Ads 468x60px

-

Wednesday, February 24, 2016

PAS Marang Alu-Alukan Kedatangan Pengunjung HARAP 3.3

PAS Kawasan Marang mengucap selamat datang dan menga-ngalukan kehadiran semua pengunjung program Harap 3.3 di Padang Mengkuang, Marang.
2. Program 4 hari, dari 24 hingga 27 Februari memperlihatkan kesungguhan perjuangan Pas menguruskan kepentingan rakyat dalam pelbagai aspek. Ia bukan sekadar perhimpunan biasa dan ceramah politik. Program ini di antara lain memberi peluang kepada rakyat untuk berniaga, sumber maklumat agensi kerajaan dan swasta, pendidikan agama, bersantai dengan artis, merapatkan hubungan pemimpin dengan rakyat, belajar seni mempertahankan diri, membantu mereka yang susah, rawatan perubatan, program anak-anak muda, beriadhah dan banyak lagi.
3. Dengan tema ‘Pas harapan semua (HARAP)’, program ini diharapkan dapat meningkatkan lagi hubungan Pas dengan rakyat yang kelihatan resah terhadap masa depan mereka yang dilanda dengan pelbagai isu dan masalah – kos hidup termasuk cukai gst yang membebankan, salah urus harta dan kewangan negara seperti 1MDB, percakaran politik yang tidak menguntungkan dan lain-lain. Mereka sedang mencari satu alternatif baru untuk menyelamatkan kehidupan mereka, dunia dan akhirat.
4. Bagi pihak tuan rumah (Marang) ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada semua pihak yang terlibat memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk samada secara lansung atau tidak lansung dalam menjayakan program Harap 3.3 pada kali ini. Tidak lupa juga untuk memohon maaf kepada mana-mana pihak khususnya masyarakat setempat sekiranya berlaku sebarang kelemahan dalam menguruskan program besar ini.
HAJI YAHAYA ALI
Yang Dipertua PAS
Kawasan Marang
24 Februari 2016

Tuesday, February 23, 2016

Balai Penghulu Jadi Sarang Ular?

MARANG – Balai Penghulu biasanya berfungsi sebagai pusat kepada pentadbiran sesebuah mukim bagi memberikan perkhidmatan secara lebih efektif kepada masyarakat setempat yang kadang-kadang tinggal jauh daripada Pejabat Tanah atau Daerah.
IMG-20160223-WA0003Akan tetapi agak malang bagi penduduk sekitar Pekan Bukit Payung apabila sebuah Balai Penghulu telah ditinggalkan sejak sekian lama, bukan lagi berfungsi sebagai pejabat wakil kerajaan negeri, sebaliknya mungkin menjadi sarang ular.
Dengan dinding, pintu dan tingkap banyak yang pecah dan dimakan anai-anai, semak-samun disekelilingnya, ia menjadi tanda tanya penduduk, kenapa balai ini terbiar kerana ini semua adalah duit rakyat.
Demikian antara luahan beberapa penduduk di sekitar Pekan Bukit Payung apabila ditanya tentang Balai Penghulu yang dianggarkan bernilai RM150 ribu itu, tidak berpenghuni dan berfungsi sehingga kini.
Seorang penduduk, Haji Aziz Abdullah berkata, beliau nampak seekor ular tedung selar berkeliaran di sekitar balai itu tidak beberapa lama dahulu dan merasa bimbang jika ular itu bertembung dengan penduduk setempat.
Beliau berharap agar balai tersebut diselenggarakan dengan baik agar ianya tidak menjadi sarang binatang berbisa mahupun sarang penagih dadah suatu hari nanti.
IMG-20160223-WA0005“Harap kerajaan datanglah untuk melihat-lihat bangunan tinggal ini kerana ianya terletak di sebelah Pusat Asuhan Tadika Islam (PASTI) yang kita bimbang juga dengan keselamatan pelajar-pelajar ini selepas nampak ular itu.
Sudah kira-kira 10 tahun balai ini tidak dgunakan selepas penghulu terakhir, kalau tak salah ingatan saya, Penghulu Alias menggunakannya sebagai pejabat,” kata beliau.
Haji Aziz ditemui ketika program gotong royong membersih kawasan Pasti Pekan Bukit Payung, bagi membasmi denggi dan mengalirkan semula longkang yang tersumbat di belakang Pasti.
Seorang lagi peserta gotong royong yang ditemu bual, Jailani Mohammad berkata, dia terpaksa menggunakan gergaji bermotor dan memotong semua pohon-pohon yang agak besar yang masuk ke kawasan Pasti.
IMG-20160223-WA0002Menurutnya, kawasan balai yang bersemak, secara tidak langsung, memberikan kesan yang tidak baik juga kepada Pasti di sebelahnya.
Bagi beliau ini adalah salah satu kerja amal kerana mahu menjaga keselamatan kanak-kanak pelajar Pasti itu dan juga memikirkan premis itu adalah kepunyaan rakyat.
Namun begitu, seruan yang sama diluahkan beliau, agar wakil kerajaan datang dan berbuat sesuatu dengan balai tersebut, sekurang-kurangnya melegakan perasaan risau penduduk setempat.
Manakala Ketua PAS Cawangan Pekan Bukit Payung, Ustaz Zakaria Ismail melihat kegagalan memanafaatkan sepenuhnya premis kerajaan yang menggunakan wang rakyat ini adalah satu bentuk pembaziran yang tidak sepatutnya berlaku.
Wakil Rakyat Dun Bukit Payung, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah yang turut sama menyertai gotong royong itu juga kesal dengan keadaan premis yang begitu teruk dan uzur dilihat dan akan cuba mencari jawapannya daripada kerajaan.

Menyimbah petrol membunuh diri (langkah selamatkan Israel)

DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG

Ketika Dunia Islam dan umatnya bersemangat menerima berita Intifadhah rakyat Palestin yang gagah berani menghadapi keganasan Zionis Israel yang melampau, kerana negaranya yang haram itu dilindungi negara besar berkuasa veto, dibekalkan segala jenis senjata, menggunakan pengaruhnya terhadap media yang tidak adil, monopoli ekonomi dan pengaruh politiknya.


Namun sejarah tidak boleh dipadamkan, betapa golongan pelampau Yahudi itu merompak, meroboh rumah kediaman dan menghalau rakyat Palestin. Terkini lebih melampau lagi, apabila melaksanakan usaha membina Haikal Sulaiman (Kuil Yahudi) di atas runtuhan Masjid Al-Aqsa yang dirancang untuk diroboh, ke arah menakluk dunia dengan menegakkan semula Kerajaan Nabi Sulaiman AS yang sudah tamat risalah kenabiannya, namun dijadikan impian.

Mangsa paling malang ialah penduduk asal Palestin, mengikut konsep asal ketetapan Allah sejak zaman Nabi Ibrahim AS yang menganut Islam mengikut kenyataan Allah SWT. Al-Quran menegaskan:
ما كانَ إِبْراهِيمُ يَهودِيًّا ولا نَصْرانِيًّا وَلكِنْ كانَ حَنِيفا مُسْلِمًا وَمَا كانَ مِنَ المُشْرِكِينَ إِنَّ أَوْلىَ النَّاسِ بِإبراهِيمَ لَلّذِينَ اتَّبَعُوهُ وَهذا النَّبِيُّ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَاللهُ وَلِيُّ المُؤمِنِين

"Tidaklah Ibrahim itu seorang Yahudi dan Nasrani (Kristian) tetapi sebenarnya dia seorang muslim (menganut Islam ) dan dia juga bukan seorang musyrikin. Sebenarnya, yang lebih utama bersama Ibrahim ialah mereka yang mengikutnya dan Nabi ini (Muhammad SAW) dan orang-orang yang beriman. Dan Allah menjadi Wali kepada orang-orang yang beriman." (Surah Ali-Imran, ayat 67-68)

Tegasnya bumi Palestin diamanahkan kepada penganut Islam yang sebenar, dan mereka bersikap terbuka terhadap semua panganut agama-agama lain yang berkunjung memuja bumi Palestin tanpa halangan mengikut acara agama masing-masing.

Polisi Islam yang terbuka dilaksanakan di Palestin, sejak dibebaskan di zaman Khalifah Umar Al-Khattab RA daripada penjajah Rom Ortodoks yang menyekat penganut bukan Kristian dan Kristian yang tidak semazhab dengan mereka.

Begitu juga dilakukan oleh tentera Salib yang pernah menakluknya, sehinggalah dibebaskan oleh Sultan Salahuddun Al-Ayubi, maka dibuka semula kepada penganut agama-agama yang mengunjunginya termasuk Yahudi.

Bahkan kerajaan Uthmaniyyah memberi perlindungan kepada kaum Yahudi yang dibunuh dan dihalau daripada Andalus, menunjukkan Islam mengatasi kebangsaan.

Malangnya barat dan timur bukan Islam tidak menilai budi dan jasa Islam dan tamadunnya, mereka boleh mengiktiraf penaklukan tentera salib yang bermandi darah dan melangkah timbunan mayat, dan menolak Sultan Salahuddin yang adil dan pemaaf terhadap musuh dan melupai sikap terbuka Khilafah Uthmaniyyah.

Kini bumi Palestin dijajah pula oleh Zionis Yahudi selepas Perang Dunia Kedua, dengan lesen merompak dan membunuh oleh Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kuasa veto Kuasa-Kuasa Besar yang menjadi anggota tetapnya.

Terkini dilaksanakan perancangan merampas Masjid Al-Aqsa dan meyahudikan bandar sucinya. Mutakhirnya satu usul dibawa ke Kaniset (Parlimen Israel) undang-undang bagi menutup masjid-masjid bermula dengan membatalkan kegiatannya termasuk khutbah dan pengajian di-atas nama menentang keganasan.

Rasulullah SAW telah berjanji dengan sabdanya; “akan muncul satu kumpulan manusia yang bangkit menegakkan kebenaran, mereka tidak mampu ditundukkan oleh orang-orang yang mengecewakan mereka sehingga Allah menentukan kemenangan kepada mereka." Para sahabat RA bertanya; "siapakah kumpulan itu wahai Rasulullah?" Jawabnya; "mereka ialah penduduk Bait Al-Maqdis dan sekitar Bait Al-Maqdis." ((Riwayat Imam Ahmad)

Sejarah merakamkan apabila Negara Haram Israel diisytiharkan mengikut jadual perjanjian Sykes-Picot, berikutnya ditubuhkan negara-negara arab yang dibahagikan kepada pemimpin yang menyokong kuasa besar menjatuhkan Khilafah Uthmaniyyah di atas semangat masing-masing. Sama ada nasionalisme Arab atau Sunnah Wahabi Salafi yang menentang Sunni yang tidak semazhab termasuk Turki Uthmaniyyah, begitu juga Shah, Iran bermazhab Syiah dan Raja Yaman bermazhab Zaidiyyah.

Maka kini kalangan negara itu manyambut hari kebangsaan masing-masing kerana berjaya menghalau Turki Uthmaniyyah yang dianggap penjajah dengan sokongan Kuasa Besar Timur dan Barat yang dianggap sahabat karib, berbeza dengan hari kebangsaan kita di sini kerana bersempana keluarnya penjajah British dan Belanda.

Di tengah kegembiraan mendapat takhta dan kuasa dengan perlindungan pengkalan tentera negara besar yang bertapak di negeri masing-masing sehingga hari ini, tiba-tiba Negara Israel diisytiharkan tahun 1948 secara haram dan ganas.

Kumpulan Islam dan beberapa kumpulan nasionalis bangkit berperang menentang penubuhan Negara Israel di masa itu di atas nama Islam tanpa mengira bangsa dan mazhab, melaksanakan hasil pertemuan bersejarah di antara Jamaluddin Al-Afghani dan Muhammad Abduh di awal abad yang lalu dan di antara Imam Hasan Al-Banna dan Imam Khumaini yang masih muda ditahun 1938.

Hasilnya tercetus kesedaran menentang penubuhan Negara Israel, walaupun hilangnya Khilafah, namun kebangkitan ini dikecewakan oleh negara arab dan Islam yang bersekongkol dengan kuasa besar.

Banyak pemimpin menentang penubuhan Israel ditahan di negeri masing-masing kerana bersama perjuangan Palastin bahkan ada yang dibunuh, seperti Hasan Al-Banna daripada gerakan Ikhwan Muslimin Mesir (1949) dan Nawwab Safawi daripada gerakan Fidayyan Islam di Iran (1955) dan lain-lain, namun perjuangan Palastin gagal dipadamkan walaunpun memakan zaman beberapa dekad dan bersenjatakan batu dan tangan.

Kini kita berada dalam era kebangkitan Islam yang sangat dibimbangi oleh semua kuasa besar dunia yang terus bermusuh terhadap Islam yang mendaulatkan negara, bersamanya berlaku Intifadah di Palestin yang gagal dipadamkan.

Revolusi Islam di Iran yang tidak dijangka, kejayaan Mujahidin Afghanistan menghalau Tentera Soviet, serta kemaraan parti berteraskan Islam di beberapa negara yang agak bebas.

Kuasa Besar yang semuanya bersekongkol menubuhkan Negara haram Israel tidak senang dengan semua perubahan kepada Islam tanpa mengira mazhabnya, termasuk yang bersikap menentang Israel tanpa mengira ideologinya.

Maka Barat mengisytiharkan Order Baru Dunia dan Globalisasi merempuh sempadan selepas gagalnya blok Komunis dan Sosialis dengan berkecainya Negara Besar Soviet setelah kalah di Afghanistan, serta muncul semula cahaya Islam.

Islam tetap menjadi sasaran, maka diisytiharkan isu Islamofobia, namun, Negara Islam yang telah merdeka daripada kuasa penjajah masih meneruskan agenda penjajah selepas kemerdekaan mengikut agenda Islamofobianya. Maka masalah dalaman tanahair umat Islam gagal diatasi, namun Islam juga disalahkan.

Islam telah berjaya memerintah masyarakat majmuk dengan aman lebih daripada seribu tahun. Pemerintah yang adil dan penyelesaian perbezaan mazhab dengan ilmu dan kebijaksanaan oleh para ulama telah berjaya menyatukan umat.

Mazhab Salaf dan Khalaf sudah wujud dalam aspek aqidah, juga Mazhab Fiqh Sunni, Syiah dan Khawarij kerana politik dalaman umat juga sudah lama bertapak, di samping Tareqat Sufi berbagai nama. Kezaliman dan krisis dalaman umat diselesaikan di atas konsep kesatuan umat, dengan sabar dan ilmu tanpa campur tangan asing.

Pihak kuasa besar di zaman kini tiba-tiba berjaya melagakan umat Islam dengan mencetuskan peperangan secara wakalah (proksi) dengan mengambil peluang daripada pemerintahan kuku besi yang zalim di negeri-negeri yang menindas dengan perlindungan mereka juga, dengan mengumpan golongan yang menentang kerajaan termasuk bantuan senjata bagi melahirkan kalangan pelampau di atas nama Islam dan jihad tanpa feqah dan siyasah syariyyah.

Sebenarnya, supaya menimbulkan kekacauan di atas nama Jihad atau Demokrasi atau hak rakyat yang adil dalam masa yang sama mempertahankan kerajaan yang sah. Ucapannya sangat baik tetapi tujuannya sangat jahat terhadap Islam dan penganutnya yang sebenar.

Kini apa yang berlaku di Mesir, Syria, Yaman, Arab Saudi, Bahrain dan lain-lain, hukuman terhadap beberapa yang dituduh, termasuk tokoh-tokoh ulamak dan rakyat tanpa mengira mazhabnya, masih ramai lagi dalam penjara.

Adalah agenda musuh Islam, menggunakan slogan yang zahirnya benar dan manis, tetapi niat yang salah dan jahat, tujuannya yang sebenar ialah menyelamatkan Israel dan pengaruh kuasa besar yang bertapak di rantau itu, dengan menggalakkan isu yang kecil dibakar menjadi api fitnah yang besar. Tujuannya laksana mencurah petrol ke atas api fitnah yang sengaja di-wujudkan.

Saya tetap berpegang dengan Mazhab Ahli Al-Sunni Wa Al Jamaah dengan keimanan, ilmu dan keyakinan, namun kita diajar tidak mudah mentakfirkan dan menyesatkan mana-mana ahli kiblat yang satu yang berlainan mazhab, walau pun qaulnya terlalu lemah dan ditolak oleh Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah, namun dasar dan rukunnya masih bersamaan.

Majmak Fiqh OIC di Jeddah dan Majmak Buhus Al-Azhar Mesir telah menyenaraikan lapan Mazhab dan beberapa yang lain adalah golongan Ahli Al-Qiblah, sehingga semuanya datang ke-Makkah tanpa halangan. Majmak Buhus Islamiyyah di Mesir mengeluarkan Enseklopedia Fiqh lapan mazhab Ahli Al-Qiblah. Maka sangat malang kalau fatwanya terkini mengikut arus kuasa besar Timur dan Barat yang mempermainkan para ulama kita, kerana dipergunakan oleh kerajaan yang bertawakal kepada perlindungan Nato bukannya pertolongan Allah.

Saya menyaksikan dalam hidup saya di negara arab, bagaimana para Jamaah haji bermazhab Syiah daripada Iran, Lubnan, Yamen dan yang lain, di zaman Shah berkuasa di Iran, ketika berhubungan diplomatik yang kukuh dengan negara Israel, di masa itu Iran yang penuh dengan pelacuran, judi, arak dan segala maksiat yang bebas juga bagi jiran arabnya, para jamaah hajinya pula bersembahyang berasingan tanpa mengikut Imam Masjid Makkah dan Madinah, betapa ulama di masa itu tetap menerima Zaidiyyah dan Imamiyyah, Wahabiyyah dan tidak Wahabiyyah adalah kalangan umat Islam.

Tetapi selepas Revolusi yang dipimpin oleh Imam Khumaini kerana mazhabnya Syiah, bersikap berani terus memutuskan hubungan dengan Negara Israel dan mengisytiharkannya negara haram, negaranya mengharamkan segala kelucahan, sehingga pelancung wanita barat diwajibkan berpakaian sopan, judi, arak dan pelacurannya dimusnahkan, perkara yang tidak khilaf daripada semua mazhab.

Para jamaah hajinya diarahkan sembahyang bersama satu imam sahaja, tiba-tiba fatwa-fatwa mengikut arahan kenyataan Bush, Obama dan John Kerry, mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel, di arah supaya sunni menyerang syiah habis-habisan dan syiah menyerang sunni, atau sesama mazhab kerana berbeza kebangsaannya, tanpa hujah ilmu yang bijak dengan meletakkan semuanya dalam satu bakul.

Isu Takfir dan menyesat dalam satu umat menjadi sumbu fitnah. Tanpa dinafikan adanya kelakuan murtad di kalangan umat, tetapi Islam menyelesaikannya secara keluarga dalam satu umat dan ilmu dengan konsep menyelamat aqidah secara bijak, termasuk yang murtad kerana kejahilan sendiri dan tipu daya musuh.

Lebih malang lagi berdakwah mazhab dalam satu umat, apabila dihidupkan paksaan sunnah mazhab Wahabi di kalangan sunni yang lain atau bertempur syiah dan sunni dalam satu umat, padahal kita tidak diizinkan memaksa orang bukan Islam menganut Islam, tidak dibenarkan memusnahkan gereja dan membunuh paderi dan sami, kerana konsep tiada paksaan dalam agama, mengapa berperang kerana mazhab dan kaum?

Saatnya pula, intifadah di-Palestin menentang pelampau Yahudi sedang bermaharaja gila meroboh rumah rakyat Palastin untuk penempatan Yahudi dan melaksanakan perancangan meroboh Masjid Aqsa bagi diganti dengan Haikal Sulaman (Kuil Besar Yahudi). Negara-negara jiran yang menepuk dada semangat arabnya terus mengecewakan Palastin dan masih banyak berhubungan secara langsung atau berselindung dengan Negara Israel (diplomatik, perdagangan, pelancongan dan yang lain) Bakhil menderma kepada Palestin, pengecut menghadapi Zionis, melakukan pula dengan harta kekayaanya, perkara yang diberi amaran oleh Rasulullah SAW; “kamu akan menyaksikan mereka yang berkaki ayam, bertelanjang, dahulunya papa kedana, gembala-gembala unta dan kambing, tiba-tiba berlumba-lumba mendirikan bangunan-bangunan tinggi." Ditambah bangunan tinggi dan budaya barat.

Percayalah bahawa Israel dan sekutunya tetap berperang dengan sesiapa sahaja yang tidak mengiktirafnya tanpa mengira mazhab Sunni atau Syiah dan Wahabiyyah atau Asyairah/Maturidiyyah tanpa mengira ideologi kanan atau kiri. Mereka akan mengekalkan Negara Islam dan Parti Islam tanpa cita-cita pelaksanaan Islamnya dan berpolisi mengiktiraf Israel atau bermujamalah dengannya.

Perkara-perkara yang menakjubkan ialah negara serantau khususnya negara-negara Arab sedang menggali kubur sendiri mengikut pelan yang dilakar dan diatur oleh kuasa bekas penjajah, menghidup atau menyuburkan semula krisis mazhab, kaum, kabilah dan ideologi asing. Tujuannya, menubuhkan negara baru mengikut pecahan mazhab Sunni dan Syiah, Arab, Kurdis dan Turkuman, mengikut pengaruh Timur dan Barat tanpa Islamnya.

Bersedia membina gagasan ketenteraan untuk berperang sesama sendiri bukannya menghadapi ancaman Israel dan sebaliknya menguatkan kuasa besar dengan sumber tenaga kurnia Allah dengan wang sekadar jaminan negara yang dianggap berkuasa besar, menjaga harta dan takhta tanpa jati diri bersama Islam. Bahkan sebarang perubahan kepada Islam dikira ancaman dan bahaya, maka Arab Spring tidak berbuah masak atau dicantas putiknya sebelum masak, pesertanya dibunuh, diburu, disumbat kedalam penjara.

Sepatutnya mereka bersatu di atas perkara yang sama, dalam perkara rukun agama, politik dan ekonomi yang tidak berbeza. Adapun dalam perkara yang berbeza berbincang secara ilmu di kalangan ahlinya dengan adab-adab ikhtilaf yang menyatukan umat walau pun adanya perbezaan di antara satu sama lain. Segala-galanya boleh dilakukan apabila kembali kepada Islam. Sangat tidak patut menerima jaminan Naib Presiden Amerika Syarikat John Baiden bahawa Amerika akan membatu Turki dan Arab bagi menentang Syiah.

Khalifah Umar Al-Khattab RA pernah menegaskan:

"Kita adalah Umat yang diperkasakan oleh Allah bersama Islam, sekiranya kita mencari kekuatan dengan cara yang lain daripada Islam nescaya kita dihukum oleh Allah menjadi hina."

Sepatutnya OIC berperanan membina kekuatan Islam serantau dan sedunia dan para ulamanya menyatukan umat dengan ilmu dan hujjah yang adil yang kaya bersama Islam yang sumber asasinya tetap dipelihara Allah.

Tegakkan Islam yang menyatukan bangsa dan umat semuanya selamat, tetap tidak selamat dengan menegakkan semangat kebangsaan atau mazhab dan ideologi tanpa Islamnya menghilangkan jati diri bangsa dan memusnahkannya.

Maka sepatutnya Arab, Iran dan Turki bersatu bersama Islam menjadi barisan hadapan kepada seluruh umat Islam, menghadapi Israel dan semua kuasa besar di belakangnya. Malangnya dilagakan untuk menghancur diri sendiri, sehingga perjuangan Palestin dibiarkan bersendirian.

"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
13 Jamadil Awal 1437H / 22 Februari 2016
- HARAKAHDAILY 22/2/2016


IKLAN PRODUK


Sunday, February 21, 2016

Hadir Beramai-Ramai Dan Sertai HARAP 3.3

MARANG – Pengarah Himpunan Harapan Semua 3.3 (HARAP 3.3) Ustaz Kamaruzaman Abdullah berkata, program himpunan tersebut diadakan bagi menunjukkan kepada rakyat Terengganu PAS bersedia untuk menjadi kerajaan selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 akan datang.


Dengan itu, sekiranya diizinkan oleh Allah, PAS dapat menyambung kerja-kerja membangunkan negeri dan membela rakyat, yang telah tertangguh kerana tidak menang dalam PRU pada tahun 2004.
“kita buat HARAP ini……..antaranya kita nak suruh gema kepada rakyat………dua bulan, tiga bulan kit buat sekali (dan) dekat pilihan raya kita buat lebih acap,
“untuk kita tunjukkan imej kepada rakyat bahawa PAS layak untuk memerintah dan kita nak sambung gerak kerja pada tahun 2004 dulu yang kita tak sempat buat,”ujarnya.
Oleh itu, Ketua Pemuda PAS Terengganu itu menyeru anak-anak muda agar bersedia mengambil alih tampuk pemerintahan dari Umno dan Barisan Nasional.
“dengan kejahatan………kezaliman………dan penipuan (Umno dan BN) yang semua rakyat tahu, dan khususnya anak-anak muda, jika sekiranya diberi mandate oleh Allah, kita sudah bersedia dengan mandate itu in sha Allah,”tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika memberikan taklimat kepada para Pemuda PAS Kawasan Marang di tapak HIMPIT 3.3, di Kampung Padang Mengkuang, di sini semalam.
Ustaz Kamaruzaman dalam mesej khususnya kepada semua ahli dan penyokong PAS serta pendokong dan pejuang yang cintakan Islam dari seluruh negeri Terengganu, menyeru agar datang beramai-ramai ke program HARAP 3.3 yang akan bermula pada 24hb. hingga 27 Februari.
“mudah-mudahan in sha Allah,dengan kehadiran kita semua, menyemarakkan lagi (cita-cita) untk menjadikan Wisma Darul Iman sebagai genggaman dalam PRU Ke-14 akan datang,
“semoga kita semua dipermudahkan oleh Allah untuk bersama pada kali ini dan ingatlah mesej kita dengan jelas, menjadikan medan HARAP 3.3 ini sebagai latihan kepada seluruh jentera dan petugas dan memberi imej (yang baik) kepada seluruh rakyat,
“agar memberi sokongan kepada Parti Islam SeMalaysia,”jelasnya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, yang memberi sokongan, sama ada secara langsung atau tidak, dalam menjayakan HARAP 3.3, diberikan ganjaran dari Allah jua

Thursday, February 18, 2016

PAGI YANG SYAHDU BERSAMA AYAH CHIK


Pagi ini, kami penduduk Rusila memulakan hari dengan suasana yang penuh syahdu dan sayu. Alhamdulillah Ayah Chik berkesempatan untuk mengimami solat Subuh kami berjemaah. Seperti biasa, para jemaah yang tenang menunggu ketibaan kelibat beliau dari pintu khas yang dibuat berdekatan dengan rumahnya.

Rakaat yang pertama, Ayah Chik memilih untuk membaca firman Allah di akhir surah al-Baqarah bermula ayat 284. Beliau memulakannya seperti biasa. Sampai pada ayat terakhir, dengan tiba-tiba suara beliau berubah. Nafasnya jadi tersekat-sekat dan sebak ketika melafazkan ayat
رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِنْ نَسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ
"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengambil kira kesalahan kami jika kami lupa atau kami tersalah."

Selepas itu beliau berhenti seketika. Kemudian menyambung lagi:
رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِنَا
"Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami."

Ayah Chik berhenti lagi. Suaranya bertambah sebak dan sayu. Hati saya sudah mula diruntun kalam-kalam tuhan yang dialunkannya. Kemudian beliau meneruskan:
رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ
"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya."
Sekali lagi beliau berhenti. Kali ini panjang daripada biasa. Nampaknya beliau benar-benar menghayati maksud setiap yang dilafaznya. Seolah lafaz itu dipendam begitu lama dalam hatinya sebelum punya kekuatan untuk menuturnya.

Tidak lama selepas itu beliau menyambung.
وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ
"Maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan rahmatilah kepada kami"
Seperti sebelumnya, beliau juga berhenti. Tetapi kali ini beliau mengulang ayat ini sebanyak dua kali. Kali kedua itu lebih nyaring, kasar dan sebak suaranya dari yang pertama. Lalu beliau mengakhiri ayat sebelum rukuk dengan firman Allah:
أَنْتَ مَوْلَانَا فَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
"Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".
Pada rakaat kedua pula, suaranya berubah menjadi semangat. Beliau membacakan surah al-Hajj bermula ayat 38. Apabila tiba di hujung ayat 40, suaranya semakin ditekan iaitu ayat:
وَلَيَنْصُرَنَّ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ
"sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya; sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa"
Apabila menyambung ayat 41, suaranya makin ditekan tanda semangat. Lafaz Firman Allah itu berbunyi:
الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
"Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan bagi Allah jualah kesudahan segala urusan."
Saya yang berada di belakang beliau juga berubah mood selari apa yang dibaca. Daripada memanjat pengharapan pada Allah di rakaat pertama, kepada membugar semangat untuk menuntut kemenangan di jalanNya.

Sesiapa yang pernah solat di belakang Ayah Chik, pasti akan mendapati hampir setiap ayat yang dipilih untuk dibaca adalah berkenaan dengan jihad. Sesuailah dengan keadaan dirinya yang telah menginfakkan seluruh usiamya di medan jihad.
Memandangkan pagi itu adalah giliran saya menyampaikan tazkirah Subuh, usai solat saya terus naik ke meja kuliah dan memulakan tugasan yang diamanahkan. Hari ini cerita berkenaan seorang sahabat bernama Abu Talhah Zaid bin Ashal al-Ansari.
Membacakan kisah sahabat agung itu, sekali lagi jiwa saya bergetar, mengenangkan pendirian sahabat ini dan sosok Ulama yang sedang memimpin kami kini. Detik ketika usia sahabat itu menjelang tua, beliau masih memiliki semangat bagai anak muda. Ketika Khalifah pada waktu itu iaitu Saidina Uthman merancang sebuah angkatan jihad melalui jalan laut, seperti biasa Abu Talhah terus mempersiapkan kelengkapannya untuk memenuhi perintah tuhan. Beliau tidak pernah terlepas satupun peperangan sejak Badr

Namun anak-anaknya pula keberatan membenarnya bapanya pergi. Sebelum bertolak, mereka berkata kepada ayahnya.

"Wahai Ayah. Bukankah kamu sudah begitu tua? Kamu telah berjuang dari zaman Rasulullah, Abu Bakar dan kemudiannya Umar. Biarlah kamu berehat saja sekarang dan biarlah kami sahaja yang berjuang untukmu"
Mendengar rayuan anaknya itu, Abu Talhah dengan tegas menjawa menjawab:
"Bukankah tuhan telah berfirman:
"انفروا خفافا وثقالا"
(Keluarlah kamu berjuang samada dalam keadaan ringan mahupun berat.)
Tuhan memerintahkan kepada semua untuk keluar berjuang walau apa jua keadaan. Tidak kira muda mahupun tua. Tuhan tidak pernah mengehadkan umur!"

Lalu beliau terus melangkah kaki menuju kapal yang bersedia untuk berlayar.
Namun takdir Allah, beliau jatuh sakit di atas kapal dan mati di sana. Selepas tujuh hari, barulah para sahabat lain menemui sebuah pulau lalu jenazahnya disemadikan di sana.

Ketika menyampaikan kisah ini, hati saya membayangkan sosok yang mengimami solat Subuh tadi. Mungkin beginilah imannya. Beliau sudah berada di jalan perjuangan ini sejak zaman belajarnya lagi. Daripada peringkat cawangan, kepada kawasan, menjadi wakil rakyat, pesuruhjaya negeri seterusnya Menteri Besar, Timbalan Presiden, Presiden sehinggalah dilantik sebagai ulama no.2 di dunia. Pasti sekali beliau ingin perjalanannya ini berterusan hingga akhir hayatnya.

Semoga tuhan sentiasa mengiringi perjalanan mu untuk menuntut janji tuhan. Aku jua akan sentiasa mengiringimu di jalan ini segagah kudrat yang ada, dan akanku tetap teruskannya selepas dikau tiada lagi...

(Alang Ibn Shukrimun)

Tuesday, February 16, 2016

Ziarah Presiden PAS Kurangkan Kesedihan Keluarga Amzad

KUALA TERENGGANU – Ziarah Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi dan isterinya To’ Puan Seri Hajah Zainab Awang mengurangkan kesedihan keluarga Ketua Jabatan Penerangan PAS Pusat, Ahmad Amzad Hashim.
IMG-20160216-WA0041Jumaat lalu, beliau kehilangan isteri tercinta Cikgu Suriati Abidin, 45, dan anak-anaknya kehilangan ibu tersayang.
Ustaz Abdul Hadi meluangkan masanya lebih setengah jam di rumah Amzad sebelum menziarahi kubur allahyarham.
Ketika di tanah perkuburan itu, Ustaz Abdul Hadi dan rombongannya menunaikan solat jenazah allahyarham Cikgu Suriati kira-kira jam 11.15 pagi, hari ini.
Sehubungan itu, Ahmad Amzad turut merakamkan ucapan terima kasih dan terharu dengan kehadiran Dato’ Seri Abdul Hadi dan isteri datang menziarahi ahli keluarganya.

“Terima kasih kepada Ayah Chik (Ustaz Abdul Hadi) dan Chek Ngah (isteri) yang datang menziarahi keluarga kami di rumah. Saya cukup terharu dengan kehadiran beliau dalam kesibukkannya.
IMG-20160216-WA0064“Ketika arwah (Suriati) sedang sakit hingga berita kematiannya, Ayah Chik ada bertanya khabar dan memberi kata-kata baik dan semangat kepada saya. Dato’ Tuan (Timbalan Presiden PAS) pun ada telefon dan ucap takziah, terima kasihlah semua.
“Kehadiran Chek Ngah yang bertanya khabar dengan anak-anak perempuan saya sedikit sebanyak jadi penawar dan pengubat kesedihan mereka yang baharu kehilangan ibunya,” ujarnya.
Hadir sama mengiringi Ustaz Abdul Hadi itu Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, Pengerusi DHPP Terengganu, Dr Bala Chandran GK dan Pengarah MTD Wakaf Mempelam, Razali Abdul Ghani.
Allahyarham Cikgu Suriati menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit kanser Pankreas kira-kira jam 6.05 petang Jumaat di Hospital Selayang, Kuala Lumpur.
IMG-20160216-WA0031Allahyarham seorang guru di Sekolah Menengah Sultan Ahmad Kuala Terengganu, meninggalkan tujuh orang anak yang masih bersekolah di peringkat pra-sekolah, sekolah rendah, menengah dan kolej Universiti.
Jenazah allahyarham dimandi dan diuruskan oleh ahli keluarga terdekatnya dan diimamkan solat jenazah itu oleh suaminya sendiri, Ahmad Amzad di Masjid Lama Kampung Durian Burung.
Selepas itu, jenazah allahyarham Cikgu Suriati dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubang Parit, Durian Burung, Kuala Terengganu sekitar jam 11.00 pagi.

Monday, February 15, 2016

Apa Masalahnya Dr Harun Din Dilantik Kluster Dakwah ?.

Ust. Hj Idris Hj Ahmad
15/2/16
Kenapa kalut sangat apabila tokoh ulama PAS berada di dalam Majlis Perundingan Islam yang dipengerusi oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi? Adakah dijemput atas surat Setiausaha Agung Umno?
Bukan perkara baru Datuk Dr Haron Din menganggotai jawatankuasa kerajaan. Walaupun menjadi calon PAS dan Ahli Majlis Syura beliau pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Perlis. Adakah satu penghinaan, sedangkan yang menjadi Pengerusi Majlis Fatwa Negeri ialah Mufti.
Walaupun beliau pemimpin PAS tetapi beliau lebih dilihat seorang ilmuan agama yang dihormati daripada kawan dan lawan. Beliau seorang yang cukup dihormati juga dalam kalangan istana. Ramai tokoh-tokoh korporat rapat dengan beliau sejak dahulu hingga sekarang. Mungkin ini pendekatan beliau dalam berdakwah, yang pemimpin PAS tidak boleh lakukan.
Pelik juga orang yang menuduh macam-macam kepada beliau, kerana rapat dengan orang atasan. Adakah salah? Adakah beliau tidak berkawan dengan ahli PAS bawahan dan rakyat biasa? Adakah beliau tidak menerima jemputan orang ramai untuk menyampaikan kuliah?
Berapa banyak sumbangan beliau kepada masyarakat awam melalui perubatan syifa'. Adakah salah? Mereka yang fitnah beliau, berapa ramai pula masyarakat bertemu dengan mereka untuk berdoa kepada Allah supaya menyembuh penyakit.
Saya pun pelik mereka marah kepada PAS apabila ada dalam kalangan pemimpin PAS menerima jemputan kerajaan, bukan parti. Ketika Tuan Guru Presiden PAS hadir dalam Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 bercakap benar dan menasihat pemimpin negara, bukan minta projek. Dituduh pula sudah bersama Umno, kerana baju sedondon.
PAS dituduh berfikiran IS dan radikal. Tetapi apabila PAS menyertai program anjuran kerajaan dituduh mengukuhkan Umno.
Kalau Pas ini IS, sudah tentu PAS tidak akan hadir dalam program kerajaan. Bukankah PAS mengambil pendekatan "muwajahah silmiah" untuk menggunakan pelbagai platform untuk menarik sokongan. Ada dalam kalangan ahli PAS bersama NGO, PIBG, persatuan penduduk, AJK masjid, AJK surau, AJK Badan Kebajikan di pejabat kerajaan. Semuanya berperanan, walaupun jawatankuasa tersebut bercampur dengan ahli Umno. Apa yang penting pengaruh dakwah dan fikrah perjuangan dapat disampaikan.
Mana-mana ahli PAS yang berada di mana-mana posisi kena berperanan, syaratnya jangan masuk Umno. Sekolah PAS turut mengambil aliran perdana sebagai silibus pengajian adakah bererti PAS mengukuhkan Umno. Berapa ramai di kalangan orang PAS yang memegang jawatan di dalam peringkat kementerian, turut merangka dasar, adakah mereka boleh dituduh mengukuhkan kepimpinan Datuk Seri Najib. Tentunya tidak.
Mungkin ada yang menjawab, ini analogi yang tidak betul. Yang betulnya apa? Yang betulnya kerana memang aku tidak suka individu di dalam PAS. Buatlah macam mana pun aku tidak setuju. Kalau orang yang aku setuju, hendak bekerjasama dengan Umno dan Tan Sri Muhyiddin pun tidak mengapa kononnya atas alasan Selamatkan Malaysia. Hendak buat konsensus nasional pun tidak mengapa. Kalau pimpinan PAS terus dikatakan PAS sudah hendak berUG. Ini masalah hati, bukan masalah politik.

Sunday, February 14, 2016

Kuliah Dhuha Masjid Rusila Setiap minggu sejak tahun 1976

Tuan Guru Abdul Hadi Awang diberi pendidikan awal daripada ayahnya sendiri pada tahun 1955[10] kemudian, beliau mendapat pendidikan secara formal di Sekolah Kebangsaan Rusila, tidak berapa jauh dari rumahnya. Beliau kemudian menyambung pendidikan peringkat menengah di Sekolah Agama Marang, sebelum mengambil Sanawi di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.
Dari tahun 1965 hingga 1968 beliau mendapat peluang melanjutkan pengajian peringkat Sanawi di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.
Di samping itu, beliau belajar agama, bahasa Arab serta politik dari ayah sendiri iaitu Tuan Guru Haji Awang Muhamad bin Abdul Rahman.
Beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah untuk peringkat Ijazah Sarjana Muda Syariah dari tahun , di bawah pembiayaan Kerajaan Arab Saudi dengan sokongan daripada Naib Presiden Universiti Islam Madinah ketika itu, Sheikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz.
Setelah kira-kira empat tahun berada di Semenanjung Arab (1969-1973), beliau berjaya mendapat ijazah pertamanya dalam bidang Syariah Islam. Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah Sarjana di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir, dalam jurusan Siyasah Syar’iyyah (Sains Politik) dari tahun 1974-1976.

Tidak berapa lama selepas menamatkan pelajarannya dan kembali ke tanah air, pada tahun 1976, bapanya yang dikasihi telah pulang ke rahmatullah. Maka tinggallah Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk menyambung tugas suci dan mulia yang telah ditinggalkan oleh ayahnya. Tugas menjadi imam dan memberi kuliah di setiap pagi Jumaat mesti diteruskan oleh beliau.
Pada mula-mula beliau menjalankan pengajian itu, hanya kira-kira 200 orang sahaja yang hadir setiap minggu. Tetapi apabila semakin ramai yang mengetahui ‘anak Allahyarham Haji Awang telah pulang dari Mesir’, maka minggu ke minggu bilangan jemaah di Masjid Rusila semakin meningkat. Semua yang hadir semakin tertarik dengan ketokohan seorang anak muda yang padat dengan ilmu, fasih pula membaca ayat-ayat al-Quran dan Hadith.
Namanya pun mulai dikenali ramai. Panggilan ‘Tuan Guru Haji Abdul Hadi’ mula menjadi popular di kalangan pengikut-pengikutnya dan para hadirin jemaah di Masjid Rusila. Manakala di kalangan murid-murid dan penyokong-penyokong yang rapat dengannya, dia lebih mesra pula dipanggil dengan panggilan ‘Ayah Cik’





===================================
IKLANKAN PRODUK ANDA

IKLAN BERBAYAR - SMS [ IKLAN] WHATSAAP : 013 929 9944

PAS bakal jadi parti alternatif orang Melayu

Ulasan Datuk Ibrahim Ali

Mursyidul Am PAS,Tuan Guru Datuk Harun Din telah dilantik menjadi Pengerusi Kluster Dakwah di bawah Majlis Perunding Islam (MPI) tajaan kerajaan dan secara tidak langsung berada dalam kelolaan Yayasan Dakwah.

Ia akan menjadi modal tambahan kempen oleh Umno kepada rakyat dan seterusnya boleh mendakwa "tengok betapa prihatin dan hebat nya Umno untuk menaikkan syiar Islam".

Manakala bagi Datuk Husam Musa bekas Naib Presiden PAS yang kalah teruk pula menyatakan dengan begitu kuat bahawa perlantikan Datuk Harun Din adalah "Satu penghinaan yang dasyat kepada PAS" kerana ia secara tidak langsung menjadikan PAS sebagai alat di bawah kerajaan PM Najib Razak yang kini dikritik hebat oleh berbagai pihak mengenai isu 1MDB dan RM2.6 bilion.

Ini pandangan Datuk Husam Musa yang semenangnya masih lagi marah kepada PAS kerana ditolak sebagai Naib Presiden PAS dengan undi yang rendah pula serta kehilangan cita-cita untuk menjawat jawatan TMB atau MB.

Kekecewaannya dapat kita kongsi bersama. Pendek kata tiada apa yang betul lagi mengenai perjuangan PAS termasuk semasa beliau menjadi Exco Kerajaan Kelantan dan Naib Presiden PAS. Dahulu saya diserang apabila menegur kerajaan Kelantan mengenai isu balak, tanah dan lain-lain.

Apakah ada kena mengena perlantikan Datuk Harun Din dengan kepimpinan PM Najib Razak? Pada saya tidak ada kena mengena langsung. Masalah PM Najib Razak dan kerajaan kepimpinannya yang dikritik hebat oleh rakyat adalah satu hal yang berlainan.

Sebagai ulamak dan seorang Da'i, adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk berdakwah dan memberi sumbangan fikiran dan peranan untuk kebaikan Islam.

Inilah amalan yang dikatakan Islam dan politik tidak boleh dipisahkan. Apakah DAP atau Anwar bersih 100 peratus yang menyebabkan Datuk Husam Musa menyokong dan bersekongkol serta berceramah atas satu pentas.

Kemenangan moral buat PAS

Saya belum pernah lihat lagi Datuk Harun Din berceramah membela PM Datuk Seri Najib Razak mengenai isu 1MDB dan RM2.6 bilion. Anwar sudah dihukum bersalah oleh mahkamah tapi Datuk Husam Musa membela Anwar dengan lantang.

Alasannya Anwar dizalimi. Itu kata Datuk Husam Musa. Cuma saya percaya Datuk Harun Din mempunyai sifat dan keperibadian yang tidak double standard atau hipokrit. Seorang ulamak sememangnya tenang dan istiqamah.

Pada saya perlantikan Datuk Harun Din walaupun kecil dan bukan bertaraf Menteri adalah satu kemenangan moral yang besar pada PAS dan bukan setakat satu penghormatan pada PAS seperti kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Mat, Timbalan Presiden PAS.

Kini Umno tidak boleh lagi memperlekehkan PAS. Sekarang ini pun kedengaran ada yang mahu Umno berganding bahu dengan PAS atas berbagai alasan. Yang mudah dijual ialah perpaduan ummah demi kekuatan Melayu dan Islam.

Apa pun yang jelas Umno yang sedang sakit amat memerkukan PAS. Inilah hakikatnya. PAS pula jika tunjuk mahal atau bersikap jumud tentu tidak dilihat parti yang benar-benar berpegang kepada ajaran Islam. PAS telah sedar apabila berpisah dengan DAP. PAS akhirnya tidak menjual prinsip perjuangan Islamnya seperti mempertahankan hukum hudud yang diperjuangkan PAS berpuluh tahun lamanya. Berjaya atau tidak soal lain. Tapi tetap tegas dengan prinsipnya.

Jangan berkawan dengan pencuri

Pada PRU12 2008 saya bertanding atas simbol PAS. PAS bermurah hati memberi laluan pada saya. Saya amat berterima kasih. Tapi saya berpisah kerana PAS selepas itu kerana tahaluf siyasinya dilihat hanyalah untuk menjadi kuda tunggangan DAP dan Anwar. Saya kritik dan akhir berpisah. Pendirian saya akhirnya betul. Sekarang PAS berpisah dengan DAP dan saya amatlah gembira.

PAS mestilah menunjukan sikap proaktif dengan sesama Islam. Soal ada pihak salah, tidak betul atau tidak serius dengan Islam, itu soal lain. Orang beriman jika berada di mana sahaja atau di gelangang maksiat atau minum atau makan semeja dengan puak rasuah, jika orang beriman berkenaan tidak ikut lakukan perkara buruk yang sama, malah menegur dan menasihat orang yang bersifat buruk meninggalkan perbuatan buruk, maka inilah tindakan dan peranan yg betul. Jangan berkawan dengan pencuri dan akhirnya turut menjadi pencuri.

Rumusan saya, dengan berpisahnya PAS dan DAP, mengambilkira keresahan umat melayu Islam terkini dengan berbagai isu, jika PAS berhemah dalam perjuangan politiknya, saya yakin PAS akan menjadi parti alternatif yang akan mendapat sokongan majoriti umat Melayu Islam dalam PRU ke 14 nanti. Atau jika ada lain-lain alternatif, sama-sama kita tunggu dan lihat.

Datuk Ibrahim Ali adalah Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) dan bekas ahli Parlimen Pasir MAS.
===================================
IKLANKAN PRODUK ANDA

IKLAN BERBAYAR - SMS [ IKLAN] WHATSAAP : 019 910 5222 / 013 929 9944

Saturday, February 6, 2016

Krisis MB Kedah..., Apa yang anda faham dari tajuk-tajuk berita ini?

1. Keputusan harus di lakukan secara konsensus- Pakatan Harapan.
2. ADUN DAP Pertahan Sikap Berkecuali dalam isu MB Kedah.
3. PKR Sokong Pentadbiran Mukhriz Sebagai MB.
4. DAP dan PAN di Kedah Tidak Percayakan Mukhriz.
Nampak tak? Anda faham?




Iklan Berbayar - SMS 013 929 9944 ( RM50.00 Sebulan )

-
-