KUALA TERENGGANU – Ziarah Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi dan isterinya To’ Puan Seri Hajah Zainab Awang mengurangkan kesedihan keluarga Ketua Jabatan Penerangan PAS Pusat, Ahmad Amzad Hashim.

Ustaz Abdul Hadi meluangkan masanya lebih setengah jam di rumah Amzad sebelum menziarahi kubur allahyarham.
Ketika di tanah perkuburan itu, Ustaz Abdul Hadi dan rombongannya menunaikan solat jenazah allahyarham Cikgu Suriati kira-kira jam 11.15 pagi, hari ini.
Sehubungan itu, Ahmad Amzad turut merakamkan ucapan terima kasih dan terharu dengan kehadiran Dato’ Seri Abdul Hadi dan isteri datang menziarahi ahli keluarganya.
“Terima kasih kepada Ayah Chik (Ustaz Abdul Hadi) dan Chek Ngah (isteri) yang datang menziarahi keluarga kami di rumah. Saya cukup terharu dengan kehadiran beliau dalam kesibukkannya.

“Kehadiran Chek Ngah yang bertanya khabar dengan anak-anak perempuan saya sedikit sebanyak jadi penawar dan pengubat kesedihan mereka yang baharu kehilangan ibunya,” ujarnya.
Hadir sama mengiringi Ustaz Abdul Hadi itu Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, Pengerusi DHPP Terengganu, Dr Bala Chandran GK dan Pengarah MTD Wakaf Mempelam, Razali Abdul Ghani.
Allahyarham Cikgu Suriati menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit kanser Pankreas kira-kira jam 6.05 petang Jumaat di Hospital Selayang, Kuala Lumpur.

Jenazah allahyarham dimandi dan diuruskan oleh ahli keluarga terdekatnya dan diimamkan solat jenazah itu oleh suaminya sendiri, Ahmad Amzad di Masjid Lama Kampung Durian Burung.
Selepas itu, jenazah allahyarham Cikgu Suriati dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubang Parit, Durian Burung, Kuala Terengganu sekitar jam 11.00 pagi.
No comments:
Post a Comment