Ads 468x60px

-

Sunday, August 17, 2014

Status MB: Khalid akan menghadap Sultan Selangor

Abdul Khalid Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mendapatkan nasihat mengenai jawatan yang masih disandangnya.
Keputusan tersebut dibuat selepas hasil mesyuarat pimpinan Pas Pusat yang berlangsung selama 90 minit itu mendedahkan dua nama, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebagai calon Menteri Besar Selangor menggantikan Abdul Khalid.

“Dengan perkembangan terbaharu ini, saya akan memohon menghadap Sultan Selangor untuk diberikan nasihat tentang langkah-langkah seterusnya. 
“Sehingga sultan membuat keputusan muktamad, saya akan meneruskan pentadbiran kerajaan Negeri Selangor bersama empat Exco daripada Pas akan meneruskan pentadbiran bagi memastikan rakyat tidak terkesan dengan krisis politik ini,” katanya menerusi sebuah kenyataan hari ini.
Beliau dalam pada itu turut menerima keputusan yang dibuat daripada hasil mesyuarat oleh pimpinan Pas.
“Saya menerima dengan hati terbuka keputusan Pas berkenaan status menteri besar dan barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor.
“Saya juga berterima kasih atas kesabaran semua pihak dalam penyelesaian isu dan perkembangan terkini mengikut tatacara yang betul dan berasaskan undang-undang,” katanya lagi.

PAS calon Wan Azizah, Azmin ganti Khalid

SALMIYAH HARUN | .
KUALA LUMPUR: Mesyuarat PAS Pusat hari ini sebulat suara bersetuju mencadangkan dua calon iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Mohamed Azmin Ali bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.
"PAS tidak akan menuntut jawatan Menteri Besar Selangor. PAS juga menghormati semangat yang ada dalam Pakatan Rakyat dalam mencadangkan nama calon Menteri Besar.

"Sehubungan dengan itu juga, PAS sebulat suara pada hari ini bersetuju untuk mengangkat dua nama bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Nama yang dicadangkan oleh PAS ialah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Presiden PKR) dan Mohamed Azmin Ali (Timbalan Presiden PKR)," kata Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam kenyataan yang dibacakan Timbalan Presiden Mohammad Sabu pada sidang media sejurus selesai mesyuarat tengah hari ini.

Keputusan itu katanya dibuat selepas PAS Pusat membuat pertimbangan dalam pelbagai sudut.

Keputusan tersebut adalah salah satu daripada tiga keputusan yang dicapai dalam mesyuarat hari ini.



Selain itu, mesyuarat turut memutuskan bahawa empat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor dari PAS akan terus berada dalam kerajaan negeri Selangor, untuk memastikan khidmat kepada rakyat tidak terjejas.

Manakala satu lagi keputusan adalah penegasan bahawa PAS akan terus komited dengan Pakatan Rakyat dalam melaksanakan kerjasama politik Tahaluf Siyasi.

- HARAKAHDAILY 17/8/2014

Saturday, August 16, 2014

Isu Selangor: PAS Boleh Bantu Selesai Krisis

PETALING JAYA: Istana Selangor telah menghantar mesej kepada kepimpinan PAS mengenai kemungkinan wakil rakyat parti Islam itu untuk memegang jawatan Menteri Besar.

Sumber kerajaan negeri berkata, permintaan yang disampaikan melalui orang tengah itu dipercayai bertanya sama ada PAS bersedia untuk menamakan seorang calon Menteri Besar jika krisis berhubung jawatan tertinggi tidak diselesaikan segera.

"Mesej ini telah diserahkan kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang," kata sumber itu.

Abdul Hadi yang juga Presiden PAS turut dimaklumkan bahawa istana menolak pilihan PKR yang menamakan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar.

Mesej ini telah disampaikan kepada Abdul Hadi pada hari Khamis lalu dan difahamkan PAS masih belum memberi maklum balas kepada permintaan istana itu.

Difahamkan bahawa Sultan Sharafudin Idris Shah amat terganggu dengan kemelut politik di Selangor tanpa penyelesaian yang jelas dan memberi kesan terhadap kebajikan dan kemajuan rakyat Selangor.

Kemelut politik Selangor makin berpanjangan berikutan keengganan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk berundur sebagai Menteri Besar.

Lebih merumitkan bahawa PKR tetap berkeras untuk menamakan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal bagi jawatan Menteri Besar.

Sehubungan itu pihak istana dipercayai akan beralih kepada PAS sebagai jalan penyelesaian jika PKR gagal menyelesaikan isu partinya sendiri.

Sebelum ini Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata partinya menghormati persetujuan bahawa jawatan Menteri Besar adalah hak PKR.

Walau bagaimanapun, parti itu masih belum bersetuju supaya Dr Wan Azizah dilantik ke jawatan itu.

Mustafa mengesahkan bahawa Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dimaklumkan mengapa PAS tidak menyokong isterinya itu.

Bagaimanapun satu keputusan perlu dibuat esok apabila Jawatankuasa PAS Pusat mengadakan mesyuarat untuk membincangkan perkara itu.

Difahamkan bahawa parti itu kini menjurus ke arah untuk mencadangkan nama lain dari PKR - mungkin Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali atau wakil rakyat Ijok, Dr Idris Ahmad.

Cadangan nama itu akan dibentangkan kepada istana bersama-sama dengan Dr Wan Azizah.

Sumber : http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2014/08/16/pas-boleh-bantu-selesai-krisis/

Wednesday, August 13, 2014

Kemelut S'gor: PAS keluar jika Umno dilantik exco

KUALA LUMPUR: Semua exco PAS akan keluar dari Kerajaan Negeri Selangor sekiranya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno dilantik sebagai exco.

Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Abdul Samad menegaskan, PAS masih berada di dalam Pakatan Rakyat dan akan terus menjaga kepentingan Pakatan Rakyat di dalam kerajaan.

Iskandar yang juga  Pengerusi Perumahan Pengurusan dan Peneroka Bandar Negeri Selangor mengulangi pendirian bahawa mereka membawa semangat Pakatan Rakyat dan berpegang kepada prinsip-prinsipnya.

"PAS tidak akan menuntut Adun-Adunnya dilantik sebagai Exco. Kami juga mahu memastikan Umno tidak mengambil kesempatan di dalam keadaan sekarang. Tetapi kami menghadapi risiko dituduh telah mengkhianti Pakatan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini di Facebook.

Justeru, katanya PAS telah membuat satu pengorbanan besar dengan terus berada di dalam kerajaan supaya perancangan dan program-program kerajaan dapat diteruskan dan rakyat tidak kerugian akibat dari kemelut ini.

Semalam Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim telah memecat lima exconya di kalangan PKR dan DAP yang dilihat tidak lagi menunjukkan sokongan kepada beliau, ekoran itu beliau yang kini masih mendapat sokongan daripada keempat-empat Exco daripada PAS.  

- HARAKAHDAILY 13/8/2014

Krisis Selangor satu Analisis YDP Pas Kawasan Marang

Dunia politik dr segi persepsi memang tidak ada sempadan kalau kita tidak mengawalnya. Org yg bercakap & menulis hanya berdasarkan kadar maklumat yg dimilikinya. Utk menilai Pas tidak boleh berdasarkan maklumat picisan & pandangan peribadi yg berselerak dlm dunia alam maya sekarang.
Asas perjuangan Pas ialah Islam. Dasar ini mesti dirujuk & diterjemahkan dlm apapun bentuk tindakannya. Dlm kes MB Selangor tidak berbangkit soal Pas menceroboh semangat setiakawan dgn PKR & DAP. Krj yg ada di Selangor adalah krj campuran, bukan krj milik satu parti. Sebab itu sewaktu hendak melantik seorg MB, Sultan Selangor meminta setiap parti menghantar calon yg dipersetujui dan itulah yg berlaku samada slps PRU ke 12 & 13 sehingga terlantiknya Khalid sbg MB yg mewakili PR atau ketiga2 parti. 

Asas kpd perlantikan MB dr parti mana ghalibnya dr parti yg menjadi pemenang majoriti melainkan dlm kes2 tertentu spt di Perak di mana samada DAP @ PKR tidak memenuhi kehendak perlembagaan negeri atau persetujuan Sultan. 

Dlm kes di Selangor Pas masih beri ruang kpd PKR utk melantik Khalid sbg MB walaupun PKR bukan pemegang kerusi majoriti (PKR/14, PAS/15, DAP/15) dibandingkan keputusan dlm PRU ke 12. Oleh itu perbincangan kerusi MB mesti diputuskan bersama dan PKR bukan pemilik mutlak kerusi MB.
Khalid bukan seorg yg maksum tapi Pas bersetuju kpd beliau sbg MB atas sifat intergriti yg dimilikinya & kejayaan yg telah dicapai dgn tidak menafikan ada kelemahannya. Sekurang2nya di bawah kepimpinannya PR menang majoriti lbh besar di Selangor dlm pilihanraya umum yg lalu. Dari segi syarak perlantikannya sbg pemimpin utama mesti dipertahankan selama mana tidak terbukti beliau tidak amanah atau melakukan penyelewengan. Menurunkan seorang pemimpin secara sewenang2nya dr segi syarak adalah suatu kesalahan. Sekadar memberikan bukti disaat2 akhir bahawa beliau dituduh bersalah tidak boleh secara automatik utk melucutkan jawatannya. Hal ini perlu siasatan rapi dan telus oleh pihak yg tidak berkepentingan.


Kalau kita terus berpegang kpd prinsip Islam, kita tidak boleh menerima terus cadangan perlantikan Dr Wan Azizah sbg MB. Sebab itu dlm mesyuarat Majlis Presiden PR sebelum ini, apa yg direkodkan ialah kami 'menerima maklum' cadangan PKR utk melantik Wan Azizah sbg MB baru & akan rujuk kpd kepimpinan parti utk memutuskannya. Masalahnya slps mesyuarat tersebut terus dicanangkan bahawa semua parti telah bersetuju Wan Azizah sbg MB. 


Dlm isu ini, pertamanya kita mesti mengkaji dr segi track record & pengalaman pentadbiran. Adakah kita yakin Wan Azizah jauh lbh baik dr Khalid, ini bukan soal 'testing' atau Anwar ada sbg Penasihat kerana seorang MB mesti berdikari. Keduanya, apa pandangan syarak wanita menjadi pemimpin umum/utama yg punyai kuasa eksekutif yg perlu buat keputusan dlm setiap masa. Ini bukan soal remeh temeh, macamana nak iringi Sultan di masjid sewaktu 'uzur'. Jawatan MB berbeda dgn kedudukan seorg exco dan wakil rakyat yg punyai kuasa yg terbatas.


Soal Pas perlu terus bersama dlm PR utk menuju Putrajaya memang tidak ada khilaf dan akan kita pertahankan kerana itulah realiti politik di Malaysia sekiranya kita mahu menang & menguasai Putrajaya.


Sebagaimana isu hudud yg menjadi prinsip kpd perjuangan Islam Pas, rakan2 dlm PR mesti tunjukkan sikap terbuka utk menghormati pendirian kami dlm soal perbedaan pendapat (...agree to disagree...). Jangan sekali2 jadikan kami sbg 'kambing hitam' utk memenuhi nafsu mana2 pihak. Ada isu dalaman mana2 parti, selesaikan dgn cara yg terbaik dan jgn diheret rakan2 lain utk memikul bebannya sebab rakyat sedang perhatikan tindak tanduk kita. Adakah langkah yg bijak baru sekarang kita membuka pekung kawan kita bagi menjustifikasikan tindakan & rancangan kita. Sudah tidak ada kebaikan & jasa kawan kita, semuanya buruk belaka. Rakyat sekarang makin cerdik dan akan menjadi muak jika keadaan ini berterusan.


Sebab itu dr awal lagi kami katakan PRK Kajang yg tidak pernah dibincangkan dgn kami dr awal adalah suatu yg tidak perlu, menyusah dan membazirkan wang rakyat. Kami katakan lagi walaupun dlm keadaan kecewa utk bantu jentera, pilihanraya ini tidak ada kena mengena dgn soal MB. Tapi kawan kita ini tidak sabar dan teruskan agenda walaupun menjejaskan sokongan rakyat.
Sekarang lbh baik diam dr byk bercakap sekiranya ia makin memburukkan suasana. Yg terbaik, kita serahkan kpd kebijaksanaan kepimpinan tertinggi di kalangan PR utk membuat keputusan. Sikap Pas boleh dirujuk kpd kenyataan terbaru oleh insitusi tertinggi dlm Pas iaitu Majlis Syura Ulamak sbg pemegang polisi parti. 


Kalau menguruskan 'management crisis' perlu berjiwa besar, kebijaksanaan dan memandang jauh kehadapan, tentulah dlm isu ini mesti ada beberapa alternatif, bukan semestinya 'satu pilihan' saja. Sudah tentu akan diambil kira kesan dan untung rugi & jika :
- Khalid dikekalkan
- Undi tak percaya kpd Khalid
- Wan Azizah sbg MB baru
- Calon lain dr PKR sbg MB
- Calon Pas sbg MB
- Persetujuan Sultan & Perlembagaan Selangor
- Pilihanraya Kecil seluruh Selangor (sekadar utk dimasukkan sbg pilihan
walaupun ia merupakan pilihan yg bodoh & perlu dielakkan)
- Lain2 alternatif yg tak sempat dimasukkan.


Oleh:
Haji Yahaya Bin Ali
YDP Pas Kawasan Marang
Timbalan Pesuruhajaya 2 Badan Perhubungan PAS Terengganu
Pengerusi Badan Penggerak Demokrasi Dan Mobilisasi Rakyat Terengganu

Iklan Berbayar - SMS 013 929 9944 ( RM50.00 Sebulan )

-
-