Ads 468x60px

-

Friday, June 19, 2015

PULAU PINANG, SELANGOR MILIK 3 PARTI

MARANG: Presiden PAS, Dauk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan bahawa persetujuan bertulis pernah dibuat bersama antara tiga parti dalam Pakatan Rakyat bagi menghormati hak masing-masing.

“Sebab itu, kita (PAS) memberi peringatan acap kali dan sudah diadakan tandatangan bersama iaitu mereka menerima hak kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh PAS untuk membuat sesuatu bagi melaksanakan Islam.

“Hak dia (DAP) tidak setuju terpulang kepada dia, tapi dia (DAP) hendak nasihat supaya kita berhenti itu tidak bolehlah,” ujarnya kepada media selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila, pagi tadi.

Beliau menjelaskan demikian ketika mengulas tindakan DAP menentang RUU persendirian yang dibawa oleh PAS ke Parlimen, baru-baru ini.

Namun, katanya PAS telah mencapai satu kejayaan apabila berjaya menarik orang bukan Islam menjadi ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dalam sayap parti.

Berikut adalah transkrip ringkas soal jawab beliau bersama media.

Soalan: Sekarang ini apa yang akan PAS buat kepada DAP yang telah bubar Pakatan Rakyat, adakah PAS masih lagi mahu berada dalam pakatan?

Jawapan: Pertama, bila disebut pakatan bermakna banyak parti dan bukan satu parti sahaja. Jika hanya satu parti buat keputusan itu bukan pakatan. Pakatan ini kena ada dua sekurang-kurang atau pun banyak (parti). Dalam hal ini kita faham apa makna pakatan. Sehingga hari ini, PKR masih tidak buat apa-apa kenyataan dan DAP telah membuat kenyataan dia. Ada pun dari segi buat keputusan PAS ini bukan milik saya seorang. PAS ini milik pimpinan secara kolektif dan dengan sebab itu saya perlu merujuk kepada kepimpinan PAS dan termasuklah yang menjaga teras kepada dasar PAS iaitu Majlis Syura Ulamak.

Pada Datuk Seri, adakah Datuk Seri sebagai Presiden PAS boleh terima kenyataan Lim Guan Eng yang mendakwa tidak wujud lagi Pakatan Rakyat?

Itu kenyataan peribadi dan pada saya itu satu kenyataan yang tidak tepat kerana satu parti itu bukan pakatan. Pakatan mesti merangkumi banyak parti yang ada dalam pakatan itu. Boleh buka Kamus Dewan tengok apa makna pakatan.

Pada Datuk Seri, status Pakatan Rakyat itu masih wujud?

Ya, sehingga kini masih wujud.

Tetapi, Datuk Seri, Lim Guan Eng kata PKR juga telah menyatakan Pakatan Rakyat juga sudah tidak wujud lagi?

Saya melihat Kamus Dewan apa makna pakatan dan dengan sebab itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak membuat kenyataan yang menunjukkan kita berpisah. Dan ini menunjukkan pakatan antara dua parti masih ada. Manakala, dengan DAP sehingga hari ini kita masih belum dapat satu keputusan secara rasmi dan kita dapat melalui media sahaja.

Maknanya PAS akan bekerjasama dengan PKR sahaja?

Kita bekerjasama dengan semua parti yang tidak cauvinis, itu sikap kita.

Datuk Seri, dalam muktamar PAS mahu melihat semula tahaluf siasi. Tapi, apabila pendekatan yang dibuat oleh Lim Guan Eng dalam soal bubar pakatan ini, maksudnya PAS masih mahu pertahankan pakatan ini atau masih menunggu MSU untuk membuat keputusan?

Pakatan Rakyat dibubarkan dan terbubar dengan sendirinya apabila semua parti dalam Pakatan Rakyat keluar daripada pakatan atau dipecat semua tinggal satu sahaja. Jika masih ada dua itu masih dalam pakatan.

Bagaimana dengan tindakan kerajaan Pulau Pinang yang memecat Ahli Majlis PBT. Adakah itu sememangnya DAP mahu memutuskan hubungan dengan PAS, Datuk Seri?

Kerajaan Pulau Pinang bukan sahaja melibatkan dengan PAS termasuklah dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan parti PKR masih ada lagi dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Sebab itu, keputusan kerajaan negeri mesti keputusan kerajaan yang melibatkan parti yang ada dalam kerajaan itu.

Datuk Seri, yang jelas PAS masih sayangkan Pakatan Rakyat?

Kita sayangkan perpaduan. Perpaduan kaum kerana kita menerima hakikat masyarakat majmuk yang ada di Malaysia.

Pada Datuk Seri, Lim Guan Eng tidak berhak membut keputusan bubar pakatan?

Itu terpulang kepada masyarakat di bawah menilai. Biar masyarakat umum melihat kenyataan dia.

Bila agaknya, Majlis Syura Ulamak (MSU) akan membuat keputusan di antara hubungan PAS dengan DAP?

Itu akan ditentukan dalam mesyuarat yang ditentukan oleh Jawatankuasa PAS Pusat pada bila-bila masa sahaja dalam masa terdekat ini, insya Allah. - HARAKAHDAILY 19/6/2015

MCA jangan masuk campur, hormati perlembagaan

Saya merujuk kepada gesaan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Negeri Terengganu, Datuk Toh Chin Yaw yang mahu Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu supaya menyemak semula usaha melarang perniagaan beroperasi selepas tengah malam dan menubuhkan suatu ‘task force’ untuk mengambil tindakan ke atas umat Islam yang tidak berpuasa dan menjual makanan sebelum jam 2.00 petang pada bulan Ramadan.

Saya ingin tegaskan kepada MCA supaya tidak campur tangan dalam urusan pentadbiran serta hal ehwal undang-undang yang berkait dengan orang Islam dan silalah hormati perlembagaan.

Kerajaan negeri telah menjelaskan bahawa kewajaran tindakan itu ialah untuk mengelakkan kegiatan tidak bermoral berlaku di premis-premis perniagaan dan bagi mengelakkan tersebarnya budaya negatif dalam kalangan masyarakat.

Ia juga bagi memastikan rukun Islam dilaksanakan oleh setiap orang Islam yang berkewajipan secara sempurna tanpa adanya persekitaran yang boleh mencemarinya.

MCA juga harus sedar dan faham bahawa di bawah kuasa Perlembagaan Persekutuan juga, pihak berkuasa negeri mewujudkan Enakmen Pentadbiran Islam Negeri dan di bawah enakmen inilah Mahkamah Syariah ditubuhkan. Bidang kuasanya adalah bersumberkan kepada Senarai 2 Jadual Sembilan Perlembagaan Persekutuan.

Amat tidak wajar sekali apabila MCA mengambil sikap mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan yang telah memperuntukkan Badan Perundangan Negeri diberikan kuasa untuk mentadbirkan Undang-Undang Islam dan semua hal-ehwal Islam di negeri masing-masing.

Saya percaya bahawa masyarakat bukan Islam juga mempunyai sistem nilainya yang tersendiri. Eloklah jika MCA memberi fokus memperkukuhkan sistem nilai tersebut dan tidak masuk campur dalam urusan umat Islam.

Undang-undang yang dikuatkuasan ke atas umat Islam itu adalah bertujuan untuk melahirkan masyarakat yang patuh kepada agama dan patuh juga kepada undang-undang justeru akan memberikan implikasi yang baik dan positif terhadap negara.

Tidak timbul soal undang-undang itu adalah ‘draconian’ atau penguatkuasaannya bersifat ‘authoritarian’. Sektor pelacongan juga tidak bergantung kepada sektor perniagaan yang beroperasi selepas waktu tengah malam sahaja. - HARAKAHDAILY 19/6/2015

Penulis adalah AJK PAS Pusat, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Monday, June 15, 2015

Apabila keputusan muktamar PAS diputar belit

Semalam FB Dewan Ulamak PAS Pusat telah memuatkan usul mereka pada Muktamar PAS yang baru lalu.

Tujuannya adalah untuk merungkai kekeliruan yang timbul akibat usul tersebut.

Para akhir usul tersebut menyebut:

"Maka Muktamar Dewan Ulamak PAS kali ke 54 mencadangkan kepada Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat supaya hubungan kerjasama politik dengan DAP dibatalkan dan PAS terus kekal dalam Pakatan Rakyat".

Inilah usul Dewan Ulamak.

Ia tidak menuntut muktamar memutuskan hubungan tetapi mencadangkan kepada Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa Pusat untuk membuat keputusan tersebut.

Itulah keputusan muktamar, agar dibawa ke Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa Pusat.

Keputusan pula belum dibuat.

Tetapi ada pihak yang mengambil keputusan untuk membakul sampah keputusan muktamar itu dengan mengumumkan perkara yang tidak diputuskan oleh muktamar.

Mereka mengatakan Muktamar telah memutuskan hubungan dan berhujjah bahawa keputusan Muktamar perlu dipatuhi.

Ada yang menghuraikan dengan panjang lebar tentang Perlembagaan PAS tetapi usul yang mereka fahami adalah bukan usul yang diluluskan oleh muktamar.

Saya tidak tahu kenapa keputusan muktamar diputarbelit begitu rupa.

Kita perlu maafkan mereka jika mereka benar-benar tidak faham atau tidak jelas.

Saya berharap usul asal Dewan Ulamak yang dimuatkan ke FB mereka akan dapat menjelaskan perkara ini.

Hormatilah keputusan perwakilan muktamar. - HARAKAHDAILY 14/6/2015

DATUK ISKANDAR A SAMAD

Naib Presiden PAS

Saturday, June 13, 2015

PAS lantik PJ baharu negeri 2015-2017

KUALA LUMPUR: PAS telah selesai melantik Pesuruhjaya Negeri-negeri sesi 2015-2017 dalam mesyuarat pertama parti itu baru-baru ini.


Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Presiden PAS melalui Setiausaha Politiknya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, pelantikan itu membabitkan kesemua negeri.
Lima negeri bertukar Pesuruhjaya iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang dan Pahang.
Berikut adalah senarai pelantikan Pesuruhjaya Negeri:
1. Kelantan - Datuk Ahmad Yaakob (kekal)
2. Terengganu - Satiful Bahari Mamat (kekal)
3. Perlis - Shukri Ramli (kekal)
4. Perak - Razman Zakaria (kekal)
5. Selangor - Datuk Iskandar Abdul Samad (kekal)
6. Sabah - Paumin@ Aminuddin Aling - (kekal)
7. Sarawak - Adam Ahid (kekal)
8. Wilayah Persekutuan - Haji Mohammad Nor Mohamad (kekal)
9.- Melaka - Ustaz Kamarudin Sidek (baharu)
10.- Kedah - Datuk Ir Amirudin Hamzah (baharu)
11.- Johor - Datuk Dr Mahfodz Mohamad (kekal)
12.- Pulau Pinang - Ustaz Mohd Fauzi Yusof (baharu)
13.- Pahang - Ustaz Rosli Jabar (baharu)
14.- Negeri Sembilan - Ustaz Mustafa Daharun (baharu)
– HARAKAHDAILY 13/6/2015

Friday, June 12, 2015

Tidak Wajar DAP Beri Kata Dua Kepada Azmin – Tan Sri Muhammad Taib

Adalah tidak sayugia Pengerusi DAP Selangor Tony Pua memberi kata dua kepada Menteri Besar negeri Selangor Mohamed Azmin Ali.
Mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib menasihatkan DAP supaya tidak memberikan tekanan kepada Azmin supaya memilih, samada DAP atau PAS.
“Merujuk kepada kenyataan Pengerusi DAP Selangor YB Tony Pua berdasarkan laporan akhbar Sinar Harian hari ini, saya ingin menasihatkan beliau supaya tidak memberi tekanan kepada YAB Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali supaya memilih antara DAP dengan PAS.
mat taib masuk pas“Ini kerana kenyataan tesebut tidak mencerminkan semangat Pakatan Rakyat yang telah diberi mandat besar oleh rakyat negeri Selangor dalam Pilihanraya Umum ke 13 yang lalu,”ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau juga memberikan pandangan agar pemimpin kedua-dua parti mencari penyelesaian terbaik menangani krisis yang berlaku sekarang.
“Saya juga ingin memberikan pandangan kepada pimpinan tertinggi PAS dan DAP supaya mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menangani konflik yang berlaku sekarang ini.
“Buat permulaan, saya ingin mencadangkan DAP supaya menarik balik kenyataan untuk memutuskan kerjasama dengan Presiden PAS, Datok Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang.
“Saya juga memohon Ahli Majlis Syura Ulamak dan pimpinan tertinggi PAS supaya dapat mengambil satu sikap yang dapat menyelamatkan hubungan sesama parti dalam Pakatan Rakyat,”tambah bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, yang menyertai PAS sejurus selepas PRU13.
Menurutnya Umno dalam keadaan lemah sekarang dan Pakatan Rakyat harus tidak mensia-siakan harapan 52% rakyat Malaysia.
“Jangan disia-siakan harapan rakyat Malaysia yang telah memberi undi 52% kepada Pakatan Rakyat, khususnya harapan rakyat negeri Selangor yang telah memberi mandat kepada Kerajaan Pakatan Rakyat.
“Dalam keadaan Umno BN sedang lemah dengan pelbagai isu yang melanda mereka, Pakatan Rakyat perlu menunjukkan contoh alternatif terbaik kepada rakyat bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke 14 nanti,”jelas beliau

Iklan Berbayar - SMS 013 929 9944 ( RM50.00 Sebulan )

-
-