Ads 468x60px

-

Friday, June 26, 2015

Majlis Syura tak pernah bincang UG

SUBKY LATIF | .

APA yang dikatakan UG atau kerajaan perpaduan yang menghantui setengah kerabat Pakatan Rakyat hanya satu kebarangkalian jika pernah ia dibincangkan oleh Majlis Syura Ulamak.

Sehingga ini Majlis Syura tidak mengetahuinya dan tidak pernah membincangkannya.

Antara yang menyebabkan DAP mencurigai PAS khususnya pimpinan TG Haji Abdul Hadi Awang ialah hantu UG ini. Dikatakan PAS ada rancangan sulit bersama Umno bagi mewujudkan kerajaan perpaduan sejak zaman pentadbiran Tun Abdullah Badawi lagi.




Jika gagasan itu hendak diadakan dipercaya ia akan dihalang oleh dua pihak; oleh Dr. Mahathir di sebelah Umno dan oleh Majlis Syura di sebelah PAS. Pimpinan Umno sama ada di bawah Tun Abdullah mahupun di bawah PM Najib tidak terdaya menghadapi Dr. Mahathir.

Jika Najib sekarang begitu lantang menyanggah Dr. Mahathir bukanlah kerana dia memang berani menghadapi Dr. Mahaathir tetapi terpaksa berani kerana Dr. Mahathir menuntut perletakan jawatannya juga. Dari mati terguling baiklah mati melawan.

Dr. Mahathir dipercayai amat menghantui PAS sejak dari zaman PAS bersama Umno dalam kerajaan BN dulu. Entah apa yan ditakutkannya tetapi dialah yang menendang PAS dari politik yang diusahakan oleh Perdana Menteri Tun Razak itu.

Adapun Majlis Syura Ulamak adalah kuasa dalam PAS yang berhak membenarkan sebarang kerjasama atau muafakat dengan lain-lain pihak di luar PAS dan sebarang tindakan bagi menamatkan muafakat itu.

Ketika PAS menyertai kerajaan campuran PAS-Perikatan tahun 1973 dulu, Majlis Syura belum wujud. Sebelum isu itu diluluskan oleh Muktamar Khas PAS, pimpinan Datuk Asri mendapatkan restu Dewan Ulama dulu.

Sekalipun Muktamar adalah badan tertinggi parti itu tetapi amalan konvesional sejak wujud Majlis Syura hanya Majlis Syura yang diberi kuasa menentukan hubungannya dengan lain-lain pihak seperti usul tanpa bahas bagi menamakan hubungan dengan DAP yang dibuat di Kuala Selangor dalam mukamar lalu. Usul Dewan Ulama itu tidak muktamad melainkan ia diputuskan oleh Majlis Syura.

Maka sebarang niat mana-mana pemimpin PAS hendak mengadakan UG ia mestilah dibuat oleh Majlis Syura Ulamak. Adalah diketahui sepanjang TG Nik Abdul Aziz menjadi Mursyidul Am beliau tidak mahu mendengar adanya sebarang sosek-sosek bagi PAS mengadakan pakatan politik dengan Umno.

Beliau akan menyinga apabila ada orang kanan PAS dikatakan hendak berpakat dengan Umno. Beliau nescaya selar dalam sidang media terbuka dan di mana-mana perjumpaan.

Justeru tiada yang berani untuk mengemukakan sebarang kerja seperti itu kepada Majlis Syura dan sehinggalah beliau meninggal dunia awal tahun ini tiada pernah apa yang dikatakan UG itu dikemukakan kepada Majlis Syura.

Jika kemungkinan ia dicakapkan di sana sini oleh sesiapa dalam parti itu tetapi tidak sampai ke Majlis Syura, maka tiadalah jadi satu agenda PAS. Jika ada sebarang kecenderungan terhadap hasrat yang diangap tidak suci oleh semua, sebelum ia dicurigai oleh orang di luar PAS, orang PAS akan berperang sama sendiri dulu. Maka UG bukanlah isu dari PAS.

Jika ia ada sudah lama orang PAS menubuhkan parti baru. – HARAKAHDAILY 26/5/2015

No comments:

Post a Comment

Iklan Berbayar - SMS 013 929 9944 ( RM50.00 Sebulan )

-
-