Ads 468x60px

-

Friday, April 1, 2016

Sokonglah PAS kerana dasarnya

HUZIR SULAIMAN | 2016-04-01

SAYA hormati hak Syed Saddiq dan keluarga beliau untuk tidak lagi mengundi PAS. Malah saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh keluarga beliau khususnya Syed Saddiq kerana pernah mengundi PAS suatu ketika dahulu.

Untuk makluman Syed Saddiq, PAS tidak pernah lari daripada dasar serta prinsip perjuangan Islamnya semenjak ia ditubuhkan lebih 60 tahun yang lalu. Kerana sikap ini, majoriti perwakilan PAS menolak hala tuju serta kaedah pemimpin G18 yang sebahagiannya dilihat menyanggahi dasar serta prinsip itu.

Mana mungkin Tuan Guru Presiden PAS yang disebut Syed Saddiq 'sudah lari' daripada perjuangan sebenar PAS masih terus dipilih majoriti perwakilan PAS di Muktamar yang lalu.

Syed Saddiq
Mana mungkin majoriti perwakilan PAS juga dianggap 'sudah lari' daripada perjuangan sebenar PAS kerana terus menerus memilih Tuan Guru Presiden PAS untuk memimpin 1.4 juta ahlinya semenjak 14 tahun yang lalu selepas 13 tahun dipilih perwakilan sebagai Timbalan Presiden parti.

Malah Tuan Guru Presiden PAS masih memimpin PAS ketika pemimpin G18 menguasai majoriti daripada barisan kepimpinan PAS Pusat pada sesi yang lalu.

Perwakilan PAS tidak pernah memilih barisan kepimpinan kerana susuk tubuh badan seseorang atau kerana popularitinya. Malah saya berharap Syed Saddiq dan keluarga beliau tidak memilih PAS kerana sebab itu.

Pilihlah PAS kerana sikap PAS yang konsisten dengan dasar perjuangan Islamnya dalam menegakkan keadilan yang menyeluruh kepada seluruh lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Kerana inilah kriteria pemilihan dan sokongan yang kita harapkan dari semua khususnya dari Syed Saddiq dan keluarganya.

Walau apapun, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Syed Saddiq kerana dipilih sebagai Pendebat Terbaik Asia. Sudah pasti kejayaan ini satu kebanggaan kepada seluruh anak muda di negara ini.

Mudah-mudahan Syed Saddiq dapat dipilih pula oleh Allah sebagai mukminin yang terbaik di akhirat nanti kerana itulah yang lebih baik dan lebih kekal abadi.

Jadilah anak muda sehebat junjungan Baginda SAW dan para sahabat ketika usia muda mereka. Iringan doa dari saya buat seorang anak muda seperti Syed Saddiq agar suatu hari nanti dibuka pintu hatinya untuk seiring berjuang di samping ratusan ribu anak muda yang kini sudah bersama PAS. – HARAKAHDAILY 1/4/2016

No comments:

Post a Comment

Iklan Berbayar - SMS 013 929 9944 ( RM50.00 Sebulan )

-
-