Ads 468x60px

-

Wednesday, June 19, 2013

Adun BN 'panas' apabila PAS bangkit isu JKKK

Hazayani Zakaria, 19 Jun 2013

KUALA TERENGGANU: Wan Hapandi Wan Nik (PAS-Sura) memberi tumpuan kepada titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang mahu semua pihak membuang sentimen kepartian dalam memberikan bantuan kepada rakyat.

Beliau sewaktu membahaskan titah Tuanku Sultan pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini berkata, kerajaan negeri seharusnya memberikan bantuan kepada pihak yang benar-benar memerlukan tanpa mengira dari parti mana.

"Saya kecewa apabila berlaku ketidakadilan di peringkat kerajaan negeri dalam memberi bantuan kepada rakyat.

"Isu tandatangan Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) dan tandatangan Adun sepatutnya tidak perlu dipanjangkan sehingga menjadi isu kepada masyarakat yang akhirnya menyusahkan rakyat terutamanya mereka yang benar-benar memerlukan bantuan khususnya kepada anak-anak yang mahu menyambung pelajaran," kata beliau yang merupakan muka baru di Dun Terengganu.

Isnin lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang juga Adun Rhu Rendang berkata, titah Tuanku itu harus diberi perhatian kerana selepas PRU13 Mei lalu, wujud diskriminasi terhadap rakyat kerana faktor politik.

Sewaktu Hapandi menyentuh isu tersebut, dewan sedikit kecoh apabila beberapa wakil BN 'mengganggu' antaranya Rozi Mamat ((BN-Telemong) yang kelihatan 'panas' dengan dakwaan tersebut.

Semalam, Hanafiah Mat (PAS-Chukai) memberitahu, selepas Pilihan raya Umum ke-13 lalu, JKKK berhelah dan tidak mahu menandatangani borang-borang permohonan rakyat dengan alasan kononnya mereka tidak ada kuasa lagi.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha PAS Terengganu berkata, apabila ditanya kepada pihak JKKK mengapa berbuat demikian, mereka memberi alasan sudah tidak mempunyai kuasa.

Selain itu, Hapandi juga menggesa kerajaan negeri menyegerakan projek pembinaan Hospital Dungun yang sudah lama terbengkalai.

"Rakyat Dungun sangat memerlukan hospital baru kerana hospital sekarang sudah tidak dapat menampung bilangan pesakit yang ramai.

"Projek pembinaan hospital ini sudah diluluskan Kerajaan Pusat tapi sampai sekarang masih belum dibina, hanya ada tapak," katanya.

No comments:

Post a Comment

Iklan Berbayar - SMS 013 929 9944 ( RM50.00 Sebulan )

-
-