Ads 468x60px

-

Monday, July 6, 2015

Peristiwa Badr Al Qubra dan kenangan bersama Syahid Naser El-Hafi

OLEH : Syed Azman

Amat memilulakan. Apabila mendapat berita 13 pimpinan Ikhwan Muslimin termasuk sahabat karib saya Naser El-Hafi diseksa sebelum dibunuh dengan kejam oleh pasukan keselamatan Mesir di sebuah rumah di bandar Sittah Oktober beberapa hari yang lepas.

Menurut kenyataan rasmi Ikhwan Muslimin, kesemua mangsa sedang berbincang penyelarasan gerak kerja bantuan ahli keluarga syuhada’ dan tahanan penjara.
Kenyataan itu memberitahu kesemua mangsa yang tidak memiliki senjata telah dikepung beberapa jam sebelum dibunuh.

Surat mati yang dikeluarkan oleh pihak hospital pula menjelaskan pada tubuh mangsa terdapat kesan seksaan dan patah tulang.
Ya, antara dibunuh dengan kejam dalam serangan itu adalah sahabat saya Nasser al-Hafi.
Siapa Nasser al-Hafi?

Beliau adalah seorang peguam hak asasi dan anggota Parlimen yang dipilih oleh rakyat Mesir di bawah kepimpinan Presiden Mohamed Morsi sebelum berlakunya kudeta oleh rejim tentera As-Sisi.
Beliau memimpin lajnah guaman dan hak asasi Ikhwan Muslimin Mesir sejak beberapa tahun yang lalu. Dibawah kepimpinan beliau, peguam-peguam muda hak asasi telah memberi khidmat guaman secara percuma kapada mangsa kekejaman rejim As- Sisi.

Bantuan guaman percuma ini diberikan kepada semua pihak tanpa mengira fahaman atau parti politik. Dianggarkan kini terdapat lebih dari 40,000 tahanan politik Mesir termasuk kepimpinan tertinggi Ikhwan Muslimin sendiri yang merengkok dalam penjara di seluruh Mesir. Sebahagian dari mereka juga telah disiksa dengan kejam.

Saudara Naser El-Hafi telah mengabdikan seluruh diri dan kehidupannya untuk perjuangan yang mulia ini. Kehidupannya amat sederhana dan akhlaknya amat disanjung oleh kawan dan lawan.
Kali terakhir saya bertemu dengan beliau adalah pada bulan Ramadan 2013, beberapa minggu sebelum berlakunya kudeta tentera yang menggulingkan kerajaan Presiden Morsi.

Kami sempat beriftar bersama di Dataran Adawiyyah ditengah-tengah ratusan ribu rakyat Mesir yang telah berkumpul mempertahankan kepimpinan Presiden Morsi.

Beliau seorang yang amat peramah, berlemah lembut dan sentiasa menyantuni sahabat. Akhlaknya Masyallah, seorang yang abid, ahli ibadah yang penuh dengan sifat Akhlaq kul Karim.
Setiap kali saya berkunjung ke Kaherah beliau akan memastikan saya dilayan dengan baik. Salah sebuah restauran ikan dan makanan laut yang menjadi kegemaran beliau bagi meraikan saya adalah di El Dokki, dipinggir kota Kaherah.

Kami banyak berkongsi pengalaman, suka dan duka bersama. Beliau sering menceritakan kepada saya pengalaman beliau mrmbela pimpinan Ikhwan Muslimin berhadapan rejim yang zalim.
Isu-isu Ummah termasuk konflik di Palestin, Syria dan Irak juga sering kami berbincang bersama bila bertemu. Kami sering 'bergaduh' apabila topik mengenai Iran diperbincangkan.

Saudara Naser El-Hafi juga seorang yang amat menjaga dan menepati masa. Setiap kali bertemu, beliau akan datang lebih awal walaupun kesesakan trafik di kota Kaherah amat kronik.
Ya, serangan serta pembunuhan terhadap sahabat saya saudara Nasser El-Hafi dan anggota Ikhwan Muslimin lain menyusul hanya beberapa jam selepas lebih 60 askar regim terbunuh dalam serangan militan di utara Semenanjung Sinai pada hari sama.
Ia juga berlaku selang dua hari selepas serangan bom terhadap kereta Pendakwa Raya Mesir Hisham Barakat di timur Kaherah.

Mesir kini diselubungi ketidakstabilan sejak presiden yang dipilih secara demokratik Mesir, Mohamed Morsi, digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 3 Julai 2013.

Sejak penyingkiran Morsi itu, pihak berkuasa Mesir telah menjalankan tindakan keras tanpa henti terhadap pihak penyokong bekas presiden itu yang telah mengakibatkan ribuan terbunuh dan ratusan lagi ditangkap.

Malah pemimpin Ikhwan Muslimin dan anggotanya, termasuk Morsi sendiri, telah dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah regim.

Ya, pulanglah sahabat ku Naser El-Hafi di bulan yang penuh kerahmatan ini. Pulang dengan penuh kemualiaan bertemu Allah swt. di Syurga Firdaus seperti yang dijanjikan.

Airmata ini tidak akan basah untuk terus mengingati mu wahai sahabat sejati ku...

No comments:

Post a Comment

Iklan Berbayar - SMS 013 929 9944 ( RM50.00 Sebulan )

-
-