Ads 468x60px

-

Sunday, June 7, 2015

Tahaluf siyasi: Ahli PAS tidak perlu bertindak gopoh

Antara ciri wacana fiqh Islam ialah memahami secara cermat, halus dan teliti setiap teks yang terpapar pada pemilihan kata dan susunan ayat sebelum membuat sebarang ulasan dan kesimpulan.

Ketelitian ini gagal dipraktikkan oleh sebilangan kecil yang gopoh lalu bertindak pula secara kurang cermat dalam memahami Usul Dewan Ulamak PAS Pusat.
Usul tergempar yang diluluskan sebulat suara oleh Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat ialah "mencadangkan kepada Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat supaya hubungan kerjasama politik dengan DAP dibatalkan dan PAS terus kekal dalam Pakatan Rakyat".
Usul itu merujuk kepada pelbagai tindak-tanduk menjolok mata oleh DAP terhadap PAS dan Presiden PAS.

Usul ini dipinda oleh Jawatankuasa Usul PAS Pusat dengan gaya bahasa lain yang memberi maksud "menggesa Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat untuk memutuskan hubungan dan kerjasama politik dengan DAP".

Apabila usul tersebut diputuskan untuk diterima tanpa bahas dalam Muktamar PAS Pusat oleh Jawatankuasa Usul PAS Pusat ia bermaksud; MELULUSKAN Usul itu untuk DIPUTUSKAN oleh Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat. Ia bukan bermaksud meluluskan usul untuk terus sahaja muktamar membuat kepuusan memutuskan hubungan dengan DAP.
Persoalannya ialah kenapa usul itu diluluskan untuk diputuskan oleh dua badan tersebut? Kenapa tidak muktamar sahaja membuat keputusan memutuskan hubungan dengan DAP?
Jawapannya ialah kerana keputusan memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP adalah melibatkan hukum syarak. Badan yang akan bersidang untuk memutuskan hukum syarak itu ialah Majlis Syura Ulamak.

Sebagaimana tahaluf siyasi dengan DAP sebelum ini diputuskan hukum keharusannya oleh Majlis Syura Ulamak dengan 6 syarat maka begitulah untuk membatalkannya perlu dilihat hukum syarak sejauh mana syarat-syarat keharusan tahaluf siyasi telah dilanggar oleh DAP.

Seterusnya, setelah diputuskan hukumnya oleh Majlis Syura Ulamak (MSU), maka terserahlah pula kepada Jawatankuasa PAS Pusat sebagai badan pelaksana untuk melihat dan mengkaji serta meneliti kebijaksanaan politik dalam pelaksanaannya menurut kesesuaian masa dan keadaan.
Maka sehingga MSU bersidang untuk membuat keputusan menerima atau menolak cadangan dan usul tersebut berdasarkan perkiraan syarak kerana melibatkan hukum tahaluf siyasi;
Dan sehinggalah setelah itu Jawatankuasa PAS Pusat melaksanakan mana-mana keputusan MSU menerusi arahan-arahan yang perlu dan tuntas kepada ahli;

Maka tidak perlu mana-mana ahli dan pimpinan PAS mendahului Majlis Syura Ulamak dan mendahului Jawatankuasa PAS Pusat dengan mengambil tindakan sendiri meletakkan jawatan dalam kerajaan di Pulau Pinang meskipun diminta oleh Ketua Menteri Pulau Pinang.

Begitu juga, pimpinan PAS Selangor yang sama-sama membentuk kerajaan Selangor menerusi 15 kerusi Dun dan juga menerusi persetujuan bersama kepada Tuanku Sultan Selangor untuk membentuk kerajaan, tidak perlu keluar daripada kerajaan Selangor sekarang. Sementelah lagi kerajaan Selangor bukan milik bersendiri DAP tapi milik bersama 3 parti yang menyumbang kemenangan pilihan raya pada PRU13.

Tambahan pula usul DUPP juga dalam masa yang sama menegaskan "kekal dalam Pakatan Rakyat" dan bukannya keluar dari Pakatan Rakyat. PAS tidak akan keluar daripada Pakatan Rakyat.
Sebagaimana juga penjelasan Datuk Mustafa Ali selaku Setiausaha Agung di muktamar petang semalam ketika penggulungan; "kita masuk tahaluf siyasi dengan hukum maka keputusan keluar juga mesti berdasarkan hukum. Dan hukum itu diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak bukannya oleh muktamar".

Maka, saya menyeru pimpinan PAS di Pulau Pinang dan Selangor agar tidak terpengaruh dengan provokasi Lim Guan Eng supaya pimpinan PAS di Pulau Pinang meletakkan perjawatan mereka dalam kerajaan Pulau Pinang. Biarkanlah Lim Guan Eng dengan segala keangkuhannya bertindak menurut apa yang dikehendaki oleh partinya. - HARAKAHDAILY 7/6/2015

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

No comments:

Post a Comment

Iklan Berbayar - SMS 013 929 9944 ( RM50.00 Sebulan )

-
-