Ads 468x60px

-

Saturday, May 20, 2017

PAS Terengganu sedia memimpin kerajaan negeri

PESURUHJAYA PAS Terengganu, Datuk Husain Awang berkata, jawatan adalah amanah yang dipikul dan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah.
"Saya yang ambil alih (sesi 2017-2019) dalam keadaan PAS kukuh, kuat dan bersedia untuk memimpin kerajaan negeri selepas Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) nanti," ujarnya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Harap-PGU 3.6 di Batu 24, Kuala Berang, hari ini. Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat seluruh Terengganu khususnya di Hulu Terengganu supaya membuat perubahan pada PRU14 nanti.
"Marilah kita bersama-sama dengan beralih kepada PAS demi untuk membina sebuah kerajaan dan pemerintahan Islam yang terlaksana di dalamnya syariat dan nilai-nilai Islam sebagaimana yang terdapat dalam perlembagaan PAS," ujarnya.
Tambahnya, PAS berjanji akan memerintah, mengurus dan mentadbir kerajaan dengan cara yang dianjur dan diajar oleh agama Allah SWT.
Katanya, perkara itui telah terbukti apabila PAS berjaya memerintah negeri itu pada PRU 1999 lalu.
"Perkara ini telah terbukti, PAS telah membuktikan keupayaannya pada pilihan raya tahun 1999, PAS telah menjadi kerajaan dan berjaya meminda undang-undang tubuh kerajaan Terengganu sehingga menjadikan Islam, al-Quran dan al-Hadis, ijmak ulama dan qias menjadi tonggak dan rujukan utama kepada kerajaan dan pemerintahan negeri yang tidak dibuat oleh mana-mana negeri di bawah Umno BN," ujarnya. - HARAKAHDAILY 20/5/2017

Sinar Ramadhan 1438 H kini Kembali lagi..

Sinar Ramadhan 1438 H kini Kembali lagi.. Sumbangan anda diperlukan.. Ayuh ! jangan lepaskan peluang keemasan ini..



#LikeKomenShare
#SinarRamadhan1438H
#MaraMenujuCita
#SejahteraBersamaIslam
#SumbanganKebajikan
 

BELASUNGKAWA BUAT TEMANKU PROF. DR KHAZANI ABDULLAH: PERMATA JAMAAH DIHATI KAMI

Dr Khazani Abdullah dilahirkan di Terengganu pada tahun 1968. Beliau merupakan antara anak Melayu yang mendapat pendidikan Sarjana Muda dan Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dari University of Missouri, Rolla USA pada tahun 1991 sehingga 1993. 



Kecemerlangan beliau dalam bidang akademik sejak zaman persekolahan beliau di Terengganu ini disempurnakan dengan beliau menamatkan Ijazah PhD di Universiti Malaya pada tahun 1999. Dr Khazani Abdullah yang merupakan aktivis PAS semenjak zaman belajar, merupakan seorang pakar dalam bidang Fiber Optic, di mana beliau telah dianugerahkan sebagai Saintis Muda Negara pada tahun 2001 dengan pelbagai sumbangan beliau dalam bidang Fiber Optic.

Beliau telah memenangi banyak anugerah di peringkat antarabangsa kerana kecemerlangan dan kesungguhan beliau dalam bidang ini. Beliau terlibat dalam pelbagai penerbitan jurnal antarabangsa dalam bidang beliau, di mana tokoh ini juga Professor Adjunct di UNITEN, dan beliau juga telah menyelenggarakan pelbagai tesis kesarjanaan dan juga di peringkat PhD.

Semasa zaman remaja, almarhum mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman pada tahun 1981 sehingga tahun 1983. Sebuah sekolah tersohor dan elit yang ditubuhkan di zaman British pada tahun 1925 yang melahirkan ramai tokoh-tokoh berjasa kepada negara termasuk Yang DiPertuan Agong sebelum ini, Raja Mizan. Di sekolah ternama ini, Khazani yang berasal daripada kampong Kuala Ibai lebih merupakan "ulat buku" berbanding reputasi dalam bidang sukan atau aktiviti pasukan beruniform yang lain.

Menurut YB Ustaz Afiffin Deraman (ADUN Alor Limbat yang memperolehi ijazah dalam bidang konvensional dan agama), Dr Khazani telah menjadi pelajar terbaik SMSS dalam peperiksaan awam SRP pada tahun 1983. Beliau akhirnya telah menyambung pelajaran menengahnya di MRSM Kuantan sehingga berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan SPM pada tahun 1985. Peminat gerakan Islam semenjak remaja ini akhirnya bermukim ilmu ke negara "Uncle Sam", terdedah dengan lebih luas di medan amal Islami.

Beliau antara tenaga pemikir dalam jamaah PAS, bersama-sama dengan Prof.Madya Dr Shamsuri Mokhtar, pakar aero angkasa Malaysia,Prof Dr Khazani menjadi "inner circle" Tuan Guru Haji Abdul Hadi semenjak tahun 2003. Dengan kejatuhan kerajaan PAS Terengganu pada tahun 2004, beliau lebih serius membantu Tuan Guru Presiden membangunkan kembali kekuatan PAS, terutama di Terengganu.

Almarhum terlibat dengan NGO Perantau Terengganu dan jawatan terakhir beliau ialah Timbalan Presiden Perantau Terengganu. Khazani antara pengasas NGO Ilmuan, sebuah wadah yang menghimpunkan para cendekia yang mempunyai fikrah Islam dan bernuansa dakwah. Di peringkat kepimpinan PAS Pusat, beliau dilantik sebagai AJK PAS Pusat untuk sesi 2015-2017 dan menjadi pemikir utama untuk pengenalan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS). Satu usaha besar PAS mendekati pelbagai strata sosial masyarakat, di mana idea Tuan Guru Presiden ini diterjemahkan di atas kertas oleh Dr Khazani.

Kejayaan beliau juga dengan menjadi pemikir utama dalam PAS di bilik strategik, ISP. Badan pemikir PAS ini juga merangka WINS (Wawasan Induk Negara Sejahtera) serta melakar "road map" PAS ke arah kejayaan PRU ke-14. Saya sebagaimana ahli-ahli PAS dan pimpinan yang lain, akan terus mengenang Dr Khazani sebagai sosok yang serius dengan kerja buat di medan amal Islami, hadir dalam mesyuarat PAS Pusat dan Lujnah Politik Pusat dengan idea-idea serta pembentangan fakta yang bertunjangkan kajian.

Dr Khazani sentiasa bersalut aura positif, tidak lokek masa dan harta untuk perjuangan Islam. Beliau juga pengasas kepada SRITI Bangi, sebuah institusi pendidikan yang kini mula menjadi fenomena baru kepada ibubapa dan pelajar. 

Ilmuan Islam ini akan kekal terpahat dihati kami, abnaul harakah, menjadi pencetus kebangkitan PAS pasca krisis 2015 dengan BPMS. Saya melihat kembali whatsapp peribadi antara saya dengan Khazani, kata-kata motivasinya, pesan-pesan penghargaannya dan akhirnya hati menjadi basah. 

Seorang teman yang menghargai persahabatan dan sentiasa bertanya apakah lagi ruang untuk menyumbang kepada perjuangan Islam. Damailah di sana wahai sang pejuang dan kami juga akan menyusurimu di alam sana. Alfatihah!

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi Lujnah Kesenian dan Kebudayaan PAS Pusat)

Friday, May 19, 2017

‘Ameerah Care’ Rancakkan Khidmat PAS Membantu Masyarakat

HULU TERENGGANU – Kemunculan ‘Ameerah Care’, yang merupakan satu lagi cabang dari NGO dibawah naungan Dewan Muslimat, bakal merancakkan suasana kebajikan dan perkhidmatan yang diberikan PAS kepada masyarakat.

Menurut Ketua NGO tersebut bagi negeri Terengganu, Ameerah Care yang sebaris dengan Briged dan Nisa’ di bawah naungan Dewan Muslimat PAS, bakal merancakkan lagi
Justeru itu, Puan Khairunnajjah Mohd mengajak anak-anak muda wanita yang berusia bawah 40 tahun dapat bersama dengan Ameerah Care.

Ini penting, katanya bagi menyelami hidup bermasyarakat yang ‘cakna’ terhadap golongan miskin, ibu tunggal serta remaja bermasalah.
“Objektif penubuhan Ameerah Care sebenarnya ingin mengajak anak muda wanita berusia 40 tahun ke bawah untuk turun bersama hidup bermasyarakat, ingin melihat realiti hidup bermasyarakat terutamanya keadaan ibu tunggal, masalah sosial di kalangan remaja.
“Inilah kerja-kerja Ameerah Care sama ada kerja kebajikan atau membantu menyelesaikan masalah mereka,” ujarnya dalam satu temubual Harap TV, sempena Himpuan Harapan Semua-PAS Ganti Umno (Harap-PGU) 3.6 di Kuala Berang, Hulu Terengganu, hari ini.
Menjawab persoalan mengenai wanita muda yang tidak cakna, beliau menjelaskan tidak sepatutnya berlaku sedemikian.
Menurut beliau, pemimpin masyarakat sepatutnya turun ‘padang’ bagi melihat realiti masyarakat terutama golongan ibu tunggal, fakir miskin, remaja bermasalah dan sebagainya.
“Sepatutnya situasi yang berlaku di kalangan wanita muda yang tidak mengambil cakna, yang tidak mengambil tahu tidak sepatutnya berlaku.
“Ini kerana, kita (masyarakat) sepatutnya kena mengambil tahu turun padang untuk melihat apa yang terjadi kepada golongan ibu tunggal, fakir miskin, anak-anak muda kita, remaja kita dan golongan wanita dengan pelbagai masalah lagi.
“Saya menyerulah kepada anak-anak muda untuk bersama dengan Ameerah Care,” ujarnya.
Katanya, Ameerah wujud disemua peringkat pusat, negeri, kawasan, Dun (Dewan Undangan Negeri) dan cawangan.
Maknanya, kata beliau apabila terlibat dengan Ameerah secara automatik berpeluang untuk berkhidmat dengan Ameerah Care.

Monday, May 15, 2017

Kepimpinan PAS Terengganu Dari Kalangan Ulama, Profesional Dan Orang Muda

KUALA NERUS – PAS Terengganu membariskan pemimpin dari kalangan ulama, professional dan orang muda, menganggotai Ahli Jawatankasa PAS negeri Terengganu bagi sesi 2017 – 2019.

Pesuruhjayanya Dato’ Ustaz Husain Awang bersyukur kerana beliau telah dilantik mengambil alih kepimpinan PAS Terengganu dalam organisasi yang kukuh.
“PAS Terengganu berjaya membentuk dan melantik Jawatankuasa PAS Terengganu terdiri dari kalangan ulama, professional dan tenaga-tenaga muda bagi memacu,
“dalam keadaan yang kukuh dan kuat bagi melaksanakan amanah sebagaimana legasi yang ditinggalkan oleh Pesuruhjaya yang lalu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Kali Pertama, diKompleks Tarbiyah At-Taqwa, di sini hari ini.
Menurutnya antara muka-muka baru yang dilantik adalah Haji Mohd Zabidi Yusof, Haji Ahmad Amzad Hashim, Ustaz Haji Azman Shapawi Bin Abd Rani dan Raja Endun Binti Raja Abd Rahman.
Berikut adalah senarai penuh Ahli Jawatankuasa tersebut;
1. Pesuruhjaya YBHG DATO’ USTAZ HAJI HUSAIN BIN AWANG
2. Timbalan Pesuruhjaya I YB USTAZ HAJI SATIFUL BAHRI BIN MAMAT
3. Timbalan Pesuruhjaya II YB DR HAJI ALIAS BIN RAZAK
4. Timbalan Pesuruhjaya III HAJI YAHAYA BIN ALI
5. Setiausaha HAJI MUHYIDIN BIN ABDUL RASHID
6. Penolong Setiausaha I USTAZ WAN SUKAIRI BIN WAN ABDULLAH
7. Penolong Setiausaha II YB HAJI HANAFIAH BIN MAT
8. Penolong Setiausaha III USTAZ SHAHARIZUKIRNAIN BIN ABD KADIR
9. Bendahari CIKGU M. SHUKRIMUN BIN SHAMSUDIN
10. Ketua Penerangan YB USTAZ MOHD NOR BIN HAMZAH
11. Pengarah Pilihan Raya YBUSTAZ ARIFFIN BIN DERAMAN
12. Ahli Jawatankuasa [1] YBHG DATO’ DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI BIN SALLEH
13. Ahli Jawatankuasa [2] DR AZMAN BIN IBRAHIM
14. Ahli Jawatankuasa [3] HAJI MOHD ZABIDI BIN YUSOF
15. Ahli Jawatankuasa [4] SDRA MOHAMAD YASIN BIN MUDA
16. Ahli Jawatankuasa [5] HAJI AHMAD AMZAD BIN HASHIM
17. Ahli Jawatankuasa [6] USTAZ HAJI AZMAN SHAPAWI BIN ABD RANI
18. Ahli Jawatankuasa [7] YM RAJA ENDUN BINTI RAJA ABD RAHMAN

Friday, April 22, 2016

Mengenali Dr Zakir Abdul Karim Naik

TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | .



Lawatan tokoh dakwah daripada India, Dr Zakir Abdul Karim Naik yang termasyhur namanya kerana kepakarannya dalam bidang perbandingan agama menjadi polemik di antara kawan dan lawan. Walaupun asal pengajiannya bidang perubatan, inilah anugerah Allah kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan kelebihan menolong agamaNya (Islam) yang berbeza dengan agama-agama dan ideologi lain, sama ada yang berasal daripada agama samawi (Yahudi dan Kristian) atau tidak samawi iaitu agama-agama lain seperti Hindu, Buddha, Majusi dan lain-lain atau perbandingan di antara Islam dan ideologi ciptaan manusia dalam urusan cara hidup.

Ada kalangan yang mempertikaikan kedatangannya semata-mata, sebelum mendengar dan membaca hujahnya. Ada pula yang memprotes secara keras, ancaman dan menggunakan bahasa yang kesat. Sepatutnya menggunakan kaedah ilmu dan fikiran yang waras dan adil. Sepatutnya juga seseorang itu jangan dilihat nama dan rupa bangsa dan agamanya sahaja, bahkan hendaklah dilihat buah fikirannya melalui lisan, tulisan dan akhlaknya. Orang yang beriman pula diminta supaya menerima setiap kebijaksanaan laksana barang tercicir yang wajib dipungut walau daripada mana datangnya.

Paling menghairankan beliau bergerak bebas di negara barat yang paling kuat Kristiannya dan dibenarkan berceramah dan berdialog di India, tanah tumpah darah agama Hindu dan paling kuat Hindunya serta paling ramai penganutnya. Adakah boleh dikatakan Kristian dan Hindu di Malaysia ini paling kuat di dunia ini lebih daripada negara barat dan India?

Jawapannya tidak sekali-kali, kerana agama Islam telah berjaya mengislamkan orang-orang Melayu, raja dan rakyat, yang sebelumnya beragama Hindu. Kaum beragama lain yang ada di sini pada hari ini, adalah pendatang yang dibawa oleh penjajah Inggeris, namun mereka tetap diterima oleh masyarakat Islam menjadi warganegara dalam masyarakat majmuk.

Pendakyah Kristian yang datang daripada barat dan mereka yang dilatih oleh pihak gereja juga gagal memurtadkan orang Melayu yang telah Islam, hanya segelintir yang tidak cukup untuk dimasukkan dalam nisbah perkiraan penduduk mengikut pecahan agama, itupun yang terpencil dengan buta huruf, kemiskinan dan lain-lain.

Kaum Melayu yang beragama Islam tetap berpegang dengan ajaran Islamnya, walaupun secara semangatnya sahaja tanpa ilmu. Namun semangat Islam juga menerima kewujudan masyarakat majmuk, yang tetap hidup dalam masyarakat Melayu Islam di atas konsep masyarakat Madani dan seluruh manusia laksana satu keluarga. Inilah yang ditunjukkan oleh Al-Quran, sehingga seorang atau satu keluarga penganut agama lain termasuk  kaum India beragama Hindu atau China beragama Buddha boleh hidup tanpa gangguan di kampung Melayu daripada semua Melayu penganut Islam di sekelilingnya, hanya pergeseran yang sangat  terpencil. Keadaannya tidak seperti kumpulan minoriti Muslim di kebanyakan negara bukan Islam, yang terdekat dan paling malang ialah kaum Muslimin Rohingya di Myanmar, sebelumnya di Bosnia dan negara-negara lain.

Sesiapa yang mengikuti ceramah Dr Zakir Naik dan dialognya secara jujur dan berfikir secara waras dan ilmu tanpa fanatik dan emosi akan mendapati beliau menyampaikan maklumatnya berkenaan berbagai-bagai agama secara perbandingan dengan hujah daripada kitab berbagai-bagai agama dengan menyebut nombor ayat dan bilangannya. Menyebut titik persamaan dari segi percaya kepada Allah atau Tuhan, yang pada hakikatnya Maha Esa dengan bahasa masing-masing. Dalam masa yang sama mendedahkan perkara yang salah dari segi ketuhanan sehingga berlakunya syirik dalam agama lain. Begitu juga dalam perkara baik dan buruk mengikut fitrah yang bersih sebelum diganggu oleh sebab-sebab sampingan yang mendatang dan merosakkan.

Sebenarnya pendekatan berhujah adalah cara yang dilaksanakan oleh semua para Rasul yang berakhir dengan Nabi Muhammad SAW yang disebut secara dasar dalam semua kitab agama yang asal sebelum dipinda dan dicipta kitab-kitab yang lain oleh kalangan agamawan berbagai-bagai agama. Inilah mesej yang didedahkan dan ditegaskan oleh Al-Quran.

قلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ وَلَا نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ (آل عمران  :64)
“Katakanlah (wahai Muhammad SAW), wahai ahli Kitab! Marilah kepada satu kalimah yang sama di antara kami dan kamu. Bahawa kita tidak boleh beribadat melainkan kepada Allah sahaja dan tidak boleh menyekutukanNya (Allah dari segi ketuhanan) dengan sesuatu yang lain, dan tidak boleh mengambil sesama kita dilantik menjadi tuhan-tuhan selain Allah. Jika sekiranya mereka berpaling, maka katakanlah: “Sebenarnya kami adalah orang-orang Islam”.

Firman Allah:

يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لِمَ تُحَاجُّونَ فِي إِبْرَاهِيمَ وَمَا أُنْزِلَتِ التَّوْرَاةُ وَالْإِنْجِيلُ إِلَّا مِنْ بَعْدِهِ أَفَلَا تَعْقِلُونَ (65) هَا أَنْتُمْ هَؤُلَاءِ حَاجَجْتُمْ فِيمَا لَكُمْ بِهِ عِلْمٌ فَلِمَ تُحَاجُّونَ فِيمَا لَيْسَ لَكُمْ بِهِ عِلْمٌ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ (66) مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا وَلَكِنْ كَانَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ (67) .آل عمران.

“Wahai ahli Kitab! Mengapa kamu berhujah berkenaan Ibrahim? Padahal tidaklah diturunkan kitab Taurat dan Injil melainkan selepasnya. Adakah kamu tidak berakal? Adakah kamu berhujah dalam perkara yang kamu tidak ada ilmu pengetahuan berkenaannya? Padahal Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak ada ilmu berkenaannya. Ibrahim bukannya seorang Yahudi dan bukan juga seorang Nasrani (Kristian). Sebenarnya dia (Ibrahim) adalah penganut agama asal iaitu Islam (Muslim). Dan dia (Ibrahim) juga bukannya daripada kalangan Musyrikin.”

Ayat-ayat ini menjelaskan kepada semua penganut agama-agama yang memuliakan Nabi Ibrahim a.s. mengikut kepercayaan mereka, menunjukkan adanya asas persamaan. Ada yang percaya adalah Rasul Allah dan bapa kepada para rasul dan ada pula yang melantik Ibrahim menjadi tuhan yang dipuja.

Maka apa salahnya Dr Zakir Naik mengemukakan hujah perbandingan daripada kitab berbagai-bagai agama yang boleh dirujuk pada naskhah asalnya serta menegaskan apa yang disebut di dalam Al-Quran supaya semua pihak berfikir secara waras dan jujur, jangan fanatik tanpa perhitungan akal.

Saya ucapkan syabas kepada Dr Zakir Naik kerana inilah pendekatan semua para Rasul A.S. yang menghadapi kelahiran agama yang dicipta oleh manusia sejak Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa sehingga berakhirnya dengan Nabi Muhammad SAW tanpa paksaan terhadap penganut agama lain berkonsepkan firman Allah:

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى لَا انْفِصَامَ لَهَا وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ (256)   البقرة.

“Tidak ada paksaan dalam agama, sesungguhnya telah nyatalah petunjuk yang sebenar yang berbeza dengan kesesatan. Maka sesiapa yang beriman kepada Allah dan kufur (menolak) sesiapa yang melampaui batas kebenaran, sesungguhnya dia telah berpegang teguh dengan (kebenaran) laksana simpulan tali yang teguh yang tidak dapat dirungkai lagi dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Firman Allah:
وَقُلِ الْحَقُّ مِنْ رَبِّكُمْ فَمَنْ شَاءَ فَلْيُؤْمِنْ وَمَنْ شَاءَ فَلْيَكْفُرْ  الآية (29)الكهف.
“Katalah yang benar daripada Tuhan kamu. Sesiapa yang mahu dia beriman dan sesiapa yang mahu (sebaliknya) dia bebas menjadi kafir.”

Al-Quran juga menegaskan pendekatan dialog:

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ (125) النحل.

“Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan nasihat yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik. Sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui terhadap sesiapa yang sesat daripada jalannya dan lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk."

Allah membuka peluang berfikir menentukan kepercayaan dan amalannya dan bertaubat hanya di alam dunia, pintunya ditutup apabila memasuki alam kematian dan akhirat.

Kesempatan pertemuan saya bersama Dr Zakir Naik dengan perbincangan ilmu yang bermanfaat. Saya menyaksikan kebenaran firman Allah:

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ (69)العنكبوت.

“Bahawa sesiapa yang bersungguh-sungguh di jalan Kami, nescaya kami tunjukkan kepadanya jalan-jalan Kami dan Allah sentiasa bersama-sama orang-orang yang melakukan kebaikan."

Allah mengurniakan kepadanya ingatan luar biasa menghadapi pihak yang lain daripada Islam mengajak kepada yang baik dan terbaik, bukannya seperti syaitan yang mengajak kepada kemungkaran dan maksiat dan mencegah segala kebaikan. Begitu juga sesiapa yang beramal dan berjuang dengan ilmu yang dikurniakan oleh Allah kepadanya, nescaya Allah menambahkan ilmunya dengan cara yang tidak terkira dan luar biasa.

Sejarah para Rasul di sepanjang zaman menunjukkan orang yang terbaik yang disaksikan oleh kaumnya sendiri akan sifat kebenarannya, apabila tidak ada hujah terhadapnya dituduh syaitan, penjahat, ahli sihir dan lain-lain. Maka pengikut para rasul disepanjang zaman pasti menerima iktibar daripadanya.

Doakan Dr Zakir Naik meneruskan mesej dakwah ini, bersama kurniaan Allah, kesihatan bersama taqwa dan dipanjangkan usia dengan amal yang soleh. Amin.

“BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
14 Rejab 1437 / 22 April 2016 - HARAKAHDAILY 22/4/2016

Friday, April 1, 2016

Sokonglah PAS kerana dasarnya

HUZIR SULAIMAN | 2016-04-01

SAYA hormati hak Syed Saddiq dan keluarga beliau untuk tidak lagi mengundi PAS. Malah saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh keluarga beliau khususnya Syed Saddiq kerana pernah mengundi PAS suatu ketika dahulu.

Untuk makluman Syed Saddiq, PAS tidak pernah lari daripada dasar serta prinsip perjuangan Islamnya semenjak ia ditubuhkan lebih 60 tahun yang lalu. Kerana sikap ini, majoriti perwakilan PAS menolak hala tuju serta kaedah pemimpin G18 yang sebahagiannya dilihat menyanggahi dasar serta prinsip itu.

Mana mungkin Tuan Guru Presiden PAS yang disebut Syed Saddiq 'sudah lari' daripada perjuangan sebenar PAS masih terus dipilih majoriti perwakilan PAS di Muktamar yang lalu.

Syed Saddiq
Mana mungkin majoriti perwakilan PAS juga dianggap 'sudah lari' daripada perjuangan sebenar PAS kerana terus menerus memilih Tuan Guru Presiden PAS untuk memimpin 1.4 juta ahlinya semenjak 14 tahun yang lalu selepas 13 tahun dipilih perwakilan sebagai Timbalan Presiden parti.

Malah Tuan Guru Presiden PAS masih memimpin PAS ketika pemimpin G18 menguasai majoriti daripada barisan kepimpinan PAS Pusat pada sesi yang lalu.

Perwakilan PAS tidak pernah memilih barisan kepimpinan kerana susuk tubuh badan seseorang atau kerana popularitinya. Malah saya berharap Syed Saddiq dan keluarga beliau tidak memilih PAS kerana sebab itu.

Pilihlah PAS kerana sikap PAS yang konsisten dengan dasar perjuangan Islamnya dalam menegakkan keadilan yang menyeluruh kepada seluruh lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Kerana inilah kriteria pemilihan dan sokongan yang kita harapkan dari semua khususnya dari Syed Saddiq dan keluarganya.

Walau apapun, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Syed Saddiq kerana dipilih sebagai Pendebat Terbaik Asia. Sudah pasti kejayaan ini satu kebanggaan kepada seluruh anak muda di negara ini.

Mudah-mudahan Syed Saddiq dapat dipilih pula oleh Allah sebagai mukminin yang terbaik di akhirat nanti kerana itulah yang lebih baik dan lebih kekal abadi.

Jadilah anak muda sehebat junjungan Baginda SAW dan para sahabat ketika usia muda mereka. Iringan doa dari saya buat seorang anak muda seperti Syed Saddiq agar suatu hari nanti dibuka pintu hatinya untuk seiring berjuang di samping ratusan ribu anak muda yang kini sudah bersama PAS. – HARAKAHDAILY 1/4/2016

Thursday, March 31, 2016

Islam Gaya UMNO : ‘Majlis Fatwa Kebangsaan’ tak wujud, tiada kuasa perundangan

Asyraf Wajdi: ‘Majlis Fatwa Kebangsaan’ tak wujud, tiada kuasa perundangan



Datuk Dr Aysraf Wajdi Dusuki (kanan) mendengar penjelasan daripada Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. — Foto ehsan Facebook/Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 31 Mac — Timbalan menteri Datuk Dr Aysraf Wajdi Dusuki menjelaskan bahawa tiada istilah “Majlis Fatwa Kebangsaan”.

Yang wujud cumalah Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam, katanya.

Namun begitu, sebarang fatwa yang dikeluarkan oleh muzakarah atau persidangan tersebut cuma pandangan agama dan tidak lebih daripada itu.

Beliau, yang memegang portfolio hal ehwal Islam, berkata penjelasan tersebut dititahkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sendiri.

“Kesimpulannya, di Malaysia, fatwa terletak bawah kuasa negeri sepenuhnya dan mempunyai kuasa perundangan setelah diwartakan,” kata timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

“Manakala istilah ‘fatwa’ yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam yang sering disalah lapor sebagai ‘Majis Fatwa Kebangsaan’, hanyalah sekadar pandangan agama yang tiada kesan mahupun kuasa perundangan.”

Asyraf menjelaskan bahawa proses mewartakan fatwa bermula dengan perbincangan oleh jawatankuasa fatwa negeri, yang diketuai mufti setiap negeri, untuk memutuskan pandangan mengenai sesuatu isu agama yang dibangkitkan.

Pandangan yang diputuskan itu pula dibawa kepada sultan untuk diperakukan dan diluluskan, sebelum diwartakan sebagai fatwa negeri yang mempunyai kuasa dan kesan perundangan.

KENYATAAN MEDIA PAS TERENGGANU

31 March 2016
1. Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) menyifatkan, situasi ketegangan politik yang berlaku dalam negeri Terengganu adalah masalah dalaman Umno, yang melibatkan Menteri Besar (MB) Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan bekas MB Dato' Seri Ahmad Said.
2. PAS tidak wajar dibabitkan dan PAS tidak akan mencampuri urusan dalaman Umno Terengganu kerana ia tidak ada kena mengena dengan PAS.
3. Oleh itu, PAS memberi peringatan kepada Umno dan kerajaan Barisan Nasional Terengganu, agar sebarang perbalahan dalaman dan krisis yang berlaku ini, jangan sampai menyusahkan dan mengheret rakyat ke kancah politik yang keterlaluan, sehingga mengabaikan kebajikan, kehidupan dan masa depan rakyat.
4. PAS tidak bersetuju dan menentang sebarang ketidakadilan, mengambil alih peruntukan yang sepatutnya diuruskan oleh wakil rakyat adalah satu amalan yang buruk dalam tadbir urus sesebuah kerajaan. Kerajaan Barisan Nasional Terengganu perlu melaksanakan transformasi menyeluruh, bukan hanya sekadar slogan.
5. PAS juga, sama sekali tidak bersetuju dengan apa-apa tindakan yang menyalahi peraturan dan perlembagaan, tindakan merampas kuasa sebagaimana dilakukan oleh Barisan Nasional negeri Perak adalah tindakan yang keji.
6. Sekiranya isu yang melanda politik negeri ini tidak dapat diselesaikan, maka mandat perlulah diserah semula kepada rakyat untuk menentukan kerajaan baru melalui pilihanraya.
7. Walau apa pun yang mungkin berlaku, negeri Terengganu adalah negeri Raja Berperlembagaan. Sultan adalah payung negeri. Justeru pandangan tuanku sultan adalah amat dihormati.
YB Ustaz Satiful Bahri Mamat
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka
22 Jamadil-akhir 1437/ 31 Mac, 2016

Friday, March 11, 2016

Dari Masjid Rusila – Kuliah Jumaat 2 Jamadil’ Akhir 1437

Oleh : Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Haji Awang.
Fiqh Harakah.
1. Rasulullah mendapat tarbiyah daripada Ilahi. Tarbiyah ialah didikan. Sama ada ilmu dan akhlak. Ilmu yang mendidik dia.
2. Nabi pernah memelihara kambing untuk menafkah hidup. Hikmatnya, orang yang memelihara kambing lebih berlembut berbanding dengan pemelihara lembu dan unta. Kerana binatang besar berasa nak piak (rotan) sahaja.
3. Mencari nafkah dengan titik peluh sendiri adalah yang paling berkat disisi Allah. Seorang pendakwah yang kuat ialah pendakwah yang bergantung dengan diri sendiri, bergantung dengan pitih (duit) sendiri. Kerana jika bergantung dengan pitih orang, mudah dibeli. Kekayaan jiwa (kaya akhlak, kaya iman, kaya semangat) menjadi bekal utama dalam perjuangan menegakkan Allah. Begitulah sikap pendakwah.
Tafsir Al-Quran
Surah Al-Fill
أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِأَصْحَابِ الْفِيلِ
Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)?
أَلَمْ يَجْعَلْ كَيْدَهُمْ فِي تَضْلِيلٍ
Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka?
وَأَرْسَلَ عَلَيْهِمْ طَيْرًا أَبَابِيلَ
Dan Ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan, –
تَرْمِيهِمْ بِحِجَارَةٍ مِنْ سِجِّيلٍ
Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras, –
فَجَعَلَهُمْ كَعَصْفٍ مَأْكُولٍ
Lalu Ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.
Hadi Awang ngajar1Tafsir Ayat.
1. Surah yang diturunkan di Makkah. Surah ini berkait dengan peristiwa besar yang diketahui oleh penduduk Makkah. Berlaku perkara irhas (perkara luar biasa yang berlaku kepada orang Islam dan kafir untuk menunjukkan kekuasaan Allah). Apabila Allah membinasakan tentera bergajah bukan kerana penduduk Makkah yang menyembah berhala tetapi kerana Kaabah yang dibina Nabi Ibrahim yang akan menjadi kiblat. Peristiwa ini berlaku ketika tahun kelahiran nabi.
2. Abrahah marah kepada penduduk Makkah kerana mahu membakar tempat yang dibuatnya di Yaman. Sehingga Abrahah menyediakan Gajah-gajah. Ada pendapat menyatakan dua belas ekor Gajah. Ada pendapat menyatakan lapan ekor gajah. Mahu tarik Kaabah dengan Gajah.
3. 100 ekor unta Abdul Mutalib dirampas oleh Abrahah. Kemudian Abdul Mutalib dipanggil dan dibuat perundingan dan minta supaya boleh menyerang Kaabah. Kemudian Abdul Mutalib kata, aku mahukan 100 ekor unta aku. Lalu Abdul Mutalib kata, unta-unta itu, aku lah tuannya, dan Kaabah itu ada tuannya sendiri. Kemudian penduduk Makkah menghadiahkan banyak unta, namun Abrahah nekad mahu serang Makkah. Sehingga Abu Mutalib berdoa kepada Allah supaya memelihara kiblat mereka. Dan Abdul Mutalib memerintah supaya penduduk Makkah keluar daripada rumah masing-masing dan bersembunyi di bukit-bukit kerana bimbang keselamatan penduduk Makkah.
4. Lalu penduduk Makkah melihat sekawan burung datang. Tentera Allah datang. Tentera yang dapat dilihat dan tidak dapat dilihat. Nyamuk juga tentera Allah. Kita mesti sediakan kekuatan sekadar kemampuan, nescaya Allah akan menghantar tentera-Nya yang dapat dilihat dan tidak dapat dilihat. Penduduk Makkah kafir semua, kecuali Abdul Mutalib (kristian yang belum diseleweng) beberapa orang sahaja. Tetapi Allah membantu kerana itulah kemampuan Abdul Mutallib.
5. Gajah apabila dihadap ke Kaabah, gajah tidak mahu berjalan. Tapi hadap ke Yaman, berjalan. Gajah diberi kebijaksanaan oleh Allah. Kemudian dihantar kawangan burung. Ada yang kata burung warna hijau, ada kata warna hitam, tetapi semua itu riwayat yang tiada sandaran. Tetapi riwayat sohih, burung ini lebih kecil daripada merpati, dan setiap di paruh burung ada tiga batu kecil. Sijjil ialah batu yang sangat keras yang dicampur dengan tanah yang keras, wallahualam.
6. Dilempar batu itu tepat pada sasaran. Apabila terkena batu ini, terputus anggota dan sendi-sendi. Ini lah batu yang dicipta Allah untuk menghancurkan oleh Allah untuk menghancurkan tentera.
7. Allah abadikan peristiwa ini di dalam surah Al Fill bersempena dengan gajah. Dan surah ini menunjukkan kemuliaan kepada nabi Ibrahim yang membina Kaabah untuk menjadi kiblat.
Catatan,
Abdul Latif Al Marangi,
11 March 2016.

Wednesday, March 9, 2016

CATATAN KHAS: TUAN GURU PRESIDEN PAS BERBAHAS, DEWAN PARLIMEN BERUBAH BAGAIKAN DEWAN KULIAH UNIVERSITI

1. Pada tepat jam 12.00 tengah hari tadi, giliran Ahli Parlimen Marang, YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang membahaskan Titah Diraja. Saya begitu tidak menyangka suasana perbahasan menjadi begitu menarik, dan mengasyikkan. Sesiapa yang berada di dalam Dewan mahupun menonton secara langsung pasti berasa teruja kerana suasana Dewan yang biasanya gamat dengan pertelingkahan dan bertikam lidah berubah menjadi diskusi ilmiah bagaikan dalam dewan kuliah universiti.
2. Asalnya masa yang diperuntukkan hanya 30 minit tetapi atas budibicara Dato' Timbalan Speaker, Tuan Guru Presiden dibenarkan untuk berbahas selama 1 jam kerana ramai Ahli Parlimen lain daripada BN mahupun Pembangkang yang berminat bangun membuat pencelahan. Mereka bertanya dengan penuh adab tatasusila bahkan ada Ahli Parlimen DAP yang memanggil nama "Tuan Guru" sedangkan kebiasaannya sesama Ahli Parlimen akan memanggil " Yang Berhormat (nama kawasan yang diwakili). Ada Ahli Parlimen BN yang bangun bertanya memulakan dengan lafaz "Subhanallah, Tabarakallah" kerana beliau begitu tertarik dengan isi perbahasan Tuan Guru Presiden.
3. Antara kelainan yang dapat saya perhatikan dalam perbahasan kali ini, Tuan Guru Presiden berucap tanpa teks, hanya sesekali merujuk catatan isi penting, ia membuatkan suasana yang lebih santai, spontan, banyak eye-contact dan gerakan tangan.
4. Di awal ucapan, beliau menyebut perbahasan akan menyentuh 2 perkara yang terkandung dalam Titah Diraja iaitu:
a) Sokongan Yang di-Pertuan Agong terhadap segala inisiatif bagi mendaulatkan Islam sebagai agama persekutuan dan pemerkasaan Mahkamah Syariah.
b) Seruan Yang di-Pertuan Agong agar hentikan berpolitik untuk kepentingan sempit.
5. Berikut adalah intipati utama ucapan perbahasan beliau:
- Seruan transformasi yang diwar-warkan oleh kerajaan perlulah mengikut petunjuk di dalam Al Quran.
Transformasi positif sepertimana dalam ayat 11, Surah Ar Ra'du, yang bermaksud "Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka mengubahnya sendiri"
- Pembangunan insan akan dapat membangunkan negara dan ummat, Allah memulakan Islam di bumi Mekah yang kering, tidak ada apa-apa hasil,
lalu manusia dibangunkan dengan ilmu, akhlak, dan jatidiri.
- Kita kembali kepada Perlembagaan yang diasaskan oleh mereka generasi awal samada di pihak kerajaan dan pembangkang yang sama-sama memperjuangkan kemerdekaan walaupun berbeza dasar dan pendekatan politik. Suruhanjaya Reid telah menetapkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam sebagai Agama Persekutuan, manakala agama lain bebas diamalkan, dan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan iaitu Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, dan hak bahasa ibunda masing-masing.
- Yang di-Pertuan Agong menyeru agar mendaulatkan Islam sebagai agama persekutuan. Apabila hendak mendaulatkan Islam, perlulah berpandu kepada agama Islam yang disebut dalam Al Quran iaitu Ad Din dan kaffah (sempurna) sifatnya. Kita jangan terpengaruh dengan takrif agama mengikut Bahasa Inggeris, penjajah kita dan juga yang terkandung dalam Kitab Bible. Tuan Guru memetik :
"Jesus said to them, “Render to Caesar the things that are Caesar’s, and to God the things that are God’s.” ( Mark 12:17)
Ia menunjukkan pemisahan agama dan politik sedangkan Islam agama yang berdaulat. Islam menentang diktator dan teokrasi.
Ayat Quran menyebut mengenai adanya pemerintah yang berlagak bagaikan Tuhan samada bernama raja seperti Firaun dan Namrud, ataupun Al Malak (pemimpin-pemimpin).
[Pencelahan oleh YB DAP Bukit Mertajam- mohon penjelasan lanjut berkenaan tafsiran Bible yang dibaca oleh Tuan Guru]
- Tuan Guru menceritakan tentang sejarah dalam agama Kristian yang menindas golongan ilmuan, manakala golongan agamawan bersekongkol dengan pemerintah, merebut kuasa melalui pengutipan cukai pengampunan dosa. Apabila Tamadun Islam mula mempengaruhi Barat maka lahirlah idelogi Sekularisme yang memisahkan agama daripada politik.
- Apa yang dibawa ke negara ini oleh penjajah British bukanlah ajaran asal Kristian tetapi ajaran yang sudah dipinda bagi menyekat kuasa agama Islam dengan merampas kuasa Raja-Raja. Agama dihadkan kepada sekadar nikah-cerai, pembahagian harta-pusaka, dan wakaf. Kuasa tanah, pentadbiran, dan kerakyatan dialmbil oleh British. Selepas merdeka, pemikiran British ini patutlah dibuang.
- Usaha pemerkasaan Mahkamah Syariah amatlah dialukan. Apa yang ada hari ini, Mahkamah Syariah lebih rendah daripada Mahkamah Majistret padahal kita sebut Islam adalah Agama Persekutuan. bagaimana Mahkamah Syariah lebih rendah daripada Mahkamah di daerah-daerah.?
Saranan Yang di-Pertuan Agong agar Mahkamah Syariah diperkasakan amatlah disokong dan dilalukan.
[Pencelahan oleh YB PKR Bukit Katil yang mencadangkan agar Hakim Mahkamah Syariah dilantik oleh Suruhanjaya sepertimana Hakim Mahkamah Sivil, agar mereka bukan sekadar penjawat awam biasa]
- Tuan Guru bersetuju cadangan itu tetapi mahukan aspek yang lebih luas iaitu kadar hukuman. Kuasa hukuman sepatutnya lebih tinggi dan sebolehnya menepati syariat yang sepenuhnya. Dalam hal ini, penganut bukan Islam jangan bimbang kerana wujudnya jaminan dalam Islam iaitu tidak ada paksaan untuk memeluk Islam. Ayat Quran juga menyebut mengenai larangan meroboh rumah ibadah agama lain. Lihatlah di Mesir, masih ada gereja yang dimiliki oleh Kristian Ortodok Koptik yang ada sebelum Islam. di Iran ada rumah api yang dimiliki oleh penganut agama Majusi, di Indonesia alam Melayu ini masih ada candi Borobudur. Ini menunjukkan kebebasan beragama yang dijamin oleh Islam.
- Dalam aspek pelaksanaan undang-undang, orang Islam tertakluk kepada undang-undang Islam tetapi hal ehwal umum seperti trafik jalanraya, tetap sama untuk semua yang Islam dan bukan Islam. Contohnya, tidak boleh dibuat lampu hijau untuk orang Islam boleh jalan manakala yang bukan Islam kena berhenti, pasti huru-hara di jalanraya.
[Pencelahan oleh YB BN Rompin yang berpandangan soal pendekatan kita apabila menyebut pemerkasaan Mahkamah Syariah berbanding penekanan Hudud boleh membuatkan orang bukan Islam tidaklah terkejut sangat yang cuba memahami Islam]
- Tuan Guru Presiden menjelaskan dalam Islam adanya undang-undang Perlembagaan, perdagangan, keluarga, jenayah, antarabangsa, semuanya ada dalam Islam. Seringkali golongan orientalis menggunakan Hudud sebagai senjata menyerang Islam, hukum potong tangan dijadikan hujjah menakutkan orang bukan Islam.
- Pernah berlaku satu Dialog pada tahun 1971,di antara Vatican City (wakil Barat) dan pemikir Islam yang dianjurkan di Vatican dan Riyadh. Isu potong tangan ini timbul, mereka menyangka apabila ada jumlah 70,000 pencuri maka kesemuanya dipotong tangan. Mereka tidak sedar bahawa undan-undang Islam sifatnya mendidik, bukan menghukum. Hukuman yang hendak dijatuhkan sangat ketat termasuk ciri hakim, saksi, penjenayah, kadar curian, hubungan pencuri dan mangsa. Mengikut Islam, hakim perlu cari jalan membebaskan pesalah,kerana Islam menggalakkan pengampunan dan bertaubat. Apa yang penting undang-undang ini mendidik, bagi menggerunkan penjenayah dan semua orang. Apa yang hendak ditakutkan jika kita tidak mencuri..? Lihat di Arab Saudi adanya keamanan, kedai boleh ditutup hanya dengan kain tanpa kunci yang kukuh mahupun jaga yang gagah perkasa. Inilah kehebatan undang-undang.
- Hukuman sebatan dalam Islam bersifat tidak mencederakan tetapi memalukan. Hukuman tidak boleh pecah kulit, bukan macam dalam penjara hari ini yang menggunakan rotan yang kuat sehingga tercabut kulit dari isi. Dalam sirah ada seorang tua yang kurus melakukan kesalahan, dihukum sebat sebanyak 100 sebatan, orang bertanya kepada Nabi, bagaimana hendak dilaksanakan hukuman ini.? Nabi menjawab, ambil 100 ranting, pukul 1 kali sahaja di khalayak ramai.
Inilah keindahan hukum Islam, jangan percaya seperti dalam filem yang ingin memburukkan imej Islam yang
[Pencelahan oleh YB PKR Penampang yang berpandangan tidak setuju undang-undang agama diperluaskan lagi penguatkuasaannya kerana itu syarat asal kemasukan Sabah ke dalam Malaysia dahulu]
- Tuan Guru Presiden menjawab dalam Perlembagaan Malaysia adanya sistem Federalisme yang memberikan hak agama adalah kuasa kerajaan negeri, maka terpulanglah kepada Kerajaan Negeri masing-masing, Beliau mengimbau kembali sejarah Islam. adanya pemerintahan yang begitu luas daripada India sehinggalah ke Sepanyol di Barat yang turut mengamalkan federalisme, zaman itu tiada lagi internet dan telefon. Raja Najasyi, pemerintah Habsyah yang baru memeluk Islam berhadapan dengan paderi Kristian yang tidak bersetuju dengan beliau, Hudud ditangguhkan berasaskan realiti masyarakat di situ. Ini adalah keanjalan yang ada dalam pelaksanaan Syariat Islam.
*Timbalan Speaker memaklumkan ramai yang berminat dengan perbahasan YB Marang,
[Pencelahan oleh YB BN Bagan Serai yang menyatakan beliau begitu tertarik mendengar penjelasan mengenai undang-undang Islam yang diterangkan oleh Tuan Guru Presiden, beliau meminta pendapat perlukah diubah undang-undang bagi mencegah jenayah dadah yang masih belum dapat ditangani sehingga sekarang.?]
- Tuan Guru Presiden menerangkan adanya 3 bahagian dalam undang-undang Islam iaitu Qisos (hal kecederaan), Hudud (hal moral), dan Ta'zir (hal yang tiada dalam Hudud dan Qisos). Dadah termasuk dalam Ta'zir yang tertakluk kepada budibicara pemerintah. Undang-undang Islam adanya aspek ruh spiritual, ini tidak ada pada undang-undang Barat. Makna spiritual ini ialah seseorang itu percaya bahawa sekiranya dia tidak dihukum di dunia, dia tetap tidak dapat lari daripada hukuman di Akhirat. Sebab itu dalam sejarah Islam, ada pesalah datang serah diri mengaku salah kerana adanya aspek spiritual dalam diri ini. Perbincangan lanjut diperlukan dalam hal ini, kerana masa yang ada sekarang singkat dan bukannya dalam kelas kuliah undang-undang.
[Pencelahan sekali lagi oleh YB BN Rompin bangun mencadangkan agar Perlembagaan sediaada tidak dipinda tetapi Mahkamah Syariah yang perlu diperkasa.]
- Tuan Guru Presiden menjawab ada perkara yang beliau setuju dan ada yang beliau tidak setuju. Islam sebagai agama persekutuan tidak perlu dpinda, tetapi undang-undang lain boleh dipinda seiring dengan perkembangan semasa. Semenjak beliau berada di Parlimen pada tahun 1990 lagi, sudah banyak kali pindaan Perlembagaan dibuat. Ini menunjukkan kita boleh fleksibel, tidak perlu jumud dalam semua perkara.
Contohnya, hukuman gantung sampai mati yang menggunakan tali. Islam menetapkan hukuman bunuh perlu dilaksana tetapi bukan menyeksakan. Hukuman mati tetap perlu ada, cuma kaedah yang berbeza. Dalam Islam adanya perkara Tsawabit (yang sudah tetap, tidak boleh berubah) dan Mutaghaiyyirat (yang boleh berubah mengikut perkembangan.
[Pencelahan oleh YB BN Julau yang bertanya berkenaan berita dalam media bahawa Tuan Guru Presiden mendakwa orang Islam ditawarkan wang oleh gerakan Missionary untuk memeluk agama Kristian]
- Tuan Guru Presiden menjelaskan beliau mendapat maklumat berkenaan wujudnya aktiviti sedemikian seperti di negara Afrika. Dalam Islam pun ada, iaitu wang zakat untuk menggalakkan orang masuk Islam, dalam Kristian pun ada, itu hal agama mereka. Apa yang lebih penting ialah menjaga keharmonian, sebab itu dalam Islam menggalakkan dialog antara satu sama lain bagi berhujjah dengan tidak menimbulkan ketegangan.
Biar kita berbeza pendapat, jangan berpecah.
[Pencelahan sekali lagi oleh YB BN Julau yang berpandangan tidak boleh orang yang dihormati dan bergelar Tuan Guru membuat dakwaan sebegitu terhadap agama Kristian]
- Tuan Guru Presiden berkata terserah kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan membuat tindakan selanjutnya. Beliau memetik kata-kata Imam Al Ghazali,"agama asas kehidupan manusia, kuasa pemerintahan adalah pengawas, perkara yang tidak ada asas akan runtuh."
Apabila kita tidak mengikut agama, maka akan runtuh kehidupan. Usah percaya dengan Islamophobia, yang mengatakan Islam agama pengganas sedangkan Kristian juga ada pengganas sepertimana di Ireland,pengganas dalam agama Hindu di India, 2 PM India dibunuh oleh Hindu. Jangan dituduh Islam sahaja.
Sebenarnya, Islam menentang keganasan, menggalakkan hubungan yang baik. Islam melarang membunuh kucing, dan boleh pahala apabila memberi minum anjing yang dahaga, bagaimana mungkin Islam membenarkan manusia dibunuh sesuka hati.?
- Seterusnya, Tuan Guru Presiden membahaskan betapa pentingnya memartabatkan Bahasa Melayu yang merupakan Bahasa Kebangsaan, bahasa perantara kaum. Bahasa adalah naluri fitrah manusia, yang menjadi medium komunikasi, dan mencari ilmu. Bagi mengilmukan sesuatu bangsa maka perlulah dipelajari dalam bahasa ibunda masing-masing, yang menjadi jiwa bangsa. Mengapa ilmu asas pun hendak dipelajari dengan menggunakan bahasa asing.? Solat itu dalam Bahasa Arab tetapi kita belajar solat dalam Bahasa Melayu.
Mengapa kita tinggalkan bahasa kita sendiri untuk belajar Sains.? Hal ini menyebabkan kaum Bumiputera ketinggalan.
Kita cuba lihat di peringkat antabangsa, ketua-ketua negara asing berucap di PBB dalam bahasa ibunda sendiri.
*Timbalan Speaker menggesa YB Marang membahaskan mengenai isi kedua Titah Diraja berkenaan hentikan berpolitik untuk kepentingan sempit.
Beliau turut memberi izin YB Marang berbahas sehingga jam 1.00 petang.
- Tuan Guru Presiden menjelaskan kita tidak boleh berhenti daripada politik kerana ia adalah sebahagian kehidupan manusia. Namun, yang masalahnya apabila berpolitik melampau, sehingga meninggalkan akhlak, perangai yang baik. Ini tidak elok. Seruan ini kepada semua, tidak tuju kepada tertentu.
Lantas, Tuan Guru Presiden memetik kata-kata Saidina Abu Bakar As Siddiq dilantik sebagai Khalifah Ketua Negara, "wahai tuan-tuan, saya telah dipilih menjadi pemimpin kamu, saya bukan orang yang terbaik. Kalau saya baik, tolonglah saya, saya tidak baik, perbetulkan saya. Benar adalah amanah, bohong adalah khianat."
Ini menunjukkan budaya memecat pemimpin tidak digalakkan dalam Islam, kita perlu sabar dan memperbetulkan pemimpin.
- Lihat pada Arab Spring, apa yang jadi.? Musim bunga yang tidak berbuah sehingga berlaku campurtangan asing dalam negara yang menghuru-harakan negara.
Walaupun saya tidak setuju dengan kerajaan, tetapi kita sabar.
PAS menyertai arena politik tanah air sejak sebelum merdeka sehingga ke hari ini, part-parti lain banyak yang baru ditubuhkan kemudian. Kita sabar, kita menang, kita kalah, kita rebah, kita bangun, kita banyak kerusi, kita tiada kerusi langsung, kita tidak kisah, yang penting jangan mengacau rakyat. Ini yang perlu kita jaga betul-betul. (bunyi tepukan sokongan daripada Ahli Dewan).
Saya tidak mengampu sesiapa, orang hendak sokong, sokonglah, yang tidak mahu, tidak mengapa.
6. Tuan Guru Presiden menamatkan ucapan beliau pada jam 12.50 tengah hari. Sesungguhnya, suasana ucapan perbahasan beliau tadi begitu menarik kerana wujud perbincangan dua hala secara ilmiah dan penuh adab. Tuan Guru Presiden dengan berani menyampaikan mesej dakwah Islam secara hikmah dan tegas berprinsip kepada sekalian Ahli Dewan samada yang beragama Islam dan bukan Islam.
7. Sejurus Tuan Guru Presiden menamatkan ucapan, sempat mengiringi beliau ke kereta sambil mengucapkan tahniah atas ucapan yang begitu menarik. Beliau memaklumkan tidak dapat meneruskan ucapan sehingga jam 1.00 petang kerana tekak sudah kering. Beliau bertolak pulang ke Pejabat Agung PAS bagi meneruskan tugasan untuk mpengerusikan mesyuarat parti pula.
Catatan oleh,
Syed Ahmad Fadhli,
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS


Wednesday, February 24, 2016

PAS Marang Alu-Alukan Kedatangan Pengunjung HARAP 3.3

PAS Kawasan Marang mengucap selamat datang dan menga-ngalukan kehadiran semua pengunjung program Harap 3.3 di Padang Mengkuang, Marang.
2. Program 4 hari, dari 24 hingga 27 Februari memperlihatkan kesungguhan perjuangan Pas menguruskan kepentingan rakyat dalam pelbagai aspek. Ia bukan sekadar perhimpunan biasa dan ceramah politik. Program ini di antara lain memberi peluang kepada rakyat untuk berniaga, sumber maklumat agensi kerajaan dan swasta, pendidikan agama, bersantai dengan artis, merapatkan hubungan pemimpin dengan rakyat, belajar seni mempertahankan diri, membantu mereka yang susah, rawatan perubatan, program anak-anak muda, beriadhah dan banyak lagi.
3. Dengan tema ‘Pas harapan semua (HARAP)’, program ini diharapkan dapat meningkatkan lagi hubungan Pas dengan rakyat yang kelihatan resah terhadap masa depan mereka yang dilanda dengan pelbagai isu dan masalah – kos hidup termasuk cukai gst yang membebankan, salah urus harta dan kewangan negara seperti 1MDB, percakaran politik yang tidak menguntungkan dan lain-lain. Mereka sedang mencari satu alternatif baru untuk menyelamatkan kehidupan mereka, dunia dan akhirat.
4. Bagi pihak tuan rumah (Marang) ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada semua pihak yang terlibat memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk samada secara lansung atau tidak lansung dalam menjayakan program Harap 3.3 pada kali ini. Tidak lupa juga untuk memohon maaf kepada mana-mana pihak khususnya masyarakat setempat sekiranya berlaku sebarang kelemahan dalam menguruskan program besar ini.
HAJI YAHAYA ALI
Yang Dipertua PAS
Kawasan Marang
24 Februari 2016

Tuesday, February 23, 2016

Balai Penghulu Jadi Sarang Ular?

MARANG – Balai Penghulu biasanya berfungsi sebagai pusat kepada pentadbiran sesebuah mukim bagi memberikan perkhidmatan secara lebih efektif kepada masyarakat setempat yang kadang-kadang tinggal jauh daripada Pejabat Tanah atau Daerah.
IMG-20160223-WA0003Akan tetapi agak malang bagi penduduk sekitar Pekan Bukit Payung apabila sebuah Balai Penghulu telah ditinggalkan sejak sekian lama, bukan lagi berfungsi sebagai pejabat wakil kerajaan negeri, sebaliknya mungkin menjadi sarang ular.
Dengan dinding, pintu dan tingkap banyak yang pecah dan dimakan anai-anai, semak-samun disekelilingnya, ia menjadi tanda tanya penduduk, kenapa balai ini terbiar kerana ini semua adalah duit rakyat.
Demikian antara luahan beberapa penduduk di sekitar Pekan Bukit Payung apabila ditanya tentang Balai Penghulu yang dianggarkan bernilai RM150 ribu itu, tidak berpenghuni dan berfungsi sehingga kini.
Seorang penduduk, Haji Aziz Abdullah berkata, beliau nampak seekor ular tedung selar berkeliaran di sekitar balai itu tidak beberapa lama dahulu dan merasa bimbang jika ular itu bertembung dengan penduduk setempat.
Beliau berharap agar balai tersebut diselenggarakan dengan baik agar ianya tidak menjadi sarang binatang berbisa mahupun sarang penagih dadah suatu hari nanti.
IMG-20160223-WA0005“Harap kerajaan datanglah untuk melihat-lihat bangunan tinggal ini kerana ianya terletak di sebelah Pusat Asuhan Tadika Islam (PASTI) yang kita bimbang juga dengan keselamatan pelajar-pelajar ini selepas nampak ular itu.
Sudah kira-kira 10 tahun balai ini tidak dgunakan selepas penghulu terakhir, kalau tak salah ingatan saya, Penghulu Alias menggunakannya sebagai pejabat,” kata beliau.
Haji Aziz ditemui ketika program gotong royong membersih kawasan Pasti Pekan Bukit Payung, bagi membasmi denggi dan mengalirkan semula longkang yang tersumbat di belakang Pasti.
Seorang lagi peserta gotong royong yang ditemu bual, Jailani Mohammad berkata, dia terpaksa menggunakan gergaji bermotor dan memotong semua pohon-pohon yang agak besar yang masuk ke kawasan Pasti.
IMG-20160223-WA0002Menurutnya, kawasan balai yang bersemak, secara tidak langsung, memberikan kesan yang tidak baik juga kepada Pasti di sebelahnya.
Bagi beliau ini adalah salah satu kerja amal kerana mahu menjaga keselamatan kanak-kanak pelajar Pasti itu dan juga memikirkan premis itu adalah kepunyaan rakyat.
Namun begitu, seruan yang sama diluahkan beliau, agar wakil kerajaan datang dan berbuat sesuatu dengan balai tersebut, sekurang-kurangnya melegakan perasaan risau penduduk setempat.
Manakala Ketua PAS Cawangan Pekan Bukit Payung, Ustaz Zakaria Ismail melihat kegagalan memanafaatkan sepenuhnya premis kerajaan yang menggunakan wang rakyat ini adalah satu bentuk pembaziran yang tidak sepatutnya berlaku.
Wakil Rakyat Dun Bukit Payung, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah yang turut sama menyertai gotong royong itu juga kesal dengan keadaan premis yang begitu teruk dan uzur dilihat dan akan cuba mencari jawapannya daripada kerajaan.

Menyimbah petrol membunuh diri (langkah selamatkan Israel)

DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG

Ketika Dunia Islam dan umatnya bersemangat menerima berita Intifadhah rakyat Palestin yang gagah berani menghadapi keganasan Zionis Israel yang melampau, kerana negaranya yang haram itu dilindungi negara besar berkuasa veto, dibekalkan segala jenis senjata, menggunakan pengaruhnya terhadap media yang tidak adil, monopoli ekonomi dan pengaruh politiknya.


Namun sejarah tidak boleh dipadamkan, betapa golongan pelampau Yahudi itu merompak, meroboh rumah kediaman dan menghalau rakyat Palestin. Terkini lebih melampau lagi, apabila melaksanakan usaha membina Haikal Sulaiman (Kuil Yahudi) di atas runtuhan Masjid Al-Aqsa yang dirancang untuk diroboh, ke arah menakluk dunia dengan menegakkan semula Kerajaan Nabi Sulaiman AS yang sudah tamat risalah kenabiannya, namun dijadikan impian.

Mangsa paling malang ialah penduduk asal Palestin, mengikut konsep asal ketetapan Allah sejak zaman Nabi Ibrahim AS yang menganut Islam mengikut kenyataan Allah SWT. Al-Quran menegaskan:
ما كانَ إِبْراهِيمُ يَهودِيًّا ولا نَصْرانِيًّا وَلكِنْ كانَ حَنِيفا مُسْلِمًا وَمَا كانَ مِنَ المُشْرِكِينَ إِنَّ أَوْلىَ النَّاسِ بِإبراهِيمَ لَلّذِينَ اتَّبَعُوهُ وَهذا النَّبِيُّ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَاللهُ وَلِيُّ المُؤمِنِين

"Tidaklah Ibrahim itu seorang Yahudi dan Nasrani (Kristian) tetapi sebenarnya dia seorang muslim (menganut Islam ) dan dia juga bukan seorang musyrikin. Sebenarnya, yang lebih utama bersama Ibrahim ialah mereka yang mengikutnya dan Nabi ini (Muhammad SAW) dan orang-orang yang beriman. Dan Allah menjadi Wali kepada orang-orang yang beriman." (Surah Ali-Imran, ayat 67-68)

Tegasnya bumi Palestin diamanahkan kepada penganut Islam yang sebenar, dan mereka bersikap terbuka terhadap semua panganut agama-agama lain yang berkunjung memuja bumi Palestin tanpa halangan mengikut acara agama masing-masing.

Polisi Islam yang terbuka dilaksanakan di Palestin, sejak dibebaskan di zaman Khalifah Umar Al-Khattab RA daripada penjajah Rom Ortodoks yang menyekat penganut bukan Kristian dan Kristian yang tidak semazhab dengan mereka.

Begitu juga dilakukan oleh tentera Salib yang pernah menakluknya, sehinggalah dibebaskan oleh Sultan Salahuddun Al-Ayubi, maka dibuka semula kepada penganut agama-agama yang mengunjunginya termasuk Yahudi.

Bahkan kerajaan Uthmaniyyah memberi perlindungan kepada kaum Yahudi yang dibunuh dan dihalau daripada Andalus, menunjukkan Islam mengatasi kebangsaan.

Malangnya barat dan timur bukan Islam tidak menilai budi dan jasa Islam dan tamadunnya, mereka boleh mengiktiraf penaklukan tentera salib yang bermandi darah dan melangkah timbunan mayat, dan menolak Sultan Salahuddin yang adil dan pemaaf terhadap musuh dan melupai sikap terbuka Khilafah Uthmaniyyah.

Kini bumi Palestin dijajah pula oleh Zionis Yahudi selepas Perang Dunia Kedua, dengan lesen merompak dan membunuh oleh Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kuasa veto Kuasa-Kuasa Besar yang menjadi anggota tetapnya.

Terkini dilaksanakan perancangan merampas Masjid Al-Aqsa dan meyahudikan bandar sucinya. Mutakhirnya satu usul dibawa ke Kaniset (Parlimen Israel) undang-undang bagi menutup masjid-masjid bermula dengan membatalkan kegiatannya termasuk khutbah dan pengajian di-atas nama menentang keganasan.

Rasulullah SAW telah berjanji dengan sabdanya; “akan muncul satu kumpulan manusia yang bangkit menegakkan kebenaran, mereka tidak mampu ditundukkan oleh orang-orang yang mengecewakan mereka sehingga Allah menentukan kemenangan kepada mereka." Para sahabat RA bertanya; "siapakah kumpulan itu wahai Rasulullah?" Jawabnya; "mereka ialah penduduk Bait Al-Maqdis dan sekitar Bait Al-Maqdis." ((Riwayat Imam Ahmad)

Sejarah merakamkan apabila Negara Haram Israel diisytiharkan mengikut jadual perjanjian Sykes-Picot, berikutnya ditubuhkan negara-negara arab yang dibahagikan kepada pemimpin yang menyokong kuasa besar menjatuhkan Khilafah Uthmaniyyah di atas semangat masing-masing. Sama ada nasionalisme Arab atau Sunnah Wahabi Salafi yang menentang Sunni yang tidak semazhab termasuk Turki Uthmaniyyah, begitu juga Shah, Iran bermazhab Syiah dan Raja Yaman bermazhab Zaidiyyah.

Maka kini kalangan negara itu manyambut hari kebangsaan masing-masing kerana berjaya menghalau Turki Uthmaniyyah yang dianggap penjajah dengan sokongan Kuasa Besar Timur dan Barat yang dianggap sahabat karib, berbeza dengan hari kebangsaan kita di sini kerana bersempana keluarnya penjajah British dan Belanda.

Di tengah kegembiraan mendapat takhta dan kuasa dengan perlindungan pengkalan tentera negara besar yang bertapak di negeri masing-masing sehingga hari ini, tiba-tiba Negara Israel diisytiharkan tahun 1948 secara haram dan ganas.

Kumpulan Islam dan beberapa kumpulan nasionalis bangkit berperang menentang penubuhan Negara Israel di masa itu di atas nama Islam tanpa mengira bangsa dan mazhab, melaksanakan hasil pertemuan bersejarah di antara Jamaluddin Al-Afghani dan Muhammad Abduh di awal abad yang lalu dan di antara Imam Hasan Al-Banna dan Imam Khumaini yang masih muda ditahun 1938.

Hasilnya tercetus kesedaran menentang penubuhan Negara Israel, walaupun hilangnya Khilafah, namun kebangkitan ini dikecewakan oleh negara arab dan Islam yang bersekongkol dengan kuasa besar.

Banyak pemimpin menentang penubuhan Israel ditahan di negeri masing-masing kerana bersama perjuangan Palastin bahkan ada yang dibunuh, seperti Hasan Al-Banna daripada gerakan Ikhwan Muslimin Mesir (1949) dan Nawwab Safawi daripada gerakan Fidayyan Islam di Iran (1955) dan lain-lain, namun perjuangan Palastin gagal dipadamkan walaunpun memakan zaman beberapa dekad dan bersenjatakan batu dan tangan.

Kini kita berada dalam era kebangkitan Islam yang sangat dibimbangi oleh semua kuasa besar dunia yang terus bermusuh terhadap Islam yang mendaulatkan negara, bersamanya berlaku Intifadah di Palestin yang gagal dipadamkan.

Revolusi Islam di Iran yang tidak dijangka, kejayaan Mujahidin Afghanistan menghalau Tentera Soviet, serta kemaraan parti berteraskan Islam di beberapa negara yang agak bebas.

Kuasa Besar yang semuanya bersekongkol menubuhkan Negara haram Israel tidak senang dengan semua perubahan kepada Islam tanpa mengira mazhabnya, termasuk yang bersikap menentang Israel tanpa mengira ideologinya.

Maka Barat mengisytiharkan Order Baru Dunia dan Globalisasi merempuh sempadan selepas gagalnya blok Komunis dan Sosialis dengan berkecainya Negara Besar Soviet setelah kalah di Afghanistan, serta muncul semula cahaya Islam.

Islam tetap menjadi sasaran, maka diisytiharkan isu Islamofobia, namun, Negara Islam yang telah merdeka daripada kuasa penjajah masih meneruskan agenda penjajah selepas kemerdekaan mengikut agenda Islamofobianya. Maka masalah dalaman tanahair umat Islam gagal diatasi, namun Islam juga disalahkan.

Islam telah berjaya memerintah masyarakat majmuk dengan aman lebih daripada seribu tahun. Pemerintah yang adil dan penyelesaian perbezaan mazhab dengan ilmu dan kebijaksanaan oleh para ulama telah berjaya menyatukan umat.

Mazhab Salaf dan Khalaf sudah wujud dalam aspek aqidah, juga Mazhab Fiqh Sunni, Syiah dan Khawarij kerana politik dalaman umat juga sudah lama bertapak, di samping Tareqat Sufi berbagai nama. Kezaliman dan krisis dalaman umat diselesaikan di atas konsep kesatuan umat, dengan sabar dan ilmu tanpa campur tangan asing.

Pihak kuasa besar di zaman kini tiba-tiba berjaya melagakan umat Islam dengan mencetuskan peperangan secara wakalah (proksi) dengan mengambil peluang daripada pemerintahan kuku besi yang zalim di negeri-negeri yang menindas dengan perlindungan mereka juga, dengan mengumpan golongan yang menentang kerajaan termasuk bantuan senjata bagi melahirkan kalangan pelampau di atas nama Islam dan jihad tanpa feqah dan siyasah syariyyah.

Sebenarnya, supaya menimbulkan kekacauan di atas nama Jihad atau Demokrasi atau hak rakyat yang adil dalam masa yang sama mempertahankan kerajaan yang sah. Ucapannya sangat baik tetapi tujuannya sangat jahat terhadap Islam dan penganutnya yang sebenar.

Kini apa yang berlaku di Mesir, Syria, Yaman, Arab Saudi, Bahrain dan lain-lain, hukuman terhadap beberapa yang dituduh, termasuk tokoh-tokoh ulamak dan rakyat tanpa mengira mazhabnya, masih ramai lagi dalam penjara.

Adalah agenda musuh Islam, menggunakan slogan yang zahirnya benar dan manis, tetapi niat yang salah dan jahat, tujuannya yang sebenar ialah menyelamatkan Israel dan pengaruh kuasa besar yang bertapak di rantau itu, dengan menggalakkan isu yang kecil dibakar menjadi api fitnah yang besar. Tujuannya laksana mencurah petrol ke atas api fitnah yang sengaja di-wujudkan.

Saya tetap berpegang dengan Mazhab Ahli Al-Sunni Wa Al Jamaah dengan keimanan, ilmu dan keyakinan, namun kita diajar tidak mudah mentakfirkan dan menyesatkan mana-mana ahli kiblat yang satu yang berlainan mazhab, walau pun qaulnya terlalu lemah dan ditolak oleh Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah, namun dasar dan rukunnya masih bersamaan.

Majmak Fiqh OIC di Jeddah dan Majmak Buhus Al-Azhar Mesir telah menyenaraikan lapan Mazhab dan beberapa yang lain adalah golongan Ahli Al-Qiblah, sehingga semuanya datang ke-Makkah tanpa halangan. Majmak Buhus Islamiyyah di Mesir mengeluarkan Enseklopedia Fiqh lapan mazhab Ahli Al-Qiblah. Maka sangat malang kalau fatwanya terkini mengikut arus kuasa besar Timur dan Barat yang mempermainkan para ulama kita, kerana dipergunakan oleh kerajaan yang bertawakal kepada perlindungan Nato bukannya pertolongan Allah.

Saya menyaksikan dalam hidup saya di negara arab, bagaimana para Jamaah haji bermazhab Syiah daripada Iran, Lubnan, Yamen dan yang lain, di zaman Shah berkuasa di Iran, ketika berhubungan diplomatik yang kukuh dengan negara Israel, di masa itu Iran yang penuh dengan pelacuran, judi, arak dan segala maksiat yang bebas juga bagi jiran arabnya, para jamaah hajinya pula bersembahyang berasingan tanpa mengikut Imam Masjid Makkah dan Madinah, betapa ulama di masa itu tetap menerima Zaidiyyah dan Imamiyyah, Wahabiyyah dan tidak Wahabiyyah adalah kalangan umat Islam.

Tetapi selepas Revolusi yang dipimpin oleh Imam Khumaini kerana mazhabnya Syiah, bersikap berani terus memutuskan hubungan dengan Negara Israel dan mengisytiharkannya negara haram, negaranya mengharamkan segala kelucahan, sehingga pelancung wanita barat diwajibkan berpakaian sopan, judi, arak dan pelacurannya dimusnahkan, perkara yang tidak khilaf daripada semua mazhab.

Para jamaah hajinya diarahkan sembahyang bersama satu imam sahaja, tiba-tiba fatwa-fatwa mengikut arahan kenyataan Bush, Obama dan John Kerry, mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel, di arah supaya sunni menyerang syiah habis-habisan dan syiah menyerang sunni, atau sesama mazhab kerana berbeza kebangsaannya, tanpa hujah ilmu yang bijak dengan meletakkan semuanya dalam satu bakul.

Isu Takfir dan menyesat dalam satu umat menjadi sumbu fitnah. Tanpa dinafikan adanya kelakuan murtad di kalangan umat, tetapi Islam menyelesaikannya secara keluarga dalam satu umat dan ilmu dengan konsep menyelamat aqidah secara bijak, termasuk yang murtad kerana kejahilan sendiri dan tipu daya musuh.

Lebih malang lagi berdakwah mazhab dalam satu umat, apabila dihidupkan paksaan sunnah mazhab Wahabi di kalangan sunni yang lain atau bertempur syiah dan sunni dalam satu umat, padahal kita tidak diizinkan memaksa orang bukan Islam menganut Islam, tidak dibenarkan memusnahkan gereja dan membunuh paderi dan sami, kerana konsep tiada paksaan dalam agama, mengapa berperang kerana mazhab dan kaum?

Saatnya pula, intifadah di-Palestin menentang pelampau Yahudi sedang bermaharaja gila meroboh rumah rakyat Palastin untuk penempatan Yahudi dan melaksanakan perancangan meroboh Masjid Aqsa bagi diganti dengan Haikal Sulaman (Kuil Besar Yahudi). Negara-negara jiran yang menepuk dada semangat arabnya terus mengecewakan Palastin dan masih banyak berhubungan secara langsung atau berselindung dengan Negara Israel (diplomatik, perdagangan, pelancongan dan yang lain) Bakhil menderma kepada Palestin, pengecut menghadapi Zionis, melakukan pula dengan harta kekayaanya, perkara yang diberi amaran oleh Rasulullah SAW; “kamu akan menyaksikan mereka yang berkaki ayam, bertelanjang, dahulunya papa kedana, gembala-gembala unta dan kambing, tiba-tiba berlumba-lumba mendirikan bangunan-bangunan tinggi." Ditambah bangunan tinggi dan budaya barat.

Percayalah bahawa Israel dan sekutunya tetap berperang dengan sesiapa sahaja yang tidak mengiktirafnya tanpa mengira mazhab Sunni atau Syiah dan Wahabiyyah atau Asyairah/Maturidiyyah tanpa mengira ideologi kanan atau kiri. Mereka akan mengekalkan Negara Islam dan Parti Islam tanpa cita-cita pelaksanaan Islamnya dan berpolisi mengiktiraf Israel atau bermujamalah dengannya.

Perkara-perkara yang menakjubkan ialah negara serantau khususnya negara-negara Arab sedang menggali kubur sendiri mengikut pelan yang dilakar dan diatur oleh kuasa bekas penjajah, menghidup atau menyuburkan semula krisis mazhab, kaum, kabilah dan ideologi asing. Tujuannya, menubuhkan negara baru mengikut pecahan mazhab Sunni dan Syiah, Arab, Kurdis dan Turkuman, mengikut pengaruh Timur dan Barat tanpa Islamnya.

Bersedia membina gagasan ketenteraan untuk berperang sesama sendiri bukannya menghadapi ancaman Israel dan sebaliknya menguatkan kuasa besar dengan sumber tenaga kurnia Allah dengan wang sekadar jaminan negara yang dianggap berkuasa besar, menjaga harta dan takhta tanpa jati diri bersama Islam. Bahkan sebarang perubahan kepada Islam dikira ancaman dan bahaya, maka Arab Spring tidak berbuah masak atau dicantas putiknya sebelum masak, pesertanya dibunuh, diburu, disumbat kedalam penjara.

Sepatutnya mereka bersatu di atas perkara yang sama, dalam perkara rukun agama, politik dan ekonomi yang tidak berbeza. Adapun dalam perkara yang berbeza berbincang secara ilmu di kalangan ahlinya dengan adab-adab ikhtilaf yang menyatukan umat walau pun adanya perbezaan di antara satu sama lain. Segala-galanya boleh dilakukan apabila kembali kepada Islam. Sangat tidak patut menerima jaminan Naib Presiden Amerika Syarikat John Baiden bahawa Amerika akan membatu Turki dan Arab bagi menentang Syiah.

Khalifah Umar Al-Khattab RA pernah menegaskan:

"Kita adalah Umat yang diperkasakan oleh Allah bersama Islam, sekiranya kita mencari kekuatan dengan cara yang lain daripada Islam nescaya kita dihukum oleh Allah menjadi hina."

Sepatutnya OIC berperanan membina kekuatan Islam serantau dan sedunia dan para ulamanya menyatukan umat dengan ilmu dan hujjah yang adil yang kaya bersama Islam yang sumber asasinya tetap dipelihara Allah.

Tegakkan Islam yang menyatukan bangsa dan umat semuanya selamat, tetap tidak selamat dengan menegakkan semangat kebangsaan atau mazhab dan ideologi tanpa Islamnya menghilangkan jati diri bangsa dan memusnahkannya.

Maka sepatutnya Arab, Iran dan Turki bersatu bersama Islam menjadi barisan hadapan kepada seluruh umat Islam, menghadapi Israel dan semua kuasa besar di belakangnya. Malangnya dilagakan untuk menghancur diri sendiri, sehingga perjuangan Palestin dibiarkan bersendirian.

"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
13 Jamadil Awal 1437H / 22 Februari 2016
- HARAKAHDAILY 22/2/2016


IKLAN PRODUK


Iklan Berbayar - SMS 013 929 9944 ( RM50.00 Sebulan )

-
-