Exco PAS Iskandar Abdul Samad menangkis tuduhan dari rakan-rakannya dalam Pakatan bahawa parti itu bertindak khianat kerana masih kekal dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sedangkan exco PKR dan DAP dipecat.
Jelasnya, PAS melakukan pengorbanan besar kerana terus kekal dalam pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim demi memastikan Umno tidak mengambil kesempatan dari situasi pada masa ini.
Menurutnya, PAS akan dapat mengelakkan Umno bertindak demikian melalui tekanan ke atas menteri besar agar tidak melantik wakil dari seteru politik parti Islam itu ke dalam jawatankuasa exco.
"Kami juga mahu memastikan Umno tidak mengambil kesempatan di dalam keadaan sekarang. Tetapi kami menghadapi risiko dituduh telah mengkhianati Pakatan Rakyat.
"Kami akan keluar dari kerajaan jika ADUN Umno dilantik sebagai exco. PAS masih berada di dalam Pakatan Rakyat. PAS akan menjaga kepentingan Pakatan Rakyat di dalam kerajaan.
"Kami masih membawa semangat Pakatan Rakyat dan berpegang kepada prinsipnya. PAS juga tidak akan menuntut ADUN PAS dilantik sebagai Exco," katanya lagi
Melalui cara itu, ia akan dapat memastikan perancangan dan program kerajaan Selangor dapat diteruskan, katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.
"PAS telah membuat satu pengorbanan besar dengan terus berada di dalam kerajaan. Kami lakukan supaya perancangan dan program kerajaan dapat diteruskan,” katanya.
PAS tidak mahu rakyat kerugian akibat daripada kemelut ini, katanya yang menegaskan bahawa parti itu akan terus menjaga kepentingan Pakatan dalam kerajaan negeri
Pandangan tersebut turut dipertegas oleh seorang lagi anggota exco PAS, Sallehen Mukhyi yang berkata mereka tidak akan teragak-agak meletak jawatan sekiranya Khalid melantik anggota exco baru dari parti Umno.
Tambahnya, soal untuk memilih exco daripada Umno tidak timbul memandangkan parti itu merupakan pembangkang di Selangor.
'Tak timbul exco Umno'
"Soal Umno (jadi exco) tak timbul. Tidak akan ada dalam kerajaan. Tak ada Umno. Tidak akan jadi kalau Umno ada dalam exco. PAS akan keluar.
"Umno tidak ada dalam senarai (barisan exco) ini. Dia bukan kerajaan dan dia adalah pembangkang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Exco PAS tersebut mengulas kenyataan bekas exco DAP Ean Yong Hian Wah berkata, yang kecewa dengan tindakan PAS menyertai mesyuarat exco hari ini.
Ean mendakwa tindakan PAS itu tidak menunjukkan semangat Pakatan Rakyat.
"Saya kecewa dengan PAS kerana mereka sertai mesyuarat hari ini. Ini menunjukkan mereka tidak ada semangat Pakatan Rakyat.
"Saya akan bekerja macam biasa. Saya juga minta supaya Pakatan Rakyat mesyuarat secepat mungkin untuk bincang perkara ini," katanya.
Ean serta dua lagi ADUN DAP dan tiga ADUN PKR dipecat dari menganggotai exco, berkuatkuasa semalam.
Mereka juga diarahkan mengosongkan pejabat hari ini.
Semalam lima exco daripada PKR dan DAP dipecat oleh Khalid kerana tidak bersetuju bersama pasukannya mentadbir negeri Selangor.
Khalid menghantar surat pemecatan kepada lima exconya, tiga daripada DAP dan dua daripada PKR. Beliau bagaimanapun belum menulis surat kepada Rodziah Ismail kerana berada di luar negeri.
Bagaimanapun kesemua exco tersebut tetap datang bertugas hari ini selepas merasakan pemecatan mereka tidak sah.
Sebelum ini dilaporkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar menepis khabar angin ADUN Umno di negeri itu dan PAS akan berpakat memberi sokongan majoriti ahli dewan negeri kepada Khalid.
No comments:
Post a Comment