Ads 468x60px

-

Friday, June 19, 2015

MCA jangan masuk campur, hormati perlembagaan

Saya merujuk kepada gesaan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Negeri Terengganu, Datuk Toh Chin Yaw yang mahu Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu supaya menyemak semula usaha melarang perniagaan beroperasi selepas tengah malam dan menubuhkan suatu ‘task force’ untuk mengambil tindakan ke atas umat Islam yang tidak berpuasa dan menjual makanan sebelum jam 2.00 petang pada bulan Ramadan.

Saya ingin tegaskan kepada MCA supaya tidak campur tangan dalam urusan pentadbiran serta hal ehwal undang-undang yang berkait dengan orang Islam dan silalah hormati perlembagaan.

Kerajaan negeri telah menjelaskan bahawa kewajaran tindakan itu ialah untuk mengelakkan kegiatan tidak bermoral berlaku di premis-premis perniagaan dan bagi mengelakkan tersebarnya budaya negatif dalam kalangan masyarakat.

Ia juga bagi memastikan rukun Islam dilaksanakan oleh setiap orang Islam yang berkewajipan secara sempurna tanpa adanya persekitaran yang boleh mencemarinya.

MCA juga harus sedar dan faham bahawa di bawah kuasa Perlembagaan Persekutuan juga, pihak berkuasa negeri mewujudkan Enakmen Pentadbiran Islam Negeri dan di bawah enakmen inilah Mahkamah Syariah ditubuhkan. Bidang kuasanya adalah bersumberkan kepada Senarai 2 Jadual Sembilan Perlembagaan Persekutuan.

Amat tidak wajar sekali apabila MCA mengambil sikap mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan yang telah memperuntukkan Badan Perundangan Negeri diberikan kuasa untuk mentadbirkan Undang-Undang Islam dan semua hal-ehwal Islam di negeri masing-masing.

Saya percaya bahawa masyarakat bukan Islam juga mempunyai sistem nilainya yang tersendiri. Eloklah jika MCA memberi fokus memperkukuhkan sistem nilai tersebut dan tidak masuk campur dalam urusan umat Islam.

Undang-undang yang dikuatkuasan ke atas umat Islam itu adalah bertujuan untuk melahirkan masyarakat yang patuh kepada agama dan patuh juga kepada undang-undang justeru akan memberikan implikasi yang baik dan positif terhadap negara.

Tidak timbul soal undang-undang itu adalah ‘draconian’ atau penguatkuasaannya bersifat ‘authoritarian’. Sektor pelacongan juga tidak bergantung kepada sektor perniagaan yang beroperasi selepas waktu tengah malam sahaja. - HARAKAHDAILY 19/6/2015

Penulis adalah AJK PAS Pusat, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus.

No comments:

Post a Comment

Iklan Berbayar - SMS 013 929 9944 ( RM50.00 Sebulan )

-
-