Amat memilulakan. Apabila mendapat berita 13 pimpinan Ikhwan Muslimin
termasuk sahabat karib saya Naser El-Hafi diseksa sebelum dibunuh dengan
kejam oleh pasukan keselamatan Mesir di sebuah rumah di bandar Sittah
Oktober beberapa hari yang lepas.
Menurut kenyataan rasmi Ikhwan
Muslimin, kesemua mangsa sedang berbincang penyelarasan gerak kerja
bantuan ahli keluarga syuhada’ dan tahanan penjara.
Kenyataan itu memberitahu kesemua mangsa yang tidak memiliki senjata telah dikepung beberapa jam sebelum dibunuh.
Surat mati yang dikeluarkan oleh pihak hospital pula menjelaskan pada tubuh mangsa terdapat kesan seksaan dan patah tulang.
Ya, antara dibunuh dengan kejam dalam serangan itu adalah sahabat saya Nasser al-Hafi.
Siapa Nasser al-Hafi?
Beliau adalah seorang peguam hak asasi dan anggota Parlimen yang
dipilih oleh rakyat Mesir di bawah kepimpinan Presiden Mohamed Morsi
sebelum berlakunya kudeta oleh rejim tentera As-Sisi.
Beliau
memimpin lajnah guaman dan hak asasi Ikhwan Muslimin Mesir sejak
beberapa tahun yang lalu. Dibawah kepimpinan beliau, peguam-peguam muda
hak asasi telah memberi khidmat guaman secara percuma kapada mangsa
kekejaman rejim As- Sisi.
Bantuan guaman percuma ini diberikan
kepada semua pihak tanpa mengira fahaman atau parti politik. Dianggarkan
kini terdapat lebih dari 40,000 tahanan politik Mesir termasuk
kepimpinan tertinggi Ikhwan Muslimin sendiri yang merengkok dalam
penjara di seluruh Mesir. Sebahagian dari mereka juga telah disiksa
dengan kejam.
Saudara Naser El-Hafi telah mengabdikan seluruh
diri dan kehidupannya untuk perjuangan yang mulia ini. Kehidupannya amat
sederhana dan akhlaknya amat disanjung oleh kawan dan lawan.
Kali terakhir saya bertemu dengan beliau adalah pada bulan Ramadan 2013,
beberapa minggu sebelum berlakunya kudeta tentera yang menggulingkan
kerajaan Presiden Morsi.
Kami sempat beriftar bersama di Dataran
Adawiyyah ditengah-tengah ratusan ribu rakyat Mesir yang telah
berkumpul mempertahankan kepimpinan Presiden Morsi.
Beliau
seorang yang amat peramah, berlemah lembut dan sentiasa menyantuni
sahabat. Akhlaknya Masyallah, seorang yang abid, ahli ibadah yang penuh
dengan sifat Akhlaq kul Karim.
Setiap kali saya berkunjung ke
Kaherah beliau akan memastikan saya dilayan dengan baik. Salah sebuah
restauran ikan dan makanan laut yang menjadi kegemaran beliau bagi
meraikan saya adalah di El Dokki, dipinggir kota Kaherah.
Kami
banyak berkongsi pengalaman, suka dan duka bersama. Beliau sering
menceritakan kepada saya pengalaman beliau mrmbela pimpinan Ikhwan
Muslimin berhadapan rejim yang zalim.
Isu-isu Ummah termasuk
konflik di Palestin, Syria dan Irak juga sering kami berbincang bersama
bila bertemu. Kami sering 'bergaduh' apabila topik mengenai Iran
diperbincangkan.
Saudara Naser El-Hafi juga seorang yang amat
menjaga dan menepati masa. Setiap kali bertemu, beliau akan datang lebih
awal walaupun kesesakan trafik di kota Kaherah amat kronik.
Ya,
serangan serta pembunuhan terhadap sahabat saya saudara Nasser El-Hafi
dan anggota Ikhwan Muslimin lain menyusul hanya beberapa jam selepas
lebih 60 askar regim terbunuh dalam serangan militan di utara
Semenanjung Sinai pada hari sama.
Ia juga berlaku selang dua hari selepas serangan bom terhadap kereta Pendakwa Raya Mesir Hisham Barakat di timur Kaherah.
Mesir kini diselubungi ketidakstabilan sejak presiden yang dipilih
secara demokratik Mesir, Mohamed Morsi, digulingkan dalam rampasan kuasa
tentera pada 3 Julai 2013.
Sejak penyingkiran Morsi itu, pihak
berkuasa Mesir telah menjalankan tindakan keras tanpa henti terhadap
pihak penyokong bekas presiden itu yang telah mengakibatkan ribuan
terbunuh dan ratusan lagi ditangkap.
Malah pemimpin Ikhwan Muslimin dan anggotanya, termasuk Morsi sendiri, telah dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah regim.
Ya, pulanglah sahabat ku Naser El-Hafi di bulan yang penuh kerahmatan
ini. Pulang dengan penuh kemualiaan bertemu Allah swt. di Syurga Firdaus
seperti yang dijanjikan.
Airmata ini tidak akan basah untuk terus mengingati mu wahai sahabat sejati ku...