Ads 468x60px

-

Wednesday, June 19, 2013

Bila lagi mahu bina hospital baru Dungun

Salmiyah Harun, 19 Jun 2013

KUALA LUMPUR: Projek pembinaan hospital baharu daerah Dungun yang dirancang sejak sekian lama bagi menggantikan hospital sedia ada sehingga hari ini masih belum bermula.

Hospital Dungun yang sedia ada dibina sejak tahun 60-an lalu sudah tidak dapat menampung keperluan rakyat di daerah itu yang semakin bertambah.

Menurut Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli (gambar) perkembangan di Dungun sebagai daerah yang sudah dinaik taraf perlu menyediakan  infrastruktur dan keperluan mengikut taraf perbandarannya.

Katanya, hospital yang moden sangat diperlukan apatah lagi selari dengan perkembangan industri minyak dan gas di Kerteh yang melibatkan ramai pekerja.

"Berlaku sebarang kemalangan di Kerteh, mereka akan dirujuk ke Hospital Dungun yang paling dekat, kemudian barulah dipindahkan ke Hospital Kuala Terengganu sekiranya hospital Dungun tidak boleh memenuhi keperluan pesakit," katanya kepada Harakahdaily.

Malah katanya, jika Hospital Dungun tidak dinaikkan taraf bagaimana hendak memenuhi keperluan mendesak bukan sahaja rakyat di Dungun tetapi melibatkan pekerja-pekerja industri ini.

Peruntukan untuk membina Hospital Dungun, katanya telah diluluskan oleh Kerajaan Pusat dalam pembentangan Bajet 2013 lalu namun sehingga kini pembinaan masih belum bermula.

"Tapak juga telah dikenal pasti, beberapa kali Exco negeri bahagian kesihatan dipersoalkan perkara ini namun hasilnya agak mendukacitakan," katanya.

Beliau yang akan memasuki parlimen pada 24 Jun ini akan membangkitkan masalah pembinaan Hospital Dungun malah beliau pun sudah menghantar soalan kepada Kementerian Kesihatan untuk sesi kali ini.

Hari ini dalam sidang Dun Terengganu,  Wan Hapandi Wan Nik (PAS-Sura) sekali lagi mendesak kerajaan negeri menyegerakan projek pembinaan Hospital Dungun yang sudah lama terbengkalai.

"Rakyat Dungun sangat memerlukan hospital baru kerana hospital sekarang sudah tidak dapat menampung bilangan pesakit yang ramai.

"Projek pembinaan hospital ini sudah diluluskan Kerajaan Pusat tapi sampai sekarang masih belum dibina, hanya ada tapak," katanya.

Pada Disember 2012 dalam sidang Dun, kerajaan negeri berjanji bahawa pembinaan hospital Dungun akan dimulakan pertengahan tahun ini.

Hospital itu akan dibina di Kampung Che Lijah, Dungun, di atas tapak berkeluasan 25 hektar dan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri waktu itu, Dr. A. Rahman Mokhtar berkata, pembinaan hospital yang akan dibahagikan kepada dua fasa itu menelan belanja kira-kira RM150 juta.

No comments:

Post a Comment

Iklan Berbayar - SMS 013 929 9944 ( RM50.00 Sebulan )

-
-