Harakahdaily, | 04 Nov 2013 |
Minggu lalu, bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad berkata kumpulan pelampau sedang menguasai Malaysia pada ketika Barisan Nasional sedang bergelut untuk menangani masalah kemerosotan sokongan orang ramai terhadap pakatan parti pemerintah itu walaupun ia masih menguasai kerajaan.
Bagi Kit Siang, benar dakwaan Mahathir bahawa kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak lemah dan ia merasa perlu untuk melayan ‘tuntutan-tuntutan tidak munasabah’ daripada puak pelampau untuk mengekalkan sokongan orang ramai.
“Tetapi beliau melakukan kesilapan dengan mendakwa puak pelampau itu terdiri daripada anggota Pakatan Rakyat,” tegas Ahli Parlimen Gelang Patah itu dalam satu kenyataan, semalam.
Hakikatnya, kata beliau Mahathir sendiri boleh dianggap mewakili puak pelampau berkenaan yang menjadikan ‘kumpulan majoriti yang moderat’ sebagai tebusan dengan segala pembohongan mereka sehingga menjejaskan usaha pembinaan dan pembangunan negara serta penyatuan warga.
“Dalam majlis pengumuman calon Pakatan Rakyat di Sungai Limau 21 Oktober lalu, saya telah menyatakan harapan agar pilihanraya kecil itu menjadi model bagi politik bersih, jujur, dan bermaruah dengan memastikan pembohongan dan kepalsuan tidak disebarkan dan taktik serangan peribadi atau politik wang tidak digunakan,” ujarnya.
Tetapi, katanya sejak hari pertama kempen lagi, pembohongan dan taktik serangan peribadi menjadi isi utama kempen Umno BN dalam pilihanraya kecil Sungai Limau, antaranya pembohongan tentang DAP yang kononnya mahu membentuk negara Kristian di Malaysia, menghapuskan sistem Raja Berperlembagaan, anti-Melayu dan anti-Islam.
Katanya lagi, segala pembohongan yang karut itu tidak berbeza dengan pembohongan yang disebarkan oleh Mahathir dalam Pilihanraya Umum ke-13 apabila membuat tuduhan palsu dan tidak bertanggungjawab.
Menurut Lim, Mahahthir mengatakan beliau bertanding di Gelang Patah untuk menimbulkan ketegangan antara Melayu dan Cina di Johor dan mahu orang Cina Johor ‘membenci Melayu’, serta DAP menolak konsep perkongsian kuasa Melayu/Cina/India kerana kaum Cina mahu menghapuskan kuasa politik orang Melayu.
Tetapi, jelasnya Mahathir dan Mahathirisme menanggung kegagalan enam bulan lalu dalam Pilihanraya Umum ke-13 apabila para pengundi Melayu tidak termakan dengan pembohongan dan dusta dan memenangkannya di Gelang Patah dengan majoriti lebih 14,000 undi.
“Dalam kempen Pilihanraya Umum ke-13 di Gelang Patah saya menyeru ke arah yang sama sekali berlawanan dengan pembohongan Mahathir dan Mahathirisme itu, iaitu apabila saya menyeru kaum Melayu, Cina, India, Iban, dan Kadazan untuk bersatu di bawah wawasan Impian Malaysia untuk membina masyarakat Malaysia yang lebih bersatu, demokratik, bebas, adil, berdaya saing serta makmur demi kebaikan semua warga Malaysia,” jelasnya lagi.
Menurut beliau lagi, Mahathir dan Mahathirisme juga gagal memberikan kemenangan kepada puak pelampau di Pasir Mas dan Shah Alam dan yang diwakili oleh Presiden Perkasa dan naibnya, Ibrahim Ali dan Zulkifli Noordin.
Malah, ujarnya selepas pilihanraya umum, ketua bahagian Umno Shah Alam menyebut bahawa jika Mahathir tidak berkempen di Shah Alam, BN mungkin mendapat lebih banyak undi.
Kata Lim lagi, Mahathir dan Mahathirisme seterusnya berdepan kekalahan dalam pemilihan parti Umno bulan lalu dan Mahathir lalu menyalahkan politik wang sebagai punca beliau gagal memastikan anaknya, Mukhriz Mahathir, menang sebagai Naib Presiden Umno.
Tambahnya, Mahathir muncul dalam kempen Umno BN di Sungai Limau dan mengambil pendirian bahawa politik wang ke atas Mukhriz dalam pemilihan parti Umno adalah sesuatu yang jelek tetapi ‘OK’ untuk diamalkan oleh Umno dan Mukhriz dalam pilihanraya kecil Sungai Limau.
Persoalan lebih menarik, ujarnya ialah sama ada Mahathir dan Mahathirisme akan menghadapi kegagalan ketiga atau mungkin yang terakhir sejak enam bulan selepas PRU13 dalam pilihanraya kecil Sungai Limau, hari ini.
“Inilah yang akan terjadi jika calon PAS dan Pakatan Rakyat, Mohd Azam Abd Samat mampu mempertahankan kawasan itu, terutama dengan perbezaan undi lebih besar,” ujarnya.
Pilihanraya kecil Sungai Limau pada hari ini berlangsung genap enam bulan setelah PRU13 yang diadakan pada 5 Mei lalu.
“Kemenangan calon Pakatan Rakyat itu akan menjadi berita terbaik bagi negara ini,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment