slogan kosong.






10 tahun robohnya Masjid Bujal

Oleh : Haji Yahaya Ali - TPJ Pas Terengganu

Saya merasa sungguh teruja dapat bersama dalam program memperingati '10 tahun robohnya Masjid Bujal' pada malam semalam. Persembahan pentomen bagaimana kejadian itu berlaku mampu mengalirkan air mata penonton. Peristiwa tersebut berlaku pada 26 Mei 2005, kira-kira setahun selepas jatuhnya kerajaan Pas di Terengganu. Sebagaimana 'peristiwa Memali', ia sentiasa dikenang dan dijadikan salah satu program sambutan kerana meninggalkan kenangan yang pahit kepada umat Islam khususnya masyarakat Islam di kampung Bujal.




Tidak boleh digambarkan bagaimana zalim dan rakusnya pimpinan Umno pada waktu itu di bawah pimpinan Idris Jusoh sebaik saja mereka berkuasa semula dengan begitu ghairah menghapuskan legasi pemerintahan Pas di negeri Terengganu. Mereka membatalkan lebih 60,000 lot tapak rumah dan lot pertanian yang diluluskan di seluruh negeri sewaktu Pas berkuasa. Dalam konteks rancangan tanah berkelompok (RTB) Kampong Bujal, mereka tergamak meruntuhkan 10 buah rumah yang telah didirikan dan kemuncaknya merobohkan masjid Bujal (dinamakan Masjid Desa Makmur). Di mana letaknya iman mereka sewaktu melakukan kerja mungkar seumpama ini? Di mana perjuangan untuk menegakkan agama dan bangsa yang mereka laungkan selama ini?

Dimana silapnya kerajaan Pas apabila meluluskan ribuan tanah kepada rakyat melalui RTB termasuk di kampung Bujal. Bukankah kerajaan pada waktu itu menggunakan peraturan yang sama (procedure kelulusan tanah LMS/TOL), bahkan menggunakan pegawai tadbir negeri (PTN) yang sama sebagaimana kerajaan sebelumnya. Yang berbedanya cuma kelulusan dibuat oleh kepimpinan kerajaan yang terdiri dari Menteri Besar dan ahli-ahli Exco Pas bukan Umno.
Apabila diluluskan sesuatu RTB, dalam pelan tataturnya telah ditentukan di mana 'layout' tapak rumah dan kemudahan-kemudahan lain termasuk masjid. Sebagai mengikut sunnah RasuluLlah SAW, orang kampung di RTB Bujal mendahulukan pembinaan masjid dengan inisiatif mereka sendiri dengan bergotong royong tanpa bergantung kepada bantuan kerajaan sehingga mereka dapat mendirikan solat berjamaah. Jadi di mana logiknya tuduhan pimpinan Umno termasuk Ahmad Said, ADUN Kijal pada waktu itu (dan selepas itu menggantikan Idris Jusoh sebagai Menteri Besar), yang mengatakan bangunan tersebut bukan masjid tetapi markas Pas.

Tetapi pimpinan Umno tidak sedar bahawa Allah maha berkuasa walaupun mereka memperlekehkan usaha solat hajat di kalangan orang kampung yang dizalimi. Akhirnya sewaktu mereka berada di puncak kekuasaan, kedua-dua orang MB ini (Idris Jusoh dan Ahmad Said) tumbang ditelan zaman. Apa yang berlaku ini sepatutnya menyedarkan mereka termasuk selepas itu negeri Terengganu Darul Iman digelar sebagai 'Darul Runtuh' kerana satu demi satu bangunan seperti masjid, stadium, siling bumbung lapangan terbang, terminal bas, dewan sekolah, tangki air dan lain-lain begitu mudah runtuh.
Tetapi tidak semua legasi pemerintahan Pas berkubur. Rakyat masih ingat betapa berimarahnya surau dan masjid sewaktu kerajaan Pas berkuasa. Kerajaan pada waktu itu masih terus dapat memberi khidmat kepada rakyat termasuk menghapuskan cukai pintu (rumah kediaman) dan tol di jambatan Sultan Mahmud walapun royalti petroleum dirampas. Rakyat masih bermegah dan bersyukur kerana kerajaan Pas berjaya meletakkan al- Quran, al-Sunnah, ijmak ulamak dan qias sebagai sumber hukum tertinggi dalam perlembagaan negeri ini. Legasi juga ditinggalkan apabila kerajaan Pas berjaya mengkanunkan enakmen kesalahan jenayah syariah Islam (hudud, qisas dan takzir) untuk dilaksanakan pada suatu masa nanti, insya Allah.








Saturday, May 2, 2015

UCAPAN ALUAN YDP PAS KAWASAN MARANG



Dalam ucapan sempena mesyuarat agung Pas Kawasan Marang (PKM) ke 31, Yang DiPertuanya, Haji Yahaya Ali mengharapkan PKM akan lebih kuat selepas selepas selesainya Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah yang diadakan di Rusila kira-kira sebulan yang lepas. Ijtimak ini katanya, "memberikan kesan politik kepada Pas Negeri Terengganu dari segi kemampuan kita menganjurkan program bertaraf antarabangsa yang berjaya mengumpulkan pemimpin gerakan Islam dari 41 buah negara dengan kehadiran ratusan ribu orang. Ia sekaligus menonjolkan kepimpinan Presiden Pas yang juga Naib Pengerusi Kesatuan Ulamak Islam Sedunia yang sentiasa menjadi rujukan sewaktu persidangan".

Beliau menggariskan beberapa perkara penting dalam konteks kepimpinan, petugas parti dan bagaimana menguruskan taktik dan strataegi bagi mencapai matlamat perjuangan parti yang masih panjang. Diantaranya beliau menyentuh :

a) Membina kepimpinan yang komited kepada kerja yang diamanahkan dan boleh bekerja dalam satu pasukan.
b) Membina kepimpinan yang bersedia menerima dan memberi tarbiyah dan sentiasa turun ke bawah.
c) Membina saf pelapis kepimpinan yang ditarbiyahkan dalam pelbagai ilmu dan kemahiran terutama melalui Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat kawasan.
d) Melahirkan lebih ramai petugas sepenuh masa (murabitun) atau separuh masa yang bertugas untuk parti dengan tidak terikat pada musim pilihanraya.
e) Mengumpul dan menggerakkan lebih ramai ahli yang mempunyai kepakaran dan minat yang tinggi untuk menyuburkan dana parti khususnya bagi menghadapi pilihanraya.
f) Mengumpul dan mengggerakkan lebih ramai arkitek parti dalam pelbagai bidang professional seperti pengurusan, perniagaan, motivasi, undang2, ekonomi dan lain2 termasuk bidang atau kemahiran menguasai masyarakat.

Seluruh para perwakilan diajak oleh beliau untuk berganding bahu bagi menawan kembali Dun Pengkalan Berangan.

Ini menurutnya merupakan salah satu resolusi Konvensyen Pas Kaw. Marang yang diadakan pada akhir tahun lepas. Katanya, "Samada Dewan Pemuda, Dewan Muslimat, Urusan Ulamak dan mas'ul-mas'ul yang dilantik di setiap UPU mestilah berganding bahu dengan pihak MTD untuk menggerakkan kerja-kerja secara bersepadu bagi mendekati pengundi dan masyarakat".

Dalam isu yang dilihat pergolakan dalaman parti, beliau mengatakan ia banyak diolah dan ditokok tambah oleh pihak media yang berkepentingan. Beliau menggariskan betapa pentingnya semua ahli dan penyokong parti mempunyai sifat atau akhlak dan adab berjamaah. Menurutnya, " sifat ikhlas, istiqamah, ukhwah, wala' dan taat adalah pra syarat kepada keutuhan dan perpaduan dalam sesebuah jamaah Islam ".

Untuk itu beliau mengajak seluruh para perwakilan untuk berdiri teguh mempertahankan kepimpinan ulamak khususnya Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai Presiden parti.

Iklan Berbayar - SMS 013 929 9944 ( RM50.00 Sebulan )

-
-