Ads 468x60px

-

Wednesday, April 3, 2013

Berubah Pada PRU13 Untuk Selamatkan Negara

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita18/hadi%20awang%20pc%20bubar%20parlimen.jpg 

- Mesej Pertama Presiden PAS Selepas PM Bubar Parlimen
 
MARANG
- PAS menyeru agar rakyat dapat membuat perubahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 ini ke arah pemerintahan negara yang lebih baik bagi menyelamatkan negara dan rakyat seluruhnya.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata PAS akan mengemukakan calon-calon yang bertanding pada pilihan raya kali ini di kalangan yang paling bertanggungjawab serta beramanah.

Kata Ustaz Abdul Hadi, mesej yang ingin disampaikan oleh PAS kepada rakyat di Malaysia agar membuat perubahan bagi menyelamatkan negara dan rakyat seluruhnya.

“Mesej kita (PAS) kepada rakyat Malaysia seluruhnya supaya membuat (perubahan) yang (dapat) menyelamatkan negara dan rakyat secara yang menyeluruh.

“Insya’Allah, kita (PAS) akan kemukakan calon-calon yang paling bertanggungjawab, yang paling menunaikan amanah sama ada dibuktikan  melalui kerajaan-kerajaan yang kita (Pakatan Rakyat) perintah, melalui kawasan-kawasan yang sudah dimenangi, melalui Pusat-pusat Khidmat Masyarakat yang dilakukan di kalangan kita (PAS) kepada rakyat sepanjang tahun 2008 hingga 2013 dan rakyat dapat menilainya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di kediamannya Kampung Rusila, Marang, hari ini, sempena pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak di Putrajaya, pagi tadi.

[Lihat Video Sidang Media Part 1 & Sidang Media Part 2]

Menurutnya, meski pun PAS belum lagi sebagai sebuah parti yang memerintah kerajaan pusat tetapi dapat menunaikan tanggungjawab mengikut kemampuan dengan penuh keikhlasan.

Sehubungan itu, Presiden PAS turut mengulangi penegasan parti bahawa PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat dalam menghadapi pilihan raya kali ini.
Katanya, PAS akan terus menyertai pilihan raya ini kerana jentera parti telah bergerak sejak dari awal lagi.

“PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat, akan menyertai pilihan raya ini dan jentera kita sudah bergerak daripada awal dan ditingkatkan lagi apabila Parlimen dibubarkan.

“Alhamdulillah, kita (PAS) telah selesai membuat penyusunan dan pembahagian dengan sebaik-baiknya. Malah, lebih baik dari pilihan raya tahun 2008. Di mana gerak kerja dan jentera kita (PAS) lebih baik dari masa-masa yang lalu,” ujarnya.

Dato’ Seri Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut mendesak agar kerajaan Barisan Nasional berlaku adil dan telus dalam pilihan raya umum kali ini.
Katanya, perlawanan politik dalam negara yang mengamalkan prinsip demokrasi mesti diadakan di atas ‘padang’ yang sama rata.

“Harapan kami (mahu) pilihan raya secara demokratik dalam erti kata yang sebenar dapat dilaksanakan. Sebagaimana di tempat (negara) lain menjalankan demokrasi sebenar seperti di Indonesia, Filipina, Thailand, Mesir dan termasuk di negara lain yang sentiasa membuat pembaharuan.

“Ini penting (supaya) rakyat diberi dengan cara yang hak dan telus. Media adalah saksi yang adil, yang memberi peluang kepada semua pihak. Perjalanan pilihan raya dijalankan dengan cara yang adil dan telus. Pilihan raya diadakan di atas ‘padang’ yang sama rata,” tegasnya

No comments:

Post a Comment

Iklan Berbayar - SMS 013 929 9944 ( RM50.00 Sebulan )

-
-