Ads 468x60px

-

Thursday, June 20, 2013

PAS minta MB Terengganu, JKKK tidak derhaka

Harakahdaily, 19 Jun 2013

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) seluruh negeri diseru mentaati titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang mahu semua pihak membuang sentimen kepartian dalam memberikan bantuan kepada rakyat.

Adun Chukai, Hanafiah Mat (gambar) memberitahu, selepas Pilihan raya Umum ke-13 lalu, JKKK telah berhelah dan tidak mahu menandatangani borang-borang permohonan rakyat dengan alasan kononnya mereka tidak ada kuasa lagi.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha PAS Terengganu berkata, apabila ditanya kepada pihak JKKK mengapa berbuat demikian diberitahu tidak mempunyai kuasa.

"Saya paling ramai orang mengadu, JKKK tak mahu tandatangan. Bila saya tanya, dia (JKKK) kata MB tak beri untuk tandatangan dan dia (JKKK) sebut lagi, dia tak ada kuasa.

"Jadi saya juga minta MB Ahmad Said supaya dengar perintah (titah) sultan hari ini, jangan menderhaka," ujarya dipetik Buletin Online.

Sultan Mizan sewaktu bertitah merasmikan pembukaan penggal pertama sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) kali Ke-13 di Wisma Darul Iman kelmarin menyeru semua pihak bekerjasama tanpa mengira fahaman politik.

Harakahdaily sebelum ini melaporkan, Presiden PAS yang juga Adun Rhu Rendang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, titah tuanku itu harus diberi perhatian kerana selepas PRU13 Mei lalu, wujud diskriminasi terhadap rakyat kerana faktor politik.


"Jadi kita minta Jawatankuasa Kemajuan kampung (JKK) supaya mudah tandatangan borang (permohonan bantuan) rakyat kerana selepas pilihan raya ini saya menerima banyak aduan rakyat yang JKK tak mahu tandatangan borang,” ujarnya.

Sebelum ini, Ahmad berkata, pihak kerajaan negeri tidak akan membuat rumah mampu milik di kawasan yang dimenangi Pakatan Rakyat dalam pilihan raya lalu.

Beliau yang bercakap kepada media selepas mengangkat sumpah jawatan dilaporkan berkata, rakyat di kawasan berkenaan perlu meminta bantuan dari wakil rakyat yang mereka pilih dalam pilihan raya lepas.

No comments:

Post a Comment

Iklan Berbayar - SMS 013 929 9944 ( RM50.00 Sebulan )

-
-