Mohd Parid Sheikh Ahmad
Mohd Parid Sheikh Ahmad
KUALA LUMPUR - Pertubuhan Ikram Malaysia dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam mengecam tindakan tentera Mesir yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 300 penyokong Mursi terbunuh.

Presiden Ikram, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad berkata tindakan tidak berperikemanusiaan itu bukan sahaja melibatkan penyokong Mursi, sebaliknya ahli Ikhwan Muslimin turut terkorban dalam beberapa serangan semasa perhimpunan aman di beberapa kawasan di Mesir.

"Ketua tentera Jeneral Abdul Fattah al-Sisi, tentera dan kerajaan haram sementara mesti bertanggungjawab.

"Tugas pihak tentera adalah untuk menjaga keselamatan rakyat dan bukannya membunuh mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Kecam Pembunuhan di Mesir yang diadakan di sebuah hotel di ibu kota, hari ini.

Hadir sama dalam sidang media itu Ahli Parlimen Batu, Tian Chua serta beberapa NGO termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), serta lima pertubuhan wanita iaitu, Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia, persatuan inisiatif wanita untuk penyelidikan, pembangunan dan Kemajuan (Wirda), Persatuan Muslimah Interaktif (Iman), Rangkaian Zon Kepentingan Muslimah (Mizan), Pertubuhan Mawadah dan Haluanita.

Mengulas lanjut, beliau menyeru kerajaan Malaysia menggunakan seluruh pengaruh politik dan diplomatik untuk memberikan tekanan kepada tentera Mesir supaya menghentikan pembunuhan kejam itu berterusan.

"Kami juga meminta kerajaan pengaruhi Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) agar mengkaji semula keahlian Mesir dalam OIC Jika enggan hentikan pembunuhan itu.

"Kita juga mahu Presiden Mesir yang sah, Dr Mursi dikembalikan kedudukannya yang asal," kata beliau.

Sementara itu, Timbalan Ikram, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom yang hadir sama turut menggesa supaya kerajaan menyatakan bantahan secara jelas dan tegas kepada Kedutaan Mesir supaya pembunuhan itu perlu dihentikan.

"Ahli-ahli Parlimen serta kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri perlu Mamenyatakan bantahan secara tegas supaya hentikan pembunuhan dan kembalikan kedaulatan undang-undang.

"Malaysia tidak boleh mengambil pendirian berkecuali kerana melibatkan hak asasi sejagat tanpa mengira kaum, agama dan bangsa. Kerajaan tidak boleh mengambil sikap tidak bertanggungjawab dalam isu ini," ujarnya.  

Terdahulu, tentera Mesir dilaporkan menembak mati penyokong Mursi manakala beratus lagi cedera dalam tunjuk perasaan memasuki hari ke-15 di Masjid Rabaah al-Adawiyah di timur Kaherah.

Dalam kejadian itu, pemimpin Ikhwanul Muslimin, Murad Mohammed Ali mendakwa tembakan itu dilepaskan ke arah lebih 10,000 penyokong Mursi.