Saat tibanya bulan Zulhijjah, umat Islam berduyun-duyun membanjiri Kota Makkah untuk melaksanakan ibadah rukun Islam kelima, menunaikan haji di Baitullah. Muda dan tua, lelaki mahupun perempuan kesemuanya berlumba-lumba menambah amal kebaikan supaya mendapat ganjaran yang terbaik di sisi Allah SWT. Manakala muslimin yang tidak berkesempatan menunaikan ibadah haji, mereka pula sibuk untuk mempersiapkan binatang-binatang korban yang akan disembelih serta memastikan segala kelengkapan cukup dan penyembelihan berjalan dengan lancar. Aidiladha merupakan suatu syiar umat Islam yang menjadi simbol kesatuan dan pengorbanan yang tidak berbelah bagi hanya kepada Allah SWT.
Namun, apakah kaum Muslimin sedar bahawasanya suatu ketika dahulu, pernah berlaku suatu peristiwa hitam yang cukup menyedihkan terhadap Kota Suci Makkah dan Baitullah itu sendiri kala tibanya musim Haji?. Jarang sekali umat Islam yang mampu mengingati atau tahu mengenai peristiwa penodaan kesucian Tanah Haram Makkah yang berlaku pada Hari Tarwiyah, iaitu pada tanggal 8 Zulhijjah 317 Hijrah.
Abu Tahir al-Jannabi yang beragama Syiah Qaramithah beserta bala tenteranya telah menuju ke Kota Makkah dan membunuh lebih 30,000 umat Islam di sana pada ketika itu. Mereka juga dengan kejam membunuh lebih 1700 orang kaum Muslimin yang sedang menunaikan haji di Baitullah. Para hujjaj yang berpaut pada Kaabah memohon pertolongan daripada Allah SWT dipancung dan ditikam dengan pedang-pedang oleh para penganut Syiah Qaramithah ini. Lalu memerciklah darah mereka pada kain kiswah Kaabah. Kiswah Kaabah juga dikoyakkan oleh musuh-musuh Allah ini sehingga rabak. Jasad kaum Muslimin dibiarkan bergelimpangan tanpa dimandikan, dikafankan mahupun disembahyangkan. Bahkan, mereka melontar beberapa mayat yang bergelimpangan mati ke dalam Perigi Zam Zam tanpa sifat perikemanusiaan.
‘Abrahah’ kedua ini kemudian mengarahkan tenteranya menghancurkan setiap sudut Ka’bah dan mencabut Hajar Aswad daripada tempatnya. Lalu manusia keji ini dengan penuh angkuh menjulang Hajar Aswad ke langit lantas berteriak; “Di manakah burung Ababil?? Di manakah batu dari Neraka Sijjil??”.
Hajar Aswad kemudian dilarikan ke pusat kegiatan dakwah dan bandar mereka di Bahrain. Lalu mereka mendirikan sebuah rumah yang dinamakan Al-Hijr dan menempatkan Hajar Aswad yang dicuri di dalamnya supaya manusia datang untuk menunaikan haji di tempat mereka. Perkara ini adalah sama seperti apa yang dirancang oleh Abrahah pada zaman sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW. Hajar Aswad dicabut dan tidak berada di Makkah selama 22 tahun, sehinggalah ia dikembalikan semula pada tahun 339 Hijrah. Umat Islam dalam selama tempoh 22 tahun tersebut telah melaksanakan ibadah Haji tanpa adanya Hajar Aswad.
Inilah sejarah hitam yang cukup memilukan, yang berlaku buat kali pertama sejak difardukan ibadah Haji kepada umat Islam pada tahun 9 Hijrah. Musuh-musuh Allah ini dengan penuh bongkak meninggalkan Kota Makkah sambil mengatakan; “Jikalau benarlah Ka’bah ini adalah Rumah Allah, pastinya kami tidak akan pulang dengan selamat dan pastinya Api akan menyimbahi dan menghancurkan kami semua oleh Tuhan rumah ini”.
SIAPAKAH SYIAH QARAMITHAH INI?
Qaramithah adalah suatu gerakan dalaman yang telah terpesong daripada ajaran Islam yang diasaskan oleh Hamdan Qirmith bin Al-Asy’as. Pergerakan yang berpusat di Kufah ini mengamalkan konsep Tanzim Sirri al-‘Askariyatau Gerakan Kerahsiaan Ala Tentera. Secara zahirnya, mereka menganut fahaman Syiah melalui nasab Muhammad bin Ismail bin Ja’far as-Sodiq, namun hakikat sebenarnya, fahaman mereka adalah bertunjangkan kepada Atheis.
Syiah Qaramithah di Bahrain dipimpin oleh Abu Sa’id al-Jannabi dan anaknya, Abu Tahir al-Jannabi. Penganut Qaramithah yang merupakan sayap tentera Syiah ini adalah penganut yang paling keras menentang Islam dan kaum Muslimin. Mereka mengasaskan kaedah ketenteraan berpusat di Hijr dan Ahsa’ serta mengancam pentadbiran Kerajaan Islam Abbasiyah di Selatan Iraq pada ketika itu.
Ketika pemerintahan Abu Tahir Al-Jannabi, serangan dilakukan kepada Umat Islam yang dalam perjalanan untuk menunaikan haji di Makkah atas dua sebab:
Pertama : Merosakkan syiar Islam, iaitu Ibadah Haji, kerana penganut Qaramithah percaya bahawa ibadah Haji adalah antara syiar Jahiliyyah seolah-olah menyembah berhala yang perlu dihapuskan.
Kedua : Merompak harta para Hujjaj dan harta yang dibawa oleh kafilah dagangan.
Antara pegangan dan pengamalan Syiah Qaramitah ialah:
1. Menghapuskan hukum-hukum asas dalam Islam seperti solat, puasa dan kesemua ibadah fardu yang lain.
2. Menggunakan kaedah ekstrem dan agresif serta menghancurkan segalanya bagi mencapai matlamat.
3. Meyakini bahawa dunia ini adalah syurga, sedangkan ibadah seperti solat dan puasa adalah suatu azab buat manusia.
4. Menganggap mereka adalah maksum dan mengatakan bahawa setiap zaman akan ada seorang pemimpin yang maksum.
5. Mempercayai wujudnya dua Tuhan; Tuhan Awal dan Tuhan Akhir.
6. Terlibat dengan konspirasi kezaliman terhadap Saidina Ali r.a. dan pembunuhan Saidina Hussin.
7. Mempercayai bahawa kesemua agama dan umat yang wujud di atas muka bumi ini adalah sesat melainkan agama mereka sahaja.
8. Asas pegangan mereka adalah meninggalkan amal ibadat dan melaksanakan segala larangan, serta merosakkan masyarakat dengan kaedah pornografi melalui wanita dan rompakan harta.
Benarlah bahawa ketetapan yang diatur oleh Allah SWT selepas pengutusan Nabi Muhammad SAW tidak seperti ketetapan yang diaturkan-Nya sebelum kelahiran Baginda SAW. Firman Allah SWT di dalam Surah Muhammad, ayat 7;
"إن تنصروا الله ينصرکم ويثبت أقدامکم"
“Sekiranya kamu membantu agama Allah, maka Allah akan membantumu dan memperteguhkan kedudukanmu ”
Zaman ini tidak sama seperti zaman Abrahah. Umat Rasulullah SAW perlu membantu dan memelihara kehormatan agama Islam daripada musuh-musuh Allah yang nyata mahupun tersembunyi. Sebagai bukti, boleh sahaja Allah SWT menghancurkan tentera Qaramithah yang menodai kesucian Kota Makkah sepertimana Dia menghancurkan tentera Abrahah. Tetapi, ketetapan yang Allah SWT tentukan pada zaman umat Nabi Muhammad SAW kala ini adalah barangsiapa yang membantu agama Allah, maka Allah akan membantunya.
Tepatlah kata Dr. Yusuf Al-Qaradhawi; “Islam tidak sama sekali akan tertegak hanya dengan kata-kata”. Lantas amal Islami dan pengetahuan berkenaan Islam dan ajarannya perlu difahami dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh oleh seluruh umat Rasulullah SAW bagi memastikan survival dan maruah Islam itu terpelihara.
Berkata seorang pemikir dan pakar Sejarah Islam terkenal, Dr. Ali Muhammad As-Sollabi; “Musuh-musuh Islam memahami kuasa sejarah dan potensinya dalam kebangkitan dan kejatuhan ummah. Oleh sebab itu, mereka sentiasa bekerja keras untuk memutarbelit sejarah Islam bagi menanamkan keraguan dan supaya mereka melupakan peristiwa yang berlaku terdahulu”.
“Menghayati Sejarah, Mempertahankan Maruah”
“Memartabat Keilmuan, Memimpin Kesatuan”
Abdul Naafiq Taqiuddin Bin Mohd Roslan
Ketua Badan Pendidikan Dan Komunikasi Bahasa,
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012.
Rujukan :
- Al-Quran al-Karim
- Al-Mausu’ah al-muyassarah fil Adyan wal mazahib wal Ahzab al-Mu’asiroh, Dr. Mani’ bin Hammas al-Jihni.
- Lasna fi zamani Abrahah, Dr. Ragheb as-Sarjani.
- Website: www.alwatanyh.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Iklan Berbayar - SMS 013 929 9944 ( RM50.00 Sebulan )
-
-
No comments:
Post a Comment