Ads 468x60px

-

Sunday, July 28, 2013

MINYAK ZAITUN MENURUT AL-QURAN & HADIS


Rasulullah SAW pernah bersabda: Sesungguhnya Allah Ta’ala menurunkan penyakit dan ubatnya, dan menjadikan setiap penyakit pasti ada ubatnya. Maka berubatlah kalian, tapi jangan dengan yang haram.” (HR Abu Dawud) Berdasarkan hadis ini, maka tidak hairanlah mengapa para alim ulama lebih cenderung kepada makanan-makanan sunnah untuk mengubati penyakit-penyakit manusia berbanding ubat-ubat moden yang kandungannya diragui (syubhah).

Salah satu makanan sunnah yang banyak diamalkan ialah minyak zaitun. Sejak 1400 tahun lalu, Nabi Muhammad SAW telah menganjurkan penggunaan minyak zaitun, kerana khasiatnya yang amat besar, dikeluarkan dari pohon zaitun yang diberkati.
Firman Allah SWT: “Allah cahaya langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah, adalah seperti sebuah lubang yang tak tembus, yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang yang bercahaya seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang berkah, yakni pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur dan tidak pula di sebelah baratnya, yang minyaknya hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya berlapis-lapis, Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang dia kehendaki, dan Allah memperbuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha mengetahui segala sesuatu.” (QS An-Nur: 35)
Firman Allah SWT: Dan dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan. Maka kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau. Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu butir yang banyak; dan dari mayang kurma mengurai tangkai-tangkai yang menjulai, dan kebun-kebun anggur, dan (Kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa. Perhatikanlah buahnya di waktu pohonnya berbuah dan kematangannya. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.” (QS Al-An’am: 99)
Firman Allah SWT: Dia menumbuhkan bagi kamu dengan air hujan itu tanam-tanaman; zaitun, kurma, anggur dan segala macam buah-buahan. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang memikirkan.” (An-Nahl:11)
Diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a., Rasulullah SAW pernah bersabda: "Minumlah minyak zaitun dan berminyak dengannya kerana sesungguhnya ia adalah dari pohon yang diberkati." (HR Al-Baihaqi & Ibnu Majah). Di dalam riwayat lain menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: "Barangsiap menggosok (badannya) dengan minyak zaitun, syaitan tidak akan mendekatinya."
Pohon zaitun tumbuh di puncak bukit. Ia mendapat sinar matahari baik di waktu matahari terbit mahupun sewaktu matahari terbenam, sehingga pohonnya subur dan buahnya menghasilkan minyak yang baik. Jika diminum, ianya bermanfaat untuk menguatkan daya ingatan, menguatkan hempedu, mencegah masalah pencernaan, mengubati penyakit buasir dan impotensi, membantu masalah haid, menghilangkan racun dalam tubuh, mencegah pertumbuhan sel-sel kanser, menurunkan kadar gula dan kolesterol, mencegah penyakit kencing manis serta bermacam-macam khasiat lagi untuk kesihatan manusia.
Jika disapukan, ianya bermanfaat untuk menghilangkan kedutan pada wajah, melindungi dari bakteria, mencegah keguguran rambut, menghilangkan penyakit kulit, menghaluskan serta melembabkan kulit, melambatkan proses penuaan dan menjaga kebersihan kulit kepala.
Rasulullah SAW adalah suri teladan terbaik bagi umat Islam. Teladan yang ditunjukkan oleh Baginda mencakupi semua aspek kehidupan, termasuklah dalam memelihara kesihatan serta merawat penyakit.
Allah SWT berfirman: Sesungguhnya telah ada pada Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (QS Al-Ahzab: 21)
Wallahua’lam.

Ulamak haraki dicemuh dan difitnah

28 Jul 2013

 

Ulamak adalah orang yang memenuhi 2 syarat iaitu:

1-Mempunyai pengetahuan tinggi tentang agama, mampu merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah, dan
2-Mempunyai ketaqwaan kpd Allah s.w.t .

Mereka hidup dengan mewakafkan diri untuk kerja dakwah menyedarkan ummat menerusi surau masjid dan pelbagai medium. Apabila golongan berilmu dan bertaqwa ini menjadi sasaran kritikan dan penghinaan maka bermulalah siri-siri kerosakan umat. Amat malang jika ia berlaku di kalangan mereka yang menobatkan dirinya sebagai pejuang Islam dalam gerakan Islam.

Adakah kesedaran yang mereka dapat hasil usaha sendiri tanpa menerusi ulamak yang memberikan pencerahan dan ilmu kesedaran?

Inilah bibit kerosakan dalam gerakan Islam. Kalau dulu parti nasional yang memperkecil dan menghina ulamak namun sekarang suara-suara yang menasabkan mereka sebagai ahli gerakan Islam pula yang meniru aksi mereka. Adakah ini kejayaan musuh meresap masuk ke dalam saf gerakan Islam?

Serangan dibuat secara umum terhadap ulamak kononnya tidak turun ke padang untuk berdakwah, tiada daya kepimpinan dan tidak kompeten serta berselindung di bawah jubah ulamak untuk menjadi pemimpin.

Fitnah-fitnah seumpama ini sangat jahat, sedangkan secara realitinya ulamak-ulamak ini turun bersama masyarakat di waktu pagi dan petang dengan puluhan program dakwah 7 hari seminggu untuk bergerak menyampaikan Islam di pelbagai medium tanpa meminta secara peribadi untuk menjadi pemimpin. Di kala sebahagian kita sibuk dengan mencari nafkah, para ulamak turun berdakwah sama ada dengan imbalan dunia sebagai nafkah harian atau tanpa habuan hanya meletakkan Allah sebagai pergantungan rezeki.

Lidah mereka seharian basah dengan zikir dan ayat-ayat Allah. Malam-malam mereka dipenuhi dengan munajat kepada Allah. Berhati-hatilah dengan fitnah yang sedang dinyalakan oleh mereka yang bertopengkan aktivis dakwah tanpa ilmu dan petunjuk al-Quran dan al-Sunnah. Nabi saw bersabda dalam hadis sahih: من عادى لي وليا فقد آذنته بالحرب

"Sesiapa yang memusuhi waliku (orang yang hampir dengan-Ku) maka Aku isytiharkan perang terhadap mereka".

YB Datuk Dr Khairuddin Aman Razali
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Kehebatan Pemimpin

Kehebatan anak dan menantu dalam PAS

Nasrudin Hassan, 28 Jul 2013
1. Sebentar tadi saya menerima e-mail dari seorang rakan yang merujuk saya kepada artikel bertajuk  "Kebangkitan Pengaruh Menantu, Kali ini dalam PAS" oleh Amin Iskandar seorang pengarang berita di portal The Malaysian Insider.

2. Saya melihat artikel itu sarat dengan spekulasi yang mencetus fitnah. Ia dilihat sengaja dicetus untuk membantu pihak yang mahu menjatuhkan Tuan Guru Abdul Hadi Awang lalu merosakkan kredibiliti ulama tersohor yang kini sedang menerajui kepimpinan PAS.  [Sebab itu gambar Tuan Guru Abdul Hadi menjadi penghias artikel dan nama Tuan Guru juga diserlahkan dengan ketara]. Saya memilih untuk respons artikel itu kerana nama saya turut diseret dalam spekulasi yang menumbuhkan fitnah rekaan pengarangnya.

3. Tiba-tiba sahaja nama Al-Fadhil Ustaz Zaharudin Mohamad menjadi hit dan diperkenalkan kepada umum sebagai menantu kepada Tuan Guru Presiden PAS, sedang menurut perspektif saya bahawa Ustaz Zaharudin Mohamad adalah seorang yang sangat  low profile, justeru itu ia tidak dikenali umum sebelum daripada ini. Bahkan bukan beliau sahaja yang berstatus menantu kepada pemimpin utama jamaah PAS malah ramai lagi yang pernah berstatus menantu kepada pemimpin utamanya sebelum ini malah ada yang berstatus anak kepada pemimpin utama. [saya tidak perlu menyenaraikannya]

4. Secara umumnya, semua bapa dan mertua akan berbangga dengan kehebatan anak dan menantu mereka. Sementelah anak dan menantu mereka aktif memperjuangkan Islam bersama jamaah. Malah menjadi idaman setiap bapa dan mertua yang berjuang menegakkan Islam untuk memiliki anak dan menantu yang hebat serta mempunyai karisma kepimpinan yang hebat juga dalam perjuangan suci ini.

5. Tambahan pula Islam tidak memandang salah pertalian anak dan menantu yang turut berintima' dalam Gerakan Islam lantas bergandingan dengan seluruh anggota jamaah yang lain untuk memperjuangkan Islam. Saidina Ali Karramallahu Wajhah antara contoh menantu Nabi s.a.w yang sangat hebat dalam sejarah Islam, berjuang dan mengisi saff kepimpinan ummah di belakang Nabi saw. Sebagaimana Saidina Abu Bakar As Siddiq r.a sebagai bapa mertua Nabi saw. yang juga hebat berjuang dan mempertahankan Nabi saw. [Malah kesemua sahabat Khulafa' Ar Rasyidin mempunyai hubungan mertua dan menantu dengan Nabi saw. dan menduduki posisi kepimpinan utama sejak zaman hidupnya Nabi saw]

6. Perkara yang menjadi kesalahan ialah apabila berlaku penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa dan ini perlu dibuktikan apabila  berlaku dakwaan. Bukan sahaja anak dan menantu, malah mereka yang tidak berbau bacang pun, jika melakukan penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa mestilah dibuktikan apabila terdapat dakwaan dan jika sabit kes maka tindakan sewajarnya mesti diambil.

7. Pengarang artikel kebangkitan pengaruh menantu ini cuba mengaitkan Ustaz Zaharudin Mohamad seperti Khairy Jamaludin dalam UMNO yang kononnya menjadi faktor kejatuhan pemerintahan Pak Lah Badawi. Teori konspirasi itu berlaku dan digerak kuat oleh Tun Dr. Mahathir untuk menjatuhkan Pak Lah dengan memukul Khairy habis-habisan bagi membantu Najib menaiki takhta pucuk kepimpinan BN. Akhirnya Pak Lah terpaksa mengalah dan berundur lalu menyerahkan kuasa kepada Najib. Ironinya, apabila Najib berkuasa dan mendapat mandat baru melalui pilihanraya ke-13 sebagai Perdana Menteri Malaysia, Khairy kini dilantik menjadi Menteri Belia dan Sukan.

8. Ertinya kejatuhan Pak Lah adalah faktor kelemahan dirinya sendiri dan Khairy bukanlah sasaran sebenar. Realiti ini dapat dilihat sejak awal selepas peralihan kuasa Pak Lah kepada Najib, Khairy tidak lagi menjadi papan sasar mana-mana pihak dalam UMNO mahupun dari pihak Tun Mahathir sendiri. Kerana matlamat utama mereka hanya mahu menjatuhkan Pak Lah dan Pak Lah sudah jatuh. Maka tidak mengapa Khairy terus mengukuhkan penguasaan dan kedudukan politiknya dalam UMNO dan BN.

9. Jika teori konspirasi  ini diguna dan dimaksudkan oleh Amin Iskandar sebagai main point dalam artikel Kebangkitan Pengaruh Menantu, ertinya Ustaz Zaharudin Mohamad bukanlah sasaran utama tetapi sebaliknya Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS sebagai sasaran mereka.  Persoalannya siapakah yang menyasarkan Tuan Guru Abdul Hadi?

10. Saya tidak percaya Tuan Guru Abdul Hadi lemah sebagaimana Pak Lah walaupun telah wujud sebelum ini percubaan yang dilakukan oleh individu tertentu untuk melabelkan Tuan Guru Abdul Hadi adalah Pak Lah versi PAS. Sekali lagi saya kira tiada ahli PAS yang celik Gerakan Islam percaya dan menerima label yang diberi sedemikian rupa. Sebab itu percubaan tersebut bukan sahaja gagal tetapi terus lenyap ditelan jerebu yang melanda negara.

11. Apabila timbul isu kebangkitan pengaruh menantu ini dan percubaan menyamakan ustaz Zaharudin Mohamad seperti Khairy dalam UMNO membuatkan saya tertanya-tanya dan tercari-cari siapa yang berperanan sebagai Tun Mahathir untuk memukul Ustaz Zaharudin seperti Tun Mahathir pukul Khairy dahulu dan siapa pula yang akan mengambil tempat Datuk Seri Najib untuk dinaikkan kalau mereka berjaya menjatuhkan Tuan Guru Abdul Hadi kelak?

12. Saya berdoa dan bermunajat kepada Allah swt agar jamaah ini dipelihara oleh-Nya dari musibah dan porak peranda sedemikian rupa. Semoga mereka yang membangkitkan fitnah dan meniup segarkan fitnah itu dikurniakan petunjuk oleh Allah swt. Saya menafikan setiap spekulasi yang dikemukakan oleh Amin Iskandar dalam artikelnya dan ia adalah satu tanggapan salah jua merupakan satu fitnah.

13. Saya mengharapkan beliau menarik balik spekulasi yang beliau kemukakan kerana ia tidak berasas. Saya tidak tahu siapa yang salurkan maklumat sedemikian kepada beliau sedang beliau bukanlah pimpinan PAS yang boleh akses maklumat dalaman jamaah. Jika itu maklumat dipungut dari jalur internet atau ada individu tertentu yang salurkan maklumat kepada beliau, sekali lagi saya nafi kebenarannya bahkan ia adalah satu tohmahan yang tidak berasas. Jika Amin Iskandar ingin meneruskan spekulasinya, beliau boleh berbuat demikian tetapi mesti mengemukakan bukti. Jika tidak, ia kekal sebagai fitnah.
Penulis ialah Ketua Pemuda PAS Malaysia yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Hancur Sekular

Kekejaman tentera Mesir mesti ditentang habis-habisan

Harakahdaily, 28 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengecam dan mengutuk dengan keras pembunuhan sekali lagi rakyat Mesir oleh tentera yang berlaku pada Jumaat, baru-baru ini.

“Tindakan terbaru oleh tentera Mesir ini tidak dapat dikompromi sama sekali,” tegas Pengerusi Shura, Abdul Ghani Samsudin dan Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam kenyataan bersama.

Bagi mereka, ia adalah isyarat jelas bahawa demokrasi yang diperjuangkan oleh Revolusi 25 Jun 2011 sudah dirampas oleh tentera.

Menurut mereka, pada hakikatnya tentera tidak pernah memihak kepada rakyat kerana institusi tentera sejak Mesir merdeka dari sistem monarki telah menjadi komponen yang selama ini hanya memelihara kepentingan golongan elit pegawai tinggi yang menjadi budak kepada kuasa Barat terutama Amerika Syarikat untuk mencengkam dan menindas rakyat dengan zalim.

Kenyataan penuh Shura dan Mapim sebagaimana di bawah.

Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengecam dan mengutuk dengan keras  pembunuhan sekali lagi rakyat Mesir oleh tentera yang berlaku pada  Jumaat baru-baru ini.

Tindakan terbaru oleh tentera Mesir ini tidak dapat dikompromi sama sekali. Ia adalah isyarat jelas bahawa demokrasi yang diperjuangkan oleh Revolusi 25 Jun 2011 sudah dirampas oleh tentera.

Pada hakikatnya tentera tidak pernah memihak kepada rakyat kerana institusi tentera sejak Mesir merdeka dari sistem monarki telah menjadi komponen yang selama ini hanya memelihara kepentingan golongan elit pegawai tinggi yang menjadi budak kepada kuasa Barat terutama Amerika Syarikat untuk mencengkam dan menindas rakyat dengan zalim.

Tentera yang bergabung dan berkospirasi dengan kehakiman, golongan liberal dan sekular serta Kristian Koptik dan kelompok mafia tamarroud adalah bertanggungjawab di atas pembunuhan ini.

Atas alasan menolak pemerintahan Ikhwan Muslimin, mereka menerima bantuan Amerika untuk mengguling Morsi dan membunuh rakyat Mesir.

Tentera yang mengguna kononnya mandat dari rakyat dalam perhimpunan anti Morsi yang didalangi oleh tentera sendiri di Tahrir Square telah dengan sengaja menyerang peserta perhimpunan pro Morsi di kawasan Universiti Al-Azhar menjelang waktu sahur pada Jumaat tersebut.

Kini angka kematian meningkat kepada lebih 100 orang dan lebih 1,000 cedera dalam insiden Jumaat itu akibat serangan tembakan rambang tentera dengan peluru hidup  ke arah peserta demonstrasi.

Jelas tentera kini terang-terangan mahu mencetuskan perang sivil dengan rakyat sendiri yang boleh mengheret Mesir ke arah situasi seperti Syria.

Ketua tentera, Fatteh Al-Sisi yang melantik dirinya sebagai Menteri Pertahanan selepas menggulingkan Morsi juga telah secara terbuka mengistiharkan akan ‘membersihkan’ Mesir dari ‘teroris’ yang ditujukan kepada Ikhwan Muslimin dan penyokong Morsi.

Dengan tindakan membunuh rakyat Mesir sendiri melalui serangan brutal ke atas peserta yang tidak mempunyai sebarang daya berhadapan dengan tentera Mesir yang dilengkapi dengan senapang, keretal kebal dan pemancut gas dan air pancut yang  beracun, bermakna peralihan kepada demokrasi yang diidamkan oleh rakyat Mesir hancur samas ekali.

Sangat jelas kelompok anti Islam didalangi oleh tentera dan kuasa luar untuk menolak kemenangan Mohammad Morsi yang terpilih secara pilihanraya yang demokratik. Ini sangat jelas membuktikan demokrasi yang dilaksanakan tentera adalah demokrasi penuh hipokrasi.

Dengan melakukan jenayah paling hina iaitu membunuh rakyat sendiri yang menuntut demokrasi di kembalikan selepas piliharan parlimen dan Presiden Mesir telah memenangkan calon-calon Ikhwan Muslimin, ternyata tentera yang menerima lebih USD1 bilion daripada US setiap tahun menjadi alat untuk membunuh demokrasi yang memihak kepada kelompok  Islam.

Kami mendesak komuniti antarabangsa jangan mendiamkan diri. Rakyat Mesir tidak boleh dibiarkan dibunuh dengan zalim dan mereka yang bertanggungjawab dibiarkan terlepas dari dihukum.

Kami menegaskan Ketua Tentera Mesir mesti dipertanggungjawabkan di atas pembunuhan kejam tersebut dan beliau perlu dibicarakan atas kesalahan jenayah membunuh dan genosid.

Kami menuntut Malaysia mengantungkan hubungan diplomatiknya dengan Mesir untuk menyampaikan mesej yang tegas bahawa tindakan tentera Mesir tidak boleh diterima sama sekali.

Kami bertegas bahawa tuntutan rakyat Mesir untuk Morsi dibebaskan dan beliau dikembalikan sebagai Presiden yang sah adalah tuntutan yang wajar disokong oleh seluruh masyarakat dunia.

Kami mengusulkan gerakan Islam sedunia bersidang segera untuk merumuskan tindakan yang berkesan untuk menghalang pertumpahan darah berterusan di Mesir.

Erdogan kecam keras serangan polis Mesir

http://agendsai.blogspot.com,28 Jul 2013

Terkini!!! Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan mengecam keras serangan polis Mesir


Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan mengecam keras serangan polis Mesir terhadap penyokong presiden Dr Muhammad Mursi yang dilakukan di tengah bulan suci Ramadhan. Perkara ini disampaikannya dalam majlis berbuka puasa bersama syarikat pengusaha Turki.

“Kita melihat bahawa hati mereka sedikitpun tidak menjadi lebih baik, walaupun berada dalam bulan Ramadhan. Ketika kaum Muslimin sedang bersiap untuk sahur, sekali lagi serangan berlaku di Mesir. 200 orang telah gugur syahid. Setelah melanggar kehendak rakyat, mereka yang menggulingkan pemerintah kini membantai rakyat.

Rakyat Mesir sedang menunjukkan kehormatan mereka di hadapan kudeta tentera selama berminggu-minggu. Mereka tidak memiliki sebarang bom molotov ataupun senjata, mereka hanya memiliki kesabaran. Mereka melarang vandalisma. Apa yang tidak berlaku di negara kita sedang terjadi di Kaherah dan Iskandariah?

Rakyat menyeru para penguasa untuk mengakhiri rampasan kuasa dan mengembalikan kekuasaan kepada presiden pilihan mereka. Bukannya mahu mendengar aspirasi rakyat, para pelaku kudeta Mesir bertindak balas dengan mengirim para penjahat dengan senjata dan peluru. Anda tahu apa yang membuatkan saya sedih? Ketika 200 saudara-saudara saya dibunuh dan 5000 ribu lainnya tercedera, ada orang-orang (bebal) yang bersuka ria dengan bunga api di Medan Tahrir. Siapa orang-orang ini? Kita harus berwaspada dengan kejahatan seperti ini.

D imana Eropah? Di mana Amerika? Di mana nilai-nilai Eropah itu? Mereka yang mengajar (kami) erti demokrasi, dimana demokrasi itu? Di mana PBB? Mereka yang berteriak marah ketika polis Turki menyembur air dan gas pemedih mata dengan cara yang dibenarkan undang-undang, dimana mereka setelah rampasan kuasa dan pembantaian berlaku di Mesir? Mereka yang memasang iklan di akhbar-akhbar (tentang buruknya HAM di Turki), ratusan orang telah dibantai semalam, Mengapa engkau buta? BCC dan CNN yang melaporkan berjam-jam demonstrasi rusuh di Istanbul, mengapa engkau tidak membuat liputan mengenai tragedi ini?

Dunia Muslim, saudara-saudara anda dibantai. Bila anda peduli? Kami lebih dari tahu siapa yang berada di sebalik rampasan kuasa ini. Kami ingin mereka semua segera berundur. Salam dari kami buat saudara-saudara kami yang berdiri tegak melawan kudeta dari Istanbul. Semoga Allah bersama rakyat Mesir…”

Sumber: Islamedia, AlJazeera

Iklan Berbayar - SMS 013 929 9944 ( RM50.00 Sebulan )

-
-