Ads 468x60px

-

Sunday, June 21, 2015

PAS umum senarai AJK baharu 2015-2017

KUALA LUMPUR: PAS telah mengumumkan senarai kabinet baharunya dan pelantikan lapan Ahli Jawatankuasa Kerja (tambahan) yang baharu pada sidang media parti itu di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man telah membuat pengumuman tersebut selepas mesyuarat kali kedua AJK PAS Pusat yang dipengerusikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Hadir sama dalam sidang media itu, Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad dan Setiausaha Agung yang baharu, Datuk Takiyuddin Hassan.

Berikut adalah senarai AJK yang diumumkan sebentar tadi -

Setiausaha Agung: Datuk Takiyudin Hassan
Bendahari: Mohammad Nor Mohamad
Ketua Penerangan PAS Pusat: Ustaz Nasrudin Hassan
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat: Datuk Mustafa Ali
Penolong Setiausaha Agung 1: Khairul Faizi Ahmad Kamil
Penolong Setiausaha Agung 2: Khairul Fahmi

AJK PAS Pusat (Lantikan)

1. Mohammad Hussin (Sabah-Sarawak)
2. Muhtar Suhaili (Sabah-Sarawak)
3. Zainal Abidin Kidam
4. Datuk Mahfuz Omar
5. Datuk Wan Abdul Muttalib Embong
6. Salahuddin Ayub
7. Dr Najihatussalehah Ahmad
8. Mohd Taufek Abdul Ghani

- HARAKAHDAILY 21/6/2015

Saturday, June 20, 2015

DAP YANG MEMULAKAN GAME, DAP JUGA YANG MENGAKHIRINYA

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
3 Ramadhan 1436 / 20 Jun 2015
“DAP YANG MEMULAKAN GAME, DAP JUGA YANG MENGAKHIRINYA”

Merujuk kepada laporan berita RoketKini bertarikh 16 Jun 2015, mesyuarat Jawatankuasa Pusat DAP telah membuat keputusan bahawa Pakatan Rakyat sudah tidak lagi wujud atau mati.
Saya melihat ini satu ‘game’ yang telah lama dimulakan oleh DAP dengan mengambil kesempatan dalam beberapa isu intra koalisi Pakatan Rakyat serta berterusan menyerang peribadi Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
PAS telah beberapa kali mengulangi ketetapan bahawa kami tidak akan bekerjasama dengan UMNO apatah lagi membentuk Kerajaan Perpaduan dengan parti tersebut. Kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man selepas Muktamar PAS telah menegaskan perkara ini.
Begitu juga isu yang dipertikaikan oleh DAP mengenai pertukaran Menteri Besar Selangor. Ia turut dijawab dengan baik walaupun ia berpunca daripada tindakan kontroversi beberapa pihak yang bermula dengan Kajang Move.
Wakil pimpinan PAS juga telah memberikan penjelasan serta dialog bersama pimpinan DAP berhubung isu implementasi Enakmen Kanun Jenayah Syari’ah di Kelantan. Ini menunjukkan bahawa segala isu yang dibangkitkan telah dijawab oleh PAS.
Namun, sehingga laporan berita RoketKini semalam, DAP masih terus memfitnah PAS dan Presiden secara khususnya. Parti tersebut juga telah mengambil keputusan drastik sebelum ini dengan membatalkan kerjasama politik di Sarawak, Sabah dan terakhir memutuskan hubungan dengan Presiden PAS pada 24 Mac 2015.
Kemudian, DAP secara konsisten menyerang hampir setiap hari dan mencampuri urusan dalaman pemilihan PAS menjelang Muktamar PAS yang lalu. Perkara ini turut disedari dan ditempelak oleh beberapa pimpinan PAS yang turut kalah dalam pemilihan baru-baru ini.
Tindakan-tindakan melampau DAP inilah yang memaksa Dewan Ulama’ PAS Pusat membuat reaksi dan mengusulkan satu usul tergempar bagi memutuskan hubungan dengan DAP dan kekal di dalam Pakatan Rakyat. Walau bagaimanapun, ia dengan syarat mendapat persetujuan daripada Masjlis Syura Ulama’ PAS.
Kenyataan Lim Guan Eng sejurus selepas mesyuarat jawatankuasa parti berkenaan harus merujuk kepada kenyataan kontradik YAB Azmin Ali yang masih rasional mempertimbangkan situasi yang berlaku. Beliau masih optimis dengan kerjasama Pakatan Rakyat di Selangor dan menolak pilihan untuk membubarkan DUN.
Dalam sandiwara ini, DAP dilihat terlalu ofensif, gopoh dan terburu-buru menyerang PAS. Mereka sendiri yang memulakan ‘game’ ini dan mereka sendiri yang akhirnya mematikan Pakatan Rakyat.
Kami dari Dewan Pemuda PAS Malaysia sekali lagi menekankan yg kami bersama-sama Presiden PAS dan kepimpinannya untuk bersama-sama komited dalam bertahalluf dengan Pakatan Rakyat selagi mana ia selari dengan ketetapan syara yg digariskan oleh Majlis Syura Ulama PAS.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,
IR. HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Naib Ketua, Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ketua, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Friday, June 19, 2015

PULAU PINANG, SELANGOR MILIK 3 PARTI

MARANG: Presiden PAS, Dauk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan bahawa persetujuan bertulis pernah dibuat bersama antara tiga parti dalam Pakatan Rakyat bagi menghormati hak masing-masing.

“Sebab itu, kita (PAS) memberi peringatan acap kali dan sudah diadakan tandatangan bersama iaitu mereka menerima hak kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh PAS untuk membuat sesuatu bagi melaksanakan Islam.

“Hak dia (DAP) tidak setuju terpulang kepada dia, tapi dia (DAP) hendak nasihat supaya kita berhenti itu tidak bolehlah,” ujarnya kepada media selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila, pagi tadi.

Beliau menjelaskan demikian ketika mengulas tindakan DAP menentang RUU persendirian yang dibawa oleh PAS ke Parlimen, baru-baru ini.

Namun, katanya PAS telah mencapai satu kejayaan apabila berjaya menarik orang bukan Islam menjadi ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dalam sayap parti.

Berikut adalah transkrip ringkas soal jawab beliau bersama media.

Soalan: Sekarang ini apa yang akan PAS buat kepada DAP yang telah bubar Pakatan Rakyat, adakah PAS masih lagi mahu berada dalam pakatan?

Jawapan: Pertama, bila disebut pakatan bermakna banyak parti dan bukan satu parti sahaja. Jika hanya satu parti buat keputusan itu bukan pakatan. Pakatan ini kena ada dua sekurang-kurang atau pun banyak (parti). Dalam hal ini kita faham apa makna pakatan. Sehingga hari ini, PKR masih tidak buat apa-apa kenyataan dan DAP telah membuat kenyataan dia. Ada pun dari segi buat keputusan PAS ini bukan milik saya seorang. PAS ini milik pimpinan secara kolektif dan dengan sebab itu saya perlu merujuk kepada kepimpinan PAS dan termasuklah yang menjaga teras kepada dasar PAS iaitu Majlis Syura Ulamak.

Pada Datuk Seri, adakah Datuk Seri sebagai Presiden PAS boleh terima kenyataan Lim Guan Eng yang mendakwa tidak wujud lagi Pakatan Rakyat?

Itu kenyataan peribadi dan pada saya itu satu kenyataan yang tidak tepat kerana satu parti itu bukan pakatan. Pakatan mesti merangkumi banyak parti yang ada dalam pakatan itu. Boleh buka Kamus Dewan tengok apa makna pakatan.

Pada Datuk Seri, status Pakatan Rakyat itu masih wujud?

Ya, sehingga kini masih wujud.

Tetapi, Datuk Seri, Lim Guan Eng kata PKR juga telah menyatakan Pakatan Rakyat juga sudah tidak wujud lagi?

Saya melihat Kamus Dewan apa makna pakatan dan dengan sebab itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak membuat kenyataan yang menunjukkan kita berpisah. Dan ini menunjukkan pakatan antara dua parti masih ada. Manakala, dengan DAP sehingga hari ini kita masih belum dapat satu keputusan secara rasmi dan kita dapat melalui media sahaja.

Maknanya PAS akan bekerjasama dengan PKR sahaja?

Kita bekerjasama dengan semua parti yang tidak cauvinis, itu sikap kita.

Datuk Seri, dalam muktamar PAS mahu melihat semula tahaluf siasi. Tapi, apabila pendekatan yang dibuat oleh Lim Guan Eng dalam soal bubar pakatan ini, maksudnya PAS masih mahu pertahankan pakatan ini atau masih menunggu MSU untuk membuat keputusan?

Pakatan Rakyat dibubarkan dan terbubar dengan sendirinya apabila semua parti dalam Pakatan Rakyat keluar daripada pakatan atau dipecat semua tinggal satu sahaja. Jika masih ada dua itu masih dalam pakatan.

Bagaimana dengan tindakan kerajaan Pulau Pinang yang memecat Ahli Majlis PBT. Adakah itu sememangnya DAP mahu memutuskan hubungan dengan PAS, Datuk Seri?

Kerajaan Pulau Pinang bukan sahaja melibatkan dengan PAS termasuklah dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan parti PKR masih ada lagi dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Sebab itu, keputusan kerajaan negeri mesti keputusan kerajaan yang melibatkan parti yang ada dalam kerajaan itu.

Datuk Seri, yang jelas PAS masih sayangkan Pakatan Rakyat?

Kita sayangkan perpaduan. Perpaduan kaum kerana kita menerima hakikat masyarakat majmuk yang ada di Malaysia.

Pada Datuk Seri, Lim Guan Eng tidak berhak membut keputusan bubar pakatan?

Itu terpulang kepada masyarakat di bawah menilai. Biar masyarakat umum melihat kenyataan dia.

Bila agaknya, Majlis Syura Ulamak (MSU) akan membuat keputusan di antara hubungan PAS dengan DAP?

Itu akan ditentukan dalam mesyuarat yang ditentukan oleh Jawatankuasa PAS Pusat pada bila-bila masa sahaja dalam masa terdekat ini, insya Allah. - HARAKAHDAILY 19/6/2015

MCA jangan masuk campur, hormati perlembagaan

Saya merujuk kepada gesaan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Negeri Terengganu, Datuk Toh Chin Yaw yang mahu Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu supaya menyemak semula usaha melarang perniagaan beroperasi selepas tengah malam dan menubuhkan suatu ‘task force’ untuk mengambil tindakan ke atas umat Islam yang tidak berpuasa dan menjual makanan sebelum jam 2.00 petang pada bulan Ramadan.

Saya ingin tegaskan kepada MCA supaya tidak campur tangan dalam urusan pentadbiran serta hal ehwal undang-undang yang berkait dengan orang Islam dan silalah hormati perlembagaan.

Kerajaan negeri telah menjelaskan bahawa kewajaran tindakan itu ialah untuk mengelakkan kegiatan tidak bermoral berlaku di premis-premis perniagaan dan bagi mengelakkan tersebarnya budaya negatif dalam kalangan masyarakat.

Ia juga bagi memastikan rukun Islam dilaksanakan oleh setiap orang Islam yang berkewajipan secara sempurna tanpa adanya persekitaran yang boleh mencemarinya.

MCA juga harus sedar dan faham bahawa di bawah kuasa Perlembagaan Persekutuan juga, pihak berkuasa negeri mewujudkan Enakmen Pentadbiran Islam Negeri dan di bawah enakmen inilah Mahkamah Syariah ditubuhkan. Bidang kuasanya adalah bersumberkan kepada Senarai 2 Jadual Sembilan Perlembagaan Persekutuan.

Amat tidak wajar sekali apabila MCA mengambil sikap mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan yang telah memperuntukkan Badan Perundangan Negeri diberikan kuasa untuk mentadbirkan Undang-Undang Islam dan semua hal-ehwal Islam di negeri masing-masing.

Saya percaya bahawa masyarakat bukan Islam juga mempunyai sistem nilainya yang tersendiri. Eloklah jika MCA memberi fokus memperkukuhkan sistem nilai tersebut dan tidak masuk campur dalam urusan umat Islam.

Undang-undang yang dikuatkuasan ke atas umat Islam itu adalah bertujuan untuk melahirkan masyarakat yang patuh kepada agama dan patuh juga kepada undang-undang justeru akan memberikan implikasi yang baik dan positif terhadap negara.

Tidak timbul soal undang-undang itu adalah ‘draconian’ atau penguatkuasaannya bersifat ‘authoritarian’. Sektor pelacongan juga tidak bergantung kepada sektor perniagaan yang beroperasi selepas waktu tengah malam sahaja. - HARAKAHDAILY 19/6/2015

Penulis adalah AJK PAS Pusat, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Monday, June 15, 2015

Apabila keputusan muktamar PAS diputar belit

Semalam FB Dewan Ulamak PAS Pusat telah memuatkan usul mereka pada Muktamar PAS yang baru lalu.

Tujuannya adalah untuk merungkai kekeliruan yang timbul akibat usul tersebut.

Para akhir usul tersebut menyebut:

"Maka Muktamar Dewan Ulamak PAS kali ke 54 mencadangkan kepada Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat supaya hubungan kerjasama politik dengan DAP dibatalkan dan PAS terus kekal dalam Pakatan Rakyat".

Inilah usul Dewan Ulamak.

Ia tidak menuntut muktamar memutuskan hubungan tetapi mencadangkan kepada Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa Pusat untuk membuat keputusan tersebut.

Itulah keputusan muktamar, agar dibawa ke Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa Pusat.

Keputusan pula belum dibuat.

Tetapi ada pihak yang mengambil keputusan untuk membakul sampah keputusan muktamar itu dengan mengumumkan perkara yang tidak diputuskan oleh muktamar.

Mereka mengatakan Muktamar telah memutuskan hubungan dan berhujjah bahawa keputusan Muktamar perlu dipatuhi.

Ada yang menghuraikan dengan panjang lebar tentang Perlembagaan PAS tetapi usul yang mereka fahami adalah bukan usul yang diluluskan oleh muktamar.

Saya tidak tahu kenapa keputusan muktamar diputarbelit begitu rupa.

Kita perlu maafkan mereka jika mereka benar-benar tidak faham atau tidak jelas.

Saya berharap usul asal Dewan Ulamak yang dimuatkan ke FB mereka akan dapat menjelaskan perkara ini.

Hormatilah keputusan perwakilan muktamar. - HARAKAHDAILY 14/6/2015

DATUK ISKANDAR A SAMAD

Naib Presiden PAS

Iklan Berbayar - SMS 013 929 9944 ( RM50.00 Sebulan )

-
-