Ads 468x60px

-

Wednesday, June 5, 2013

Pemuda PAS cadang pilihan raya semula

Harakahdaily, 05 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mencadangkan agar pilihan raya diadakan semula berikutan terlalu banyak pendedahan mendakwa berlakunya penipuan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Timbalan ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, ianya juga dikuatkan lagi dengan sejumlah 85 petisyen yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat dan BN sekaligus menyaksikan petisyen terbanyak dalam sejarah pilihan raya di Malaysia.

"Melihat kepada semua ketempangan ini, sepatutnya juga, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk membubarkan kerajaan sedia ada bagi memberikan laluan kepada pilihanraya umum baharu yang lebih adil, bebas dan demokratik.

"Dengan petisyen yang dikemukakan berjumlah 85 buah daripada Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional, dengan pendedahan-pendedahan sensasi daripada Rafizi Ramli mahupun pemimpin lainnya, sudah cukup meletakkan noktah terakhir pada Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR. Sepatutnya kedua-duanya telah lama dipecat atau meletakkan jawatan ekoran kegagalan mereka menguruskan amanah yang sebesar ini," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, beberapa pendedahan dibuat oleh Rafizi termasuk satu kes di mana seorang calon Dun dari BN di Parlimen Besut telah membeli kertas undi pos daripada pegawai SPR dengan harga RM 100 satu kertas.

Selain itu turut didedahkan bahawa seramai 24 orang pegawai SPR telah dikurung manakala kertas undi mereka dirampas dan telah diundi. Biarpun dinafikan oleh ahli perlimen terbabit, namun pegawai tersebut sendiri didakwa membuat laporan polis diatas apa yang beliau sendiri alami.

Menurut Suhaimi kejadian ini membuktikan tuduhan rakyat terhadap ketelusan dan perjalanan pilihanraya di Malaysia yang tempang bukan suatu fitnah atau omong-omongan kosong.

Malah ia bersandarkan bukti dan setiap hari ada sahaja individu tampil membuat pengakuan atau pendedahan kepincangan yang berlaku tanggal 5 Mei 2013.

Perkara ini kata Suhaimi bukan berlaku di negara dunia ketiga, bukan juga berlaku di negara bergolak atau mempunyai rakyat ratusan juta seperti Pakistan, Afghanistan, Iraq, Syria, Indonesia atau lain-lainnya, tetapi ia benar-benar berlaku di Malaysia, sebuah negara pengamal demokrasi yang digembar-gemburkan sebagai antara negara yang terbaik dalam mengamalkan kebebasan sepenuhnya.

"Pemimpinnya bersikap seperti samseng, boleh mengugut, mengurung serta merampas hak rakyat sesuka hati.

"Daripada membiarkan kerajaan minoriti memerintah, ditambah dengan seribu satu penyelewengan yang berlaku, adalah lebih baik kerajaan mengambil langkah mengadakan pilihanraya semula dalam tempoh 6 bulan hingga setahun dari sekarang," katanya.

http://pasmarang.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Iklan Berbayar - SMS 013 929 9944 ( RM50.00 Sebulan )

-
-