Dalam ucapan sempena mesyuarat agung
Pas Kawasan Marang (PKM) ke 31, Yang DiPertuanya, Haji Yahaya Ali
mengharapkan PKM akan lebih kuat selepas selepas selesainya Ijtimak
Antarabangsa Perpaduan Ummah yang diadakan di Rusila kira-kira sebulan
yang lepas. Ijtimak ini katanya, "memberikan kesan politik kepada Pas
Negeri Terengganu dari segi kemampuan kita menganjurkan program bertaraf
antarabangsa yang berjaya mengumpulkan pemimpin gerakan Islam dari 41
buah negara dengan kehadiran ratusan ribu orang. Ia sekaligus
menonjolkan kepimpinan Presiden Pas yang juga Naib Pengerusi Kesatuan
Ulamak Islam Sedunia yang sentiasa menjadi rujukan sewaktu persidangan".
Beliau menggariskan beberapa perkara penting dalam konteks kepimpinan,
petugas parti dan bagaimana menguruskan taktik dan strataegi bagi
mencapai matlamat perjuangan parti yang masih panjang. Diantaranya
beliau menyentuh :
a) Membina kepimpinan yang komited kepada kerja yang diamanahkan dan boleh bekerja dalam satu pasukan.
b) Membina kepimpinan yang bersedia menerima dan memberi tarbiyah dan sentiasa turun ke bawah.
c) Membina saf pelapis kepimpinan yang ditarbiyahkan dalam pelbagai
ilmu dan kemahiran terutama melalui Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat
kawasan.
d) Melahirkan lebih ramai petugas sepenuh masa
(murabitun) atau separuh masa yang bertugas untuk parti dengan tidak
terikat pada musim pilihanraya.
e) Mengumpul dan menggerakkan
lebih ramai ahli yang mempunyai kepakaran dan minat yang tinggi untuk
menyuburkan dana parti khususnya bagi menghadapi pilihanraya.
f)
Mengumpul dan mengggerakkan lebih ramai arkitek parti dalam pelbagai
bidang professional seperti pengurusan, perniagaan, motivasi, undang2,
ekonomi dan lain2 termasuk bidang atau kemahiran menguasai masyarakat.
Seluruh para perwakilan diajak oleh beliau untuk berganding bahu bagi menawan kembali Dun Pengkalan Berangan.
Ini menurutnya merupakan salah satu resolusi Konvensyen Pas Kaw. Marang
yang diadakan pada akhir tahun lepas. Katanya, "Samada Dewan Pemuda,
Dewan Muslimat, Urusan Ulamak dan mas'ul-mas'ul yang dilantik di setiap
UPU mestilah berganding bahu dengan pihak MTD untuk menggerakkan
kerja-kerja secara bersepadu bagi mendekati pengundi dan masyarakat".
Dalam isu yang dilihat pergolakan dalaman parti, beliau mengatakan ia
banyak diolah dan ditokok tambah oleh pihak media yang berkepentingan.
Beliau menggariskan betapa pentingnya semua ahli dan penyokong parti
mempunyai sifat atau akhlak dan adab berjamaah. Menurutnya, " sifat
ikhlas, istiqamah, ukhwah, wala' dan taat adalah pra syarat kepada
keutuhan dan perpaduan dalam sesebuah jamaah Islam ".
Untuk itu beliau
mengajak seluruh para perwakilan untuk berdiri teguh mempertahankan
kepimpinan ulamak khususnya Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
sebagai Presiden parti.