Ads 468x60px

-

Thursday, March 31, 2016

Islam Gaya UMNO : ‘Majlis Fatwa Kebangsaan’ tak wujud, tiada kuasa perundangan

Asyraf Wajdi: ‘Majlis Fatwa Kebangsaan’ tak wujud, tiada kuasa perundangan



Datuk Dr Aysraf Wajdi Dusuki (kanan) mendengar penjelasan daripada Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. — Foto ehsan Facebook/Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 31 Mac — Timbalan menteri Datuk Dr Aysraf Wajdi Dusuki menjelaskan bahawa tiada istilah “Majlis Fatwa Kebangsaan”.

Yang wujud cumalah Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam, katanya.

Namun begitu, sebarang fatwa yang dikeluarkan oleh muzakarah atau persidangan tersebut cuma pandangan agama dan tidak lebih daripada itu.

Beliau, yang memegang portfolio hal ehwal Islam, berkata penjelasan tersebut dititahkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sendiri.

“Kesimpulannya, di Malaysia, fatwa terletak bawah kuasa negeri sepenuhnya dan mempunyai kuasa perundangan setelah diwartakan,” kata timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

“Manakala istilah ‘fatwa’ yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam yang sering disalah lapor sebagai ‘Majis Fatwa Kebangsaan’, hanyalah sekadar pandangan agama yang tiada kesan mahupun kuasa perundangan.”

Asyraf menjelaskan bahawa proses mewartakan fatwa bermula dengan perbincangan oleh jawatankuasa fatwa negeri, yang diketuai mufti setiap negeri, untuk memutuskan pandangan mengenai sesuatu isu agama yang dibangkitkan.

Pandangan yang diputuskan itu pula dibawa kepada sultan untuk diperakukan dan diluluskan, sebelum diwartakan sebagai fatwa negeri yang mempunyai kuasa dan kesan perundangan.

KENYATAAN MEDIA PAS TERENGGANU

31 March 2016
1. Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) menyifatkan, situasi ketegangan politik yang berlaku dalam negeri Terengganu adalah masalah dalaman Umno, yang melibatkan Menteri Besar (MB) Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan bekas MB Dato' Seri Ahmad Said.
2. PAS tidak wajar dibabitkan dan PAS tidak akan mencampuri urusan dalaman Umno Terengganu kerana ia tidak ada kena mengena dengan PAS.
3. Oleh itu, PAS memberi peringatan kepada Umno dan kerajaan Barisan Nasional Terengganu, agar sebarang perbalahan dalaman dan krisis yang berlaku ini, jangan sampai menyusahkan dan mengheret rakyat ke kancah politik yang keterlaluan, sehingga mengabaikan kebajikan, kehidupan dan masa depan rakyat.
4. PAS tidak bersetuju dan menentang sebarang ketidakadilan, mengambil alih peruntukan yang sepatutnya diuruskan oleh wakil rakyat adalah satu amalan yang buruk dalam tadbir urus sesebuah kerajaan. Kerajaan Barisan Nasional Terengganu perlu melaksanakan transformasi menyeluruh, bukan hanya sekadar slogan.
5. PAS juga, sama sekali tidak bersetuju dengan apa-apa tindakan yang menyalahi peraturan dan perlembagaan, tindakan merampas kuasa sebagaimana dilakukan oleh Barisan Nasional negeri Perak adalah tindakan yang keji.
6. Sekiranya isu yang melanda politik negeri ini tidak dapat diselesaikan, maka mandat perlulah diserah semula kepada rakyat untuk menentukan kerajaan baru melalui pilihanraya.
7. Walau apa pun yang mungkin berlaku, negeri Terengganu adalah negeri Raja Berperlembagaan. Sultan adalah payung negeri. Justeru pandangan tuanku sultan adalah amat dihormati.
YB Ustaz Satiful Bahri Mamat
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka
22 Jamadil-akhir 1437/ 31 Mac, 2016

Friday, March 11, 2016

Dari Masjid Rusila – Kuliah Jumaat 2 Jamadil’ Akhir 1437

Oleh : Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Haji Awang.
Fiqh Harakah.
1. Rasulullah mendapat tarbiyah daripada Ilahi. Tarbiyah ialah didikan. Sama ada ilmu dan akhlak. Ilmu yang mendidik dia.
2. Nabi pernah memelihara kambing untuk menafkah hidup. Hikmatnya, orang yang memelihara kambing lebih berlembut berbanding dengan pemelihara lembu dan unta. Kerana binatang besar berasa nak piak (rotan) sahaja.
3. Mencari nafkah dengan titik peluh sendiri adalah yang paling berkat disisi Allah. Seorang pendakwah yang kuat ialah pendakwah yang bergantung dengan diri sendiri, bergantung dengan pitih (duit) sendiri. Kerana jika bergantung dengan pitih orang, mudah dibeli. Kekayaan jiwa (kaya akhlak, kaya iman, kaya semangat) menjadi bekal utama dalam perjuangan menegakkan Allah. Begitulah sikap pendakwah.
Tafsir Al-Quran
Surah Al-Fill
أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِأَصْحَابِ الْفِيلِ
Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)?
أَلَمْ يَجْعَلْ كَيْدَهُمْ فِي تَضْلِيلٍ
Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka?
وَأَرْسَلَ عَلَيْهِمْ طَيْرًا أَبَابِيلَ
Dan Ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan, –
تَرْمِيهِمْ بِحِجَارَةٍ مِنْ سِجِّيلٍ
Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras, –
فَجَعَلَهُمْ كَعَصْفٍ مَأْكُولٍ
Lalu Ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.
Hadi Awang ngajar1Tafsir Ayat.
1. Surah yang diturunkan di Makkah. Surah ini berkait dengan peristiwa besar yang diketahui oleh penduduk Makkah. Berlaku perkara irhas (perkara luar biasa yang berlaku kepada orang Islam dan kafir untuk menunjukkan kekuasaan Allah). Apabila Allah membinasakan tentera bergajah bukan kerana penduduk Makkah yang menyembah berhala tetapi kerana Kaabah yang dibina Nabi Ibrahim yang akan menjadi kiblat. Peristiwa ini berlaku ketika tahun kelahiran nabi.
2. Abrahah marah kepada penduduk Makkah kerana mahu membakar tempat yang dibuatnya di Yaman. Sehingga Abrahah menyediakan Gajah-gajah. Ada pendapat menyatakan dua belas ekor Gajah. Ada pendapat menyatakan lapan ekor gajah. Mahu tarik Kaabah dengan Gajah.
3. 100 ekor unta Abdul Mutalib dirampas oleh Abrahah. Kemudian Abdul Mutalib dipanggil dan dibuat perundingan dan minta supaya boleh menyerang Kaabah. Kemudian Abdul Mutalib kata, aku mahukan 100 ekor unta aku. Lalu Abdul Mutalib kata, unta-unta itu, aku lah tuannya, dan Kaabah itu ada tuannya sendiri. Kemudian penduduk Makkah menghadiahkan banyak unta, namun Abrahah nekad mahu serang Makkah. Sehingga Abu Mutalib berdoa kepada Allah supaya memelihara kiblat mereka. Dan Abdul Mutalib memerintah supaya penduduk Makkah keluar daripada rumah masing-masing dan bersembunyi di bukit-bukit kerana bimbang keselamatan penduduk Makkah.
4. Lalu penduduk Makkah melihat sekawan burung datang. Tentera Allah datang. Tentera yang dapat dilihat dan tidak dapat dilihat. Nyamuk juga tentera Allah. Kita mesti sediakan kekuatan sekadar kemampuan, nescaya Allah akan menghantar tentera-Nya yang dapat dilihat dan tidak dapat dilihat. Penduduk Makkah kafir semua, kecuali Abdul Mutalib (kristian yang belum diseleweng) beberapa orang sahaja. Tetapi Allah membantu kerana itulah kemampuan Abdul Mutallib.
5. Gajah apabila dihadap ke Kaabah, gajah tidak mahu berjalan. Tapi hadap ke Yaman, berjalan. Gajah diberi kebijaksanaan oleh Allah. Kemudian dihantar kawangan burung. Ada yang kata burung warna hijau, ada kata warna hitam, tetapi semua itu riwayat yang tiada sandaran. Tetapi riwayat sohih, burung ini lebih kecil daripada merpati, dan setiap di paruh burung ada tiga batu kecil. Sijjil ialah batu yang sangat keras yang dicampur dengan tanah yang keras, wallahualam.
6. Dilempar batu itu tepat pada sasaran. Apabila terkena batu ini, terputus anggota dan sendi-sendi. Ini lah batu yang dicipta Allah untuk menghancurkan oleh Allah untuk menghancurkan tentera.
7. Allah abadikan peristiwa ini di dalam surah Al Fill bersempena dengan gajah. Dan surah ini menunjukkan kemuliaan kepada nabi Ibrahim yang membina Kaabah untuk menjadi kiblat.
Catatan,
Abdul Latif Al Marangi,
11 March 2016.

Wednesday, March 9, 2016

CATATAN KHAS: TUAN GURU PRESIDEN PAS BERBAHAS, DEWAN PARLIMEN BERUBAH BAGAIKAN DEWAN KULIAH UNIVERSITI

1. Pada tepat jam 12.00 tengah hari tadi, giliran Ahli Parlimen Marang, YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang membahaskan Titah Diraja. Saya begitu tidak menyangka suasana perbahasan menjadi begitu menarik, dan mengasyikkan. Sesiapa yang berada di dalam Dewan mahupun menonton secara langsung pasti berasa teruja kerana suasana Dewan yang biasanya gamat dengan pertelingkahan dan bertikam lidah berubah menjadi diskusi ilmiah bagaikan dalam dewan kuliah universiti.
2. Asalnya masa yang diperuntukkan hanya 30 minit tetapi atas budibicara Dato' Timbalan Speaker, Tuan Guru Presiden dibenarkan untuk berbahas selama 1 jam kerana ramai Ahli Parlimen lain daripada BN mahupun Pembangkang yang berminat bangun membuat pencelahan. Mereka bertanya dengan penuh adab tatasusila bahkan ada Ahli Parlimen DAP yang memanggil nama "Tuan Guru" sedangkan kebiasaannya sesama Ahli Parlimen akan memanggil " Yang Berhormat (nama kawasan yang diwakili). Ada Ahli Parlimen BN yang bangun bertanya memulakan dengan lafaz "Subhanallah, Tabarakallah" kerana beliau begitu tertarik dengan isi perbahasan Tuan Guru Presiden.
3. Antara kelainan yang dapat saya perhatikan dalam perbahasan kali ini, Tuan Guru Presiden berucap tanpa teks, hanya sesekali merujuk catatan isi penting, ia membuatkan suasana yang lebih santai, spontan, banyak eye-contact dan gerakan tangan.
4. Di awal ucapan, beliau menyebut perbahasan akan menyentuh 2 perkara yang terkandung dalam Titah Diraja iaitu:
a) Sokongan Yang di-Pertuan Agong terhadap segala inisiatif bagi mendaulatkan Islam sebagai agama persekutuan dan pemerkasaan Mahkamah Syariah.
b) Seruan Yang di-Pertuan Agong agar hentikan berpolitik untuk kepentingan sempit.
5. Berikut adalah intipati utama ucapan perbahasan beliau:
- Seruan transformasi yang diwar-warkan oleh kerajaan perlulah mengikut petunjuk di dalam Al Quran.
Transformasi positif sepertimana dalam ayat 11, Surah Ar Ra'du, yang bermaksud "Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka mengubahnya sendiri"
- Pembangunan insan akan dapat membangunkan negara dan ummat, Allah memulakan Islam di bumi Mekah yang kering, tidak ada apa-apa hasil,
lalu manusia dibangunkan dengan ilmu, akhlak, dan jatidiri.
- Kita kembali kepada Perlembagaan yang diasaskan oleh mereka generasi awal samada di pihak kerajaan dan pembangkang yang sama-sama memperjuangkan kemerdekaan walaupun berbeza dasar dan pendekatan politik. Suruhanjaya Reid telah menetapkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam sebagai Agama Persekutuan, manakala agama lain bebas diamalkan, dan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan iaitu Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, dan hak bahasa ibunda masing-masing.
- Yang di-Pertuan Agong menyeru agar mendaulatkan Islam sebagai agama persekutuan. Apabila hendak mendaulatkan Islam, perlulah berpandu kepada agama Islam yang disebut dalam Al Quran iaitu Ad Din dan kaffah (sempurna) sifatnya. Kita jangan terpengaruh dengan takrif agama mengikut Bahasa Inggeris, penjajah kita dan juga yang terkandung dalam Kitab Bible. Tuan Guru memetik :
"Jesus said to them, “Render to Caesar the things that are Caesar’s, and to God the things that are God’s.” ( Mark 12:17)
Ia menunjukkan pemisahan agama dan politik sedangkan Islam agama yang berdaulat. Islam menentang diktator dan teokrasi.
Ayat Quran menyebut mengenai adanya pemerintah yang berlagak bagaikan Tuhan samada bernama raja seperti Firaun dan Namrud, ataupun Al Malak (pemimpin-pemimpin).
[Pencelahan oleh YB DAP Bukit Mertajam- mohon penjelasan lanjut berkenaan tafsiran Bible yang dibaca oleh Tuan Guru]
- Tuan Guru menceritakan tentang sejarah dalam agama Kristian yang menindas golongan ilmuan, manakala golongan agamawan bersekongkol dengan pemerintah, merebut kuasa melalui pengutipan cukai pengampunan dosa. Apabila Tamadun Islam mula mempengaruhi Barat maka lahirlah idelogi Sekularisme yang memisahkan agama daripada politik.
- Apa yang dibawa ke negara ini oleh penjajah British bukanlah ajaran asal Kristian tetapi ajaran yang sudah dipinda bagi menyekat kuasa agama Islam dengan merampas kuasa Raja-Raja. Agama dihadkan kepada sekadar nikah-cerai, pembahagian harta-pusaka, dan wakaf. Kuasa tanah, pentadbiran, dan kerakyatan dialmbil oleh British. Selepas merdeka, pemikiran British ini patutlah dibuang.
- Usaha pemerkasaan Mahkamah Syariah amatlah dialukan. Apa yang ada hari ini, Mahkamah Syariah lebih rendah daripada Mahkamah Majistret padahal kita sebut Islam adalah Agama Persekutuan. bagaimana Mahkamah Syariah lebih rendah daripada Mahkamah di daerah-daerah.?
Saranan Yang di-Pertuan Agong agar Mahkamah Syariah diperkasakan amatlah disokong dan dilalukan.
[Pencelahan oleh YB PKR Bukit Katil yang mencadangkan agar Hakim Mahkamah Syariah dilantik oleh Suruhanjaya sepertimana Hakim Mahkamah Sivil, agar mereka bukan sekadar penjawat awam biasa]
- Tuan Guru bersetuju cadangan itu tetapi mahukan aspek yang lebih luas iaitu kadar hukuman. Kuasa hukuman sepatutnya lebih tinggi dan sebolehnya menepati syariat yang sepenuhnya. Dalam hal ini, penganut bukan Islam jangan bimbang kerana wujudnya jaminan dalam Islam iaitu tidak ada paksaan untuk memeluk Islam. Ayat Quran juga menyebut mengenai larangan meroboh rumah ibadah agama lain. Lihatlah di Mesir, masih ada gereja yang dimiliki oleh Kristian Ortodok Koptik yang ada sebelum Islam. di Iran ada rumah api yang dimiliki oleh penganut agama Majusi, di Indonesia alam Melayu ini masih ada candi Borobudur. Ini menunjukkan kebebasan beragama yang dijamin oleh Islam.
- Dalam aspek pelaksanaan undang-undang, orang Islam tertakluk kepada undang-undang Islam tetapi hal ehwal umum seperti trafik jalanraya, tetap sama untuk semua yang Islam dan bukan Islam. Contohnya, tidak boleh dibuat lampu hijau untuk orang Islam boleh jalan manakala yang bukan Islam kena berhenti, pasti huru-hara di jalanraya.
[Pencelahan oleh YB BN Rompin yang berpandangan soal pendekatan kita apabila menyebut pemerkasaan Mahkamah Syariah berbanding penekanan Hudud boleh membuatkan orang bukan Islam tidaklah terkejut sangat yang cuba memahami Islam]
- Tuan Guru Presiden menjelaskan dalam Islam adanya undang-undang Perlembagaan, perdagangan, keluarga, jenayah, antarabangsa, semuanya ada dalam Islam. Seringkali golongan orientalis menggunakan Hudud sebagai senjata menyerang Islam, hukum potong tangan dijadikan hujjah menakutkan orang bukan Islam.
- Pernah berlaku satu Dialog pada tahun 1971,di antara Vatican City (wakil Barat) dan pemikir Islam yang dianjurkan di Vatican dan Riyadh. Isu potong tangan ini timbul, mereka menyangka apabila ada jumlah 70,000 pencuri maka kesemuanya dipotong tangan. Mereka tidak sedar bahawa undan-undang Islam sifatnya mendidik, bukan menghukum. Hukuman yang hendak dijatuhkan sangat ketat termasuk ciri hakim, saksi, penjenayah, kadar curian, hubungan pencuri dan mangsa. Mengikut Islam, hakim perlu cari jalan membebaskan pesalah,kerana Islam menggalakkan pengampunan dan bertaubat. Apa yang penting undang-undang ini mendidik, bagi menggerunkan penjenayah dan semua orang. Apa yang hendak ditakutkan jika kita tidak mencuri..? Lihat di Arab Saudi adanya keamanan, kedai boleh ditutup hanya dengan kain tanpa kunci yang kukuh mahupun jaga yang gagah perkasa. Inilah kehebatan undang-undang.
- Hukuman sebatan dalam Islam bersifat tidak mencederakan tetapi memalukan. Hukuman tidak boleh pecah kulit, bukan macam dalam penjara hari ini yang menggunakan rotan yang kuat sehingga tercabut kulit dari isi. Dalam sirah ada seorang tua yang kurus melakukan kesalahan, dihukum sebat sebanyak 100 sebatan, orang bertanya kepada Nabi, bagaimana hendak dilaksanakan hukuman ini.? Nabi menjawab, ambil 100 ranting, pukul 1 kali sahaja di khalayak ramai.
Inilah keindahan hukum Islam, jangan percaya seperti dalam filem yang ingin memburukkan imej Islam yang
[Pencelahan oleh YB PKR Penampang yang berpandangan tidak setuju undang-undang agama diperluaskan lagi penguatkuasaannya kerana itu syarat asal kemasukan Sabah ke dalam Malaysia dahulu]
- Tuan Guru Presiden menjawab dalam Perlembagaan Malaysia adanya sistem Federalisme yang memberikan hak agama adalah kuasa kerajaan negeri, maka terpulanglah kepada Kerajaan Negeri masing-masing, Beliau mengimbau kembali sejarah Islam. adanya pemerintahan yang begitu luas daripada India sehinggalah ke Sepanyol di Barat yang turut mengamalkan federalisme, zaman itu tiada lagi internet dan telefon. Raja Najasyi, pemerintah Habsyah yang baru memeluk Islam berhadapan dengan paderi Kristian yang tidak bersetuju dengan beliau, Hudud ditangguhkan berasaskan realiti masyarakat di situ. Ini adalah keanjalan yang ada dalam pelaksanaan Syariat Islam.
*Timbalan Speaker memaklumkan ramai yang berminat dengan perbahasan YB Marang,
[Pencelahan oleh YB BN Bagan Serai yang menyatakan beliau begitu tertarik mendengar penjelasan mengenai undang-undang Islam yang diterangkan oleh Tuan Guru Presiden, beliau meminta pendapat perlukah diubah undang-undang bagi mencegah jenayah dadah yang masih belum dapat ditangani sehingga sekarang.?]
- Tuan Guru Presiden menerangkan adanya 3 bahagian dalam undang-undang Islam iaitu Qisos (hal kecederaan), Hudud (hal moral), dan Ta'zir (hal yang tiada dalam Hudud dan Qisos). Dadah termasuk dalam Ta'zir yang tertakluk kepada budibicara pemerintah. Undang-undang Islam adanya aspek ruh spiritual, ini tidak ada pada undang-undang Barat. Makna spiritual ini ialah seseorang itu percaya bahawa sekiranya dia tidak dihukum di dunia, dia tetap tidak dapat lari daripada hukuman di Akhirat. Sebab itu dalam sejarah Islam, ada pesalah datang serah diri mengaku salah kerana adanya aspek spiritual dalam diri ini. Perbincangan lanjut diperlukan dalam hal ini, kerana masa yang ada sekarang singkat dan bukannya dalam kelas kuliah undang-undang.
[Pencelahan sekali lagi oleh YB BN Rompin bangun mencadangkan agar Perlembagaan sediaada tidak dipinda tetapi Mahkamah Syariah yang perlu diperkasa.]
- Tuan Guru Presiden menjawab ada perkara yang beliau setuju dan ada yang beliau tidak setuju. Islam sebagai agama persekutuan tidak perlu dpinda, tetapi undang-undang lain boleh dipinda seiring dengan perkembangan semasa. Semenjak beliau berada di Parlimen pada tahun 1990 lagi, sudah banyak kali pindaan Perlembagaan dibuat. Ini menunjukkan kita boleh fleksibel, tidak perlu jumud dalam semua perkara.
Contohnya, hukuman gantung sampai mati yang menggunakan tali. Islam menetapkan hukuman bunuh perlu dilaksana tetapi bukan menyeksakan. Hukuman mati tetap perlu ada, cuma kaedah yang berbeza. Dalam Islam adanya perkara Tsawabit (yang sudah tetap, tidak boleh berubah) dan Mutaghaiyyirat (yang boleh berubah mengikut perkembangan.
[Pencelahan oleh YB BN Julau yang bertanya berkenaan berita dalam media bahawa Tuan Guru Presiden mendakwa orang Islam ditawarkan wang oleh gerakan Missionary untuk memeluk agama Kristian]
- Tuan Guru Presiden menjelaskan beliau mendapat maklumat berkenaan wujudnya aktiviti sedemikian seperti di negara Afrika. Dalam Islam pun ada, iaitu wang zakat untuk menggalakkan orang masuk Islam, dalam Kristian pun ada, itu hal agama mereka. Apa yang lebih penting ialah menjaga keharmonian, sebab itu dalam Islam menggalakkan dialog antara satu sama lain bagi berhujjah dengan tidak menimbulkan ketegangan.
Biar kita berbeza pendapat, jangan berpecah.
[Pencelahan sekali lagi oleh YB BN Julau yang berpandangan tidak boleh orang yang dihormati dan bergelar Tuan Guru membuat dakwaan sebegitu terhadap agama Kristian]
- Tuan Guru Presiden berkata terserah kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan membuat tindakan selanjutnya. Beliau memetik kata-kata Imam Al Ghazali,"agama asas kehidupan manusia, kuasa pemerintahan adalah pengawas, perkara yang tidak ada asas akan runtuh."
Apabila kita tidak mengikut agama, maka akan runtuh kehidupan. Usah percaya dengan Islamophobia, yang mengatakan Islam agama pengganas sedangkan Kristian juga ada pengganas sepertimana di Ireland,pengganas dalam agama Hindu di India, 2 PM India dibunuh oleh Hindu. Jangan dituduh Islam sahaja.
Sebenarnya, Islam menentang keganasan, menggalakkan hubungan yang baik. Islam melarang membunuh kucing, dan boleh pahala apabila memberi minum anjing yang dahaga, bagaimana mungkin Islam membenarkan manusia dibunuh sesuka hati.?
- Seterusnya, Tuan Guru Presiden membahaskan betapa pentingnya memartabatkan Bahasa Melayu yang merupakan Bahasa Kebangsaan, bahasa perantara kaum. Bahasa adalah naluri fitrah manusia, yang menjadi medium komunikasi, dan mencari ilmu. Bagi mengilmukan sesuatu bangsa maka perlulah dipelajari dalam bahasa ibunda masing-masing, yang menjadi jiwa bangsa. Mengapa ilmu asas pun hendak dipelajari dengan menggunakan bahasa asing.? Solat itu dalam Bahasa Arab tetapi kita belajar solat dalam Bahasa Melayu.
Mengapa kita tinggalkan bahasa kita sendiri untuk belajar Sains.? Hal ini menyebabkan kaum Bumiputera ketinggalan.
Kita cuba lihat di peringkat antabangsa, ketua-ketua negara asing berucap di PBB dalam bahasa ibunda sendiri.
*Timbalan Speaker menggesa YB Marang membahaskan mengenai isi kedua Titah Diraja berkenaan hentikan berpolitik untuk kepentingan sempit.
Beliau turut memberi izin YB Marang berbahas sehingga jam 1.00 petang.
- Tuan Guru Presiden menjelaskan kita tidak boleh berhenti daripada politik kerana ia adalah sebahagian kehidupan manusia. Namun, yang masalahnya apabila berpolitik melampau, sehingga meninggalkan akhlak, perangai yang baik. Ini tidak elok. Seruan ini kepada semua, tidak tuju kepada tertentu.
Lantas, Tuan Guru Presiden memetik kata-kata Saidina Abu Bakar As Siddiq dilantik sebagai Khalifah Ketua Negara, "wahai tuan-tuan, saya telah dipilih menjadi pemimpin kamu, saya bukan orang yang terbaik. Kalau saya baik, tolonglah saya, saya tidak baik, perbetulkan saya. Benar adalah amanah, bohong adalah khianat."
Ini menunjukkan budaya memecat pemimpin tidak digalakkan dalam Islam, kita perlu sabar dan memperbetulkan pemimpin.
- Lihat pada Arab Spring, apa yang jadi.? Musim bunga yang tidak berbuah sehingga berlaku campurtangan asing dalam negara yang menghuru-harakan negara.
Walaupun saya tidak setuju dengan kerajaan, tetapi kita sabar.
PAS menyertai arena politik tanah air sejak sebelum merdeka sehingga ke hari ini, part-parti lain banyak yang baru ditubuhkan kemudian. Kita sabar, kita menang, kita kalah, kita rebah, kita bangun, kita banyak kerusi, kita tiada kerusi langsung, kita tidak kisah, yang penting jangan mengacau rakyat. Ini yang perlu kita jaga betul-betul. (bunyi tepukan sokongan daripada Ahli Dewan).
Saya tidak mengampu sesiapa, orang hendak sokong, sokonglah, yang tidak mahu, tidak mengapa.
6. Tuan Guru Presiden menamatkan ucapan beliau pada jam 12.50 tengah hari. Sesungguhnya, suasana ucapan perbahasan beliau tadi begitu menarik kerana wujud perbincangan dua hala secara ilmiah dan penuh adab. Tuan Guru Presiden dengan berani menyampaikan mesej dakwah Islam secara hikmah dan tegas berprinsip kepada sekalian Ahli Dewan samada yang beragama Islam dan bukan Islam.
7. Sejurus Tuan Guru Presiden menamatkan ucapan, sempat mengiringi beliau ke kereta sambil mengucapkan tahniah atas ucapan yang begitu menarik. Beliau memaklumkan tidak dapat meneruskan ucapan sehingga jam 1.00 petang kerana tekak sudah kering. Beliau bertolak pulang ke Pejabat Agung PAS bagi meneruskan tugasan untuk mpengerusikan mesyuarat parti pula.
Catatan oleh,
Syed Ahmad Fadhli,
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS


Iklan Berbayar - SMS 013 929 9944 ( RM50.00 Sebulan )

-
-